Adsense

Selasa, 29 Jun 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Awan berbentuk jenazah di Kota Bharu

Posted: 29 Jun 2010 08:58 AM PDT


KOTA BHARU - Dua anggota tentera di sini terkejut apabila terlihat kepulan awan yang berbentuk seperti jenazah yang dikafan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra awal pagi semalam.

Kedua-dua mereka, Penolong Pengawal Gudang Peluru, Koperal Mahiran Che Taib, 33, dan Koperal Suhaimi Mahsan, 38, dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di sini mendakwa melihat objek itu pada pukul 6.40 pagi.

Menurut Mahiran, dia melihat kepulan awan berbentuk aneh itu selepas menunaikan sembahyang Subuh di surau kem tersebut.

"Ketika itu saya berjalan keluar dari surau untuk meneruskan tugas di balai pengawal dan menjenguk rakan yang bertugas di menara kawalan di kem tersebut.

"Kemudian rakan saya (Suhaimi) tunjuk isyarat menggunakan tangan supaya melihat ke langit kerana terdapat objek berbentuk jenazah setinggi lebih satu meter dan ia seolah-olah sedang bergerak turun dari langit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, Mahiran pula berkata, kepulan awan yang berbentuk seperti kalimah syahadah juga kelihatan di atas objek tersebut.

- KOSMO!

World Cup FIFA 2010 Result (Second Round) - 29 June 2010

Posted: 29 Jun 2010 08:55 AM PDT

Paraguay 0 - 0 Japan
(Game continue in the extra time 15 + 15 minutes)

Bekalan gula ditambah 15 peratus lagi

Posted: 29 Jun 2010 08:52 AM PDT

Kerajaan akan menambah 15 peratus lagi bekalan gula kepada pemborong dan peruncit di seluruh negara mulai Khamis ini sehingga September, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penambahan stok bekalan itu bagi menghadapi permintaan yang tinggi dan menampung keperluan di musim perayaan.

"Kita anggar tambahan bekalan ini cukup untuk menampung keperluan khususnya menjelang bulan puasa ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada awal bulan ini, kementerian menambah bekalan gula sebanyak lima peratus bagi menampung keperluan semasa.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi, kerajaan melantik persatuan berkaitan untuk membekal dan mengagihkan bekalan gula kepada anggotanya.

"Misalnya kita benarkan Kesatuan Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk mewujudkan syarikat pemborong gula, untuk diagihkan kepada ahlinya. Bagi kedai serbaguna 7Eleven pula, kita bekalkan secara terus kepada mereka," katanya.

Ismail Sabri juga meminta pihak yang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan gula di kawasan mereka supaya membuat laporan kepada kementerian itu supaya tindakan segera boleh diambil.

Beliau berkata, kementerian juga menyediakan Bilik Gerakan Isu Gula yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

"Jika ada masalah gula, laporkan kepada jabatan berdekatan supaya kita boleh ambil tindakan, bukannya berbincang sama sendiri atau pergi kepada media," katanya.

Menjawab persoalan mengenai subsidi barang keperluan, Ismail Sabri berkata subsidi kerajaan bagi barang keperluan seperti gula bagi tempoh Januari hingga bulan lalu adalah sebanyak RM408 juta.

"Bagi tepung gandum pula sebanyak RM39 juta dalam tempoh masa yang sama manakala subsidi untuk produk petroleum mencecah RM3.69 bilion bagi tempoh Januari hingga April 2010.

"Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap kesusahan yang bakal dihadapi rakyat sekiranya tiada bantuan subsidi diperuntukkan untuk barang-barang berkenaan," katanya.

- Bernama

Laman web cari pembantu rumah

Posted: 29 Jun 2010 08:46 AM PDT

Orang ramai yang mempunyai kesukaran mendapatkan pembantu rumah atau ingin menawarkan khidmat dalam sektor itu kini boleh berbuat demikian menerusi lamanweb www.oranggaji.com

Laman web itu, yang dibangunkan oleh Homeneed Services Sdn Bhd, memberi peluang kepada bakal majikan mengiklankan perkhidmatan yang mereka inginkan manakala pemberi khidmat pula boleh mengiklankan khidmat yang mereka tawarkan.

Pengarah Urusannya Nazari Zain berkata perkhidmatan ini terbuka kepada lelaki atau perempuan berumur 18 tahun ke atas dan tiada bayaran dikenakan.

"Kami percaya ramai penganggur seperti pelajar lepasan sekolah, institusi pengajian tinggi boleh mendapat manfaat daripada usaha ini.

"Suri rumah dan ibu tunggal juga dipelawa kerana khidmat boleh diberikan secara datang dan balik pada hari dan masa yang dipilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata laman web itu merupakan satu alternatif untuk membantu majikan yang menghadapi masalah mendapatkan pembantu rumah bagi menjaga kanak-kanak, menjaga warga emas atau yang sakit.

Nazari berkata laman web itu turut menawarkan khidmat seperti tukang kebun, pemandu, membayar bil, bidan, membasuh tangki air dan menjaga wanita lepas bersalin.

Bagi pemberi khidmat pula, beliau berkata mereka boleh mengiklankan jenis khidmat yang ingin mereka tawarkan beserta bayaran yang dipohon sama ada mengikut jam, sehari atau bulan.

"Laman web ini kian diminati oleh majikan kerana kami amat fokus kepada membantu mencari pengurus untuk keluarga di Malaysia tambah-tambah lagi semakin ramai yang mencari rakyat tempatan untuk diberi kerja," katanya.

- Bernama

Amaran Khaled: Jangan Buli Pelajar Baru

Posted: 29 Jun 2010 08:44 AM PDT

Semua pentadbiran institusi pengajian tinggi diarahkan supaya memastikan tidak berlaku kejadian buli atau ragging di tempat masing-masing terutamanya menjelang kemasukan pelajar baru tidak lama lagi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan, minggu orientasi yang akan dikendalikan oleh pelajar senior mesti dipantau oleh pengurusan universiti bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku nanti.

"Berdasarkan kejadian di Maktab Tentera Diraja (MTD) baru-baru ini, kita tidak akan bertolak ansur dengan apa juga unsur ragging dan berharap ia tidak akan berlaku semasa minggu suai kenal. Ia mesti dielakkan.

"Pihak pentadbiran universiti mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan perkara itu tidak berlaku," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khaled berkata, tujuan utama orientasi ialah untuk memperkenalkan suasana baru mereka, bukan membuli pelajar-pelajar baru terbabit.

"Semua mesti sedar dengan tanggungjawab ini," jelas beliau.

Beliau memberi amaran berkenaan beberapa hari sebelum bermulanya minggu orientasi di semua intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 4 Julai ini.

Lebih 40,000 pelajar baru dijangkakan memulakan pengajian ijazah mereka di 20 IPTA di seluruh negara tahun ini iaitu 0.38 peratus kenaikan berbanding dengan kemasukan tahun lalu.

Sementara beribu-ribu pelajar akan mendaftar di pelbagai pusat pengajian tinggi swasta.

Khamis lalu Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai dibuli dan didera meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri.

Sehari selepas itu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima maktab itu itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meminta institusi akademik mengharamkan ragging sepenuhnya dan bertindak segera ke atas mana-mana pelajar terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pengetua dan warden asrama perlu bertanggungjawab jika berlaku kejadian buli di tempat mereka.

Katanya, mereka perlu memberi penerangan kepada pelajar-pelajar senior sebelum bermulanya semester baru dan menggariskan peraturan bagi mencegah mereka membuli pelajar baru.

"Mereka perlu beritahu pelajar apa yang boleh dan tidak sebelum bermulanya semester baru.

"Jika berlaku buli, mereka perlu memutuskan apakah hukuman yang sesuai kepada pelajar yang tidak patuh berdasarkan kesesuaian situasi," katanya.

- MSTAR

Pengangguran: Majikan Jangan Hanya Utamakan Ijazah

Posted: 29 Jun 2010 08:43 AM PDT

Masalah pengangguran di kalangan graduan di negara ini mampu diselesaikan sekiranya majikan tidak hanya menumpukan kepada kelulusan yang dimiliki oleh siswazah di negara ini.

Sebaliknya, majikan perlu memberikan keutamaan kepada produktiviti yang dapat dihasilkan disamping kesesuaian calon itu bagi sesuatu pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, berkata masalah berpunca daripada bidang pengajian yang diambil oleh para graduan kerana kursus berkenaan bukan daripada bidang yang mempunyai permintaan yang tinggi daripada pasaran.

"Masalah itu sedang diatasi dengan pengambilan graduan yang tidak hanya ditumpu kepada kelulusan calon, tetapi lebih kepada produktiviti dan kesesuaian calon," katanya menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang bertanya mengenai jumlah dan punca graduan menganggur di negara ini.

Subramaniam berkata, mengikut statistik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), jumlah siswazah yang gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian adalah kira-kira 30,000 orang.

Sehubungan itu, beliau berkata bagi meningkatkan keboleh pekerjaan graduan, kementerian melalui Pembangunan Sumber Manusia sudah melaksanakan Program Kebolehpekerjaan Graduan dengan memberi nilai tambah sebelum memasuki pasaran pekerjaan terutama dalam bidang latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diperlukan bagi perkhidmatan berpendapatan tinggi.

"Seramai 1,000 graduan akan dilatih di bawah skim ini dengan bantuan kewangan berjumlah RM10.5 juta," katanya.

Selain itu, Subramaniam berkata, beberapa program khas turut diadakan oleh kementerian lain termasuk Program Peningkatan Skim Perindustrian oleh Kementerian Kewangan, Skim Pengurusan Kebolehpekerjaan Graduan (GEMS) oleh Khazanah Nasional Berhad dan Program Penyumberan Proses Perniagaan dan Program Latihan SME-Universiti oleh KPT.

- MSTAR

Adakah Pemandu Takut Dengan Saman Lalu Lintas?

Posted: 29 Jun 2010 08:40 AM PDT

Pemandu yang ingkar terhadap undang-undang lalu lintas sudah tentu biasa dengan perkataan 'saman trafik'.

Kenapa perlu pihak berkuasa mengeluarkan saman itu terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Jawapannya cukup mudah.

Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), saman dan denda kesalahan lalu lintas mempunyai peranan sendiri.

"Ia untuk memastikan pemanduan teratur dan berhemah. Satu lagi objektifnya ialah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya".

STATISTIK Pemandu yang melanggar peraturan boleh dikenakan saman atau denda oleh polis, pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan warden trafik pihak berkuasa tempatan.

Tanpa saman terhadap pesalah lalu lintas, sudah tentu angka kemalangan di seluruh negara akan meningkat dan ini boleh dibuktikan melalui statistik.

Menurut polis dan JKJR, terdapat 6,218 kemalangan maut pada tahun 2009, yang paling tinggi dalam masa sembilan tahun dari tahun 2000.

Bagi tahun 2000, terdapat 5,440 kemalangan maut diikuti jumlah l5,230 bagi tahun 2001.

Bagi tahun 2002 pula, jumlah kemalangan ialah 5,378 diikuti dengan 5,634 bagi 2003, 5,674 (2004), 5,604 (2005), 5,711 (2006), 5,672(2007) dan 5,952 (2008).

Bagi mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, jumlah untuk tahun 2009 merupakan yang paling tinggi iaitu 6,745. Selain tahun 2009, rata-rata angka kematian disebabkan kemalangan jalan raya adalah tinggi dari tahun 2000 hingga 2008.

Bagi tahun 2000, jumlah kematian ialah 6,035 diikuti 5,854 bagi tahun selepasnya. Pada tahun 5,891 (2002), 6,286 (2003), 6,228 (2004), 6,188 (2005), 6,287 (2006), 6,282 (2007) dan 6,527 pada 2008.

Bagi tahun 2009, Johor mencatat jumlah kematian paling tinggi dalam kemalangan iaitu 1,060 diikuti Selangor (976), Perak (829), Kedah (550), Pahang (512), Kelantan (453), Pulau Pinang (395), Negeri Sembilan (377), Terengganu (348), Sabah (345), Sarawak (332), Melaka (248), Kuala Lumpur (230) dan Perlis (90).

SAMAN Menurut aktivis sosial Fatimah Mansur, sesetengah pemandu Malaysia tidak peduli jika mereka dikenakan denda bagi kesalahan jalan raya.

"Kadang kala, pemandu kenderaan tidak hirau jika mereka melanggar had laju dan juga melakukan kesalahan lalu lintas yang lain. Mereka tidak kisah sama ada kena saman atau memandu dengan membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

"Bagi yang lain pula, apalah RM30 atau lebih untuk bayar saman lalu lintas jika mereka boleh membelanjakan lebih daripada RM200 bila makan di restoran eksklusif," kata beliau.

Menurut Fatimah, sikap pemandu juga merupakan faktor yang penting.

"Sesetengah mereka yang dikenakan saman lalu lintas sanggup tunggu hingga ke hari erakhir untuk menyelesaikan saman mereka walaupun mereka punya masa dan wang untuk menjelaskannya lebih awal," kata beliau.

OPS SIKAP Pihak polis menjalankan sebanyak 15 'Ops Sikap' di antara tahun 2001 dan 2008.

(Ops Sikap ialah operasi keselamatan trafik yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi menjamin keselamatan jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina).

Dalam Ops Sikap 1 yang dijalankan dari 9 Disember hingga 23 Disember 2001, terdapat 9,014 kemalangan dengan 155 kematian. Dalam setiap Ops Sikap yang selanjutnya angka kematian tidak pernah turun dari tahap 150 kecuali pada Ops Sikap XIV (operasi khas) yang mana kematian cuma 22.

Dalam Ops Sikap II (5 Februari-19 Februari 2002) terdapat 183 kematian.

Dalam operasi Ops Sikap selanjutnya yang dijalankan pada musim perayaan dari hujung 2002 hingga awal Januari 2008 (Ops Sikap III hingga Ops Sikap XV), jumlah kematian dalam kemalangan masing-masing 253, 153, 207, 169, 173, 161, 211, 205, 213, 192, 202, 22 dan 192. KENAPA LEBIH BANYAK KEMALANGAN Menurut polis, insiden kemalangan semasa 'balik kampung' di musim perayaan lebih tinggi.

"Dengan itu, maka tinggilah juga risiko terjadinya kemalangan jalan raya," kata seorang pegawai polis trafik.

Menurut statistik JKJR dan polis, jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di jalan persekutuan dan bandaran.

"Hanya 20 peratus mereka yang mati ialah yang dalam kumpulan 'balik kampung' di musim perayaan. Selebihnya merupakan penduduk tempatan di kawasan masing-masing," katanya.

Kenapa sedemikian?

"Biasanya penduduk setempat seperti di kampung-kampung tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan terutama penunggang dan pembonceng motosikal.

"Anda pasti akan terlihat mereka menaiki motosikal tanpa topi keledar dan anak-anak kecil serta wanita berusia menunggang motosikal. Sudah tentu mereka tidak mempunyai lesen.

"Dulu, jika mereka langgar lampu isyarat merah, mereka tidak akan langgar sesiapa tapi bila kenderaan mula banyak balik kampung, sudah tentu akan terjadi kemalangan jika pemandu masih gagal menghormati undang-undang jalan raya," tambah beliau.

- BERNAMA

Pos Malaysia Keluar Setem Definitif Siri Taman Bunga Kebangsaan

Posted: 29 Jun 2010 08:39 AM PDT


Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi baru setem-setem definitif siri taman bunga kebangsaan, Khamis ini sempena tarif baru pos.

Penolong Kanan Pengurus Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah berkata setem-setem yang bertemakan bunga-bungaan taman dijual dengan harga dari 30sen hingga RM1 sekeping.

"Pilihan setem itu terbahagi kepada lapan jenis bunga-bungaan seperti Kembang Pagi, Bunga Kertas, Bunga Raya dan dua reka bentuk baru, Bunga Tasbih (Canana oriental) dan Bunga Cempaka (Allamanda cathartica)," katanya semasa previu media mengenai setem-setem itu di Galeri Setem di Kompleks Dayabumi di sini hari ini.

Katanya setem-setem definitif itu dikeluarkan dalam siri kebangsaan dan negeri menjadikannya setem definitif kebangsaan keenam.

"Pos Malaysia juga akan menjual setem-setem hari pertama khas mengandungi sampul surat dengan enam jenis setem di atasnya. 40,000 set setem ini hanya boleh didapati pada hari pertama dan berharga RM7.10 setiap satu," katanya. Bagaimanapun, baki setem-setem bagi koleksi terdahulu (siri burung) akan terus dijual dan tidak akan dicetak semula.

Diyana berkata respons daripada para pengumpul masih menggalakkan sehingga hari ini.

"Ramai beranggapan bahawa setem sudah tidak relevan lagi tapi tidak bagi para pengumpul kerana mereka sentiasa bersemangat untuk mendapatkan koleksi baru," katanya.

Pengeluaran koleksi setem baru adalah bagi memeriahkan Malaysia sebagai syurga bagi pemandangan menarik dan daya tarikan.

"Bunga-bungaan yang cantik dapat menyentuh perasaan keakraban di kalangan rakyat Malaysia kerana bunga-bungaan ini biasanya kelihatan di taman-taman awam," kata Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan.

Adalah dianggarkan bahawa lebih 15,000 spesies pokok bunga tumbuh di Malaysia termasuk kira-kira 2,000 jenis pokok seperti palma dan orkid.

- BERNAMA

Bumbung stadium runtuh belum dibersih

Posted: 29 Jun 2010 08:38 AM PDT


Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, masih belum dijalankan.

Sehingga ini, beliau berkata masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Saya tak tahulah, JKR yang buat penilaian dan mengeluarkan tender. Saya difahamkan ramai sangat yang masuk untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan itu sehingga 40 kontraktor.

"JKR ada penilaiannya sendiri melalui lembaga tendernya. Kalau saya, senang saja pilih yang murah untuk jimat kos. Nak nilai apa yang lama sangat sehingga lima dan enam bulan belum selesai lagi. Sayapun rasa malu juga," katanya selepas majlis penyerahan E-Book kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajan negeri April lepas.

Stadium berharga kira-kira RM292 juta itu runtuh setahun selepas ia siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Ahmad berkata pada September ini, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan program perhimpunan 40,000 remaja seluruh Terengganu di stadium itu dan sehubungan itu, beliau berharap kerja-kerja pembersihan dilakukan secepat mungkin.

"Saya dah beritahu supaya buat cepat. Kalau mereka buat kerja betul-betul dalam tempoh sebulan boleh siap dan boleh digunakan untuk perhimpunan remaja berkenaan," katanya.

Jika kerja-kerja pembersihan runtuhan itu belum juga dilakukan, Ahmad berkata program perhimpunan remaja "terpaksa diadakan di luar stadium itu".

- Bernama

Jet Israel dilarang terbang di Turki

Posted: 29 Jun 2010 08:29 AM PDT

ANKARA - Turki menutup ruang udaranya daripada digunakan sejumlah pesawat tentera Israel, laporan agensi berita Anatolia semalam.

Tindakan itu dibuat ekoran sebuah kapal bantuan kemanusiaan milik Turki ke Gaza diserang oleh anggota-anggota komando Israel mengakibatkan sembilan orang warga Turki terbunuh pada 31 Mei lalu. Namun larangan itu tidak melibatkan pesawat komersial.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat pengumuman tersebut semasa menghadiri persidangan Kumpulan 20 (G20) di Toronto, Kanada. Pada Ahad lalu, akhbar Israel, Yediot Ahronot melaporkan bahawa Turki tidak membenarkan sebuah pesawat yang membawa 100 anggota tentera Israel menuju ke Auschwitz, Poland melalui ruang udaranya.

Pesawat itu dipaksa membuat lencongan dan tentera Israel enggan memberi maklum balas secara rasmi kerana tidak mahu memburukkan hubungan dua hala yang kini tegang.

Tiada komen diperoleh daripada pejabat Perdana Menteri Israel berhubung kenyataan Erdogan itu.

Turki yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Israel turut memanggil pulang dutanya di Israel selain membatalkan latihan ketenteraan dengan negara berkenaan.

Ia turut menegaskan akan menghantar dutanya dan meningkatkan hubungan ketenteraan dan perdagangan jika Israel memohon maaf berhubung isu berkenaan.

- AP

Gadis 21 tahun jadi doktor

Posted: 29 Jun 2010 08:22 AM PDT


LONDON - Rachael Faye Hill yang baru berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila dia menjadi doktor paling muda di Britain selepas memperoleh ijazah sarjana muda bidang perubatan daripada Universiti Manchester pada 14 Julai depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachael 'merampas' gelaran itu daripada Heenal Raichura yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti St. George pada tahun 2008 ketika berusia 22 tahun.

Kebanyakan institusi pendidikan tidak akan menerima pelajar memasuki bidang perubatan sehingga pemohon berusia 18 tahun.

Tempoh pengajian pula memakan masa selama enam tahun menyebabkan graduan bidang itu biasanya berusia 23 atau 24 tahun.

Namun, Rachael dibenarkan untuk mengikuti pengajian perubatan hanya beberapa minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-17.

Tidak lama lagi, Rachael akan memulakan latihan selama dua tahun di Hospital Royal Preston.

"Ibu saya merupakan seorang doktor veterinar. Tetapi saya rasa lebih sesuai membantu manusia. Akhirnya saya memohon menyertai sekolah perubatan di England ketika berusia 15 tahun," jelasnya.

Pada mulanya, Rachael belajar di Kolej Colegio Hispano Britanico di Lanzarote sebelum guru-gurunya mengenal pasti potensi dan membenarkannya untuk 'lompat kelas' selama beberapa tahun.

- Agensi

Sultan Johor cipta sejarah mendapat lesen memandu keretapi

Posted: 29 Jun 2010 08:20 AM PDT


GEMAS: "Terima kasih cikgu" Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan sebaik menerima Lesen Kelas 26 di Stesen Gemas di sini semalam.

Baginda diberikan lesen setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat turn table sebagai salah satu syarat mendapat lesen pada hari terakhir Kembara Mahkota Johor (KMJ) semalam.

Syarat itu berjaya disempurnakan oleh Sultan Ibrahim dalam tempoh 10 minit.

Selain lesen Kelas 26, baginda juga menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai sultan pertama memandu kereta api secara rasmi.

Sijil pengiktirafan itu diserahkan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.

Baginda dalam titah ucapannya berasa lega dan bangga kerana berjaya menyempurnakan KMJ 2010 dengan memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

"Saya lega, walaupun sukar memandu kereta api kerana tiada stereng, saya syukur semuanya selamat. Yang penting dapat jumpa rakyat," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan permaisuri, Raja Zarith Sofiah ibni Almarhum Sultan Idris bersama anakanda-anakanda baginda iaitu Tunku Aminah dan Tunku Idris bertolak dari Stesen Segamat pada pukul 8 pagi ke Gemas.

Selepas menyempurnakan syarat dan mendengar taklimat tertutup mengenai Projek Landasan Berkembar Elektrik Seremban-Gemas, baginda dan rombongan kemudiannya bertolak ke Stesen Bekok untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin sebelum ke Stesen Layang-Layang.

Di Layang-Layang, baginda melawat pameran perhiasan ikan di Aqualeader Aquarium Corp. Sdn. Bhd. di Kampung Tengah sebelum bertolak ke JB Sentral untuk upacara penutup pada pukul 5 petang.

- KOSMO!

Kadar jenayah babit pelajar, kanak-kanak meningkat

Posted: 29 Jun 2010 08:15 AM PDT

Walaupun kadar indeks jenayah negara menunjukkan penurunan ketara iaitu 15.1 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini, namun perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak dan pelajar termasuk jenayah berat seperti rogol dan bunuh amat membimbangkan.

Lebih mengejutkan, ada kanak-kanak yang terjebak dalam jenayah seawal usia tujuh tahun.

Statistik Bukit Aman mendedahkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini, kanak-kanak dan pelajar serta remaja tidak bersekolah berusia 7 hingga 18 tahun terbabit dalam 18 kes bunuh, 198 (rogol), dua (rompak berkumpulan bersenjata api), 185 (rompak berkumpulan tanpa senjata), 19 (rompakan) dan 141 (mendatangkan kecederaan).

Mereka turut terbabit dalam 382 kes kecurian, 584 kes curi kenderaan termasuk 558 membabitkan motosikal, 28 (ragut), 17 (pecah rumah siang hari) dan 232 (pecah rumah malam hari).

Dalam tempoh sama tahun lalu, mereka terbabit dalam 13 kes bunuh, 181 (rogol), tujuh (rompak berkumpulan bersenjata api), 74 (rompak berkumpulan tanpa senjata api); 132 (mendatangkan kecederaan), 324 (curi), 385 (curi kenderaan), 25 (ragut), 28 (pecah rumah malam hari) dan 158 (pecah rumah siang hari).

Secara keseluruhannya, mereka yang berusia tujuh hingga 18 tahun terbabit dalam 1,817 kes jenayah dengan 604 daripadanya adalah murid dan pelajar sekolah sepanjang Januari hingga April tahun ini, berbanding 1,343 kes membabitkan 453 murid dan pelajar bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 50 kes membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, 507 kes (13 hingga 15 tahun) dan 1,360 kes (16 hingga 18 tahun) dengan 42 kes dilakukan perempuan.
Mengulas mengenainya, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis memerlukan bantuan ibu bapa, pentadbiran sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membendung jenayah kanak-kanak dan remaja yang dilihat semakin meningkat.

Beliau juga mencadangkan supaya satu kajian ilmiah dibuat secara bersama oleh semua pihak berkaitan bagi mengenalpasti punca masalah itu dan cara menanganinya.

Bagi saya, masalah ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada polis. Tanpa bantuan masyarakat kita akan gagal dalam mengatasi masalah ini, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perangkaan itu memberi isyarat betapa seriusnya masalah sosial dan perlakuan jenayah di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Bagi saya, faktor utama yang mendorong peningkatan kadar jenayah dan salah laku remaja ialah kurangnya pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap pergerakan dan aktiviti anak, selain pengaruh filem, televisyen dan internet, katanya.

- BERITA HARIAN

Khidmat baru tempahan servis Perodua

Posted: 29 Jun 2010 08:09 AM PDT

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mewujudkan perkhidmatan baru dikenali Drop Box Services di semua 39 cawangan terpilih seluruh negara bagi memudahkan pengguna membuat tempahan servis kenderaan, bermula 15 Julai ini.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata menerusi kemudahan itu, pemilik kenderaan yang mengalami masalah atau mahu membaiki kenderaan boleh datang terus di cawangan berkenaan meskipun selepas waktu pejabat, ketika cuti hujung minggu dan cuti umum.

Perkhidmatan ini khas untuk kenderaan yang mengalami masalah pada hujung minggu ataupun cuti umum dan pemiliknya perlu menyertakan nama dan nombor telefon masing-masing. Petugas akan menyiapkan kenderaan berkenaan keesokan hari dan Perodua akan menghubungi pemilik selepas siap dibaiki.

Langkah itu juga adalah tanggungjawab sosial Perodua kepada pengguna dan berharap ia akan memuaskan semua pengguna.

Buat masa ini, kita hanya melakukannya di cawangan Perodua saja, tetapi jika ia berjaya, kami akan memperluaskannya kepada pusat jualan kenderaan Perodua yang lain, katanya pada program Perodua Eco-Challenge Race 2010, yang berlangsung di Litar Motor Antarabangsa Melaka (MIMC), di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Aminar Rashid berkata, Perodua sudah memperuntukkan RM500 juta bagi memperkenalkan Program Teknikal Perodua Remaja khusus untuk pelajar daripada keluarga kurang mampu tetapi berminat dalam bidang teknikal dan automotif.

Beliau berkata, buat permulaan, pihaknya menyediakan 40 tempat untuk pelajar bertuah ini mempelajari segala aspek dalam bidang berkenaan selama enam bulan di pusat latihan Perodua.

Perodua berharap, menerusi program ini, ia akan dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kelebihan dalam bidang teknikal dan berpeluang dimasukkan dalam bahagian pembuatan ataupun bengkel kami, katanya.

- BERITA HARIAN

Peranan wanita bangunkan ummah tetap penting

Posted: 29 Jun 2010 08:08 AM PDT

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

ALLAH menjadikan manusia berpasangan, maka sewajarnya lelaki dan perempuan berganding bahu melaksanakan tanggungjawab serta usaha membangunkan kehidupan kerana masing-masing memiliki kemampuan memberi sumbangan demi kebaikan hidup semua.

Firman Allah yang bermaksud: Dan sebahagian daripada tanda kebesaran Allah ialah menjadikan bagi kamu pasangan supaya kamu hidup tenang dan dapat memupuk rasa kasih sayang antara satu sama lain. (Surah ar-Rum, ayat 21).

Melihat besarnya peranan manusia sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah, bukan saja lelaki tetapi wanita turut sama berperanan mencapai misi dan visi membina kemajuan serta pembangunan ummah.

Lantaran itu, wanita turut menceburi pelbagai bidang mencabar yang sebelum ini dimonopoli lelaki seperti juruterbang, polis, tentera, ahli bomba, pemandu kenderaan awam dan bidang profesional lain yang mencabar kemampuan golongan hawa.

Tindakan memilih kerjaya seperti itu bukan bertujuan untuk menandingi atau bersaing dengan lelaki, tetapi bersama berjuang membangunkan diri, bangsa dan negara.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah orang yang memuliakan wanita itu kecuali orang yang mulia dan tidaklah menghina wanita itu kecuali orang yang hina pula. (Hadis riwayat Ibnu Asyakir)

Begitu juga dengan lelaki, kini tidak timbul lagi fitnah liar apabila ramai yang menceburi bidang selama ini dikuasai wanita seperti jahit menjahit, andaman dan masakan.
Kedatangan Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman antara lain bertujuan mengembalikan semula peranan wanita sebagai kelompok begitu bermakna dalam menyumbangkan bakti untuk pembangunan ummah.

Jelas Baginda SAW dalam sabda yang bermaksud: Tiga perkara yang dapat memberi kebahagiaan anak Adam ialah wanita yang baik, tempat tinggal baik dan selesa dan kenderaan yang selamat. Tiga perkara boleh merosakkan hidup anak Adam ialah wanita yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan tidak sempurna.

Wanita turut menyumbang membangunkan ummah dan dalam perkara membabitkan pembangunan rohani, wanita tidak dikecualikan daripada memenuhi tanggungjawab diri kepada Allah, diri sendiri, keluarga dan ahli masyarakat.

Islam tidak membezakan lelaki dan wanita dalam melakukan ibadat kerana apa yang wajib dan sunat bagi lelaki itulah juga hakikatnya kepada wanita. Begitulah terhadap perkara yang harus, haram dan makruh.

Allah SWT menerangkan hal ini dalam sabda yang bermaksud: Barang siapa yang beramal salih daripada lelaki dan wanita dan beriman kepada Allah, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan tidak akan dianiayai sedikit pun (tidak akan dikurangkan balasan pahalanya). (Surah an-Nisa, ayat 124).

Namun, dalam perkara tertentu antaranya menjadi menjadi saksi, wali dan imam, tidak dipertanggungjawabkan kepada wanita. Bagaimanapun, ulama bersetuju bahawa kebanyakan seruan adalah untuk lelaki dan perempuan.

Wanita memainkan peranan cukup besar dalam pembangunan keluarga. Kebahagiaan rumah tangga adalah berkat kesungguhan dan kekuatan ikatan terjalin antara isteri, suami serta anak sebagai amanah Allah.

Seorang suami tidak akan mampu memikul tugas menjaga dan mendidik anak tanpa bantuan isteri. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Kahwinilah wanita itu kerana mereka akan mendatangkan harta kepada kamu.

Selain memberi sokongan moral kepada suami meneruskan sesuatu kerjaya menjadi punca rezeki keluarga, isteri turut berperanan menjadi teman dan sahabat paling akrab kepada anak. Sebahagian besar isteri turut menjadi tulang belakang bersama menghasilkan pendapatan keluarga.

Wanita sentiasa menjadi pelengkap dalam apa juga usaha dirangka dan dilaksanakan. Ini membawa makna dalam banyak perkara memerlukan tenaga atau pembabitan lelaki, kudrat wanita sentiasa diperlukan bagi memenuhi ruang kosong supaya setiap tindakan menjadi padu.

Pada zaman Rasulullah SAW, wanita terutama isteri Baginda kerap kali menjadi jurucakap atau wakil untuk menyampaikan hukum Allah sama ada kepada kaum lelaki dan wanita. Di samping itu, mereka membantu tentera di medan perang.

Rabiah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kami ikut serta dalam peperangan bersama Nabi Muhammad, kami memberi minum kepada satu kaum dan kami berkhidmat kepada mereka dan kami membawa pesakit dan orang terkorban ke Madinah. (Hadir riwayat Bukhari)

Ketika hijrah, Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur daripada pihak kafir Quraisy, Asma binti Abu Bakar menghantar bekalan makanan, menjaga keamanan Rasulullah dan bapanya serta menjadi perisik bagi mengetahui rancangan jahat Quraisy.

Begitulah juga mutakhir ini, kaum wanita memainkan peranan sama penting dengan lelaki melaksanakan apa juga kerja demi pembangunan diri dan bangsa seluruhnya.

Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Muslim lelaki dan wanita, mukmin lelaki dan wanita, lelaki yang taat dan wanita yang taat, lelaki yang benar dan perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan wanita yang sabar, lelaki yang khusyuk dan wanita yang khusyuk, lelaki yang bersedekah dan wanita yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan wanita yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatan dan wanita yang menjaga kehormatan diri, lelaki yang berzikir dan perempuan yang berzikir mengingati Allah akan disediakan mereka keampunan dan pahala yang banyak. (Surah al-Ahzab, ayat 35)

- BERITA HARIAN

Sistem peperiksaan perlu dirombak

Posted: 29 Jun 2010 07:53 AM PDT

Oleh AZMY MOHAMED

Langkah memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, merupakan satu revolusi dalam sistem pendidikan negara kita. Ia akan mengubah banyak perkara, dari sudut akademik, ekonomi dan sosial secara drastik dan menyeluruh.

Perubahan ini perlu dan wajar disegerakan kerana sistem yang berorientasikan peperiksaan sedia ada sudah mencecah tahap kronik. Kebimbangan ibu bapa terhadap prestasi pelajaran anak-anak semakin melampau. Murid seawal darjah satu sudah dihantar ke kelas tuisyen. Takut ketinggalan berbanding anak jiran atau anak saudara-mara.

Bilangan murid dan pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan menjadi keutamaan berbanding kemahiran insaniah seperti kebolehan berkomunikasi secara berkesan, berfikiran kreatif dan bijak menyelesaikan masalah.

Lambakan pelajar yang mendapat semua A untuk semua mata pelajaran tidak mencerminkan mutu pelajar berkenaan. Ia juga tidak menepati Falsafah Pendidikan Negara yang mahu menghasilkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelek.

Sebaliknya, ada yang berpendapat, lambakan pelajar mendapat A ini menggambarkan mudahnya sesuatu peperiksaan itu. Tiada nilai. Malah ada yang mencebik mengatakan graf keputusan dimanipulasi untuk memenuhi kehendak pihak tertentu. Namun, ia sekadar dakwaan atau tuduhan tanpa bukti.

Tanpa UPSR dan PMR, para guru tidak lagi terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan pelajaran sehingga terabai pelajar di kelas belakang. Fenomena ini adalah lumrah dalam sistem sekarang di mana pentadbir sekolah dan guru hanya fokus kepada pelajar kelas 'pandai' sahaja demi memburu prestasi cemerlang sekolah dalam peperiksaan. Natijahnya, pelajar yang kurang cerdik akan terus tercicir.

Kelak, guru boleh menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mengikut tahap kebolehan pelajar tanpa terlalu terikat kepada silibus. Paling penting setiap pelajar perlu menguasai kemahiran literasi dan numerasi (Linus) atau bahasa mudahnya membaca, menulis dan mengira. Linus adalah salah satu daripada empat bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran. Semua pelajar normal perlu menguasainya sebelum memasuki Tahap Dua sekolah rendah.

Dalam pada itu, pemansuhan UPSR dan PMR, pastinya akan menjimatkan banyak kos kepada ibu bapa. Tiada lagi yuran tuisyen. Tiada lagi perbelanjaan untuk membeli buku latihan atau bahan rujukan multimedia seperti cakera padat (CD) interaktif dan pembelajaran atas talian. Kos tidak langsung seperti wang saku, tambang pengangkutan dan caj sewaan jalur lebar untuk Internet juga boleh dijimatkan.

Bagaimanapun, pendapatan pengusaha kelas tuisyen termasuk guru-guru yang mengajar secara sambilan di situ akan terjejas teruk. Begitu juga dengan penerbit buku dan pengeluar bahan pengajaran multimedia.

Di negara maju seperti Jepun amalan satu peperiksaan awam sahaja untuk memasuki universiti telah lama dipraktikkan. Sekolah diberi autonomi mengikut daerah atau negeri masing-masing dan bukannya ditadbir secara berpusat seperti kita di sini. Segalanya dikawal selia oleh Kementerian Pelajaran kecuali 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang diberi autonomi bersyarat.

Jika model ini yang ingin digunakan, implikasi kos untuk kerajaan melaksanakan sesuatu pembaharuan atau projek rintis adalah sedikit berbanding sekarang. Sebagai contoh, untuk program pembestarian sekolah, kerajaan membelanjakan beratus juta ringgit untuk membekalkan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke semua sekolah di seluruh negara. Bayangkan kesan penjimatan jika sekolah ditadbir dalam keluasan geografi yang lebih kecil mengikut daerah atau negeri.

Namun, kerajaan tidak boleh lepas tangan sepenuhnya khususnya dalam menyediakan infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Andai dibiarkan pasti mereka tercicir dan terbiar tanpa pembelaan. Mujur kerajaan kita tidak culas dalam aspek ini. Buktinya bangunan sekolah di kota dan di desa sama sahaja sehingga menimbulkan tanda tanya kepada pelawat dari luar negara.

Revolusi ini juga akan membebaskan minda ibu bapa dalam memilih hala tuju anak masing-masing mengikut potensi serta kecenderungan mereka. Tidak lagi terkongkong dengan laluan akademik semata-mata.

Hal ini membolehkan bidang lain khususnya sukan dan seni dapat berkembang maju dengan pesat dan pantas. Ibu bapa juga tidak lagi takut untuk melepaskan anak masing-masing menyertai kegiatan kokurikulum.

Pada ketika itu, hasrat Kementerian Pelajaran untuk menjayakan program '1 pelajar 1 sukan' akan terlaksana dengan mudah dan tanpa bantahan.

Hasilnya, ramai bakat baru yang berkebolehan dan berkemahiran akan muncul bukan sahaja dalam sukan malah dalam bidang lain juga. pencarian dan program pembangunan boleh dimulakan sejak di peringkat sekolah rendah lagi sehingga ke sekolah menengah. Pelajar punya banyak masa untuk berinovasi, berkarya dan bersukan dengan sepenuh hati tanpa risau untuk menduduki peperiksaan.

Hanya pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja mereka perlu memberi sepenuh perhatian. Itu pun jika mereka mahu melanjutkan pengajian ke universiti. Jika tidak, mereka boleh meneruskan kerjaya masing-masing dalam industri kreatif, sukan atau menjadi usahawan muda.

Selain itu, pemansuhan ini juga akan mengubah mekanisme pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP). UPSR dan PMR menjadi faktor utama pemilihan pelajar ke SBP sekarang ini.

Sebagai cadangan, berdasarkan tempat yang disediakan di SBP terhad, maka satu ujian khas merangkumi kecerdasan IQ dan EQ perlu diadakan. Ujian ini hanya terbuka kepada pelajar yang layak berdasarkan penilaian tertentu di peringkat sekolah. Ujian khas ini mirip kepada kaedah pemilihan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diamalkan ketika ini.

- UTUSAN

Susuli dengan mutu khidmat posmen

Posted: 29 Jun 2010 07:48 AM PDT

Mulai 1 Julai, seramai 15,000 kakitangan Pos Malaysia Berhad termasuk posmen dan kerani pos akan menerima kenaikan gaji yang berkuat kuasa pada tarikh ter sebut.

Mereka bakal menikmati kenaikan gaji pada kadar antara 11 hingga 19 peratus dan elaun-elaun berkaitan kakitangan pos yang setara dengan gaji dan elaun semasa kakitangan kerajaan.

Tiada siapa boleh mempertikaikan bahawa posmen di negara ini patut menerima tangga gaji yang lebih baik. Gaji pokok posmen sekarang ialah RM610 manakala kerani pos ialah RM710 iaitu di bawah paras kemiskinan dan pada tahap yang tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Perkara kenaikan gaji itu hanya timbul pada 30 Mac lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad, akan melepaskan kesemua saham dalam Pos Malaysia iaitu Jabatan Perkhidmatan Pos yang diperbadankan pada 1992.

Ketika mengumumkan rangka kerja Model Baru Ekonomi (MBE), Najib memberi gambaran sepintas lalu mengenai bentuk transformasi Malaysia dalam tempoh 10 tahun untuk mengubah negara kepada ekonomi kelas pertama khususnya melahirkan golongan pekerja berpendapatan tinggi.

Pelepasan pegangan saham oleh Khazanah Nasional dalam Pos Malaysia mungkin menjadi contoh sekelip mata oleh Najib mengenai maksud 'transformasi ekonomi' dengan mengisyaratkan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi sebuah entiti swasta secara menyeluruh.

Mengikut sasaran rancangan MBE dan Rancangan Malaysia Ke-10, tumpuan adalah bagi 40 peratus golongan tenaga kerja menerima pendapatan bawah RM1,500 sebulan dan 40 peratus lagi bawah RM3,000, ini bermakna 80 peratus tenaga kerja di negara ini akan melangkah dari golongan berpendapatan rendah kepada tinggi dalam tempoh 10 tahun.

Pos Malaysia menjadi pendahulu dalam perjalanan transformasi dengan melangkah rantaian nilai hasil kedua-dua sistem dan petugas apabila mengamalkan peningkatan automasi dan semakan gaji.

Penyusunan semula tangga gaji ini diharap kerjaya posmen dan kerani pos lebih menarik, manakala perkhidmatan pos menjadi lebih cekap, produktif dan inovatif.

Bagi membiayai penyusunan semula tangga gaji dan elaun, ia akan disokong dengan kenaikan harga setem serta kos penghantaran surat dan bungkusan ke luar negara dan di dalam negara berkuat kuasa 1 Julai ini.

Awal tahun ini, anggota polis menikmati kenaikan gaji dan ia disusuli dengan langkah yang masih tertangguh bagi pengawal keselamatan.

Setelah kakitangan Pos Malaysia mendapat habuan masing-masing, rakyat mengharapkan mereka menyediakan perkhidmatan pos yang berkualiti tinggi, setanding dengan perkhidmatan organisasi pos antarabangsa.

Pos Malaysia telah menyatakan kenaikan tarif bagi perkhidmatan mereka akan digunakan secara efektif bagi meningkatkan produktiviti menerusi automasi, inovasi dan kemahiran semula tenaga kerjanya.

"Perkhidmatan pos adalah industri intensif buruh dan kos yang membabitkan petugas merangkumi 61 peratus daripada perbelanjaan syarikat. Kami faham ini bukan satu isu ekonomi, tetapi ia isu moral, syarikat senarai awam seperti kami mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham bagi mencatatkan keuntungan untuk membayar dividen," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

- UTUSAN

Jadual Perlawanan Piala Dunia (Pusingan 2 - 16 Pasukan) - 29/06/2010

Posted: 29 Jun 2010 12:05 AM PDT

10.00 PM : Juara F - Paraguay lwn Naib Juara E - Jepun (Japan) (Siaran Tertunda di TV1 jam 12.00 AM)

2.30 AM : Juara H - Sepanyol (Spain) lwn Naib Juara G - Portugal (Siaran Langsung di TV1 jam 2.00 AM)

* Waktu Malaysia

Seorang Pelajar Maktab Tentera Disingkir, Empat Digantung

Posted: 28 Jun 2010 11:25 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (MTD) yang disyaki terlibat mengakibatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, dipercayai dibuli dan didera di maktab itu Rabu lepas, disingkir serta-merta daripada pengajiannya.

Empat lagi rakannya digantung pengajian sehingga siasatan kes selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan dibuat untuk menyingkirkan pelajar itu serta-merta selepas siasatan mendapati pelajar tersebut membuli dengan niat sejak awal tahun ini.

"Pihak maktab membuat keputusan untuk menyingkir pelajar tersebut serta-merta. Kes saman sivil juga akan dikenakan. Dia akan berdepan tindakan daripada tentera, kami (kementerian) dan polis," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada petugas Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2010) di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian memandang serius kes buli di sekolah dan tindakan perlu diambil bagi membendung gejala itu serta mengelak perkara sama daripada berulang.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah yang juga Pengerusi MTD berkata, kementerian menyerahkan siasatan hal berkenaan kepada polis.

Katanya, sebelum ini maktab itu pernah mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan MTD seperti terlibat dalam kes buli, dengan mengasingkan pelajar itu atau terus menyingkirkannya dari maktab.

Beliau berkata, kawalan ketat akan dilakukan termasuk warden dikerah bertugas pada waktu malam bagi mengelak insiden sama berlaku.

"Kejadian ini membuatkan kita berhati-hati dan memandang serius dengan gejala buli di sekolah," katanya.

Mohammad Naim meninggal dunia Rabu lepas di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri dipercayai dibuli.

Pada 25 Jun lalu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima kolej itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori.

- BERNAMA

UiTM Tawar Peluang Pengajian Kepada Golongan Pekerja Tidak Mampu

Posted: 28 Jun 2010 11:24 AM PDT

SHAH ALAM: Golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi namun tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.

"Tawaran ini merupakan satu tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program 'Mengubah Destini Anak Bangsa'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Penuntut Baru UiTM, di sini hari ini.

Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.

Mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai, kata beliau.

Katanya, maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.Di bawah program CSR yang sama juga, Khaled berkata UiTM telah mengambil kira-kira 5,000 penuntut daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang bagi mengikuti pengajian pradiploma.

"Kesemua mereka yang dipilih akan ditempatkan di semua kampus UiTM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma," katanya.

Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang yang bersesuaian.

Seramai 60,000 penuntut baru UiTM mendaftar untuk mengkuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Khaled turut meminta agar universiti lain di negara ini terutamanya universiti swasta menjadi lebih kreatif dalam menjalankan program CSR selain memberikan biasiswa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

"Kena fikir bagaimana untuk menghijrahkan rakyat Malaysia seperti program yang dilakukan oleh UiTM," katanya.

- BERNAMA

Rupanya Ada Kaedah Rawatan Sakit Kronik Tanpa Bedah

Posted: 28 Jun 2010 11:23 AM PDT

Oleh HAMID KARIM

MENGENAL PASTI jenis rawatan yang sesuai adalah sebahagian daripada elemen penting dalam pengurusan merawat kesakitan. Namun hal ini sering terlepas pandang oleh kebanyakan pesakit khususnya di kalangan mereka yang mengidap penyakit kronik di bahagian tulang belakang yang sukar disembuhkan dalam tempoh yang lama.

Oleh sebab berlakunya kecelaruan mengurus kesakitan yang dihidapi, khususnya dalam menentu atau mengenalpasti rawatan tepat dan terbaik, banyak pesakit terlantar menderita kesakitan yang berpanjangan dan paling menyedihkan ada di antara mereka kehilangan peluang untuk sembuh seperti sediakala.

Pentingnya mengenalpasti rawatan dan menguruskan kesakitan ini ditegaskan oleh seorang pakar sakit kronik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Nizar Abdul Jalil.

Menurut beliau, kegagalan pesakit mendapat rawatan yang tepat berhubung penyakit yang mereka hidapi menjadi antara punca sakit kronik seperti cakera gelincir (slip disc) di tulang belakang atau kecederaan facet dihidapi akan menjadi liabiliti yang berpanjangan.

Akibatnya, pesakit terus-menerus menanggung kesakitan dan terlantar serta sebahagiannya seperti putus harapan untuk mencuba rawatan seterusnya.

Menerusi pengalaman sendiri, penulis didedahkan oleh Dr Nizar bahawa pesakit kronik hari ini berhak untuk mendapatkan rawatan tepat dan terbaik. Pengalaman banyak pesakit sebelum ini yang gagal sembuh daripada sakit kronik sehingga ada di antara mereka lumpuh sepanjang hayat akibat daripada kelemahan menguruskan jenis rawatan patut dijadikan iktibar.

Mengikut amalan biasa, kebanyakan pesakit kronik di negara ini terutama yang mengidap kecederaan cakera pada tulang belakang katanya, akan dirujuk kepada pakar ortopedik bagi tujuan penentuan sakit dan rawatan.

Hal ini bagaimanapun berbeza di negara jiran, Singapura kerana menurut Dr Nizar, pesakit di negara itu sebaliknya akan dirujuk terus kepada pakar sakit kronik terlebih dulu untuk didianogsis dan diberi penentuan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar ortopedik atau yang berkaitan.

Hanya jika keadaan tidak boleh dielakkan, barulah pesakit boleh menerima cadangan pakar ortopedik agar menjalani pembedahan. Bagaimanapun, keadaan hari ini sememangnya telah jauh berubah. Pesakit berhak memperolehi pengetahuan tentang rawatan konservatif, iaitu rawatan tanpa pembedahan bagi mengelak daripada berdepan risiko yang lebih besar.

Bidang rawatan yang dipelopori oleh Dr Nizar ini membayangkan kemungkinan pesakit kronik di negara kita mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan rawatan khusus yang dikenali sebagai rawatan suntikan Radiofrequensi. Menerusi kaedah rawatan Radiofrequensi ini, pakar sakit kronik akan hanya menggunakan suntikan bagi merawat pesakit mereka.

Jarum akan disuntik terus ke saraf cedera bertujuan mengecutkan saraf yang sakit dan sekaligus menghilangkan bisa yang ditanggung pesakit bertahun-tahun lamanya. Demikian pengalaman serupa dialami sendiri oleh penulis yang disahkan mengidap kecederaan facet di tengkuk dan bahagian belakang serta bahu yang dideritai bertahun-tahun lamanya.

Penggunaan kaedah suntikan di dalam bilik bedah yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam dapat meredakan bisa yang menyerang tangan dan sebahagian besar tubuh penulis.

Sebelum ini, kebanyakan pegawai perubatan ditemui mencadangkan supaya rawatan dilakukan oleh pakar ortopedik dan sebagai jalan akhir pembedahan mesti dilakukan. Namun kaedah rawatan radiofrequensi yang dipelopori oleh Dr Nizar berjaya memindahkan beban sakit dan trauma bertahun-tahun tanpa melalui proses pembedahan.

Menurut Dr Nizar, pengurusan sakit yang betul yang bertujuan mendapatkan rawatan selesa dan kurang implikasi atau risiko kepada pesakit amat penting pada kehidupan hari ini. Ditambah pula dengan adanya pakar dalam sakit kronik, peluang bagi pesakit menghindarkan diri daripada dibedah tulang belakang sehingga boleh menyebabkan risiko lumpuh amat luas.

Malangnya, kata beliau, sebahagian besar pesakit kronik di negara ini belum terdedah atau mengetahui kaedah suntikan bagi merawat sakit kronik khususnya berkaitan kecederaan tulang belakang. Melalui pengalaman beliau merawat pesakit kronik sehingga kini, sebahagian besar pesakit kembali dapat meneruskan kehidupan seperti biasa melalui kaedah ini.

Menerusi kaedah suntikan, epidural streroid akan disuntik bagi mengurangkan kesakitan sama seperti proses suntikan menahan sakit bagi mereka yang ingin bersalin. Sedikit steroid akan dimasukkan bagi mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit (bagi kes cakera gelincir tulang belakang).

Sepanjang terbabit sebagai pakar dalam bidang sakit kronik, Dr Nizar memang mengakui bahawa di antara 80 hingga 90 peratus pesakitnya secara umum tidak mengetahui mengenai rawatan Radiofrequensi yang tidak memerlukan mereka menjalani pembedahan sebelum datang bertemunya.

Persoalannya kini, bagaimanakah nasib pesakit kronik yang kurang terdedah kepada media yang sejak akhir-akhir ini kerap memaparkan maklumat tentang rawatan konservatif tanpa pembedahan itu?

Apakah mereka akan terus dirujuk kepada pakar ortopedik dan seterusnya disaran menjalani pembedahan tanpa mendapat pilihan lain? Mengakui hakikat itu, Dr Nizar menyarankan pesakit supaya selalu bertanya kepada doktor perubatan mengenai rawatan alternatif supaya mereka dapat memilih dan sekaligus mencuba sesuatu yang lebih rendah risikonya.

Bagaimanapun, pesakit tidak seharusnya pula menafikan standard rawatan yang digunapakai apabila berdepan kesakitan tulang belakang. Indikasi di negara ini sama seperti di negara lain, iaitu apabila rawatan konservatif atau rawatan tanpa bedah ini gagal, ia menunjukkan kecederaan saraf pada tulang belakang sudah tentu mencapai tahap kritikal.

Biasanya menurut Dr Nizar, hal ini berlaku selepas enam bulan mendapatkan rawatan konservatif tanpa bedah. Maka pesakit itu akan dirujuk kepada pakar ortopedik. Di situlah terletaknya kebijaksanaan pesakit mengurus sakitnya dengan berbincang bersama pakar ortopedik mengenai rawatan terbaik yang boleh dipilihnya.

Mengulas mengenai terma sakit kronik, beliau menjelaskan bahawa sakit ini biasanya datang tanpa disangka dan boleh berlarutan sehingga tempoh masa lama jika tidak mendapat rawatan yang tepat dan segera dan kebanyakannya berkaitan kecederaan tulang belakang.

Kesakitan ini amat merimaskan dan boleh mencapai tahap kritikal apabila pergerakan tangan atau kaki pesakit boleh terjejas. Orang ramai boleh mencuba kaedah rawatan tanpa bedah bagi merawat sakit kronik dengan menghubungi Dr Nizar Abdul Jalil di HUSM Kubang Kerian.

- MSTAR

Musuh Jangan Dicari, Jika Bertemu Pantang Mundur

Posted: 28 Jun 2010 09:33 AM PDT

Hadith :

Abu Hurairah r.a berkata:"Nabi SAW bersabda:"Janganlah kamu berharap untuk bertemu musuh, tetapi apabila kamu bertemu musuh maka bertahanlah." (Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Dalam kehidupan ini sebagai manusia kita sering berhadapan dengan perkara yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa berhati-hati dan jangan sengaja melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan orang lain atau dengan perkataan lain jangan kita sengaja mencari musuh kerana ia menunjukkan sikap orang yang sombong dan bongkak.

Namun jika ditakdirkan kita bertemu dengan musuh maka bertahanlah dan jangan mudah menyerah kalah. Bersabarlah dan mohonlah kekuatan daripada Allah SWT semoga kita berada di pihak yang benar.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia