Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog |
- Saya Tiada Nombor Telefon Jejai - Tiz
- Umie Aida Terkilan
- Video Lucah: Tak Perlu Pengakuan, Polis Tahu Pelakunya
- Video Lucah: Ariel Disoal Siasat Semula
- Jika Bersalah, Dorce Sarankan Ariel-Luna Bertaubat
- Bieber Berbakat Luar Biasa - Usher
- Saya Suka Lakonan Juhi Chawla - Imran Khan
- Khairy ‘Curi Masa’ Untuk Bersama Anak
- Dr Wee Tak Tahu Bila Hari Bapa
- Hidup Sempurna Setelah Bergelar Bapa
- Azlan Tunggu Kejutan Isteri, Anak-Anak
- Abe Syara peserta Imam Muda pertama tersingkir
- Armada intai Malaysia
- Sanggup layan lima lelaki sehari
- Merempat di bangsal demi anak OKU
- Aaron 'hot' papa
- Suka konsep wanita ke dapur - Aqasha
- Mimpi buat lirik
- Fiq kekok berlakon
- Ratu masuk Istana Budaya
- Sambut orang ketiga
- Armada lebar sayap ke Malaysia
- Bisu akibat tiup kuat vuvuzela Piala Dunia
- Manisha kahwin rakan Facebook
- 100 wanita mohon jadi pemburu cinta
Saya Tiada Nombor Telefon Jejai - Tiz Posted: 20 Jun 2010 01:38 AM PDT SELEPAS mencetuskan fenomena dalam drama siri Nur Kasih, pelakon utamanya Tiz Zakiah tidak henti-henti dihimpit pelbagai kontroversi. Terbaru dia didakwa sebagai cuba merampas kekasih rakan baiknya pelakon Fasha Sanda. Ketika ditemui di majlis doa selamat filem Nur Kasih kelmarin, Tiz memberitahu bahawa perkara tersebut tidak benar sama sekali dan menafikan mengenali teman lelaki Fasha iaitu Jejai atau nama sebenarnya, Rizal Ashram Ramli secara rapat. "Saya terkejut apabila menerima berita ini daripada kawan-kawan dan keluarga dan tidak tahu menahu tentang perkara itu. Secara jujur saya tidak kenal teman lelaki Fasha secara dekat malah saya tidak mempunyai nombor telefon Jejai. "Memang kami pernah keluar beramai-ramai beberapa kali tapi ketika itu mereka berpasangan. Lagipun tiada sebab kenapa saya telefon dia pada pukul 3 hingga 4 pagi seperti yang dikatakan. "Bagi saya perkara tersebut tiada kena mengena dengan saya dan masyarakat tidak salah anggap tentang hal ini. Saya tidak tahu siapa yang cuba dimaksudkan Fasha dalam hal ini." jelasnya. Fasha yang meluahkan perasaannya di laman web Twitter miliknya bagaimanapun tidak memberitahu nama perempuan yang cuba menganggu kekasihnya. Namun ciri-ciri yang dinyatakan oleh Fasha lebih menjurus kepada pelakon yang sedang meningkat naik ini. Selain itu Tiz yang mahu perkara ini tidak dibesar-besarkan lagi, lebih senang mengambil jalan mudah dengan berdiam diri. "Saya tidak menghubungi Fasha lagi setakat ini kerana malas untuk membesarkan hal remeh temeh ini. Saya malas nak ambil kisah perkara ini. "Lebih baik saya move on dan terus fokus dalam bidang lakonan terlebih dahulu," jelasnya yang turut mengakui tertekan pada awalnya ketika menerima berita ini. Menurutnya salam persahabatan yang ingin dihulurkan kepada orang mungkin disalahertikan oleh sesetengah pihak. "Mungkin cara saya untuk berkawan dengan semua orang disalah erti oleh pihak lain dan apabila timbul cerita-cerita seperti ini saya akan jadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati memilih kawan," katanya. Ketika ditanya tentang kenyataan Fasha yang turut mengaitkan seorang lagi pelakon drama Nur Kasih, Fizz Fairuz, Tiz turut menafikannya. "Bukan saya sahaja terkejut dengan cerita ini malah Fizz turut terkejut, mengapa dia mengaitkan perkara tersebut dengan orang lain. "Saya memang rapat dengan Fizz sebab kami berlakon dalam cerita itu bersama malah kami juga ada lepak minum sekali namun tidak sampai mengganggu hubungan dia dengan Almy," jelasnya sambil tersenyum. Dalam pada itu Tizz turut mengingatkan Fasha agar tidak terus melemparkan sebarang tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti orang lain. "Saya tidak ambil apa-apa tindakan kerana saya rasa perkara ini kecil dan tidak merosakan kerjaya saya tetapi jika ia berterusan selepas ini sehingga menganggu perjalanan lakonan saya saya akan fikirkannya," kata Tiz. Selain itu, pelakon yang memegang watak Nur Amina dalam drama tersebut turut mengakui penat melayan gosip sejak mula popular dengan drama tersebut. " Saya tak tahu kenapa sejak dikenali banyak gosip buruk tentang saya muncul, memang penat melayannya tapi saya kena terima hakikatnya sebagai artis. "Pada saya gosip ini membuat orang berfikir tentang karakter seseorang iaitu bagaimana dia di dalam drama dan ketika di luar," katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Nur Kasih bermula 20 Jun ini. Filem yang bakal menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Jordan dan Kuala Selangor ini masih diarahkan oleh pengarah terkenal Khabir Bahtiar dan dijangka akan ditayangkan pada akhir tahun hadapan. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:37 AM PDT PELAKON terkenal Datin Paduka Umie Aida berhasrat menderma darah pada Hari Derma Darah Sedunia 2010 di Stesen Monorel Tun Sambanthan, semalam. Kehadirannya pada majlis tersebut adalah atas kapasiti sebagai duta majlis tersebut. Bagaimanapun, satu panggilan kecemasan yang diterimanya dari rumah menyebabkan dia bergegas ke hospital. "Saya terpaksa bergegas ke hospital dengan segera kerana bapa mertua dikejarkan ke situ kerana sakit usus. "Saya hanya sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit di majlis itu," katanya kepada mStar Online. Orang ramai berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma serta pemeriksaan asas "sexually Transmitted Infection" (STI) dan menyaksikan pameran oleh Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Majlis AIDS Malaysia. Program tahunan itu dianjurkan oleh KL Star Rail Sdn Bhd (KLSR). Menurut Ummie, sebelum panggilan telefon itu, dia telah menjalani pemeriksaan darah untuk memastikan kesesuaiannya menderma darah. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kandungan pigmen yang terdapat dalam darahnya adalah mencukupi. "Mereka kata Umie memang layak untuk menderma darah," ujar isteri kepada ahli perniagaan Datuk Khairuddin Abu Hassan itu. Sementara itu, Umie memberitahu, dia akan ke Los Angeles bulan depan untuk berbulan madu kali kedua. Selepas itu, dia akan kembali ke lokasi penggambaran untuk filem di bawah arahan pengarah Osman Aziz kelak. | ||||||
Video Lucah: Tak Perlu Pengakuan, Polis Tahu Pelakunya Posted: 20 Jun 2010 01:37 AM PDT KES video lucah yang melibatkan Ariel Peterpan kini memasuki babak baru. Walaupun hasil penyiasatan masih kabur, polis Indonesia kini sudah memiliki petunjuk tentang siapa dalang di sebalik penyebaran video lucah tersebut. Menurut pegawai polis Edward Aritonang, pihaknya menggunakan kepakaran penyiasatan ruang siber untuk mengenalpasti pelakunya. "Itu tidak perlu pengakuan karena ada atau tidaknya pengakuan dengan alat bukti signivication cyber crime investigation, kita sudah boleh menyimpulkan, menunjukkan siapa orangnya," jelas Edward ketika ditemui di Jakarta, baru-baru ini. Setakat ini, pihak terbabit - Ariel, Luna Maya dan Cut Tari - tetap menafikan mereka adalah 'pelakon' dalam video tersebut. Bagaimanapun, Edward menyifatkan hak mereka unutk menafikan penglibatan masing-masing. "Dokumen peribadi mereka. Itu tidak diakui hak mereka. Kita tidak butuh pengakuan. Oh. Kita sudah buktikan dengan bukti pembanding, kita sudah yakin," ujar Edward lagi. | ||||||
