MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong |
- Jadual Perlawanan Liga Super Malaysia - 10/07/2010 (Sabtu)
- 10 Perkara Menarik di Piala Dunia 2010
- Mufti Perak: ESQ tak bertentangan dengan Islam
- Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah
- Manusia tertua di dunia
- Internet jejas emosi anak
- Ujian simulasi UPSR, PMR guru.net.my
- Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab
- Perpaduan: Kajian mendapati ada 2Malaysia
- Ada Penawar Bagi Mengawal Darah Tinggi
- Jerman ratapi kegagalan
- KTMB buka lima lagi stesen komuter baru di ibu kota
Jadual Perlawanan Liga Super Malaysia - 10/07/2010 (Sabtu) Posted: 09 Jul 2010 07:07 PM PDT Selangor lwn Kelantan - Std Shah Alam / Negeri Sembilan lwn Kedah - Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi / Kuala Lumpur lwn Perlis - Std Bolasepak KL, Cheras / KL Plus FC lwn Johor - Std MBPJ, Kelana Jaya / Pahang lwn Terengganu - Std Darul Makmur, Kuantan / T-Team lwn Perak - Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT / Johor FC lwn Pulau Pinang - Std Jcorp, Pasir * Perlawanan bermula jam 8.45 malam |
10 Perkara Menarik di Piala Dunia 2010 Posted: 09 Jul 2010 06:38 PM PDT 1. Seramai 736 pemain berdaftar pada pusingan akhir Piala Dunia kali ini, 23 pemain bagi setiap 32 negara yang layak beraksi. 2. Penjaring gol paling tua pada kejohanan kali ini adalah Cuauhtemoc Blanco dari Mexico yang berusia 37 tahun 151 hari ketika menentang Perancis manakala penjaring gol paling muda adalah Thomas Mueller dari Jerman yang berusia 20 tahun 273 hari menentang Australia. 3. Pemain sayap Afrika Selatan, Siphiwe Tshabalala adalah penjaring gol pertama pada kejohanan kali ini, ketika mereka seri 1-1 menentang Mexico pada perlawanan pembukaan. 4. Pertahanan Denmark, Daniel Agger adalah penjaring gol sendiri pertama kejohanan kali ini, ketika kekalahan 2-0 pasukannya di tangan Belanda. 5. Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain adalah pemain pertama yang menjaringkan hatrik pada kejohanan kali ini ketika kemenangan 4-1 Argentina ke atas Korea Selatan. Ia adalah hatrik ke-49 dalam sejarah Piala Dunia. 6. Sebanyak 101 gol dijaringkan daripada 48 perlawanan pada peringkat kumpulan dengan purata 2.10 bagi satu perlawanan. Gol ke-100 kejohanan dijaringkan oleh Andres Iniesta ketika Sepanyol mengalahkan Chile 2-1. 7. Dua pasukan - Algeria dan Honduras - pulang dengan fakta yang sama - tidak menjaringkan sebarang gol daripada tiga perlawanan kumpulan. 8. Pada kejohanan kali ini juga menghasilkan gol ke-2,100 dalam sejarah Piala Dunia - jaringan Javier Hernandez dari Mexico ketika mengalahkan Perancis 2-0 pada 17 Jun lalu. Ia adalah gol ke-37 kejohanan. 9. Jaringan Arjen Robben dari Belanda ketika mengalahkan Uruguay pada separuh akhir adalah juga gol ke-2,200 dalam sejarah Piala Dunia. Ia adalah gol ke-137 kejohanan. 10. Gol terpantas daripada sepak mula setakat ini adalah minit ketiga (2:38) oleh Thomas Mueller dari Jerman ketika mengatasi Argentina 4-0 pada suku akhir. - BERITA HARIAN |
Mufti Perak: ESQ tak bertentangan dengan Islam Posted: 09 Jul 2010 09:13 AM PDT Program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Beliau berkata program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme. Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. "Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini. Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam. Harussani berkata pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin juga dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia. "Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan (beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman liberalisme dan pluralisme," katanya. Beliau berkata jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk panel syariah dan syarikat itu melantik beberapa bekas mufti sebagai anggota panel itu. ESQ menubuhkan panel syariah dan akidah yang diketuai bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustafa Abdul Rahman untuk memantau, menasihat dan menambah baik modul latihannya. Harussani juga berkata beberapa mufti turut berjumpa dengan beberapa ulama Indonesia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program itu selain Majlis Ulama indonesia sendiri memperakui program itu baik. "Modul program (ESQ) baik dalam menyedarkan peserta kepada ketuhanan, Islam dan peradaban," katanya. Program itu telah disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, korporat, pegawai kerajaan serta tokoh-tokoh agama termasuk beberapa orang Mufti. - Bernama |
Mengukur Tahap Kecintaan Terhadap Rasulullah Posted: 09 Jul 2010 09:05 AM PDT Hadith: DIRIWAYATKAN daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:" Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:" Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:"Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!" Riwayat Muslim Huraian: 1. Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling berhak dicintai daripada sekelian makhluk di dunia ini. 2. Mencintai baginda tidak mencukupi hanya dengan menyatakan dengan lisan tetapi hendaklah dibuktikan dengan perbuatan dan amal seperti mempraktikkan sunnahnya dan melaksanakan segala ajarannya. 3. Orang yang sentiasa menjaga akhlaknya dan mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w di hari akhirat kelak akan mendapat ganjaran syafaat daripada baginda. 4. Kita hendaklah berusaha untuk sentiasa menyuburkan iman di jiwa dan mempastikan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh baginda. Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia |
Posted: 09 Jul 2010 08:49 AM PDT TBILISI - Pihak berkuasa negara Georgia semalam mendakwa terdapat seorang wanita yang menetap di sebuah kampung terpencil yang kini berusia 130 tahun. Seorang jurucakap pejabat pendaftaran kebangsaan berkata, wanita itu dikenali sebagai Antisa Khvichava (gambar) dari bahagian barat Georgia dilahirkan pada 8 Julai 1880. Menurutnya, umur itu menjadikan dia sebagai manusia tertua di dunia yang masih lagi hidup. Kakitangan-kakitangan pejabat pendaftaran itu mengunjungi Khvichava di kampung Sachire dan mereka ditunjukkan dengan dua dokumen era Soviet yang menyatakan tarikh lahir Antisa. Wanita tersebut mendakwa bersara sebagai pengutip daun teh dan jagung pada 1965 ketika berusia 85 tahun. Kumpulan Penyelidik Gerontologi di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa rasmi bagi membuat pengesahan manusia tertua dunia untuk Guinness World Records masih menyenaraikan individu tertua yang masih hidup setakat ini ialah Eugenie Blanchard dari Perancis berusia 114 tahun. - AP |
Posted: 09 Jul 2010 08:39 AM PDT Sebanyak 87 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari internet yang memberi kesan kuat terhadap emosi mereka. Kajian juga mendapati 46 peratus daripada golongan itu berasa marah selepas melihat kandungan dilayari, 45 peratus meluat, 42 peratus sedih, 40 peratus terkejut, 39 peratus berasa jijik dan 35 peratus takut. Rumusan itu diperoleh berdasarkan kajian Norton Online Family Report 2010 firma kajian pasaran bebas, The Leading Edge mewakili Symantec Corporation, membabitkan 452 dewasa berusia 18 tahun ke atas (termasuk 101 ibu bapa kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun dan 110 kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun. Kajian itu mendapati kanak-kanak meluangkan 19 jam melayari internet setiap minggu, sedangkan ibu bapa menganggap anak mereka hanya meluangkan masa itu 11 jam. Selain itu, 25 peratus kanak-kanak menganggap ibu bapa mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan ketika melayari internet, manakala 40 peratus ibu bapa yakin mengetahui dan hanya tiga peratus ibu bapa mengaku tidak tahu perkara itu. Sementara itu, kebanyakan ibu bapa yang mengetahui aktiviti anak mereka mengambil mudah anak berbual dengan orang asing di internet, sedangkan kajian menunjukkan 25 peratus daripada kanak-kanak melakukannya, sementara ibu bapa hanya menganggap ia berada pada tahap 12 peratus. Kira-kira 72 peratus kanak-kanak mengaku ada orang asing yang cuba menjadikan mereka sebagai rakan melalui laman sosial dan 27 peratus mengaku ada orang asing ingin bertemu mereka di dunia sebenar. Kajian itu juga menunjukkan 76 peratus kanak-kanak bersetuju ikut peraturan ibu bapa mengenai penggunaan internet dan 42 peratus mempercayai ibu bapa melindungi mereka daripada mangsa jenayah siber. - BERITA HARIAN |
Ujian simulasi UPSR, PMR guru.net.my Posted: 09 Jul 2010 08:20 AM PDT Beberapa minggu lagi, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berpeluang menguji kemampuan dan persediaan menghadapi peperiksaan menerusi ujian dalam talian pada protal pembelajaran Berita Harian, guru.net.my. Ujian dilaksanakan menerusi Peperiksaan Simulasi UPSR dan PMR akan dijalankan serentak di seluruh negara pada tarikh dan masa sama seluruh negara. Peperiksaan akan berjalan pada 24 Julai 2010 bagi peringkat UPSR, manakala 31 Julai, 2010 pula disediakan khusus untuk calon PMR. Selain menguji persediaan, pelajar berpeluang merebut hadiah wang tunai berjumlah RM12,000. Calon terbaik menerima RM3,000, kedua tertinggi (RM2,000) dan ketiga tertinggi menerima RM1,000 bagi setiap kategori peperiksaan. Pelajar boleh menyertai peperiksaan percubaan dengan melanggan pakej simulasi peperiksaan guru.net.my dengan bayaran RM60 |
Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab Posted: 09 Jul 2010 08:14 AM PDT Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab 1. Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu. 2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa): Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan); Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya : - Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. - Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan). - Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). - Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. - Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami. - Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`. - Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. - Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. - Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. - Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. - Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. - Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua. - Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. 3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah): Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S. 111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. 1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S. v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya. 1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya. x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. 4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga. 5. Selepas Mikraj Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam. (Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam.. SUMBER: http://fullfilth.blogspot.com |
Perpaduan: Kajian mendapati ada 2Malaysia Posted: 09 Jul 2010 08:09 AM PDT Kajian terbaru yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendedahkan apa yang sebenarnya bukan lagi rahsia - kumpulan bangsa-bangsa lain di Malaysia tidak sependapat berhubung dasar-dasar kerajaan. Sebahagian besar orang Melayu didapati menyokong polisi pro-bumiputera manakala kebanyakan masyarakat bukan Melayu pula sangsi dengan konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dalam kajian itu, sejumlah 2,104 orang Melayu dan bumiputera diminta memilih daripada dua kenyatan yang paling hampir mengambarkan pendapat mereka. - Melayu/bumiputera memerlukan bantuan agar mereka dapat maju ke depan, jadi program seperti DEB dialu-alukan (72 peratus menyokong kenyataan ini). - Bantuan seperti DEB tidak menolong Melayu/bumiputera dalam jangka panjang dan membuat mereka lebih bergantung kepada kerajaan (21 peratus). Majoriti (59 peratus) responden Melayu dan bumiputera percaya sebagai 'bangsa asli negara ini, Melayu dan bumiputera perlu diberikan hak khas dan keistimewaan". Pada masa yang sama, hanya 40 peratus responden berhubung soalan yang sama menyokong kenyataan "semua rakyat perlu diberikan hak yang sama di negara ini tanpa mengira latar belakang kaum dan agama". Soalan berhubung DEB adalah hanya untuk dijawap oleh responden Melayu/bumiputera manakala responden bukan Melayu/bumiputera ditanya senarai soalan lain berhubung 1Malaysia. Sebahagian besar responden bukan bumiputera tidak yakin denagn kempen 1Malaysia yang ditaja Najib sebagai jambatan untuk menghubungkan pelnbagai bangsa di negara ini demi memupuk perpaduan nasional. Daripada 1,036 bukan bumiputera yang dibanci, 46 peratus yakin 1Malaysia hanya "agenda politik untuk memancing undi bukan Melayu". Hanya 39 peratus responden bukan bumiputera berpendapat 1Malaysia adalah "usaha ikhlas untuk mentaukan semua bangsa di Malaysia". Sejumlah 16 peratus responden memilih tidak tahu atau tiadak rspon kepada soalan berkenaan. Kajian ini juga membuktikan bahawa bukan bumiputera masih tidak yakin kerajaan BN yang diterajui Umno bersedia menjalinkan hubungan antara kaum yang lebih erat. Ia juga mencadangkan bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) dan konsep 1Malaysia yang dipelopori najib sukar diterima oleh penduduk pelbagai kaum di negara ini. - MALAYSIAKINI |
Ada Penawar Bagi Mengawal Darah Tinggi Posted: 09 Jul 2010 05:06 AM PDT Bilangan penghidap penyakit darah tinggi yang berjumlah lebih satu bilion orang di seluruh dunia dijangka meningkat kepada 1.56 bilion orang menjelang 2025. Ia adalah satu masalah kesihatan tanpa petanda awal ataupun simptom, oleh itu lazimnya dirujuk sebagai 'pembunuh senyap'. Atas alasan ini, ramai yang tidak sedar akan kehadiran masalah kesihatan ini sehingga mereka berjumpa doktor. Hipertensi, istilah perubatan bagi tekanan darah tinggi, menunjukkan bahawa jantung berfungsi melampaui had lazim, menyebabkan tekanan tinggi pada jantung dan arteri. Pertubuhan Malaysia bagi Hipertensi mentakrif hipertensi sebagai keadaan di mana tekanan sistolik adalah lebih daripada 140 mmHg atau tekanan diastolik melampaui 90 mmHg. Secara tipikal, bacaan tekanan darah tinggi sebanyak tiga kali diperlukan dalam tempoh beberapa minggu untuk mendiagnosis keadaan ini. Darah tinggi boleh menyumbang kepada sakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan aterosklerosis. Jika keadaan ini tidak dirawat atau tidak diuruskan, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat lagi untuk bekalan darah beroksigen yang cukup ke organ dan tisu untuk memenuhi keperluan tubuh. EMPAT DARIPADA 10 ORANG ADA DARAH TINGGI Di Malaysia, empat daripada 10 warga dewasa mengalami tekanan darah tinggi dengan hanya 26 peratus daripada mereka berjaya mengawal tekanan darah masing-masing. Kos langsung dan tidak langsung dalam merawat tekanan darah tinggi masing-masing dianggarkan RM2,719 dan RM7,511 bagi setiap pesakit pada 2009. Selain daripada itu sehingga 85 peratus daripada pesakit mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal tekanan darah, yang menunjukkan perlunya rawatan kombinasi ubat yang berkesan. Ini jelas sekali satu masalah besar kesihatan umum. "Bagi para doktor, cabaran terbesar ialah mengawal tekanan darah dan mengekalkannya pada paras yang sesuai," kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sim Kui Hian semasa sidang media baru-baru ini. Dr Sim, yang juga pakar perunding kardiologi berkata situasi ini menunjukkan perlunya terapi baru bagi tekanan darah tinggi. MENGAWAL HIPERTENSI Hypertensi perlu dikawal sepanjang hayat seseorang dan boleh diuruskan melalui sedikit perubahan dalam gaya hidup atau terapi ubat-ubatan. Perubahan kecil dalam gaya hidup boleh membantu dalam menguruskan dengan berkesan paras tekanan darah seperti mengurangkan pengambilan garam dan alkohol, bersenam dan hentikan tabiat merokok. Tiada siapapun harus memandang remeh akan keadaan ini khasnya dengan simptom-simptom penyakit ini tidak ketara. Mereka dengan usia yang semakin meningkat dan daripada keluarga dengan sejarah penyakit itu perlu lebih berwaspada. Para pesakit dengan tekanan darah tinggi luarbiasa mungkin mengalami rasa pening atau pendarahan melalui hidung. Bagaimanapun, tanda-tanda ini secara tipikal tidak muncul sehingga tekanan darah mencapai paras yang boleh mengancam nyawa. TERAPI UBAT Mereka yang menghidapi hipertensi kini antara lain mempunyai pilihan dalam merawat masalah ini menggunakan ubat Rasilez (aliskiren) - satu ubat yang boleh mengekalkan tekanan dengan konsisten bagi tempoh lebih 24 jam. Ini satu pertimbangan rawatan yang penting, kerana banyak ubat bagi tekanan darah tinggi tidak mempunyai kesan berterusan, khasnya semasa awal pagi apabila tekanan darah meningkat. Pesakit mengalami kesan yang lebih baik dengan mengekalkan 91 peratus daripada kecekapan dalam mengawal tekanan darah walaupun jika terlepas satu dos ubat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd, Avinash Potnis. Ia berfungsi dengan menyekat RAAS (sistem renin angiotensin aldosterone), inovasi utama dalam merawat tekanan darah tinggi bagi lebih sedekad. "Novartis bangga untuk memperkenalkan ubat baru ini dalam memerangi penyakit yang mengancam dan semakin berleluasa ini," . - BERNAMA |
Posted: 09 Jul 2010 04:51 AM PDT JOHANNESBURG - Jurulatih Jerman, Joachim Loew melabel Sepanyol sebagai sebuah pasukan terhebat di dunia dan percaya skuad La Roja itu mampu menjulang gelaran juara Piala Dunia 2010. Awal pagi semalam, langkah anak-anak buah Loew tersekat pada peringkat separuh akhir apabila tewas 0-1 kepada juara Eropah tersebut. Meskipun terpaksa akur dengan kekalahan tersebut, Loew tetap menghamburkan pujian terhadap skuad La Roja sambil menegaskan, anak-anak buah Vincente del Bosque itu mampu menewaskan Belanda pada aksi final awal pagi Isnin ini. "Ya, mereka (Sepanyol) adalah pasukan terhebat di dunia. Pada 2008, Sepanyol menjulang gelaran Euro 2008 dengan aksi yang menakjubkan. "Mereka telah memenangi kesemua perlawanan penting sejak tiga tahun lalu dan buat masa ini, kualiti permainan mereka masih tidak berubah. "Saya yakin mereka akan menjuarai aksi final itu nanti kerana mereka mampu mengawal perlawanan sekiranya mereka mahu. "Sepanyol mendominasi semua perlawanan dan juga lawan mereka. Malah mereka juga membuktikan bahawa mereka mampu menewaskan sesiapa sahaja," kata Loew. Jerman tersungkur pada separuh akhir semalam hasil jari- ngan tonggak pertahanan Sepanyol, Carles Puyol pada minit ke-73 dan kini, mereka akan berdepan Uruguay dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat awal pagi Ahad ini. Loew mengakui kekalahan tersebut adalah suatu tamparan hebat buat anak-anak buahnya. "Saya hanya mampu melihat wajah mereka di dalam bilik persalinan. Mereka semua sungguh kecewa kerana gagal mencapai impian kami," kata Loew. "Sepanyol sebuah pasukan dengan memiliki acuan yang lengkap dan pemain mereka telah beraksi bersama sejak dua atau tiga tahun. "Sebaliknya, aksi kami pula agak tersekat di atas padang dan sukar sekali untuk dijelaskan apa yang berlaku. "Kami tidak ada keberanian dan keyakinan untuk bermain dengan rentak kami. Kami dipaksa bekerja keras untuk merampas bola. "Tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain saya. Kami telah berusaha sedaya upaya dan berlatih dengan keras. Cuma kami tidak cukup bagus pada malam ini (semalam)," katanya. Lahm kecewa gagal saingi Sepanyol Philipp Lahm ternyata kecewa selepas Jerman tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2010 awal pagi semalam. Sekalipun berjaya membenam England 4-1 pada pusingan kedua dan Argentina 4-0 dalam aksi suku akhir, Jerman dilihat bergelut untuk menyaingi kehebatan Sepanyol yang jelas menguasai tempo permainan. Gol kemenangan Sepanyol hadir pada minit ke-73 menerusi tandukan kencang pemain pertahanan, Carles Puyol. Sebelum aksi tersebut, skuad muda kendalian Joachim Loew itu menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final bertemu Belanda. Begitupun, Lahm berasa kecewa dengan kegagalan mereka untuk mempamerkan persembahan yang sama ketika menewaskan England dan Argentina. "Ia adalah sesuatu yang sukar buat kami malam ini (awal pagi semalam)," kata kapten Jerman itu. "Kami harus akui Sepanyol kini dianggap pasukan pilihan untuk muncul juara Piala Dunia 2010. Mereka sebuah pasukan yang hebat. "Kami tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Kami memperoleh peluang pada babak kedua tetapi kami gagal menyempurnakannya. "Ia adalah suatu kekecewaan yang besar. Kami mahu melakukan lebih daripada itu dan ia tidak berjaya." - AFP |
KTMB buka lima lagi stesen komuter baru di ibu kota Posted: 09 Jul 2010 04:02 AM PDT Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus komited meningkatkan taraf sistem pengangkutannya dengan membuka lima lagi stesen komuter baru melibatkan perjalanan dari Sentul ke Batu Caves bermula 31 Julai ini. Mulai tarikh itu, perjalanan bagi laluan itu diperluaskan lagi ke tiga lokasi baru iaitu di Batu Kentomen, Kampung Batu dan Taman Wahyu selain Sentul dan Batu Caves. Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Kaunter KTMB, Mohd. Hider Yusoff berkata, selepas ini, laluan yang sebelum ini dikenali sebagai laluan Pelabuhan Klang-Sentul akan dikenali sebagai laluan Pelabuhan Klang-Batu Caves. Beliau berkata, waktu perjalanan dari Sentul-Batu Caves dengan jarak 7.5 kilometer hanya mengambil masa 15 minit berbanding 30 minit sebelum ini. Mengulas penambahan stesen komuter, Mohd. Hider berkata, ia merupakan usaha KTMB dalam memberi perkhidmatan yang terbaik. "Populasi dan kepadatan kawasan-kawasan di situ juga agak besar di samping kedudukannya yang strategik. "Justeru, kami berpendapat, pembinaan lima stesen itu mampu menampung keperluan penumpang di sana tanpa perlu bersesak-sesak,'' katanya ketika ditemui Kosmo! semalam. - KOSMO! |
You are subscribed to email updates from MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |