Adsense

Ahad, 20 Jun 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Penjara Pudu Berusia 100 Tahun Akan Diroboh 21 Jun

Posted: 20 Jun 2010 08:26 AM PDT


Pejalan kaki melintasi Tembok Penjara Pudu yang dipenuhi dengan mural yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu bagi memudahkan pengguna jalan raya pada masa hadapan. Pembinaan laluan bawah tanah ini merupakan alternatif yang menghubungkan Jalan Pudu menuju ke Cheras dan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Hang Tuah. Mural Penjara Pudu dilukis oleh beberapa banduan yang diketuai oleh Khong Chong Yen dengan menggunakan 2,000 liter cat sepanjang 384 meter dan setinggi 4.5 meter. Ia dilukis pada tahun 1983 dan memakan masa lebih setahun untuk disiapkan dan pernah diiktiraf oleh Guinness Book of Records. Tembok itu akan mula dirobohkan pada waktu malam mulai 20 hingga 23 Jun ini. - Foto BERNAMA.


Tiba detik 10 malam esok, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter (m) dan sepanjang 394m yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namum begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalulintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.

Justeru, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr Radzi Jaafar dan Dr Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.

Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandaraya Kuala Lumpur.

- BERNAMA

Kementerian Pelajaran Mungkin Mansuh UPSR, PMR

Posted: 20 Jun 2010 08:26 AM PDT

Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Muhyiddin berkata secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun menurutnya UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia," katanya.

- BERNAMA

FIFA tukar peraturan kad kuning

Posted: 20 Jun 2010 08:12 AM PDT

JOHANNESBURG: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menukar peraturan kad kuning dalam Piala Dunia dengan tujuan mengurangkan senarai nama pemain bintang terlepas aksi bagi perlawanan akhir pada 11 Julai ini.

Pemain Jerman, Michael Ballack pada 2002, Alessandro Costacurta (Itali) pada 1994 dan Claudio Caniggia (Argentina) pada 1990 adalah pemain ternama yang tidak dapat beraksi dalam final selepas mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan separuh akhir.

Untuk edisi kali ini, badan induk itu mengubah peraturan bagi layangan kad kuning dari akhir pusingan pertama (seperti dikenakan sebelum ini) kepada saingan suku akhir pula.

Ini bererti pemain hanya akan terlepas aksi final jika mereka menerima dua kad kuning - dan sudah pasti kad merah terus - dalam perlawanan separuh akhir berbanding sebelum ini apabila satu kad diterima sebelum ke separuh akhir.

"FIFA mahu memberi peluang kepada pemain ternama peluang bermain dalam perlawanan akhir kejohanan," kata jurucakap, Marius Schneider.

- Reuters

Misteri Kuala Selangor

Posted: 20 Jun 2010 08:05 AM PDT


KUALA SELANGOR merupakan antara lokasi percutian yang harus dilawati kerana banyak tempat menarik boleh dilawati seperti Bukit Malawati, Taman Alam manakala makanan lautnya murah dan enak.

Bandar bersejarah itu merupakan bekas pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor namun disebaliknya terselit sisi eksentrik yang masih menjadi buah mulut sehingga kini.

Perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Sungai Buloh sejauh lebih 90 kilometer sangat memenatkan tetapi penulis menjadi teruja setelah mendengar cerita orang tempatan berhubung kisah tempat menarik dan cerita pahlawannya.

Kisah Panglima Hitam, orang bunian, Bukit Malawati yang terdapat Batu Hampar, Telaga Tujuh, meriam meletup sendiri, pokok terbakar sendiri serta Kampung Teluk Penyamun cukup menarik untuk dibongkar.

Orang lama Kuala Selangor, Harun Anwar Zaini, 60, menjelaskan, Bukit Malawati merupakan salah satu lokasi yang harus dilawati.

Katanya, pengunjung bukan sahaja dapat bermain dengan kera yang jinak tetapi berpeluang menikmati aura Kuala Selangor menerusi bukit yang menyimpan kisah-kisah misteri.

Antaranya ialah Batu Hampar. Mengikut cerita lisan, ia merupakan batu sungai yang diangkat ke Bukit Malawati.

Pancung dayang

Mengikut maklumat daripada Muzium Sejarah Kuala Selangor, Batu Hampar dijadikan sebagai tempat Sultan Selangor terdahulu, Sultan Ibrahim untuk berehat dan menyabung ayam.

"Ada juga orang kampung mendakwa Batu Hampar itu menjadi tempat hukuman pancung seorang dayang yang berzina dan darahnya disimbah ke sekitar bukit.

"Tiada bukti yang dapat mengesahkannya. Bagaimanapun terdapat lebih kurang lima pokok sena berhampiran Batu Hampar mengeluarkan getah berwarna merah yang didakwa darah dayang itu," cerita Harun.

Bagi memastikannya, krew Jurnal menoreh semua pokok sena itu. Ternyata benar semua pokok di kawasan batu tersebut mengeluarkan getah merah. Di sebalik cerita itu, ada pihak beranggapan getah pokok sena berwarna merah kerana faktor usianya lebih 50 tahun sedangkan getah sena muda berwarna putih.

Meriam meletup

Selain kisah Batu Hampar terdapat meriam Sultan Ibrahim yang dikatakan meletup secara tiba-tiba.

"Kejadian itu berlaku dua kali. Sekali pada 1960 dan sekali pada 1975 semasa hari ke-28 dalam bulan Ramadan. Punca meriam itu meletup sendiri masih menjadi misteri.

"Kedua-dua peristiwa ini menimbulkan kegemparan kepada penduduk kampung pada waktu itu sehingga mereka membuat solat hajat dan doa selamat supaya Allah menjaga mereka daripada sebarang malapetaka," katanya.

Semasa kejadian meriam meletup sendiri pada 1975, pokok-pokok sekitar jalan Kuala Selangor sepanjang lebih kurang 20 kilometer terbakar dan tunduk sendiri, tambah Harun.

"Tidak ada petir atau kilat pada masa itu," ujar Harun lagi.

Cerita eksentrik di Kuala Selangor disusuli dengan kisah Makam Anak Dara.

Menurut versi cerita daripada Muzium Sejarah Kuala Selangor dan cerita lisan orang kampung, seorang anak dara yang warak dipaksa berkahwin dengan seorang pemuda walaupun dia tidak bersetuju.

Gadis itu dikenali dengan nama Siti Rubiah. Siti Rubiah tiba-tiba ghaib pada malam pernikahan.

Jelas Harun, kerana jasad Siti tidak ditemui, sebuah kubur dibina oleh ibu bapanya bagi memperingatinya dan ia digelar Makam Anak Dara.

Penduduk tempatan yang ditemui mendakwa pernah terserempak dengan Siti Rubiah dan dikatakan seorang gadis yang cukup cantik dengan rambutnya panjang melepasi bahu.

Panglima Hitam

Kisah seorang pegawai istana, Panglima Hitam juga memberi nilai sejarah dan semangat keperwiraan kepada warga Kuala Selangor.

Panglima Hitam dikatakan seorang pegawai istana yang taat kepada Sultan dan gigih berjuang mempertahankan kerajaan daripada serangan musuh.

Bagaimanapun, mayatnya turut lesap dan dikatakan masih hidup untuk menjaga Kuala Selangor daripada anasir buruk sehingga kini.

"Dia seorang guru silat dan pegawai yang membantu pemerintahan menewaskan Belanda semasa penjajah itu cuba menakluk Kuala Selangor.

" Belanda dapat menawan Kuala Selangor namun Panglima Hitam dan bantuan lain, bandar ini dapat ditawan semula keesokannya," katanya.

Harun mendakwa pernah berjumpa dengan Panglima Hitam pada awal 90-an semasa sedang solat di sebuah surau di Kuala Selangor.

,b>Pesan panglima

Dia mendakwa, saiz badan Panglima Hitam tiga kali ganda daripada manusia normal selain bermuka gelap, memakai tengkolok, berbaju dan berseluar hitam selain menyimpan keris di belakang badan dengan saiz lebih kurang lima meter.

"Beliau berpesan kepada saya dalam bahasa Melayu baku akan tetap menjaga keamanan Kuala Selangor walaupun dalam era kemodenan kini.

"Malah dia berbicara kepada saya jangan lupa menunaikan solat wajib dan jangan berbuat maksiat dengan tempoh perbualan kurang lima minit," dakwanya.

Pengurus Residen De Palma Kuala Selangor, Lokman Abd. Malek, 50, pula memberitahu, cerita unik mengenai siput laut atau lebih dikenali dengan mentarang yang dikatakan mempunyai pantang larang tersendiri.

"Ada versi cerita mengatakan mentarang akan merajuk dan tidak akan keluar dari lumpur yang terdapat di kuala sungai jika orang hanya mengambil mentarang bersaiz besar dan meninggalkan yang kecil atau dibuang.

"Tetapi sebenarnya banyak versi cerita dan misteri yang terdapat di Kuala Selangor. Terpulang pada setiap individu sama ada ingin percaya atau tidak," katanya tersenyum.

- KOSMO!

Isteri berleter 6 hari setahun

Posted: 20 Jun 2010 07:58 AM PDT

LONDON: Satu kajian terbaru mendapati isteri tidak merasa bersalah berleter terhadap suami mereka manakala si suami secara rahsia merasakan bahawa mereka sentiasa betul.

Golongan isteri juga dianggarkan menghabiskan kira-kira 7,920 minit setahun untuk berleter kepada suaminya mengenai rutin rumah tangga, tabiat minum dan kesihatan mereka. Ia bersamaan dengan dua jam setengah setiap minggu atau keseluruhan 11 jam sebulan atau hampir enam hari setahun.

Satu kajian membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan kumpulan kempen kesihatan Everyman merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah.

Satu kajian membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan kumpulan kempen kesihatan Everyman merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah.
Aduan lain termasuk tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk, terlalu banyak minum dan tidak mendapatkan rawatan doktor.

Majoriti wanita tidak berasa malu suka berleter dengan 87 peratus mengakui sukar untuk memastikan pasangan melakukan sesuatu.

Manakala lelaki berkata, mereka tidak mengakui perkara itu dengan 83 peratus merasakan mereka sentiasa betul.

Walaupun berleter adalah satu perkara yang tidak disukai dalam satu perhubungan, strategi berkenaan kadang kala dilihat lebih efektif berdasarkan kepada kajian.

– Agensi

Tonton siri seram lahir anak kuat menangis

Posted: 20 Jun 2010 07:57 AM PDT

CHENNA 19 Jun - Wanita mengandung yang sering menonton siri seram di televisyen di sebelah malam didapati melahirkan anak yang kuat menangis, demikian menurut satu kajian.

Kajian Kolej Perubatan Madras di sini mendapati bayi yang dilahirkan oleh wanita mengandung yang suka menonton siri televsiyen Tamil seperti Chitty lebih kerap menangis.

"Terdapat perbezaan antara bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat menonton siri televisyen lewat malam berbanding dengan ibu mengandung yang tidur awal.

"Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat didapati sering menangis termasuk selepas diberi makan," kata Dr. S. Elango, bekas pengarah kesihatan awam dan pencegahan perubatan Tamil Nadu kepada Bernama.

Kajian khas ini dibuat di kalangan 3,500 wanita mengandung selama dua tahun mulai 2007 hingga 2009 di kawasan luar bandar di Tamil Naidu.

Ibu-ibu tersebut dipantau semasa mereka sedang mengandung manakala bayi mereka turut diperhatikan sehingga beberapa hari dilahirkan.

Kajian turut mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak menonton televisyen lebih nyenyak tidur.

— BERNAMA

Saran wanita solat Jumaat

Posted: 20 Jun 2010 07:55 AM PDT

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan wanita turut mengerjakan solat Jumaat sebagaimana lelaki menunaikannya di masjid dengan mempunyai ruang khas bagi mengerjakan ibadah itu.

Beliau berkata, walaupun amalan itu merupakan sunat bagi wanita tetapi ia digalakkan dalam Islam kerana di Tanah Suci Mekah sendiri wanita boleh melakukannya.

"Saya nampak benda ini sepatutnya sudah lama diamalkan, tetapi kerana kita tidak mempunyai tempat yang cukup kerana melibatkan percampuran antara jemaah lelaki dan wanita," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya di Pulau Melaka di sini, petang ini.

Nik Aziz menyarankan imam masjid di Kelantan agar mencontohi amalan di Arab Saudi yang mengamalkan solat Jumaat di kalangan muslimat.

Ditanya sama ada ia akan menimbulkan suatu kejutan kerana baru diperkenalkan di negeri ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, ia tidak menjadi masalah selagi tidak bercanggah dengan Islam.

"Memanglah sesuatu yang terpendam, setelah baru didedahkan akan menimbulkan kejutan... tetapi ia tidak akan menjadi masalah selagi ia tidak bercanggah dengan agama.

"Biasalah... malah sejak Pas baru lahir dulupun menimbulkan kejutan di kalangan masyarakat macam mana politik dengan agama boleh dicampuradukkan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan wanita sanggup menunggu suami dalam kereta mengerjakan solat Jumaat kerana tiada ruang khas untuk mereka mengerjakan solat bersama disebabkan kebanyakan ruang di masjid digunakan oleh kaum lelaki.

"Tetapi jika ada ruang yang cukup untuk wanita atau muslimat, ia tidak menjadi masalah. Kalau hari-hari biasa wanita boleh mengerjakan solat berjemaah berimamkan kaum lelaki, tidak ada sebab wanita juga boleh mengerjakan solat Jumaat di masjid," katanya.

- BERNAMA

Kelemumur, rambut gugur merunsingkan

Posted: 20 Jun 2010 07:53 AM PDT

RAMBUT adalah mahkota buat wanita. Menjaganya bukan sukar namun tidak juga mudah. Tidak kena gaya ia mudah rosak, berkelemumur, gugur dan beruban sebelum masanya.

Biar berkerudung, penjagaan rambut tetap diutamakan apatah lagi ia memerlukan lebih perhatian berbanding mereka yang tidak. Kulit kepala yang tertutup dalam tempoh lama mengundang peluh yang akhirnya bercampur minyak semula jadi lalu mengundang masalah kelemumur yang serius.

Bagi lelaki pula, barisan rambut yang lebat dan mudah digayakan menyerlahkan lagi penampilan. Biar pun mereka mempunyai pilihan untuk bergaya botak, namun bukan semua lelaki kelihatan menarik dengan penampilan begitu.

Apatah lagi andai keguguran rambut berlaku tidak sekata, pasti ia mencacatkan penampilan.

Menurut Dr. Gangaram, dua masalah utama yang sering melanda kebanyakan individu tidak kira lelaki dan wanita adalah kelemumur dan rambut gugur dengan kronik.

"Masalah rambut berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya usia, stres, kurang tidur, pengambilan makanan yang tidak betul, kurang nutrisi, penggunaan produk rambut berlebihan, pengering rambut dan genetik," ujar beliau.

Seperti soal kesihatan yang lain, rambut juga sering diabaikan oleh kebanyakan individu, kata Dr. Gangaram.

"Bila rambut mula gugur baru kita berusaha ingin merawatnya. Sepatutnya ia perlu dijaga seawal usia muda lagi, melainkan faktor genetik yang sukar dirawat," kata beliau.

Rambut bermasalah menjejaskan aktiviti harian setiap individu sekali gus menjadikan mereka kurang berkeyakinan dan malu berada di khalayak.

Jelasnya, setiap individu perlu mengetahui analogi, fisiologi dan punca biasa untuk lebih memahami dan menjaga kesihatan rambut.

Kelemumur

Biasanya masalah ini disebabkan beberapa perkara:

# Seborrheic dermatitis (gatal-gatal, kulit kepala berminyak) - punca biasa menyebabkan kelemumur. Ia kelihatan merah, kulit kepala berminyak diselaputi keruping putih atau kuning. Ia bukan sahaja berlaku pada kulit kepala malah di kawasan kulit yang mengandungi liang minyak, seperti kening, tepi hidung, belakang telinga, tulang dada, celah kangkang dan kadang kala pada bahagian ketiak.

Seborrheic dermatitis juga boleh berlaku dari usia bayi dilahirkan (ruam lampin) dan beransur hilang pada usia satu tahun.

Bagi mereka yang dijangkiti HIV, masalah ini lebih serius berbanding biasa. Menurut Dr. Gangaram, biasanya doktor boleh mengenal pasti pesakit yang menghidap HIV berdasarkan keadaan kulit kepala mereka yang mengalami kegatalan serius hingga merebak ke bahagian lain.

Stres juga boleh mengundang masalah seborrheic dermatitis menjadi lebih teruk.

Kulit kepala kering, gatal dan berkeruping - disebabkan cuaca panas. Bentuk keruping disebabkan kulit kepala kering biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak berbanding lain-lain punca yang menyebabkan kelemumur.

Kurang mencuci rambut - jika anda tidak membasuh rambut dengan kerap, minyak dan sel kulit daripada kulit kepala akan terbina, menyebabkan kelemumur.

# Psoriasis - Masalah kulit berpunca daripada pengumpulan sel kulit mati yang menghasilkan keruping berwarna perak. Ia biasa berlaku di lutut, siku tetapi boleh juga berlaku pada kulit kepala.

# Ekzema - Jika anda penghidap ekzema, kelemumur adalah masalah biasa.

Sensitif pada sesetengah produk - kadangkala sensitif kepada sesetengah jenis produk rambut menyebabkan kulit kepala menjadi kemerahan dan gatal. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan kelemumur.

# Jangkitan yis malassezia - Malassezia hidup pada permukaan kulit kepala hampir kesemua individu dewasa tanpa menyebabkan sebarang masalah. Namun kadangkala, ia berkembang tanpa terkawal, merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut. Ini menyebabkan iritasi pada kulit kepala dan menggalakkan lebih banyak sel kulit terhasil. Lebihan sel kulit akan mati dan tertanggal dan bercampur dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia kelihatan memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut juga pakaian anda.

Walaubagaimanapun punca sebenar malassezia tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan terlalu banyak minyak pada kulit kepala, perubahan hormon, tekanan, masalah saraf seperti parkinson, sistem imun terganggu, tidak mencuci dengan kerap, dan semua masalah menyumbang kepada kelemumur.

Rawatan kelemumur

Menurut Dr. Gangaram, masalah kelemumur yang serius boleh diatasi dengan pengambilan syampu anti-fungus. Agen seperti ketoconazole, bifonazole dan ciclopiroxolamine (juga dipanggil ciclopirox) yang terdapat dalam formula berlainan seperti krim, gel, losyen dan syampu boleh membantu mengatasi masalah ini.

# Rambut gugur (alopesia)

Terdapat dua jenis keguguran rambut biasa iaitu diffuse (menyeluruh) dan patchy (bertompok-tompok atau setempat).

Masalah keguguran menyeluruh disebabkan kegagalan peringkat penghasilan menyebabkan berlaku:

# Alopesia areata

Masalah keguguran rambut setempat pada kepala ini tidak diketahui puncanya. Prognosisnya agak baik tanpa rawatan, bagaimanapun adakalanya ia akan pulih semula dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

# Telogen effluvium

Masalah ini boleh berlaku antara dua hingga empat bulan selepas proses kelahiran, demam panas, penyakit-penyakit akut, tekanan fizikal atau emosi dan diet tidak seimbang (crash diet). Namun, rambut yang gugur ini akan tumbuh semula selepas beberapa bulan, tanpa memerlukan sebarang rawatan.

Masalah keguguran rambut bertompok pula disebabkan masalah penghasilan seperti:

# Androgenetik alopesia

Ia merupakan masalah keguguran rambut yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki. Namun ia juga boleh berlaku pada wanita. Dikenali sebagai salah satu bentuk botak pada lelaki (male pattern baldness).

Ia disebabkan oleh kombinasi tiga faktor iaitu hormon testosteron, usia (selepas seseorang berusia lebih 20 tahun) dan keturunan.

Keguguran rambut serius

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rambut gugur dengan serius. Keguguran rambut ini biasanya jelas kelihatan apabila seseorang menyikat rambut terutama selepas bersyampu.

Keguguran rambut bagi kategori ini biasanya berpunca daripada:

# Melahirkan anak

Selepas seseorang wanita melahirkan anak, pusingan rambut akan memasuki fasa berehat yang agak lama. Dalam masa itu fasa keguguran rambut akan terjadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sesetengah wanita mengalami keguguran rambut yang banyak. Dalam masa satu hingga enam bulan ia akan pulih.

# Penyakit tiroid

Kelenjar tiroid yang terlalu aktif atau pasif juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

# Demam, jangkitan dan selesema yang serius

Selepas empat minggu hingga tiga bulan demam yang serius, seseorang mungkin terkejut melihat rambut gugur dengan banyak. Namun keguguran rambut ini akan pulih seperti sediakala.

# Protein yang tidak seimbang dalam pemakanan

Amalan diet yang tidak seimbang dengan tidak memakan protein atau tabiat pemakanan abnormal.

# Ubat-ubatan

Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan keguguran rambut untuk sementara waktu. Ubat-ubatan terdiri daripada penyakit gout, artritis, kemurungan, masalah jantung, hipertensi dan ubat mencairkan darah . Pengambilan vitamin A secara berlebihan juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

# Rawatan kanser

Sesetengah rawatan kanser akan menyebabkan sel-sel rambut terhenti membahagi yang mengakibatkan rambut menjadi nipis dan mudah terputus apabila ia keluar dari kulit kepala.

Rawatan alternatif

Pelbagai rawatan alternatif kini boleh didapati dalam merawat masalah rambut. Antaranya, pakar rambut Neeta Gosalia melalui produknya Neeta's Herbal sudah berjaya membantu ramai pelanggan merawat masalah rambut serius seperti kelemumur dan keguguran rambut serius.

Bagi Neeta yang berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang itu berpendapat, mereka yang mengalami masalah rambut patut mendapatkan rundingan daripada pakar dan mengubah gaya hidup serta corak pemakanan.

Katanya, segala masalah kebanyakan berpunca daripada akar rambut yang tidak subur dan rosak. Ia disebabkan banyak faktor.

Beliau juga tidak menggalakkan mereka yang mengalami masalah rambut terus ke salon biasa kerana bakal mendapat rawatan yang tidak sepatut.

Neeta's Herbal menggunakan herba semula jadi seperti inai yang terbukti dalam merawat masalah rambut dan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya.

Maklumat lanjut hubungi 03-22828868/ 03-77286751 atau www.neetasherbal.com

- MINGGUAN

Hari Terbuka Muzium TUDM

Posted: 20 Jun 2010 06:23 AM PDT


Sempena sambutan Ulang Tahun ke-52 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1 Jun lalu, Muzium TUDM telah mengadakan Hari Terbukanya hari ini bermula 8 pagi hingga 5 petang di Pangkalan Udara Kuala Lumpur secara percuma kepada orang ramai.

Para pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat aset-aset TUDM yang telah digunakan sejak penubuhannya pada tahun 1958.

Antara aset-aset yang dipamerkan termasuklah pesawat-pesawat yang telah menjadi nadi TUDM sepanjang melaksanakan tugas mengawal kedaulatan ruang angkasa negara.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud telah hadir untuk merasmikan Pembangunan Fasa Kedua Muzium TUDM.

Dalam satu sidang media sejurus itu, beliau memberitahu, TUDM sedang giat merangka latihan dengan Amerika Syarikat, negara Asean serta beberapa negara Asia yang lain bagi melahirkan generasi baru pasukan tentera udara.

Rodzali berkata, ini penting kerana TUDM ingin memastikan anggota mereka mampu mengendalikan aset-aset canggih yang akan dibawa masuk kelak.

"Latihan terbaru kita akan meliputi pemakaian doktrin dan strategi-strategi baru dari negara tersebut.

"Kita nak ambil dan menyesuaikan diri dengan doktrin kita," katanya.

Rodzali berkata, latihan bersama negara terbabit akan merangkumi semua aspek iaitu pesawat serta sistem persenjataan.

Sehubungan itu, katanya, staf mesti bersedia dalam aspek ini kerana semua teknologi terkini adalah berlandaskan teknologi.

Dalam pada itu, majlis penyerahan pesawat Eagle oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM) kepada pihak Muzium TUDM turut diadakan.

Rodzali juga melawat ke hangar, khemah pameran, Dataran Wira Angkasa, penyerahan koleksi peribadi oleh Mantan PTU di galeri Panglima Tentera Udara di Muzium TUDM.

Selain kehadiran dif-dif kehormat, Hari Terbuka kali ini turut dihadiri bekas-bekas Panglima TUDM.

Antaranya, Tan Sri Sulaiman Sujak, Datuk Seri Abdullah Ahmad, Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Tan Sri Mohd Yunus Mohd Tasi.

Selain itu, orang ramai berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti lasak dengan pesawat TUDM, pertunjukan Aerobatic Pesawat Pitts Special.

Lain-lain aktiviti termasuk belon panas, flight simulator, pony ride, pameran kerjaya dan demonstrasi memadam kebakaran pesawat.

- MSTAR

Voodoo agama purba

Posted: 20 Jun 2010 04:19 AM PDT


Di sebuah ladang kapas di Benin, seorang remaja sedang tekun memasukkan gumpalan kapas kering ke dalam guni. Sesudah guni itu padat, dia mencapai jarum guni yang panjangnya hampir sejengkal untuk menjahit mulut guni sekali gus memberi petunjuk kerjanya hampir selesai untuk petang itu.

Kehidupan Asita Chari, 14, tidak banyak berubah sejak dia dijual oleh ibu saudaranya kepada seorang lelaki asing di bandar Borgou, Benin, lima tahun lalu. Sejak usianya sembilan tahun, dia terpaksa mengerah tenaga mudanya bekerja di ladang kapas tersebut.

Negara Benin yang kecil dan miskin itu terletak di antara Teluk Guinea hingga ke sempadan Nigeria. Ia sangat dikenali sebagai tempat lahirnya penyembahan voodoo, pusat perdagangan buruh kanak-kanak dan pusat pengeluaran kapas di rantau tersebut.

"Saya dijual pada harga AS$50 (RM163) kepada majikan saya sekarang. Sebagai buruh kanak-kanak, saya tiada pilihan untuk membuat keputusan menentukan arah hidup. Saya selalu mencari jalan untuk lari dari sini.

"Hidup saya sangat susah. Kerja saya berat tetapi sering lewat diberi makan. Semasa baru sampai di ladang ini, hampir setiap malam saya menangis sambil berharap voodoo datang membantu saya," katanya.

Dia percaya, kecekalan dan kekuatan meneruskan hidup sehingga hari ini adalah berkat dan restu dari roh nenek moyangnya.

Kisah Asita sungguh malang namun ia menjadi sesuatu yang sangat biasa di negara yang bergelut dengan masalah buruh kanak-kanak itu. Kerahan tenaga pada usia awal di Benin sekali gus memberi kesan terhadap jangka hayat yang kini rata-rata hanya 59 tahun.

Roh

Malah, kira-kira sepertiga daripada 8.7 juta rakyat di negara itu diselubungi kemelaratan dan hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa dengan pendapatan tidak sampai AS$1.25 sehari (RM4).

Voodoo yang terkenal di bumi Afrika diiktiraf sebagai agama tertua di dunia oleh sesetengah ahli konservatif yang menganggarkan usia tradisi itu sudah melebihi 10,000 tahun.

Di Benin, amalan voodoo bukan sahaja dianggap sebagai pemujaan semangat dan roh sebaliknya ia adalah satu-satunya negara di dunia yang menjadikan voodoo sebagai agama rasmi sejak lebih 500 tahun lalu.

Mengamalkan kepercayaan kepada takdir dan pegangan animisme, merangkumi alam sekeliling dan fenomena alam, sebarang kejadian yang berlaku dianggap sebagai petunjuk kepada keberkatan atau amaran daripada semangat suci yang juga disebut sebagai roh atau tuhan.

Pada dunia moden hari ini, amalan voodoo masih dipraktikkan malah masih ramai yang taksub sama ada dengan sami, ramalan mahupun ritual yang dilaksanakan bagi memenuhi sesuatu hajat.

Rahsia

Bagi seorang warga Botswana yang melanjutkan pengajian di negara ini, Bains Bosigo, 23, dia masih mempercayai voodoo sebagai tradisi budaya lama di negaranya.

"Voodoo adalah kepercayaan asal di negara kami, tetapi selepas kedatangan Kristian, semakin ramai yang beralih arah. Kini ia hanya dipraktikkan secara meluas sebagai budaya, bukan lagi agama. Namun, tidak dinafikan, masih ada yang taksub dengan voodoo, tetapi jumlahnya tidak ramai.

"Di bandar asal saya, Gaborone, voodoo adalah pemujaan roh atau bacaan mentera tertentu yang biasanya dilakukan dalam acara rasmi, upacara keagamaan, perkahwinan dan kematian.

"Selain itu, sami voodoo juga akan menjadi rujukan untuk tujuan perubatan alternatif atau sekiranya mahu mencari jalan keluar kepada sesuatu masalah," jelas penuntut di Universiti Limkokwing ini.

Bagaimanapun, tambahnya, cara pengubatan dengan sami voodoo adalah perkara yang perlu dirahsiakan demi menjaga maruah pesakit selain mahu mengelak dari menjadi bahan usikan.

"Ramai orang datang berjumpa sami dengan membawa bermacam-macam hajat. Ada yang berubat mahukan anak, mahu mencari jodoh, keselamatan, minta perniagaan maju dan sebagainya.

"Boleh dikatakan semua yang datang berjumpa dengan sami dan menjalani ritual pemujaan akan menyimpannya sebagai rahsia. Berubat dengan sami dianggap kolot namun dalam diam masih ramai yang melakukan penyembahan voodoo sebagai jalan untuk menunaikan hajat," katanya.

Darah

Ritual yang membuktikan pengabdian kepada voodoo atau semangat yang dipuja biasanya menagih darah haiwan seperti ayam untuk dijadikan sebagai korban.

Teori mengorbankan haiwan dan elemen darah yang dilihat sebagai simbolik memberi hidangan kepada roh atau semangat bagaimanapun ditolak kaitannya dengan penglibatan syaitan atau roh jahat.

"Pemujaan ini hanya dilakukan untuk meminta restu daripada alam ataupun nenek moyang yang telah meninggal dunia, tiada kena mengena dengan kuasa ghaib," ujar Bains yang menolak kewujudan penggunaan patung dan jarum dalam amalan voodoo di negaranya.

Selain korban haiwan, muzik dan tarian merupakan kunci yang menentukan kejayaan dalam pemujaan voodoo. Malah ia menjadi lambang ekspresi keagamaan, hubungan antara tuhan dengan roh yang juga dikenali sebagai Iwa di Haiti.

Tidak hairanlah, dalam ritual penyembahan voodoo, ia pasti berlangsung dengan disertai tarian yang diberi nama 'tarian malam' atau 'tarian voodoo'.

Bagi seorang lagi penuntut dari Uganda, Tebor Ulaiya, 28, dalam upacara penyembahan, dengan bantuan para Iwa, sami atau paderi akan menawarkan diri untuk mengubati pesakit sama ada menggunakan herba, ubat-ubatan ataupun mengubati melalui Iwa.

"Ia adalah ritual budaya masyarakat Afrika yang bertujuan untuk memulihkan atau memberi kebaikan. Ia merupakan alternatif yang lebih bertradisi.

"Malangnya, upacara voodoo sering digambarkan oleh sebahagian besar masyarakat dunia sebagai cara pemujaan yang hanya bertujuan untuk membalas dendam dan menyihir. Sedangkan, hakikatnya tidak begitu," katanya.

Tambah Tebor, dia tidak menolak wujudnya sami voodoo yang sanggup melakukan pemujaan ilmu hitam dengan patung atau haiwan yang telah mati demi membalas dendam sehingga membawa kepada kematian.

"Saya pernah terdengar cerita tentang orang yang memuja voodoo untuk perkara yang tidak baik, tetapi saya tidak ada pengalaman mengenainya.

"Bagi yang mempercayai voodoo, ia adalah sesuatu yang sangat berkuasa dan boleh memberi kebaikan kepada pengikutnya namun ada juga individu yang mengambil kesempatan untuk menipu dan menggunakannya untuk kejahatan," katanya.

- KOSMO!

Temasya Sukma XIII labuh tirai

Posted: 20 Jun 2010 03:16 AM PDT


Sukan Malaysia (Sukma) XIII yang telah melabuhkan tirainya semalam pasti meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Melaka.

Meskipun gagal mencapai sasaran untuk bergelar juara pada Sukma kali ini, namun di bawah kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Melaka boleh berbangga dengan kejayaan mereka selaku tuan rumah pada temasya sukan terbesar negara yang diadakan dua tahun sekali itu.

Penganjuran Sukma edisi ke-13 ini menyaksikan Melaka melakar sejarah tersendiri apabila sebanyak 33 jenis acara sukan dipertandingkan iaitu yang terbanyak sepanjang penganjuran temasya tersebut diadakan.

Temasya kali ini dan membabitkan penyertaan lebih 15,000 peserta termasuk para atlet, pegawai teknikal, pengurus sukan, jurulatih, sukarelawan dan pasukan sorak.

Pada majlis penutup yang berlangsung di Stadium Hang Jebat semalam, Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak telah menyempurnakan upacara tersebut dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih daripada 30,000 penonton yang hadir.

Sukma XIII sekali lagi menyaksikan penguasaan daripada kontinjen Terengganu apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakar mereka pada edisi ke-12 ketika mereka menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

Tumpuan pada majlis penutup semalam sudah pastinya terarah kepada pengumuman Olahragawan dan Olahragawati Sukma XIII.

Segala-galanya terjawab setelah atlet olahraga tuan rumah, J. Karthik dan perenang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Sukma edisi ke-13.

Karthik layak bergelar Olahragawan Sukma kali ini selepas kejayaannya menyumbangkan tiga pingat emas buat kontinjen Melaka apabila mengungguli acara 3,000 meter lari berhalangan, 5,000 meter dan 1,000 meter.

Lebih membanggakan, atlet muda berusia 21 tahun ini berjaya memperbaharui satu rekod kejohanan dalam acara 3,000 meter lari berhalangan selepas mencatatkan masa 9 minit 20.25 saat untuk memadam rekod lama milik S. Vikkram dari Perak (9 minit 24.06 saat).

Seperti diramal, kejayaan Kah Yan merangkul tujuh pingat emas serta dua pingat perak serta memecahkan dua rekod kejohanan sudah cukup buat perenang Wilayah Persekutuan itu diberi gelaran Olahragawati Sukma ke-13.

Kah Yan mengungguli saingan dalam acara 100 meter gaya bebas, 4x100 meter rampaian, 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak lentang, 200 meter rampaian, 800 meter gaya bebas dan 100 meter kuak lentang.

Selain itu, dua catatan terpantas yang dilakukan Kah Yan juga berjaya memecahkan rekod kejohanan iaitu dalam acara 100 meter gaya bebas dengan catatan 58.10 saat untuk memperbaharui rekod lama milik Leung Chii Lin dari Sabah (58.14 saat).

Satu lagi rekod baru kejohanan Kah Yan adalah menerusi gandingannya bersama kuartet Wilayah Persekutuan apabila mendominasi saingan 4x100 rampaian selepas mencatatkan masa terpantas 4 minit 25. 82 saat untuk memadam rekod lama kuartet Sabah dengan catatan 4 minit 27. 12 saat.

Sukma XIII juga menjadi penanda aras terhadap kehebatan atlet-atlet muda negara apabila berjaya memperbaharui 10 rekod baru kebangsaan dan 94 rekod baru kejohanan.

Upacara penutup semalam diakhiri dengan penyerahan bendera kejohanan yang menyaksikan giliran Pahang menjadi tuan rumah kepada temasya Sukma yang akan berlangsung dua tahun daripada sekarang.

Penyerahan bendera temasya tersebut telah diserahkan oleh Ali Rustam kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

- KOSMO!

World Cup FIFA 2010 Result - 19 June 2010

Posted: 19 Jun 2010 08:00 PM PDT

(53' W. Sneijder) Netherlands 1 - 0 Japan

(25' A. Gyan (penalty) Ghana 1 - 1 Australia (11' B. Holman)

(10' S. Eto´o) Cameroon 1 - 2 Denmark (33' N. Bendtner, 61' D. Rommedahl)