Video Lucah: Ariel Disoal Siasat Semula Posted: 20 Jun 2010 01:36 AM PDT SETELAH disoal siasat selama 12 jam, vokalis Ariel Peterpan akan menjalani prosedur itu sekali lagi. Ini kerana pemeriksaan yang dilakukan polis terhadapnya belum lengkap. "Masih akan berlanjut besok-besok juga masih akan ada pemeriksaan. Kita belum bisa banyak ngomong (bercakap) dan Ariel juga sudah capek (penat)," ujar pegawai penyiasat kepada Ariel, OC Kaligis ketika ditemui di Mabes Polri, Jakarta, Jumaat lalu. Sementara itu, Ariel enggan memberikan sebarang komen mengenai statusnya usai menjalani pemeriksaan. Kekasihnya, Luna Maya pula hanya berdoa dan akan terus bekerjasama dengan pihak polis. "Terima kasih ya dan minta doanya, saya akan terus melanjutkan pemeriksaan dengan berkoordinasi dengan baik dengan pihak kepolisian," ujar Ariel. Ariel berjanji akan kembali menjalani pemeriksaan. "Ini juga masih berlanjut dan nanti kita ketemu lagi. Cukup ya," ujar Ariel. | ||||||
Jika Bersalah, Dorce Sarankan Ariel-Luna Bertaubat Posted: 20 Jun 2010 01:35 AM PDT JAKARTA: Pengacara, Dorce Gamalama mengakui dia tidak ingin memujuk Ariel, Luna Maya dan Cut Tari tentang kes penyebaran video lucah di ruang siber. Tapi jika benar bersalah, Dorce menyarankan Ariel supaya bertaubat. "Bertaubatlah kalau dia salah. Yang akan menentukan mereka masuk ke syurga atau neraka adalah atas kuasa Tuhan," kata Dorce ketika ditemui di Jakarta, baru-baru ini. Dorce berpendapat, orang ramai sewajarnya menunggu hasil siasatan polis sebelum menghukum mereka dengan pandangan serong. "Jika memang mereka bersalah, Dorce yakin semua akan terungkap. Biar mereka saja yang menerima segala akibatnya," ujarnya. Dorce turut mencipta sebuah lagu untuk Ariel, Luna dan Tari yang menuntut mereka bertaubat sekiranya terlibat dalam kes video lucah itu. | ||||||
Bieber Berbakat Luar Biasa - Usher Posted: 20 Jun 2010 01:35 AM PDT PENYANYI R&B Usher mengakui dia adalah penyokong Justin Bieber kerana mengagumi bakat 'luar biasanya'. "Justin Bieber ialah seseorang yang bukan sahaja saya sokong kerana bakatnya, dia adalah seorang yang pupuk untuk menjadi seorang artis," kata Usher kepada media. "Dia (Bieber) ialah artis saya yang berbakat luar biasa. Pada pandangan saya, dia ialah pemuda yang mewakili apa-apa yang diperlukan pada ketika ini untuk menjadi seorang artis dan berjaya." tambahnya. Usher percaya Bieber mampu membalas kepercayaannya sekaligus menjadi artis kerana dia boleh bermain piano, gitar, dram dan menari. Jelasnya, ini banyak membantu apabila dia cuba memperkenalkan gerak tari baru kepadanya. | ||||||
Saya Suka Lakonan Juhi Chawla - Imran Khan Posted: 20 Jun 2010 01:34 AM PDT PELAKON Imran Khan sangat meminati lakonan aktres Juhi Chawla. Kerana taksub dengannya, Imrah berhasrat untuk berlakon dalam filem yang seakan-akan sama dengan Qayamat Se Qayamat Tak kerana ia turut dibintangi Juhi. "Semasa membesar, saya jatuh hati kepada Juhi Chawla. Saya suka dia dalam Qayamat Se Qayamat Tak. Saya sebenarnya melamarnya semasa kecil lagi," kata Imran kepada pemberita. Imran mengakui dia adalah lelaki tradisional yang ketinggalan zaman apabila menyentuh tentang percintaan. "Buktinya saya masih bercinta dengan gadis yang sama untuk lapan tahun kebelakangan ini," katanya yang bertunang dengan Avantika Malik. | ||||||
Khairy ‘Curi Masa’ Untuk Bersama Anak Posted: 20 Jun 2010 01:32 AM PDT BIARPUN jadual kerjanya padat dengan pelbagai urusan rasmi, namun tokoh politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 34, tidak pernah menjadikannya sebagai alasan tidak meluangkan masa bersama-sama dengan dua putera kesayangannya, Jibreil Ali, 3 dan Timor Abdullah, 2. "Saya selalu 'curi' masa untuk bersama mereka. Biarpun jadual saya padat saya tetap akan kosongkan jadual masa semata-mata untuk bersama-sama dengan mereka. "Selalunya apabila saya balik ke rumah saya akan baca buku atau main bola dengan mereka. Saya percaya cara ini mampu mengeratkan hubungan ayah dengan anak," katanya ketika ditemui Mingguan Mstar di vilanya baru-baru ini. Sifat kebapaan Khairy jelas terpancar kerana beliau juga tidak kekok ketika menukar baju anak sulungnya, Jibreil yang lebih manja dengan panggilan Cougar sebelum sesi fotografi bermula. Putera kedua figura ini tidak kurang hebatnya, si cilik Timor atau nama timangannya, Puma begitu asyik dengan iphone biarpun usianya baru mencecah dua tahun. Bercerita mengenai pengalamanya sebagai bapa, Khairy yang popular dengan panggilan KJ ini berkata, putera sulungnya suka bermain bola sama seperti dirinya ketika kecil dahulu. "Cougar ada sedikit persamaan dengan saya, dari segi luaran dia banyak ikut ibu dia Nori (Abdullah) tapi kalau tengok rambut dia memang dia ikut rambut saya. "Dia juga pernah berperangai 'pelik' seperti kuat merajuk dan sensitif dengan ibunya ketika ketiadaan saya selama sebulan kerana mengikuti latihan askar Wataniah pada bulan Mei yang lalu," katanya mengimbau memori indah mengenai putera sulungnya itu. Mengamalkan prinsip memberi kebebasan kepada dua heronya, KJ tidak menolak seandainya ditakdirkan salah seorang daripada permata hatinya mengikut jejak langkahnya sebagai ahli politik. "Saya dan isteri tidak pernah menyekat minat anak-anak. Kami sentiasa menyokong apa juga minat dan bakat yang ada pada mereka. "Jika Cougar atau adiknya, minat nak jadi ahli muzik saya tak halang. Saya percaya kalau kita ada minat peluang untuk berjaya pasti ada," kata graduan Universiti Oxford ini. Mengenai kenangannya pada Hari Bapa, KJ yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia ini berkata, dia sedih setiap kali mengenangkan hari istimewa itu, kerana ayahandanya telah pergi menghadap Ilahi kira-kira 18 tahun lalu. "Ayah meninggal ketika usia saya 16 tahun. Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai ayah hargailah saat-saat anda bersama mereka. "Tidak ada ayah kedua atau ketiga, mereka hanya seorang sahaja. Selagi mereka masih ada tunjukkan yang kita sayang kepada mereka," katanya. Menutup episod duka pemergian ayahanda tercinta, nyata bapa muda ini masih beruntung kerana dapat menumpang kasih dengan ayah mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. "Saya dengan Pak Lah rapat. Kami akan berjumpa sekurang-kurang seminggu sekali. Saya dan Nori akan meluangkan masa untuk makan tengah hari atau makan malam bersama-sama," ujar KJ yang memanggil ayah mertuanya, Baba. Bagi Ahli Parlimen Rembau ini, bukan harga sesuatu hadiah yang menjadi ukuran sebaliknya, tanda ingatan kita kepada insan istimewa itu lebih utama. "Pada Hari Bapa tahun lalu, kami hadiahkan sebuah buku Shakespeare Julius Caesar untuk Baba. "Untuk tahun ini, kami akan bawa Baba dengan adik-beradik yang lain pergi makan-makan," ujarnya. KJ berkata Hari Bapa bukan sekadar sambutan semata-mata kerana baginya hubungan anak dengan ayah sangat istimewa dan ia tidak dapat diungkap dengan kata-kata. | ||||||
Dr Wee Tak Tahu Bila Hari Bapa Posted: 20 Jun 2010 01:31 AM PDT BILAKAH sambutan Hari Bapa? Itu adalah soalan pertama yang terpacul dari mulut Datuk Dr Wee Ka Siong apabila Mingguan mStar membuat permintaan untuk menemu ramah beliau pada Khamis lalu. Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, beliau hanya menyedari ketibaan Hari Bapa apabila anak-anaknya menelefon untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa kepadanya. "Mereka juga akan menghubungi datuk mereka untuk mengucapkan Selamat Hari Bapa," kata Dr Wee mengenai anak perempuannya, Joan Wee Yun Xuan, 10 dan anak lelaki, Julian Wee Yu Hao, 7. Ditanya sekiranya beliau mempunyai rancangan bagi menyambut Hari Bapa, Ahad ini Dr Wee, 42 berkata: "Seperti sebelum ini, saya jarang mempunyai masa untuk sambut Hari Bapa. Tahun ini juga tidak terkecuali." Dr Wee yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, beliau perlu menghadiri kem lampias otak MCA selama tiga hari di sebuah kem di Port Dickson yang akan bermula Jumaat hingga Ahad ini. Ahli Parlimen Air Hitam itu menambah beliau dan isteri, Datin Jessica Wee, 37, percaya konsep meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Isteri dan anak-anaknya menetap di Johor Baru manakala Dr Wee bertugas di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada hari bekerja. Justeru itu, Dr Wee hanya akan pulang melawat kawasannya pada hujung minggu. "Kebiasaannya, saya akan tiba di rumah pada waktu tengah malam dan anak-anak sudah tidur. "Apabila saya bangun dan keluar untuk melawat kawasan, mereka juga masih tidur," katanya dan menambah perjalanan dari Air Hitam ke Johor Baru mengambil masa selama sejam. "Isteri saya merupakan seorang peguam yang kini bertukar menjadi suri rumah untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak kami." Tidakkah anak-anak merindui bapa mereka? Sudah pasti, akuinya dan beliau akan meluangkan masa berbual dengan anak-anak menerusi telefon setiap hari. Apakah topik yang dibualkan? "Adakah Daddy mempunyai majlis pada malam ini? Tiada majlis?," kata Dr Wee mengenai soalan lazim anak-anaknya. "Apabila saya menjawab saya ada majlis pada malam itu, mereka akan bertanya bilakah majlis itu akan tamat," tambahnya. Anak-anak beliau menerima kenyataan bahawa ayah mereka sentiasa sibuk. Setiap kali cuti sekolah anak-anak akan membuat permintaan istimewa seperti jika Dr Wee boleh meluangkan sehari dua bersama mereka. Beliau memberitahu akan cuba untuk menunaikan permintaan itu tetapi sebagai seorang ahli politik beliau belajar untuk tidak berjanji dengan anak-anak dalam hal berkaitan percutian atau sambutan. Dr Wee menambah keluarganya akan berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersamanya pada hujung tahun ini. Ditanya hajatnya untuk Hari Bapa tahun ini, Dr Wee menjawab: "Saya berharap bapa saya yang dimasukkan ke Hospital Melaka kerana masalah kesihatan akibat kemalangan pada 1988 akan sembuh segera." Bapanya Wee Lie Pin, 64, bekas penoreh getah pernah berada dalam keadaan koma selama tiga minggu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1988. Lie Pin yang berasal dari Kampung Air Baruk, Jasin sedang menghantar roti kepada keluarga pasangan Melayu yang buta di Simpang Kerayong kira-kira empat kilometer dari rumahnya semasa kemalangan itu berlaku. "Bapa saya sedang menunggang motosikal apabila dilanggar oleh kereta," imbasnya. Beliau dan bapanya sering melawat keluarga miskin dan membawa makanan seperti beras atau menghulurkan wang ringgit sebagai sumbangan buat mereka. Bagi Dr Wee, konsep 1Malaysia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri dan keluarganya dan beliau mengucapkan Selamat Hari Bapa dan semoga gembira untuk semua. | ||||||
Hidup Sempurna Setelah Bergelar Bapa Posted: 20 Jun 2010 01:31 AM PDT LAIN pula ceritanya, dengan figura politik, Tony Pua Kiam Wee, 38. Baginya sambutan Hari Bapa memberi makna yang tersendiri, lebih-lebih lagi selepas beliau sendiri bergelar ayah. Ayah kepada dua cahaya mata ini berkata kehidupannya dirasakan cukup sempurna dengan selepas beliau dikurniakan seorang puteri dan putera, Pua Xin Ying, 6 dan Pua Yi Zhe,1. "Kedua-dua anak saya masih kecil, jadi mereka perlukan lebih perhatian daripada saya dan isteri, Yow Ting Fong. Biar sibuk macam mana sekalipun, saya akan tetap luangkan masa untuk anak-anak. Jika orang lain pilih hujung minggu untuk bercuti dengan keluarga saya pulak sebaliknya. "Sebagai ahli politik saya terpaksa menghadiri seminar dan program parti pada hujung minggu maka saya memilih untuk keluar makan atau bawa anak-anak bersiar di pusat membeli-belah pada hari-hari biasa," katanya kepada Mingguan Mstar baru-baru ini. Biarpun bergelar ketua keluarga, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini tidak kekok untuk memandikan dan membuat susu untuk anak bongsunya, Yi Zhe yang lebih manja dengan panggilan Didi (adik). "Apa salahnya membantu isteri untuk menjaga anak, bagi saya ini tanggungjawab bersama. Saya tidak kekok kerana saya anak sulung dalam keluarga. Saya sudah biasa kerana dulu saya yang jaga adik-adik saya ketika mereka masih kecil," katanya. Menceritakan pengalaman sejak bergelar ayah, wakil rakyat DAP ini berkata, pasti ramai yang tidak percaya bapa muda ini mudah menitiskan air mata. Namun usah salah anggap, beliau hanya menangis apabila menonton babak antara anak yang sering melawan ayah mereka terutamanya dalam drama mahupun filem. "Kadang-kadang saya pun pelik kenapa saya mudah simpati dan akhirnya saya akan menangis apabila menonton babak pergaduhan antara ayah dan anak," katanya. Bagi anak kelahiran Batu Pahat ini, pendekatan yang digunakan oleh ibu dan ayahnya akan diterapkan kepada kedua permata hatinya itu. "Ibu dan ayah saya ajar kami adik beradik untuk saling hormat-menghormati dan mengamalkan budi pekerti yang baik. "Saya percaya jika kita dapat tanam sikap tersebut dalam diri kita pasti akan jadi insan yang berjaya," katanya. Ditanya kenangan manis ketika beliau kecil bersama ayahnya, Tony Pua berkata, beliau sangat bangga apabila dapat tahu bahawa ayahnya, Pua Lak Tee, 67, merupakan ahli bina badan terkenal pada 1960-an. "Yang peliknya, saya empat beradik tidak ada seorang pun yang jadi ahli sukan. Ayah pernah rangkul kejuaraan Mr Universe dan Mr Asia. "Ayah seorang yang tidak pernah paksa saya atau adik beradik yang lain jadi peguam atau doktor. Dia beri kebebasan sepenuhnya kepada saya untuk tentukan jalan hidup saya sendiri. Dia mendidik kami supaya amalkan akhlak yang baik dan jauhi perkara-perkara negatif," ujar bekas graduan Universiti Oxford ini. | ||||||
Azlan Tunggu Kejutan Isteri, Anak-Anak Posted: 20 Jun 2010 01:29 AM PDT SAMA seperti bapa yang lain, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar tidak terkecuali menerima kejutan daripada isteri dan tiga anaknya setiap kali sambutan Hari Bapa. Bagaimanapun, sambutan kali ini sedikit berbeza kerana anak lelaki tunggalnya, Muhammad Shafiqal, 20, tiada di sisi meraikan hari penuh bermakna itu. "Iqal berada di Mesir kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Namun anak kedua, Dania Sofia dan adiknya, Ailin Husna ada di sisi. Mereka berdua selalu ada rancangan dan buat kejutan kepada saya," kata Azlan ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini. Azlan memberitahu hati ayah mana yang tidak tersentuh jika menerima kejutan istimewa daripada anak-anak tersayang. Namun ketika mengimbas kembali sambutan Hari Bapa pada tahun sebelumnya, Azlan sudah dapat membayangkan apa yang selalu dilakukan kedua-dua anak perempuannya itu hari ini. "Saya dapat bayangkan mereka akan masuk ke bilik, berlari sambil membawa hadiah, kek dan kad ucapan. Selepas itu kami akan berpeluk-pelukan walaupun mereka sudah meningkat dewasa," katanya. Meskipun tertanya-tanya apakah hadiah yang akan diberikan mereka kelak, Azlan memberitahu memiliki isteri, Mariayani Yusof dan tiga anaknya itu adalah anugerah Tuhan paling berharga. "Dengan adanya isteri saya, saya dapat menjadi bapa kepada tiga orang anak yang comel dan cantik. Lebih manis apabila saya menerima panggilan bapa daripada anak-anak saya," jelasnya. Menurut Azlan, dia ingin menjadi seorang bapa yang berjaya seperti arwah bapanya, Johar Abdullah. Selain itu, dia mahu melihat keluarganya berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah keluarga bahagia. Katanya, zaman dulu-dulu tiada istilah sambutan Hari Bapa tetapi dia tetap menghargai pengorbanan dan kata-kata nasihat yang diberikan bapanya. "Saya sentiasa berpegang kepada prinsip jujur, tidak dengki dan menganiayai orang lain yang ditekankan bapa saya. Oleh itu, saya amat menekankan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak saya," ujarnya. Sebagai seorang bapa katanya, semua perlu memberi tauladan dan menekankan nilai-nilai kebapaan bukan saja kepada anak-anak tetapi sesiapa saja. Apa gunanya jika berpelajaran tinggi dan berpangkat tinggi jika tidak tahu menghormati orang tua. "Saya mahu anak-anak saya sentiasa jujur dalam kehidupan mereka. Dengan adanya nilai ini, mereka akan berjaya dalam hidup dan menjadi manusia yang sempurna," tambahnya. | ||||||
Abe Syara peserta Imam Muda pertama tersingkir Posted: 20 Jun 2010 01:29 AM PDT Perjalanan program realiti Imam Muda yang sudah masuk minggu keempat menyaksikan seorang pelajarnya tersingkir dari program itu setelah proses penilaian dilakukan. Keputusan penyingkiran dilakukan oleh Pengetua Imam Muda, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz pada akhir program itu Jumaat lalu. Dengan penyingkiran itu, Abe Syara atau nama penuhnya Sharafuddin Suaut, 26, mencatat sejarah sebagai pelajar pertama dalam program realiti Imam Muda yang tersingkir. Abe Syara juga mencatat sejarah tersendiri apabila bergelar wakil tunggal dari Sarawak yang berjaya memasuki program yang mengetengahkan bakal imam muda. Menurut pengetua Imam Muda Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz berkata perjalanan Abe Syara yang berasal dari Miri, Sarawak tersingkir kerana mendapat kutipan markah terendah dari sembilan pelajar yang bersaing. Sepuluh calon Imam Muda akan diuji setiap minggu dengan latihan praktikal dan bertulis berdasarkan tajuk-tajuk agama serta kemasyarakatan dan kepimpinan. Mereka yang menunjukkan prestasi yang paling bawah akan disingkirkan. Program kerohanian Imam Muda dengan mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Program itu memberi landasan untuk memartabatkan status imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tanggungjawab sebenar seorang imam. Calon-calon Imam Muda terbabit akan menjalani jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang Imam, pemimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat. Meskipun hampir kesemua mereka berpotensi menjadi Imam Muda, hanya seorang peserta yang bakal dinobatkan sebagai juara Imam Muda. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:28 AM PDT Armada, sebuah kumpulan yang namanya agak asing bagi peminat muzik tempatan. Kumpulan yang berasal dari Palembang, Indonesia ini dalam rangka promosi mengintai negara-negara luar Indonesia dalam usaha mengembangkan karier mereka di dalam industri seni.Ditubuhkan pada 2007, kumpulan yang dianggotai lima anak muda yang terdiri daripada Rizal (vokalis), Andhit (drummer), Radha (gitaris), Endra (Bass) dan Mai (gitaris) ini, pada asalnya menggunakan nama 'Kertas' di awal kemunculan mereka. Bagaimanapun, nama ini ditukar selepas mereka beralih ke syarikat rakaman baru. Nama Armada dipilih kerana mengambil dari gabungan nama mereka berlima.Pada tahun 2008, kumpulan ini melancarkan album berjudul 'Balas Dendam', namun ia tidak mendapat sambutan baik daripada peminat muzik Indonesia. Atas dasar itulah, Armada mencuba formula baru dengan menukar konsep daripada 'melankolik pop' ke 'popen' atau pop enak untuk album kedua mereka, 'Hal Terbesar'.Ternyata perubahan itu membuahkan hasil apabila album yang dilancarkan pada 2009 ini mendapat sambutan memberangsangkan. Album yang memuatkan 10 buah lagu ini mempertaruhkan tema percintaan bagi mencuri perhatian peminat. Tiga 'single' daripada album ini iaitu 'Buka Hatimu', 'Mau Dibawa Ke Mana' dan 'Kuingin Setia' menjadi pertaruhan mereka untuk dikenali di sini. Ditanya media mengenai kemampuan mereka dikenali seperti Ungu, Sheila On 7, Peterpan, ST12, Rizal selaku vokalis berkata, mereka masih terlalu baru jika ingin di bandingkan dengan senior mereka itu. "Mengikut pengalaman-pengalaman oleh artis-artis di Indonesia yang pernah melakukan promosi di sini, mereka akan diterima oleh kerana itu kami percaya peminat muzik di Malaysia lebih terbuka dan boleh menerima kehadiran kumpulan baru asalkan muzik yang dibawakan bagus dan menepati citarasa," katanya kepada media pada sesi pelancaran mereka di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bercerita tentang album kedua ini, Andhit memberitahu mereka menggunakan tajuk 'Hal Terbesar' kerana ia adalah sebagai ungkapan atas semua pengalaman pahit dan manis ketika berada di dalam industri muzik. Walaupun banyak rintangan yang terpaksa dihadapi, mereka masih mampu bertahan sehingga kini. "Berbanding album terdahulu, 'Hal Terbesar' menampilkan muzik yang lebih harmonis dan lebih menonjolkan kesan keindahan pada setiap lagunya. Malah, kami juga menyuntik elemen orkestra bagi mencipta kelainan. Kami percaya muzik kami kali ini lebih matang dan enak didengar. Jadi, kami sangat berharap album ini boleh menembusi pasaran Malaysia sebagaimana album-album kumpulan Indonesia yang lain," katanya. Sementara itu, Armada sempat berkongsi cerita tentang 'nazar' atau niat mereka sekiranya berjaya mencipta kejayaan besar dalam industri. Menurut lima anak muda ini, jika diizinkan Allah, mereka mahu menghantar kedua ibu bapa mereka menunaikan haji menggunakan wang yang diperoleh daripada penjualan album dan pertunjukan pentas. "Ini memang niat kami dari awal-awal lagi. Mudah-mudahan niat ini dapat ditunaikan dalam sedikit masa lagi. Setakat ini wang simpanan kami sudah mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menunaikan haji," kata Rizal berterus-terang.Album Armada telah pun berada di pasaran Malaysia dan ia dijual pada harga RM21.90. Sama seperti pasaran Indonesia, Armada menjangkakan lagu 'Buka Hatimu' dan 'Kuingin Setia' mampu menjadi hits di sini. | ||||||
Sanggup layan lima lelaki sehari Posted: 20 Jun 2010 01:27 AM PDT KUALA LUMPUR - Bagaikan pesta jual tubuh!Kegiatan 'kupu-kupu' China di sebuah pasar raya di Jalan Pudu di sini didapati semakin menjadi-jadi semalam dan jumlahnya bertambah ramai pada hujung minggu. Tinjauan wartawan Kosmo! Ahad semalam mendapati, bukan sahaja di pintu tandas, kali ini pelacur warga China itu semakin ramai berkeliaran mencari pelanggan termasuk di depan eskalator dan tangga pasar raya berkenaan. Difahamkan, selain memenuhi nafsu lelaki tempatan, bilangan pelacur itu bertambah bagi memenuhi permintaan tinggi terutama di kalangan lelaki warga asing seperti Bangladesh, Nepal dan Myanmar. Kebanyakan warga asing yang bercuti semalam merupakan pelanggan tetap kepada pelacur di pasar raya berkenaan berdasarkan cara mereka berbual dan sudah mengenali nama-nama sesetengah pelacur terbabit. Ketika ditanya oleh wartawan, ada di kalangan lelaki warga asing mengaku perkhidmatan seks murah itu dianggap sebagai terapi kepada mereka sebelum memulakan tugas semula pada minggu depan. Selain itu, 'kupu-kupu' China itu terpaksa bekerja keras melayan bilangan pelanggan lebih ramai daripada biasa pada hujung minggu. Malah ada di kalangan mereka sanggup melayan lima pelanggan sehari asalkan mendapat bayaran. | ||||||
Merempat di bangsal demi anak OKU Posted: 20 Jun 2010 01:26 AM PDT ALOR SETAR – Tidak semua insan bergelar bapa mampu menjalani kehidupan yang sempurna dan menggembirakan meskipun usia sudah mencecah separuh abad. Itulah nasib Jamil Jaafar, 50, apabila terpaksa berpindah-randah bersama anak tunggalnya, Rohani, 5, yang mengalami penyakit Sindrom Down sejak dilahirkan. Kehidupan getir itu bermula sebaik sahaja isterinya, Rokiah Ahmad, meninggal dunia akibat penyakit jantung berlubang, kira-kira lima tahun lalu. Lebih memilukan, Rokiah yang ketika itu berusia 33 tahun, meninggal dunia kira-kira seminggu selepas melahirkan anak istimewa itu.
Menurutnya, sejak itu dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anaknya. Katanya, kesempitan wang menyebabkannya terpaksa keluar dari rumah sewanya di Tandop dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Hari ini dia menjadikan sebuah bangsal usang berdekatan Masjid Al-Guffran, Akar Peluru di sini sebagai tempat berteduh. "Sebelum ini saya kerja di kilang baja di Tandop dan isteri kerja kilang di Sungai Petani. Saya tak boleh kerja pasal nak jaga anak. "Sekarang ini saya duduk di masjid di Akar Peluru kerana tak mampu bayar sewa rumah di Tandop," ceritanya ketika ditemui Kosmo Ahad! semalam. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:25 AM PDT DALAM erti kata yang mudah, dia tidak menyimpan memori dipeluk kasih bapa. Tiada erti ciuman di dahi oleh sang ayah atau melompat kegirangan menyambut pulang lelaki berstatus pemimpin rumah tangga itu sambil di tangannya tergenggam mainan baru. Kenangan itu tiada dan tidak pernah muncul dalam jalur ingatan Aaron Aziz, 34, aktor dari Kota Singa yang semakin subur bakatnya ke daerah seni Malaysia. Kematian lelaki berstatus ayah ketika tulang-temulangnya masih belum gagah berdiri, berlari apatah lagi, Aaron pernah membesar dalam bungkam perasaan yang kabur. Dia hanya kenal nilai kasih ibu sedangkan panggilan ayah yang laju melantun daripada bibir rakan-rakan seusia, langsung tidak memihak ke batang tubuhnya. "Saya tiada perasaan dan langsung tidak tahu apa rasa mempunyai ayah. Saya tidak tahu apa itu kebapaan. Cuma dalam usia lewat 20-an, setelah saya mempunyai anak sendiri, barulah saya faham apa yang cuba dilakukan oleh seorang bapa.
"Saya menjadi yatim ketika umur saya belum sampai setahun. Ibu saya berkahwin sekali lagi ketika usia saya 13 tahun. Pernah juga saya persoalkan apa yang cuba dilakukan oleh bapa tiri saya tapi lama-kelamaan dan hari ini saya sangat menghormatinya, dia, Abdullah Daud, 55, seorang lelaki budiman yang mengajar saya bagaimana menjadi lelaki sebenar," terjemahan optimis terzahir oleh Aaron saat menumbuhkan ingatannya terhadap insan bergelar bapa. Hari ini, 20 Jun atau lebih tepat lagi, Ahad ketiga dalam Jun diisytihar sebagai Hari Bapa bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia. Searas dengan statusnya bapa kepada tiga cahaya mata, Aaron menjadi pilihan Sensasi Bintang untuk mengisi portfolio istimewa untuk semua. Jika ada gelaran 'hot papa', Aaron antara bapa yang mampu menggalas gelaran itu saat ini. Dia bergelar bapa seawal usia 28 tahun saat menyambut kelahiran anak pertama Danish Anaqi, 6, dan selang dua tahun kemudian, muncul Dwi Ariana, 4. "Itu cuma satu kelebihan sebab saya selebriti. Harapnya, gelaran itu satu doa yang baik, boleh juga jadi satu peringatan kepada saya supaya kekal menjadi diri sendiri, tidak lupa diri dan tahu mana bumi di pijak," cetusnya yang baru menimang anak ketiga, Dahlia Arissa, 23 Mei lalu. Kasih tidak pernah luak untuk dibahagi-bahagikan. Ada anggota baru dalam keluarga dan dalam masa yang sama, dua lagi sedang membesar, memacu semangat bekerja serta misi kebapaannya semakin jelas. "Jadi, sambutan Hari Bapa bukanlah semata-mata untuk anak mengucapkan selamat Hari Bapa kepada bapa masing-masing. Untuk saya, memandangkan anak-anak masih kecil, Hari Bapa yang datang ini lebih kepada satu peringatan," tuturnya lancar. Tersenyum sambil ralit menceritakan kerenah tiga anak yang masih kecil, dia mengaku tidak pernah mengekang keinginan sang anak. Bahkan dalam banyak hal, dia yang terlampau memanjakan anak sehingga mampu memdatangkan risiko. "Sekarang anak-anak sudah pandai membuat permintaan, isteri saya (Diyana) kerap menyalahkan saya kerana terlalu mengikut kata anak dan memanjakan mereka. "Saya cuma mahu memenuhi setiap kekosongan kerana ketika zaman kanak-kanak saya tidak merasainya. Saya tidak mahu mereka rasa apa yang pernah saya rasa. Tapi sekarang saya sedar, saya perlu beransur-ansur kurangkan 'keistimewaan' putera puteri saya itu," katanya. Mahu tunjuk kejantanan
Masuk ke kancah populariti yang memungkin hidup tanpa had privasi, Aaron melonjak naik tanpa cerita panas. Mengakui banyak diselamatkan oleh status bapa, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Haryati 2 oleh Erma Fatima (2004) itu bagaimanapun harus akur - menjadi artis tidak akan terlepas daripada gosip. Seperti beberapa aktor sasa yang lain, status suami kepada Diyana Halik, 29, ini juga tidak mampu melindungi Aaron daripada terjebak dengan khabar yang digeruni oleh golongan wanita. Ketika populariti sudah digenggam, baru-baru ini, ada angin panas meniupkan bicara, kononnya dia termasuk dalam senarai lelaki gay. Pernah disangkalnya dalam artikel terdahulu, sekali lagi Aaron bertegas. "Saya tidak perlu naik marah atau melatah dengan gosip sebegitu. Bagi saya itu fitnah. Bila orang tengok rumah tangga saya aman dan tidak bergoncang, isu lain pula yang timbul. Agaknya sudah lumrah, apabila menjadi artis, pasti ada pihak sengaja mahu mencari kesilapan saya. "Macam mana lagi hendak saya buktikan 'kejantanan' saya. Saya tak perlu buat apa-apa. Sebab mulut orang susah hendak ditutup," katanya selamba. Riak wajahnya biasa, tenang dan jauh berbeza dengan sifat agresif seperti yang ditonjolkan dalam lakonannya. Adat menjadi lelaki, sifat 'nakal' itu tidak dapat dipisahkan. Menanyakan Aaron, apakah dalam dirinya sudah dibuangkan jauh-jauh segala kenakalan seorang lelaki, ini jawabnya: "Saya masih nakal, tetapi kenakalan itu akan keluar apabila saya berada bersama orang-orang tertentu. Apabila bersama rakan-rakan yang 'kepala merepek', saya pun sama merepek. Bila bersama anak-anak, saya harus nakal setaraf dengan penerimaan anak-anak. Jika bersama isteri, saya suka mengusik-usik dan mengejek Diyana," luahnya. Menelaah personaliti bapa popular itu, Aaron juga ditebak tentang kenakalan yang dicuba disingkirkannya. "Saya cuba buangkan sifat panas baran saya, cuba tapis kata-kata dan pandangan tidak baik terhadap orang lain. Jika sebelum ini pantang disentuh, mula rasa ingin berdepan dengan pihak yang bertentangan, sekarang kena banyak sabar memikirkan saya ada keluarga yang kena dipertahankan. "Jika di lokasi, ada ramai wanita cantik dan seksi, jadi saya kena tapis pandangan mata saya. Boleh tengok tapi tak boleh tengok lebih-lebih," ulas Aaron dengan senyum nakal. Gengster dan banduan
Bukan lagi Bintang Eksklusif Astro sejak Mac 2010, Aaron kini bebas bekerja dengan mana-mana rumah produksi tanpa had siaran di mana-mana saluran. Baru sudah selesai penggambaran drama bersiri Qabil Dan Habil, dia kini menyerap karakter baru. Bukan sekadar gengster seperti yang pernah terpamer menerusi Evolusi KL Drift 1, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2. Menerusi filem KL Gangster, filem terbaru terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang memulakan penggambaran sejak 9 Jun lalu, Aaron melengkapkan siri watak jahatnya. Kali ini dia menjadi kepala gengster yang digeruni. Dia menggalas watak bekas banduan yang harus berdepan realiti hitam. "Melakonkan watak Malik, walaupun masih bawa watak gengster, saya cuba asingkan diri dengan karakter yang pernah disaksikan dalam Evolusi KL Drift 1 dan 2. "Ada perubahan daripada segi rambut, karakter yang lebih baik kerana saya menjadi banduan yang telah insaf, solat dan mahu bina hidup baru. Tapi tidak semudah itu, kawan baik saya dibunuh dan ada pihak yang sengaja cari pasal dengan keluarga saya, adik-adik saya mula terlibat dengan dadah dan kongsi gelap. "Itu yang kena saya pertahankan dalam filem terbaru ini. Sebab itu di hujung cerita, penonton akan lihat banyak aksi dan pergaduhan," katanya yang kali pertama diberi peranan hero dalam filem arahan Syamsul Yusuf. | ||||||
Suka konsep wanita ke dapur - Aqasha Posted: 20 Jun 2010 01:24 AM PDT UMUM sudah mengetahui jejaka dengan nama penuh Firdee Akasha Rosli ini sedang berada dalam fasa darah manis. Pelakon yang pernah membawakan watak tentera Jepun dalam filem Embun ini sudah diikat hati dan gerinya. Separuh jiwanya sudah membuat persiapan untuk bergelar sebagai suami. Selesai majlis pertunangan pada 23 Mei lalu, Aqasha hanya menunggu detik memasuki gerbang perkahwinan. Dia hadir ke majlis pelancaran drama Dendam Orang Minyak yang menuntut dirinya menyelami kerjaya seorang wartawan jenayah. Tersenyum namun lagaknya masih seperti biasa, santai dan bersahaja. Membuka bicara sebagai tunangan orang, Aqasha yang menggayakan rona jingga dengan berseluar denim sudah dapat menjangka soalan yang bakal ditanya. Katanya, dia sudah mendapat aura naluri seorang wartawan melalui wataknya dalam drama Dendam Orang Minyak. "Sudah lumrah kerjaya wartawan, pasti ingin tahu dan terus mengorek," ujarnya. Lalu Aqasha membuka cerita tentang gadis bernama Baizura Sabri yang berusia 26 tahun. Wanita itu sudah dikenalinya sejak awal usia mereka 20-an. "Perkenalan itu terjalin melalui kawan," katanya memulakan cerita. Awalnya atas dasar kawan namun sejak dua tahun lalu, hati dua insan yang masih tercari-cari pasangan hidup akhirnya memulakan langkah. Pertemuan semula itu tidak hanya berbalas senyuman atau kata-kata sebaliknya ia berlanjutan menjadi buah cinta yang kemudian subur hati Aqasha mahu pun Baizura. Malah mereka kemudian mengikat kata untuk bertunang dan mengakhiri zaman bujang mereka tahun ini juga. "Katakanlah saya tipikal atau konservatif tetapi hakikatnya saya sukakan konsep wanita rajin ke dapur. Baizura adalah seorang perempuan yang ringan tulang. "Dia rajin ke dapur. Saya pula memang suka makan. Paling saya gemar adalah sambal goreng berlada masakannya," tutur jujur seorang lelaki yang bakal masuk ke alam 30-an dua tahun lagi.
Nyata Baizura bukan hanya sudah menambat hati Aqasha malah perut pelakon tersebut turut diikat dengan air tangannya. "Bukan tidak mahu memberitahu umum tapi saya takut digelar 'poyo' kerana baru bertunang. "Nanti orang cakap baru bertunang pun nak beritahu semua. Saya memang tidak mahu berahsia tentang pertunangan saya. Hajat hati mahu berkongsi bila sudah mahu kahwin kelak. "Rancangnya 10 Oktober depan adalah tarikh pernikahan tapi semua borang dan prosedur belum siap. Takut-takut tiada pula jurunikah pada tarikh tersebut," ujarnya. "Saya duduk di Shah Alam dan dia di Sungai Besi. Harap-harap kami tidak bergaduh kalau mahu pulang beraya kelak," selorohnya dalam serius. Majlis pertunangan yang diadakan penuh adat Melayu itu berlangsung selepas solat Zuhur dengan disaksikan oleh 40 ahli rombongan yang terdiri daripada keluarga terdekat. Adat Melayu, berbalas pantun dan bertukar kata, maka penyerahan 11 dulang hantaran daripada pihak si Adam yang terisi sebentuk cincin, sepersalinan pakaian, telekung, sejadah al-Quran, kasut, tas tangan dan barangan solek. Hantaran itu berbalas 13 dulang termasuk sebuah gitar sekali gus mengesahkan mereka bersetuju melayari fasa pertunangan untuk lima bulan mendatang. Aqasha tampak matang berbicara, dia tidak kekok berkongsi momen bahagia dan rasa terhadap tunangan tersayang. Wanita yang bertugas sebagai editor di syarikat penyiaran Astro tersebut benar-benar mengetuk hati lelaki Aqasha. "Baizura biarkan saya menjadi diri sendiri. Saya ini orang yang ekspresif dan kadang kala cakap saya terlalu tajam dan tidak berlapik. Dia menerima saya sebegitu," ujarnya yang kini semakin sibuk dengan penggambaran drama yang banyak mengetengahkan dirinya sebagai pelakon utama. Namun dalam sibuk-sibuk sebegitu, dia tidak lupa kenyataan yang dirinya bakal bertukar status Oktober kelak. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:24 AM PDT LELAKI 'Adrenalin' ini sedang enak mempromosikan album keduanya yang diangkat sebagai Anugerah Album Terbaik dan Album Rock terbaik pada malam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) baru-baru ini. Dalam satu wawancara bersama Faizal Tahir, ayah kepada tiga orang cahaya mata ini pernah menyatakan bahawa kehadiran Audi Mok selaku orang kuat di belakangnya adalah untuk menuetralkan keghairahan dalam dirinya. "Audi sentiasa bertindak meneutralkan saya. Kalau lagu-lagu saya kedengaran terpesong kepada idola saya atau kedengaran sama dengan lagu-lagu yang sedia ada, Audi merupakan individu yang bertindak melaras semula muzik saya daripada tersasar," jelasnya. Freddie Mercury merupakan individu yang paling berpengaruh dalam dirinya. Berikutan pengaruh dan populariti yang ada dalam diri seorang Faizal Tahir, dia kini diangkat sebagai duta kempen Bebaskan Bumi Palestin. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:23 AM PDT SUDAH agak lama menyepi, itu hakikatnya perjalanan Mohd. Firdaus Abdul Halim, 28, yang lebih mesra disapa Fiq Mentor. Namun bak pepatah diam-diam ubi berisi, Fiq kini muncul dengan album baru berjudul Diagnostik. Fiq mengerti ada peminat yang menunggu buah tangan darinya setelah dia bertapak dalam dunia seni menerusi platform Mentor. Kini Fiq yang cenderung dengan genre rock merealisasikan kehendak jiwa dan peminatnya dengan menyajikan genre tersebut dalam album terbarunya. Fiq yang sebelum ini popular dengan lagu Tiga Malam Tanpa Bintang dan Bukti kini muncul dengan single terbaru bertajuk Manifestasi Cinta. Ujarnya, konsep yang dibawa melalui single terbaru ini tidak jauh berbeza dengan naskhah seni terdulu, namun terdapat elemen-elemen baru yang diketengahkan diharap dapat meluahkan sisi kematangannya. Salah satu elemen itu adalah elemen timur tengah. Fiq turut berduet dalam satu lagu dengan kumpulan nasyid iaitu Mirwana bagi memberi isyarat dakwah dan rock mampu bergerak seiring.
"Saya mahu tonjolkan sedikit kelainan dalam album ini, itu sebenarnya yang saya mahu tampilkan. Ianya masih berentak rock, namun gabungan dengan Mirwana menambahkan rentak pop harmoni yang menunjukkan kesesuaian dengan lirik lagu tersebut," kata Fiq yang gemar bergaya santai di hadapan kamera. Ujarnya, lagu Manifestasi Cinta mengisahkan dunia yang penuh kekacauan tetapi dengan adanya cinta, terutamanya cinta kepada Tuhan dan manusia, segalanya dapat mengatasinya dengan mudah. Menurut Fiq, lagu hitnya telah diputarkan di corong-corong radio manakala pelancaran albumnya juga telah dilakukan. Apa yang diharapkan, kemunculannya akan diterima oleh para peminat. Dia yang kini sibuk dengan promosi album tersebut turut berada di Sabah baru-baru ini untuk membuat persembahan. "Saya harap semua peminat samada peminat lama ataupun baru dapat menerima muzik yang saya bawa ini. Saya harap naskhah ini dapat membuatkan mereka mengingatinya sampai bila-bila," ujar Fiq bersungguh-sungguh. Kekok berlakon Menghasilkan album terbarunya bukan sahaja memerlukan Fiq melontarkan suara tetapi ia turut menuntut dirinya berlakon dalam klip video Manifestasi Cinta. Mengakui dirinya terasa keras dan kekok di hadapan lensa tetapi Fiq menganggap itu cabaran untuk menjayakan klip video tersebut. "Klip video ini memerlukan saya berlakon dan saya kekok kerana saya tidak biasa," katanya yang menjalankan pengambaran tersebut dengan pelakon Wan Sharmila. Menurut Fiq, dia sebenarnya malu untuk berlakon dan suatu masa dulu dia pernah menolak tawaran untuk berlakon kerana tidak yakin dapat menjadi seorang pelakon yang baik.
"Saya berhasrat untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian dan berpeluang, saya ingin mencipta lagu sendiri," kata Fiq yang menyimpan hasrat untuk berduet dengan mentornya, iaitu vokalis kumpulan Search, Amy. Akhiri zaman bujang Fiq yang kini mencecah umur 28 tahun merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya pada umur 30 tahun. Itu semua bergantung kepada jodoh yang ditentukan-Nya. Menurut Fiq dia kini sedang mencari teman hidup yang sesuai bagi mengisi ruang hatinya. Baginya, tempoh perancangan mungkin singkat, namun jika jodohnya sudah sampai, dia akan menerima seadanya. "Saya memang sedang mencari teman istimewa, tetapi sebagai artis, saya memerlukan teman hidup yang benar-benar memahami kerjaya saya. "Saya juga tidak kisah dengan paras rupa tetapi cukup dengan mempunyai hati yang ikhlas untuk bersama saya," doa jejaka yang berasal dari Sandakan, Sabah ini. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:22 AM PDT MANJA, tawa dan auranya tidak punah diheret usia. Ratu Rock, Ella masih dalam cara tersendiri. Sejak mula muncul dengan sebuah band yang dikenali sebagai Moonracker pada tahun 1983 dan Ella & The Boys sekitar tahun 1985, Ella sehingga kini sudah hampir tiga dekad menjadi 'bunga' yang menyemarakkan melodi dan alunan muzik rock tanah air. Biarpun meninggalkan kumpulan The Boys dan bergerak solo pada 1988, impak yang dicipta Ella & The Boys masih diingati sehingga kini. Bahkan, Ella & The Boys sentiasa menjadi rujukan jika ada band-band baru yang menyandarkan satu-satunya bunga sebagai vokalis mereka. Ella menzahirkan gerakan penyanyi wanita rock yang didominasi platun lelaki. Melodi-melodi indah dan berhantu seperti Pengemis Cinta, Permata Biru, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Gemilang, Layar Impian, Baldu Biru, Nuri, Retak, Kesal, Tinggal Tanda Tanya, Ilham Bicara serta Rama-Rama, sekadar beberapa single popular bagaimanapun lagu 'rasmi' Ella itu sudah melekat di bibir para pengikutnya.
Lagu Standing In The Eyes Of The World yang menjadi lagu tema Sukan Komanwel 1998 merupakan pencapaian Ella yang tidak pernah diraih mana-mana penyanyi. Seperti Ramli Sarip yang digelar 'Papa Rock' dan Sheila Majid 'Ratu Jazz', Ella berada di takhta tersendiri sebagai Ratu Rock di hati peminatnya, sehingga kini. Dari sisi peribadi, sampai detik ini, hidup sang ratu itu masih belum disunting mana-mana 'raja'. Barangkali Ella sendiri sudah membiarkan keputusan yang satu itu ditentukan oleh Yang Maha Esa. Perjuangan yang mahu disebarkan untuk pendengaran dan pengetahuan khalayak hanyalah muzik dan karyanya. Itu getaran yang menggerakkan denyut nadinya. Pertengahan tahun 2010 merupakan musim padat dalam jadual kariernya. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:22 AM PDT USIA perkahwinan yang baru masuk setahun semakin bermakna dengan kehadiran orang baru. Sukar menggambarkan perasaan Diana Rafar, 28, tetapi kuntuman senyum di bibir nipisnya sudah jeals menerangkan perasaannya. Sinar kepuasan sebagai isteri dan bakal ibu yang mengambur dari wajahnya seperti tidak dapat ditahan-tahan. Kini zuriat pertama hasil perkongsian hidup dengan Zamarul Hisham sudah menginjak bulan yang kelima. Anak bongsu daripada enam beradik ini menikahi pelakon lelaki tersebut di Masjid Shah Alam pada 16 Mei tahun lalu. "Saya sendiri tidak menyangka kini saya berbadan dua. Manakan tidak, ada kawan yang mengalami alahan teruk terutama dalam tiga bulan pertama (hamil) tetapi saya tidak mengalami sebarang alahan. "Kandungan kini sudah masuk bulan kelima tetapi saya masih tidak muntah-muntah... pening lalat seperti kebanyakan ibu yang lain pun tidak," ujarnya yang membawa perut ke lokasi penggambaran Ilusi. Drama tersebut bakal disiarkan menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang. Diana yang memegang nama asal Adiana Rafar sebelum ini sudah lali dengan pelbagai soalan berhubung sekehadiran orang ketiga dalam hidupnya dan Zamarul. Bayi merupakan soalan lazim yang ditanya kepada pasangan suami isteri terutama jika mereka berjalan dengan perut kempis. Alah dengan soalan-soalan wajib tersebut, kini Diana mempunyai jawapan untuk setiap pertanyaan terhadap soalan seperti itu. "Dulu jawapan saya macam biasa, tiada rezeki. Tapi orang banyak bertanyakan pada Zamarul kerana saya jarang keluar sejak akhir-akhir ini. Kini adalah masa yang sesuai untuk saya umumkan bahawa diri saya sudah pun berbadan dua. InsyaAllah kami akan menyambut orang ketiga tidak lama lagi," ujarnya. Kata Diana, Zamarul merupakan insan yang paling gembira apabila mendapat tahu dia hamil. Zamarul turut memliki dua anak lelaki hasil perkahwinan pertamanya yang kini menghampiri usia remaja. Wanita bermata bundar ini turut galak bercerita tentang watak dalam drama terbarunya yang terselit unsur misteri dan mistik. Membawakan watak Liza dalam drama 24 episod arahan Liza Ismail, Diana berkongsi keterujaannya membawakan watak wanita yang mampu melihat masa hadapan. Ilusi yang membariskan pelakon hebat seperti Ashraff Muslim, Ryzal Jaafar dan Azhar Sulaiman nyata memberikan dirinya sedikit suntikan ilusi di luar lokasi. "Secara kebetulan, setelah menjalani penggambaran drama Ilusi, saya mendapat beberapa ilusi dalam kehidupan seharian saya. Tetapi saya anggap itu semua adalah kebetulan," ujar Diana yang mengalami pertambahan berat badan daripada 46 kilogram ke 55 kilogram semenjak hamil. Ujarnya jujur, sebenarnya dirinya lebih diselubungi rasa takut berbanding gembira ketika dalam proses kehamilan. Sedikit demi sedikit dia menukar rasa rakut itu setelah melihatkan emosi gembira terpancar di wajah orang di sekelilingnya. "Entahlah... tetapi rasa gembira itu agak lambat hadir sebaliknya saya lebih rasa takut dahulu. Kini saya banyak baca al-Quran dan makan makanan berkhasiat serta minum susu untuk kesihatan bayi dalam kandungan," ujarnya mengakhiri perbualan. | ||||||
Armada lebar sayap ke Malaysia Posted: 20 Jun 2010 01:21 AM PDT SEBELUM ini lima anak muda yang berasal dari Jakarta ini hanya menumpang tuah nama Kertas yang diharap dapat memperkenalkan mereka di persada seni tanah air. Hayat Kertas tidak kekal. Mereka akhirnya menukar nama kumpulan itu kepada Armada. Ia diharap membawa tuah berterusan buat mereka. Misi Armada menerjah pasaran seni Malaysia banyak didorong hasil kejayaan yang dikecapi oleh band-band Indonesia terdahulu seperti Radja, Ungu, Padi, Sheila On 7 dan Dewa 19. "Kami percaya di Malaysia, band Indonesia mudah diterima peminat tempatan. "Kami mahu meramaikan ahli-ahli muzik dan pada masa sama berhasrat untuk menonjolkan bakat yang kami ada bagi mempelbagaikan lagi jenis muzik yang ada," kata Rizal ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelas Rizal, Armada lebih selesa membawakan genre muzik melankolik pop dalam lagunya. Armada hadir ke Malaysia bertujuan untuk mempromsikan album Hal Terbesar yang mengetengahkan hits mereka berjudul Buka Hatimu dan Mahu Dibawa Ke Mana. Setelah berjaya mencipta nama di negara sendiri, Armada mendapati bahawa kepuasan yang benar-benar mereka peroleh bukan sahaja daripada kutipan wang hasil nyanyian tetapi apa yang lebih penting adalah penerimaan pendengar terhadap muzik yang diketengahkan. "Kami puas sekiranya penonton hadir, tetapi sekiranya mereka turut menyanyi, menari dan mengikut rentak kami, itu merupakan kepuasan sebenar buat kami," ujar Rizal. Kumpulan ini dianggotai oleh lima orang ahli yang diterajui Rizal sebagai vokalis, Andhit (dram), Radha (gitar), Endra (bass) dan Mai (gitar). Penerimaan terhadap Armada sangat menggalakkan sehingga menyebabkan jadual kumpulan itu menjadi sangat padat. Kata Rizal, Armada pernah membuat 38 persembahan serta undangan dalam sebulan. "Jadual yang padat memerlukan kami kuat dari segi mental dan fizikal tetapi kami tidak merungut kerana ia merupakan sumber pendapatan kami," jelas Rizal. Tambah anak muda itu lagi, cita-cita mereka selepas ini adalah untuk menghantar kedua-dua ibu bapa masing-masing mengerjakan ibadah haji. Ini semua bertitik-tolak dari kejayaan Armada yang dilihat semakin memberangsangkan. "Berkat rezeki kami yang semakin bertambah, kami mahu menyimpan wang dan jika berkesempatan, kami mahu menghantar kedua ibu-bapa ke tanah suci," ujar Rizal yang turut melahirkan hasrat untuk berduet dengan Slank. | ||||||
Bisu akibat tiup kuat vuvuzela Piala Dunia Posted: 20 Jun 2010 01:20 AM PDT CAPE TOWN - Seorang wanita kulit putih Afrika Selatan, Yvonne Mayer, 29, hilang suara selama dua hari selepas meniup trompet tradisi masyarakat negara itu, vuvuzela pada satu parti jalanan Piala Dunia 2010 di Fan Park di sini baru-baru ini. Dia yang bekerja sebagai jurujual insurans tempatan diberitahu seorang doktor ketika mendapatkan rawatan di Hospital Medi-Cross di sini yang mendapati tekaknya pecah namun, pegawai perubatan menasihatkan Mayer untuk tidak makan dan minum dalam tempoh 48 jam. "Ini kali pertama saya meniup trompet popular itu Isnin lalu dan kemudian langsung tidak boleh bercakap. Pada mulanya saya menyangka tertelan kumbang sebelum doktor yang memeriksa tekak saya mendapati ia sudah pecah," katanya. Akibatnya, Mayer terpaksa berpuasa maraton dua hari untuk mengembalikan semula tisu tekak menjadi pulih manakala Dr. Scott Barker yang merawat wanita itu menyifatkan ia kes pertama seumpamanya disebabkan meniup vuvuzela. | ||||||
Posted: 20 Jun 2010 01:20 AM PDT KATHMANDU - Aktres terkenal Bollywood kelahiran Nepal, Manisha Koirala, 39, selepas dua kali putus cinta akhirnya mengahwini seorang ahli perniagaan negara itu, Samrat Dahal yang dikenali menerusi laman sosial popular Facebook. Upacara perkahwinan berlangsung di kuil Hindu di sebuah resort hutan mewah di Sridhar Pokharel semalam manakala majlis resepsi dijadualkan pada hari ini dengan dihadiri semua ahli keluarga dan rakan-rakan rapat kedua-dua belah pihak. Manisha yang juga duta muhibah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak dilantik pada 1999, pernah bercinta dengan Duta Australia di Nepal, Crispin Conroy dan kemudian penulis buku warga Amerika Syarikat, Christopher Dorris. Bintang itu memulakan karier lakonan pada 1989 sebelum menjadi popular menerusi banyak filem termasuk Dil Se bersama dengan aktor Shah Rukh Khan selain dinobatkan lima kali sebagai pelakon wanita terbaik. | ||||||
100 wanita mohon jadi pemburu cinta Posted: 20 Jun 2010 01:19 AM PDT BEIJING – Sejumlah 100 wanita muda China bersaing daripada lebih 2,000 pemohon untuk mendapatkan kerja sebagai pencari jodoh dalam sesi temu duga di sini kelmarin yang menawarkan gaji tahunan 250,000 yuan (RM119,150). Pekerjaan itu diberi nama sebagai pemburu cinta diuruskan firma terkenal Golden Bachelor Matchmakers berpusat di Shanghai yang mengkehendaki mereka untuk memadankan wanita bujang bertemu dengan lelaki yang sesuai. Pengerusi firma itu, Xu Tianli berkata, calon mestilah memiliki ketinggian kurang 173 sentimeter dan berusia bawah 28 tahun manakala pemohon yang berjaya akan mendapat sebuah kereta Mini Cooper yang juga berharga 250,000 yuan. Syarikat itu yang ditubuhkan pada 2005 kini mempunyai jutaan data individu bujang dari seluruh China dan pemburu yang berjaya mencari pasangan sehingga berkahwin akan menerima bonus sejuta yuan (RM476,600). |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |