Adsense

Ahad, 27 Jun 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Yuna-Ana Raffali Bukan Pesaing – Aidit Alfian

Posted: 26 Jun 2010 07:27 PM PDT

Aidit Alfian menolak dakwaan bahawa Yuna dan Ana Raffali menjadi pesaing antara satu sama lain.

NAMA penyanyi dan komposer baru wanita seperti Ana Raffali, Yuna dan Zee Avi kerap kali meniti di bibir peminat industri seni muzik tempatan.

Lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur sinonim dengan Ana, lagu Dan Sebenarnya sinonim dengan Yuna manakala lagu Kantoi sinonim dengan Zee Avi dan sering diputarkan di corong radio.

Walaupun mereka berbeza, namun perjuangan mereka sama, iaitu untuk 'menjual' lagu dan suara sekaligus menempa kejayaan dalam industri ini.

Langkah demi langkah yang mereka susun dalam industri ini bagaikan cendawan mekar sehingga mereka sudah mampu mengumpul peminat tersendiri.

Ana Raffali popular menerusi single pertamanya, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur.

Buktinya, lihatlah sendiri berapa ramai peminat yang menyertai Facebook atau laman web kelab peminat masing-masing.

Peminat Zee Avi misalnya, tidak perlu dipertikaikan lagi kerana anak jati Sarawak itu bukan sahaja dikenali di negara ini malah juga di Amerika Syarikat.

Yuna semakin popular selepas kejayaan lagu Dan Sebenarnya.

Tidak kurang juga, ramai yang memandang kehebatan Ana Raffali dan Yuna adalah sama. Kedua-duanya sama bagus dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.

Namun, komposer tersohor Aidit Alfian, 41, menolak dakwaan bahawa Yuna dan Ana Raffali menjadi pesaing antara satu sama lain.

"Yuna bukan pesaing Ana dan Ana bukan pesaing Yuna. Latar belakang dan karakter mereka tidak sama. Ana anak orang susah dan menyanyi untuk orang-orang tertentu.

Lagu-lagu Zee Avi turut popular di Amerika Syarikat.

"Ikutkan, dia mempunyai lagu-lagu dalam bahasa Inggeris yang belum dirakam. Tetapi saya nasihatkan supaya tidak keluarkan semua dulu. Semuanya dirancang sedikit demi sedikit," jelasnya kepada mStar Online.

Setakat ini, Ana sudah mengumpul lebih kurang ratusan lagu. Kerjayanya sebagai penyanyi dan komposer tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Ana mempunyai suara tersendiri dan tidak banyak perkara yang ada pada dirinya sama dengan apa yang ada pada penyanyi lain. Dia boleh diajar dan mempunyai pandangan tersendiri.

"Dia bukan sahaja bolah menggubah lagu, malah dia sudah mempunyai syarikat penerbitan sendriri iaitu Ana Raffali Muzik Enterprise.

"Tidak ramai orang yang ada hak memegang lagu mereka sendiri," katanya yang turut mempunyai syarikat penerbitan Indah Karya Publishing.

Tambah Aidit, pada awal lagi dia sudah menasihatkan Ana untuk menubuhkan syarikat penerbitannya untuk menjadi bekalan seumur hidup.

"Saya nak dia kekal lama dalam industri ini dan berharap dia sentiasa boleh diajar dan menghormati orang lain," ujarnya yang mula serius dalam industri sejak tahun 1998.

Aidit pernah menerbitkan album duet berjudul Anak Alam bersama komposer Arab pada tahun 1991 sebelum menyertai kumpulan BABA sebagai gitaris dan tampil dengan album Aku Bukan Badut pada tahun 1996.

Kini, dia sudah berjaya menerbitkan lebih 100 buah lagu pelbagai genre termasuk pop dan pop nasyid.

Dia mendirikan rumah tangga dengan Azura Haniza, 41, dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Fitriati, 13, Teguh Budiman, 12, Cahaya Deeni, 8, dan Murni Hati, 2.

Watak Utih: Rosdeen Tertekan Jika Dibandingkan Dengan Eman Manan

Posted: 26 Jun 2010 07:25 PM PDT

PELAKON dan pengarah teater popular, Rosdeen Suboh (gambar) berjanji untuk memberikan kelainan kepada watak Utih dalam pementasan Muzikal Uda dan Dara pada 10 hingga 20 Julai ini di Istana Budaya.

Sebelum ini, watak Utih pernah dilakonkan oleh pelakon tersohor iaitu Datuk Rahim Razali dan Eman Manan. Kali ini, Rosdeen akan memberikan suntikan Utih yang baru dan 'muda'.

"Saya akan suntik watak Utih yang nakal dan energetik. Bagaimanapun saya masih dan akan mengekalkan aura Melayu.

"Misalnya, saya membaca puisi yang berbunga-bunga itu dengan bersahaja seperti bercakap. Saya jadikan ia seperti 'makanan' saya.

"Apabila berlakon di bawah arahan Datuk Rahim Razali, saya rasa semuanya menjadi mudah kerana dia melepaskan kreativiti kepada pelakon," katanya kepada mStar Online.

Keseronokan membawakan watak Utih jelas tergambar di wajah Rosdeen ketika melakonkannya semasa majlis sidang media dan pratonton muzikal itu baru-baru ini di Istana Budaya.

Rosdeen pandai mendeklamasikan puisi karya ulung Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang itu dengan penuh bergaya dan bersahaja. Namun memikat hati dan menghiburkan.

Biarpun begitu, dia masih tidak berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan sebaliknya meluahkan perasaan runsingnya jika akan dibanding-bandingkan dengan lakonan Eman Manan.

"Saya tertekan juga jika dibandingkan dengan Eman tetapi saya akan cuba sedaya-upaya menekankan mesej sebalik puisi yang disampaikan itu," katanya yang akan muncul sebanyak empat kali dalam muzikal tersebut.

Rosdeen yang menceburi industri teater selama 17 tahun itu juga mengakui tidak sukar untuk menghafal puisi karya Usman kerana dia meminati puisi-puisi tokoh sastera itu.

"Dalam puisi sastera seperti itu, saya hanya perlu mengulang perkataan yang sama. Saya juga menyukai puisi-puisi Usman yang kebanyakannya bergenre romantik. Untuk memudahkan, saya turut mewujudkan perasaan romantik itu dalam diri.

"Semasa arwah Usman masih ada, saya pernah berbual dengannya kerana dia juga suka melepaskan perasaan kepada orang lain," katanya yang pernah melakonkan teater karya Usman berjudul Dari Bintang Ke Bintang.

Selain berlakon, Rosdeen juga mempunyai bakat dalam bidang pengarahan teater. Terbaru, dia pernah mengarah teater Muzikal Sri Mersing.

Akhirnya Syafinaz Terbit Album

Posted: 26 Jun 2010 07:24 PM PDT

BERITA gembira untuk peminat Syafinaz Selamat (gambar). Akhirnya penyanyi yang terkenal dengan suara soprano itu bakal mengeluarkan albumnya yang keempat pada penghujung tahun ini selepas tertangguh sekian lama.

Album terakhir Syafinaz berjudul Syyh dikeluarkan pada 2002. Lain-lain albumnya termasuk Syafinaz (1989) dan Ingin Bersamamu (1999).

"Saya dah mula mengusahakannya kembali pada tahun lalu, tetapi ia tertangguh lagi kerana saya terlibat dengan koir kebangsaan. Insya-Allah, ia dapat dikeluarkan pada hujung tahun ini.

"Peminat dah tertanya-tanya. Saya akui komitmen untuk orang lain terlalu banyak," katanya.

Selain menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Syafinaz terlibat dalam projek Pertama Seni dan konsert Festival KL.

Juri dalam pelbagai program realiti antaranya, One In A Million itu juga terlibat dalam persembahan korporat.

Menurut Syafinaz, album terbarunya memuatkan lagu Melayu, Jerman, Itali, Perancis dan Inggeris yang bergenre pop klasikal.

"Muzik saya adalah pop tetapi nyanyian saya adalah klasikal. Ia adalah satu album yang tak ada bandingnya, sesuai untuk semua orang.

"Saya ingin membuktikan muzik itu tidak ada sempadan. Saya ingin mengikis persepsi pihak tertentu bahawa ini adalah muzik orang bandar dan itu

adalah muzik orang kampung. Ia tidak sepatutnya berlaku sedemikian. Muzik sepatutnya terbuka kepada semua," ujarnya.

Mengimbau kembali pembikinan album itu, Syafinaz berkata, produser tidak memahami kehendaknya kerana album berbentuk pop klasikal tidak pernah dibuat sebelum ini.

Jelasnya, produser hanya memahami kehendaknya selepas Aubrey Suwito menghasilkan sebuah lagu untuknya.

"Baru saya boleh bawa kepada produser dan beritahu inilah jenis muzik yang saya nak. Di samping itu, saya menghadapi kekangan masa dan kekangan wang ringgit," ujarnya.

Tambahnya, album itu akan melibatkan komposer Hafiz Askia, pemain violin, Dennis Law serta pemuzik Raja Shah.

Black Eyed Peas Bakal Berpecah?

Posted: 26 Jun 2010 07:23 PM PDT

KUMPULAN muzik hip hop berasal dari Amerika Syarikat, Black Eyed Peas khabarnya bakal berpecah kerana berlaku salah faham antara anggotanya.

Anggota yang dimaksudkan adalah Fergie (gambar) dan William J. Adams. Gara-gara masalah itu, konsert jelajah Black Eyed Peas pada tahun depan terpaksa dibatalkan.

"Fergie kata dia ingin keluar dari band itu dan konsert jelajah pada awal tahun depan masih belum disahkan sama ada jadi atau tidak," jelas seorang sumber terdekat Black Eyed Peas kepada Showbiz Spy semalam.

Salah faham antara Fergie dan William J. Adams berlaku kerana Fergie gagal mengawal egonya hingga menyebabkan Black Eyed Peas terpaksa berehat sekejap.

"Hubungan Fergie dan William J. Adams memang terlalu teruk kerana ego Fergie memang tidak dapat dikawal lagi. Fergie hanya mahu keluar dari band itu. Jadi band itu perlu berehat dulu," tambah sumber itu lagi.

Pelakon 'Glee' Dilarang Buat Hubungan Seks Di Lokasi

Posted: 26 Jun 2010 07:15 PM PDT

Jenna Ushkowitz (kanan) dan Kevin McHale

RYAN Murphy, salah seorang produser Glee melarang para pelakonnya melakukan aksi seksual di lokasi penggambaran.

Hal tersebut dilakukan untuk menjaga disiplin selama pembikinan Glee berlangsung. Sejak awal Ryan tidak bersetuju para pelakon melakukan hubungan seksual.

"Mereka melanggar peraturan dengan banyak alasan. Saya tahu kalian semua muda tetapi jangan lakukan itu dalam treler. Saya seperti ayah, itu yang saya katakan," ujar Ryan kepada Telegraph kelmarin.

Ryan mengeluarkan arahan itu setelah dua pelakon mereka, Jenna Ushkowitz dan Kevin McHale keluar berdua-duaan di kelab malam di London. Pelakon watak Tina Cohen-Chang dan Artie Abrams itu juga bercanda di pantai di Monaco hujung minggu lalu.

Kini siri muzikal tersebut sudah memasuki musim ketiga. Rating mereka semakin meningkat dan diminati ramai di seluruh pelusuk dunia.

Dana Ar-Rahnu ditambah

Posted: 26 Jun 2010 07:12 PM PDT


NAJIB Tun Razak beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah di Hotel MS Garden, Kuantan semalam. - mingguan/RUSHDI SALLEH
Turut sama Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM merangkap penasihat A-Wardah, Datuk Hajah Zaleha Hussein, Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Haji Abdul Malek Awang Kechil dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Ahmad Tauddin Abdul Rahman.


KUANTAN 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menyalurkan dana tambahan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi memperluaskan rangkaian pajak gadai berasaskan syariah, Ar-Rahnu ke seluruh negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dana tersebut sebagai tambahan kepada RM200 juta yang disalurkan oleh kerajaan kepada Yapeim sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan bagaimanapun sedang meneliti jumlah tambahan dana yang akan disalurkan kepada yayasan berkenaan.

"Yapeim membuat permohonan kepada kerajaan untuk memperluaskan lagi rangkaian cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara kerana sambutan kepada skim mikro kredit Islam ini sangat memberangsangkan sehingga dana sedia ada tidak dapat memenuhi segala permintaan.

"Saya memberi perakuan kepada Yapeim untuk tambah dan jumlah masih diteliti Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran Yapeim di sini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Yapeim, Abdul Malek Awang Kechil.

Penyertaan 40 ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai parti yang ekstrem terhadap perjuangan Islam.

Sebaliknya tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemasukan golongan tersebut dalam UMNO membuktikan dasar perjuangan parti itu dalam menegakkan Islam di negara ini diiktiraf oleh golongan cendekiawan agama.

Menurut beliau, penyertaan golongan itu juga sekali gus dapat mempertingkatkan lagi perjuangan UMNO bagi memartabatkan Islam di negara ini.

"Kita tidak mahu UMNO dilihat sebagai parti ekstrem. Islam sebenarnya bukan agama yang ekstrem.

"Jadi kita akan memperjuangkan Islam yang diterima oleh semua pihak dan umat yang terbaik adalah umat yang sederhana mengikut panduan Islam," katanya.

Sarung tangan Michael Jackson dijual RM520,000

Posted: 26 Jun 2010 07:11 PM PDT

LOS ANGELES - Satu sarung tangan milik Raja Pop, Michael Jackson yang disaluti kristal Swarovski berjaya dijual pada harga AS$160,000 (RM520,000) dalam satu lelongan di Los Angeles, kelmarin.

Sebanyak 251 barangan milik Jackson dilelong dalam jualan musim panas oleh Julien's Auctions yang diadakan sempena ulang tahun kematian Jackson yang pertama.

"Saya akan mulakan lelongan pada harga AS$1 (RM3.30) supaya anda semua boleh berkata anda pernah membida sarung tangan Michael Jackson," kata jurulelong.

Peminat dan pembida memulakan tawaran pada harga AS$31,000 (RM100,000) dan meningkat kepada lebih AS$100,000 (RM330,000) dalam masa beberapa saat.

Bidaan sarung tangan itu dimenangi seorang wanita dari Los Angeles pada harga AS$160,000 (RM520,000), lapan kali ganda lebih tinggi daripada jangkaan awal.

Romantika di Bali

Posted: 26 Jun 2010 07:10 PM PDT



Bercuti bersama insan tersayang tentunya memberi 1001 makna apatah lagi jika dapat meluangkan masa bersama tanpa gangguan kesibukan kota dan juga bebanan tugasan yang tidak putus-putus datang bertimpa.

Bagi penyampai radio Suria FM, Zaf atau Zafrina Abd. Rahman, 29, peluang keemasan bercuti bersama suami tercinta, Suffian Harris Mustapa dimanfaatkan sepenuhnya selama empat hari di Bali, Indonesia pada April lalu.

Cerita Zaf, kunjungan ke Bali bersama suaminya yang lebih dikenali sebagai Opie adalah kali kedua buat mereka setelah kunjungan kali pertama ke Bali pada Januari lalu bersama 10 ahli keluarganya.

Pengalaman percutian yang menyeronokkan menyebabkan Zaf begitu teruja untuk kembali ke pulau yang sarat dengan unsur ketenangan serta romantis kira-kira tiga bulan kemudian.

"Sebenarnya percutian saya ke Bali pada April lalu bersama suami memang sudah dirancang semenjak pertengahan tahun lalu, bagaimana pun kunjungan bersama keluarga pada Januari dirancang pada saat-saat akhir.

"Saya gembira kerana berpeluang ke Bali sebanyak dua kali dalam masa singkat sebab sebelum ini hanya dengar cerita orang sahaja tetapi akhirnya saya dapat juga merasai sendiri percutian yang manis itu bersama keluarga dan kemudian bersama insan yang saya cintai, baru saya faham erti keindahan Bali," katanya kepada Sinar Harian.

Zaf berkata, perkara yang melucukan semasa bercuti bersama suaminya, mereka melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan semasa berada di Malaysia tanpa menyedari dirinya sedang hamil dua bulan.

"Di Malaysia kami tidak pernah menaiki motosikal bersama, bagaimana pun semasa di Bali Zaf dan suami menyewa sebuah motosikal dan kami menaiki motor bersama dari tempat penginapan di Legian sehingga ke Kuta dan Nusadua yang jaraknya lebih kurang 45 minit.

"Semasa itu saya masih belum mengetahui diri saya sedang hamil anak sulung kami, cuma bila sudah lama menaiki motor badan saya mula sakit-sakit, ingatkan kerana tidak biasa naik motor rupanya kerana saya sedang berbadan dua," katanya ceria.

Zaf berkata, mengapa dia dan suami memilih Bali sebagai destinasi percutian adalah disebabkan mereka amat menyukai pantai dan laut.

"Zaf dan suami sangat sukakan pantai dan laut apatah lagi suami Zaf suka bermain papan luncur air, ketika berkunjung pada kali pertama dengan kelaurga kami lebih banyak melawat tempat-tempat di sekitar Bali namun percutian kali kedua ini kami manfaatkan sepenuhnya melepak di tepi pantai dan bermain air," katanya yang mengetahui tentang kehamilannya setelah pulang dari Bali setelah merasa tidak sedap badan.

"Tidak lama selepas pulang dari Bali, Zaf rasa tidak beberapa sihat kemudian Zaf tergerak hati untuk buat ujian kehamilan, bila positif Zaf terus ajak suami ke klinik dan bila doktor sahkan Zaf sudah hamil tiga bulan ketika itu, Zaf dan suami terus ketawa mengenangkan aktiviti yang kami buat di Bali," katanya yang masih ingin untuk berkunjung ke destinasi romantik itu.

Pontianak kembali ‘menyerang’

Posted: 26 Jun 2010 07:09 PM PDT

Kehangatan filem puntianak sensasi, Twilight kembali menyerang peminatnya dengan siri ketiga filem itu bertajuk The Twililight Saga: Eclipse yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 30 Jun ini.

Ketika sesi tayangan premier baru-baru ini, pelakon utamanya filem itu iaitu Robert Pattinson, Taylor Lautner serta Kristen Stewart menjanjikan persembahan hebat untuk peminat.

Filem ini akan mula diyangkan di Malaysia pada 7 Julai ini dan pastinya ditunggu-tunggu

Jalan cerita ini mengisahkan Edward yang sedang mencuba untuk kembali memenangkan hati Bella. Meskipun gadis itu bersedia menjadi tunangannya, namun kehadiran sekawan manusia serigala teman-teman Jacob Black menganggu suasana. Apalagi dengan munculnya kembali Victoria, pontianak wanita yang juga kekasih kepada James, James pula telah dibunuh oleh Edward.

Victoria menuntut pembalasan dan ingin menghancurkan Bella. Pada saat itulah Edward harus berfikir demi gadis yang sangat dicintainya. Meskipun segala rasa cemburu dan hanya berdasarkan logika, Edward memutuskan untuk menyelamatkan kekasihnya di bawah lindungan Jacob Black dan kawanan serigalanya.

Namun, Victoria ternyata semakin kuat dengan menciptakan pasukan pontianak-pontianak baru yang haus darah dan mengancam keselamatan penduduk di Forks.

Sanggupkah hati Bella melihat kedua lelaki yang sama-sama dicintainya, Edward dan Jacob, bertarung mati-matian melawan pasukan pontianak demi menyelamatkan hidupnya? Kepada siapakah nanti hatinya akan berpihak? Mampukah dia memilih salah satu di antara mereka berdua? Saksikan kesudahan cerita itu nanti.

Ibu Justin Bieber model Playboy?

Posted: 26 Jun 2010 07:07 PM PDT

Jika berita ini benar, ia tentu amat mengejutkan apabila salah satu sumber terdekat Bieber mendedahkan bahawa ibunya, Pattie Lynn Mallette telah ditawarkan AS$50,000 untuk beraksi di dalam majalah Playboy.

Pattie yang telah berpisah dengan bapa Bieber dikatakan masih memikirkan sama ada untuk menerima tawaran tersebut atau sebaliknya.

Sementara itu Bieber, 16, terdesak untuk dilepaskan dari jagaan ibunya setelah merasa Pattie terlalu mengongkong kehidupan remajanya.

"Bieber begitu teringin untuk menikmati kehidupan remaja setelah menjadi artis yang terkenal tetapi Pettie sentiasa mengawal segalanya menyebabkan Bieber terpaksa mengikut segala arahan ibunya.

"Justin selalu merungut kepada ibunya setiap kali Pettie menghalangnya dari berbuat sesuatu yang dia inginkan, dia amat menyayangi ibunya tetapi rimas kerana dilayan seperti anak kecil.

"Bieber amat berharap ibunya boleh melepaskan dirinya serta menjalani kehidupan sendiri," kata seorang sumber yang rapat dengan penyanyi yang popular dengan lagu Bany itu.

Hiasan tingkap pengaruhi ruang

Posted: 26 Jun 2010 07:06 PM PDT




SEBUAH rumah yang lengkap tidak hanya dihias indah dengan perabot baru. Elemen yang tidak kurang penting adalah penampilan reka bentuk tingkap. Kreativiti tidak hanya terbatas pada saiz atau bentuk tingkap, pilihan hiasan seperti langsir turut menyerikan tingkap.

Bagi anda yang tinggal di kondominium atau pangsapuri, tingkap kaca bersaiz besar paling sesuai. Ia turut berfungsi sebagai pintu untuk penghuninya keluar ke beranda rumah mereka. Justeru itu, saiz besar dari siling ke lantai memerlukan fabrik langsir yang banyak sebagai kemasan. Penggunaan bidai tinggi menegak serta boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menarik talinya. Bagi menyeimbangkan ruang, pilihan rona natural adalah pilihan terbaik. Bagi mereka yang ingin menggantikan kaca biasa dengan kaca bercorak, anda boleh memilih saiz tingkap kecil dan bulat. Namun, anda perlu kreatif menghias dengan langsir.

Bagi membenarkan cahaya semula jadi masuk ke ruang dalaman, tingkap tinggi dan sempit menjadi pilihan. Ia biasanya diletakkan di tepi pintu.

Sementara itu, tingkap berbentuk kubah mampu menyerlahkan penampilan ruang. Tingkap jenis itu menarik tanpa kemasan langsir atau bidai. Keistimewaannya, anda bebas meletakkan aksesori hiasan jika sesuai.

Perisian

Bagi anda yang masih tercari-cari penyelesaian menghias tingkap, kaedahnya kini lebih mudah dan praktikal menggunakan perisian.

Terbaru, pakar hiasan tingkap dan pembekal fabrik perabot Elyza's memperkenalkan perisian hiasan rumah, Eassy-Decor.

Ia membolehkan pemilik kediaman memilih hiasan tingkap terbaik mengikut cita rasa dan konsep mereka.

Pengarah Urusan Elyza's Home (M) Sdn Bhd Teh Kiong Hui, berkata, Eassy-Decor antara khidmat pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Dengan adanya perisian tersebut, pelanggan boleh memilih, memadankan dan menguji kreativiti untuk menghasilkan hiasan tingkap terbaik untuk kediaman mereka.

Menerusi perisian Eassy-Decor pemilik kediaman berpeluang memilih hiasan tingkap yang sesuai dengan pelbagai pilihan tanpa risiko kesilapan memilih warna dan rekaan. Eassy-Decor mengambil alih kerja meneka dan percubaan yang berisiko berlaku kesilapan tanpa perlu mengeluarkan belanja serta menjimatkan masa.

Lima langkah mudah disediakan bermula dengan pemilihan pelan lantai merangkumi penelitian ruang, jenis tingkap dan ukuran.

Seterusnya bahan dipilih dengan mengambil kira rona dinding, pencahayaan, perabot dan aksesori hiasan.

Penggunaan aplikasi Eassy-Decor yang mesra pengguna membolehkan kombinasi dicipta tanpa had.

Ia boleh direka letak atau digerakkan dengan mudah pada segenap inci ruang mengikut pilihan pemilik kediaman.

Langkah seterusnya adalah pemilihan hiasan tingkap berdasarkan gaya tingkap kerana lebih kurang 500 tema pilihan tersedia dengan 2,000 pilihan fabrik.

Kemudian pratonton tiga dimensi (3D) dilakukan dengan suntingan penataan cahaya dan persembahan latar ruang supaya anda dapat melihat sepenuhnya hasil padanan Eassy Decor tadi.

Menggubah ruang kediaman daripada hasil 3D menjadi realiti dapat membantu pemilik kediaman membuat perancangan terbaik dan penilaian dalam membuat pilihan hiasan tingkap.

Tenunan

Dalam pada itu, Elyza's turut memperkenalkan koleksi terbaru 2010.

Antaranya, koleksi tradisional, Angela yang menampilkan kombinasi tenunan yang klasik dengan warna pelet.

Bagi koleksi Arkara, motif kontemporari menjadi pilihan dengan sedikit rona moden. Padanan mewah dan fantastik ini menyerlahkan ruang rumah anda. Di samping itu, koleksi segar dan semula jadi, Harmoni nampaknya memberi sentuhan moden anggun untuk rumah. Pilihan warna yang garang bukan sahaja mewujudkan keharmonian, ia juga menampilkan gaya yang berbeza. Tidak ketinggalan, Lagoona memberi inspirasi semula jadi yang banyak bermain dengan warna bumi seperti coklat dan hijau tua.

Kombinasi fabrik langsir dan sofa serta aksesori hiasan dalaman moden menyerlahkan koleksi Leoni. Dengan kreativiti motif pilihan ternyata mengubah suasana suram tampil hebat.

Orang ramai yang berminat mencuba pelbagai koleksi ini, boleh layari http://www.elyza.com/html/eassy decor.aspx atau www.elyza.com.

Enam kali isteri lari tinggalkan suami

Posted: 26 Jun 2010 07:05 PM PDT

KALAU cerita suami tinggalkan anak-anak kita dah biasa dengar, tapi kali ini isteri pulak lari tinggalkan anak-anak, bukan seorang tapi dua, bukan sekali tapi enam kali dia lari. Pelik tapi benar. Begitu cerita Khairi dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon yang terputus beberapa kali terhenti kerana tangisan anaknya.

''Saya kenal dengan Shira 9 tahun lalu ketika sama-sama mengambil kursus jangka pendek dalam bidang ICT di sebuah institut latihan di bandar utara tanah air. Perkenalan itu membawa bibit-bibit percintaan. Namun saya terpaksa menjarakkan diri setelah tahu dia sudah bertunang dengan penjawat awam pasukan beruniform.

''Habis kursus saya balik ke rumah tiba-tiba Shira datang cari saya seminggu kemudian. Keluarganya dapat tahu terus telefon suruh saya hantar Shira balik. Memikirkan dia anak dara orang, saya patuh dan hantar Shira balik nun dia utara. Apa lagi saya dimaki hamun dan dituduh larikan anak dara orang, walaupun anaknya yang lari ikut saya. Mereka tuduh saya mahu batalkan pernikahannya yang tak sampai dua bulan lagi.

''Walaupun saya cuba menjelaskan keadaan, tetapi saya dituduh guna ilmu pikat Shira. Malangnya bila saya balik Shira tetap lari lagi tinggalkan keluarganya. Kena maki lagi. Tapi kali ini saya nekad menikahi Shira. Kami nikah di Songkhla.

''Saya fikir masalah tamat setelah kami nikah, sebaliknya menjadi lebih teruk. Keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Untuk menyelamatkan keadaan saya daftarkan perkahwinan di Perlis, fikirkan senang, rupanya susah.

''Lepas sebulan saya datang bertanya tentang pendaftaran nikah kami, malangnya semua pegawai dan petugas beritahu mereka tak terima permohonan saya, walaupun saya tunjukkan reset penerimaan dari mereka. Tapi semua geleng kepala kata tak tahu. Kata mereka tak ada rekod penerimaan. Pelik sungguh.

''Lagi sakit hati bila mereka sindir saya katanya inilah padahnya larikan tunang orang. Kerana marah saya buat aduan di pejabat Pengaduan Awam. Peliknya di situ pun saya kena sindir. Banyak betul kontek keluarga Shira kat negeri ni.

''Selepas siasat terbongkar rahsia, semua masalah ini rancangan keluarga Shira dan saudara terdekatnya yang bekerja di pejabat agama. Mereka mahu kami bercerai.

''Saya ambil keputusan tinggalkan kampung pindah ke ibu kota, mungkin di sini rezeki kami. Tak sampai tiga bulan saya terima surat dari pejabat agama minta kami hadir ke mahkamah untuk tujuan perbicaran pengesahan perkahwinan kami. Lega!

''Tapi sangkaan kami meleset, sebaliknya ustad ini suruh kami masuk ke pejabatnya bukan mahkamah syariah. Dalam bilik tersebut tersedia menuggu keluarga Shira. Ustad itu paksa saya lafazkan cerai sebanyak 3 kali. Katanya penting untuk pengesahan perkahwinan kami nanti. Tapi saya bukan bodoh. Saya keluar tinggalkan ustad dan keluarga Shira ternganga.

''Hidup kami tambah bahagia bila dikurniakan anak sulung yang sihat. Tetapi masalah baru timbul, tiba-tiba aja Shira mendakwa dia berdosa tak ikut cakap keluarga kerana berkahwinan dengan saya. Belum pun anak berusia setahun dia lari tinggalkan anak dan saya balik ke kampungnya. Nasib ada ibu yang mahu membantu saya jaga anak.

Dihalau

''Saya pergi kampung Shira pujuk dia balik, sebaliknya saya dihalau dan diherdik macam haiwan oleh keluarga Shira. Tak sampai seminggu Shira pulang ke pangkuan kami.

''Namun episod sedih Shira lari tinggalkan saya terjadi lagi ketika anak kami berusia 2 tahun. Sekali lagi saya pujuk, berulang lagi maki hamun saya terima. Kali kedua Shira lari 3 minggu tinggalkan kami.

Sangkaan saya Shira akan berubah setelah usia meningkat, tetapi tetap buat kelakuan yang sama. Dia kembali kepada saya tiga minggu kemudian.

''Kali keempat dia lari tinggalkan kami meninggalkan kesan cukup perit. Saya terkejut bila pulang rumah saya lihat perabut rumah Shira sudah jual kepada jiran tetangga. Lagi pelik kali ini dia tak lari balik kampung, tapi lari ke rumah keluarga angkatnya.

''Ketika itu anak sulung kami berusia 5 tahun yang kedua tak sampai pun setahun. Dan dia baru hamil. Tetapi kemudiannya dia gugurkan kandungannya. Kerana menurut keluarganya kalau hamil menyulitkan proses perceraian. Kerana ketika itu anak kedua masih kecil, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga mereka.

''Enam bulan kemudian Shira balik ke rumah. Saya benar-benar keciwa, tetapi kerana anak saya terima apa juga yang terjadi. Lagi pun Shira berterus terang kepada saya dia lari kerana tidak bernafsu kepada saya, walaupun ketika itu saya baru berusia 30 tahun. Dia cuma muda dua tahun sahaja daripada saya.

''Shira mengajak saya pergi berubat. Demi keluarga saya ikutkan kehendaknya. Tukang ubat pulak kata keluarga Shira tetap mahu kami bercerai. Macam-macam. Tak lama kemudian dia lari lagi untuk kali kelima.

''Saya cukup menderita bila tak ada pekerjaan. Hidup umpama kais pagi makan pagi, untung ada ibu dan saudara mara mahu membantu. Saya cuba pujuk Shira kembali tapi kali ini dia sudah banyak berubah. Laman Sembang Sosial menjadi kegemaran dan hobinya nombor satu. Kata orang dalam laman itu dia mengaku masih gadis, dengan meletakkan gambarnya untuk tatapan ramai. Nampaknya lebih suka hidup bebas.

''Keluarga Shira gembira dengan perubahannya. Malah mereka menyediakan apa sahaja keperluannya, sama ada pakaiannya, makan minum dan wang ringgit semua sedia. Asalkan tidak bersama saya. Apakah hina sangat saya pada pandangan mereka?

''Saya cuba pujuk Shira kembali. Tapi kakaknya suruh saya ceraikan Shira. Sejarah 9 tahun lalu diungkit kembali, menyalahkan saya 100 peratus membawa adiknya lari. Kini yang jelas Shira semakin ligat dan bebas ke mana sahaja. Makan angin ke KL jadi perkara biasa. Keluarga Shira menasihatkannya, jangan risau pasal anak-anak, bila besar nanti taulah mereka cari emaknya.

''Saya sudah letih memujuk, namun bersyukur kini saya dapat pekerjaan yang baik, walaupun terpaksa mengejar waktu menjaga anak-anak. Kakak bantu saya menghantar anak-anak ke sekolah dan ke tadika. Yang sulung sudah bersekolah.

''Baru-baru ini saya pujuk Shira sekali lagi, melalui telefon tetapi dia minta diceraikan. Saya minta dia supaya fikir masak-masak. Katanya dia sudah lama sedia diceraikan. Saya betul-betul hiba mendengar permintaannya ketika itu di sebelah saya anak sulung kami, sementara yang kecil duduk di riba saya. Hanya air mata menjadi teman saya.

''Kini hancur sudah mahligai yang kami bina selama 9 tahun di atas dasar cinta dan terlalu banyak pengorbanan telah saya lakukan.

''Saya dengar banyak cerita pasal Shira di kampungnya, maklum pekan kecil, semua orang kenal antara satu sama lain. Kerana itulah saya cuba memulihkan nama baiknya, saya mahu dia jadi isteri yang baik.

''Tetapi keluarganya sentiasa menghalang, apakah saya ini begitu hina pada pandangan mereka? Hinggakan anak-anak saya juga tidak di terima? Apakah mereka terlalu agong?'' demikian cerita Khairi panjang lebar tenang kehidupannya yang sentiasa dibenci oleh keluarga isterinya.

Hairan juga kerana biasanya setiap ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anaknya setelah berumah tangga dan membantunya apabila menghadapi musibah, bukannya mendoakan mereka supaya bercerai berai. Apa lagi menjadi dalang dan penghasut.

Curahan bakat folk art Fariza

Posted: 26 Jun 2010 07:04 PM PDT


MINAT mendalam mengatasi segala kepayahan untuk menyiapkan satu karya.


KEKURANGAN pada dirinya, tidak pernah menyekat minat Fariza Abu Hassan untuk berjaya dalam bidang yang diminati. Biarpun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), dia juga tidak pernah kalah dalam menonjolkan potensi yang ada pada dirinya.

Anak keempat daripada adik beradik itu menghidap penyakit mucopolysaccharidosis yang membantutkan tumbesaran fizikalnya sejak berusia lapan tahun. Dia yang gemar dipanggil Pija itu bertubuh kecil kerana tulang dan struktur kulitnya seperti kanak-kanak.

Gadis berusia 25 tahun itu tidak suka bercerita panjang mengenai kepayahan yang ditempuh kerana penyakit itu. Dia lebih tertumpu kepada hobi yang dipupuk sejak empat tahun lalu iaitu membuat folk art.

Minatnya itu bercambah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Convent, Klang. Bagi mengisi masa yang terluang, Hafizah meminta ibunya, Halbiah Mustafa mendapatkan guru yang boleh mengajarnya lukisan ala Inggeris di atas barangan.

''Folk art ini sangat unik jika diamati secara terperinci,'' katanya.

Peluang berguru dengan wanita bernama Aniza Khir Omar yang terkenal dengan kepakaran hasil kerja tangan di rumahnya di Bukit Rimau, Klang menjadikan Fariza lebih kreatif.

Pelbagai teknik melukis dan mewarna dipelajarinya daripada guru tersebut.

Bercerita tentang kepayahan sepanjang menuntut ilmu kemahiran itu, Fariza berkata, dia tidak pernah bosan kerana apa yang dilakukannya itu hadir atas dasar minat. Sebab itu, gadis penuh ceria itu sanggup duduk sehingga lima jam setiap hari semata-mata untuk menghasilkan karya yang terbaik.

Untuk mengaplikasikan kemahirannya itu, beberapa barangan di rumahnya di Taman Alam Shah, Klang seperti tong sampah, kotak, bangku, bingkai gambar, tempat meletak roti, baldi dan pasu dilukis dengan corak bunga ala Inggeris itu.

Kemahirannya itu ternyata mengkagumkan ahli keluarga Fariza termasuk bapa, Abu Hassan Md. Isa yang tidak menyangka bakat terpendam anaknya itu.

Menurut Fariza, dia gemar melukis di atas kanvas dan kayu kerana lebih mudah berbanding kaca serta kayu yang melibatkan bahan campuran. Memang diakui, sentuhan Fariza sangat halus terutama melibatkan rekaan bunga.

''Saya tidak ada rahsia khusus untuk mencantikkan setiap barangan. Semuanya berkat latihan dan kesungguhan sehingga objek yang saya mahukan itu benar-benar menjadi. Tak kisah kalau muka saya comot dengan cat asalkan lukisan saya cantik,'' ujarnya.

Curahan kreativiti itu semuanya dilakukan di sudut sebelah dapurnya. Terdapat meja dan kerusi yang sesuai dengan ketinggian Fariza. Di situlah dia menghabiskan masa hampir separuh hari melukis dan mewarna kotak-kotak untuk dijadikan hiasan.

Sehingga hari ini, Fariza telah menghasilkan lebih kurang 100 hasil tangan folk art pelbagai rupa. Ada yang masih dalam simpanan dan ada yang dijual kepada kawan-kawan yang berminat dengan koleksi tersebut.

Selera dua negeri di Wau Penyu

Posted: 26 Jun 2010 07:00 PM PDT


AFIZAF Ariff (kiri) bersama Alwi Kamaruddin di hadapan kedai mereka.


KOMBINASI hidangan dari Kelantan dan Terengganu menjadi menu utama Restoran Wau Penyu yang terletak di Solaris Dutamas berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Premis yang menghimpunkan pelbagai makanan popular Pantai Timur itu sememangnya menunggu untuk santapan warga kota.

Tidak perlu menunggu hujung minggu atau berkunjung ke negeri berkenaan untuk menikmati hidangan wajib seperti nasi dagang atau nasi kerabu yang enak kerana segala-galanya ada di Wau Penyu.

Bahan utama seperti keropok atau budu dibawa terus dari kedua-dua negeri itu. Semestinya dengan cara itu keaslian hidangan dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan Penyu Bertelur dapat dipelihara.

Sememangnya menarik apabila berpeluang bertemu pemilik restoran, Alwi Kamaruddin. Pemuda yang berasal dari Terengganu itu memberi nilai yang tinggi terhadap Wau Penyu kerana ia simbolik kepada 'kerjasama' bersama tunangnya, Afifah Ariff yang merupakan anak jati Kelantan.

''Kami menggabungkan masakan tradisi negeri kelahiran masing- masing. Di sini anda boleh menikmati asam laksa, laksam, murtabak diraja, nasi dagang istana yang rasanya seperti masakan ibu. Sajian yang mempersona itu pasti membuka selera para pelanggan,'' katanya.

Alwi amat mementingkan kesegaran bahan yang digunakan. Mutu setiap menu akan diperiksa sebelum dihidangkan kepada pelanggan demi memastikan rasa dan persembahan mencapai piawaian yang ditetapkan.

Untuk sarapan pagi, Wau Penyu menyediakan nasi dagang bungkus, mee goreng bungkus, ayam goreng bungkus dan bufet nasi lemak. Hidangan ala carte mengambil tempat seawal pukul 11.30 pagi untuk pelanggan yang mahu menikmati menu tengah hari.

Wau Penyu turut memperkenalkan promosi menu 'Skali Skalo' yang bertukar setiap hari. Nasi Ayam Wau Penyu pada hari Isnin, singgang, sambal petai udang, belacan, keropok (Selasa), Nasi Dagang Wau Bulan (Rabu), Nasi Minyak (Khamis), bufet nasi Pantai Timur (Jumaat), ketupat pulut nyior (Sabtu) dan nasi tumpang (Ahad).

Apa yang menarik perhatian pengunjung, seawal langkah memasuki pintu restoran itu jelas ciri-ciri tradisional. Kebanyakan hiasan terdiri daripada barangan antik berusia lebih 100 tahun.

Kelebihan itu menarik pelanggan untuk kembali semula menikmati sajian pada masa akan datang. Segala maklumat berkaitan Wau Penyu boleh didapati dengan melayari laman web www.waupenyu.com.

Santai ke pejabat

Posted: 26 Jun 2010 06:59 PM PDT


Kepelbagaian warna menceriakan gaya ke pejabat.


MEMENUHI tema kebebasan dan individu, koleksi terbaru Hush Puppies membawa kelainan, keceriaan dan keistimewaan tersendiri.

Jenama itu menterjemahkan kebebasan fesyen melalui gaya kasual tanpa cuba memperlihatkan sesuatu yang bukan diri anda. Reka bentuk koleksi kelihatan lama tetapi masih mengetengahkan ciri baru. Misalnya, pemakaian kasut tumit tinggi jenis wedges. Ia semakin mendapat tempat di kalangan wanita khususnya yang mahu kelihatan lebih elegan dan feminin.

Berbeza dengan kasut tapak tinggi biasa, wedges bercantum tapaknya dari bahagian depan hingga ke belakang. Ia juga terdiri daripada beberapa jenis iaitu pepto (terbuka sedikit di bahagian depan), Flip Flop (wedges ringkas diperbuat daripada getah), Baji (wedges kayu bertali), wedges sarung dan biasa.

Sesuai dengan imej glamor dan terkini, Hush Puppies menterjemahkan gaya kasual khusus untuk mereka yang bekerja dan masih tercari-cari kasut kasual untuk ke pejabat.

Misalnya, kasut terbaru menerusi tapak platform yang rata hadir dengan pelbagai warna. Selesa dan ringkas, ia bukan sahaja digaya untuk bersantai tetapi boleh dipadankan untuk bekerja.

Fesyen individu berbagai gaya serasi untuk sesiapa saja sesuai padankan dan memperlihatkan gaya tersendiri.

Himpunan bebas bertemakan, Manhattan menyerlahkan gaya kasual dengan paduan warna terang dan semula jadi.

Koleksi terbaru turut menyerlahkan imej rileks dan tenang. Ia sesuai untuk mereka yang inginkan kebebasan dan keselesaan. Penampilan sebegitu boleh disuai padan dan membawa anda pada gaya inspirasi baru atau lama.

Menyerlah gaya bebas untuk gembira, pilihlah seluar denim untuk dipadan dengan kasut lelaki. Selain untuk gerakan lasak, setiap material yang dipilih berkualiti dan tahan lama.

Tampil dengan koleksi bertutup lelaki dan wanita, ia kelihatan kasual tetapi boleh disuai padan ke pejabat. Orang ramai boleh melayari laman web www.hushpuppies.sg.

Urutan awet muda

Posted: 26 Jun 2010 06:56 PM PDT


La Colline dihasilkan melalui kajian saintifik terkini.


URUTAN wajah dan tubuh merupakan kombinasi terbaik buat wanita moden yang mementingkan penjagaan kecantikan diri. Pusat kesihatan Philip Wain yang terkenal sebagai pusat kecergasan diri menyediakan penjagaan kecantikan idaman wanita ini.

Urutan tubuh menggunakan minyak aromaterapi pilihan serta rawatan wajah La Colline R3 Matrix merupakan antara program paling diminati pelanggan setianya.

Bukan sekadar menyerlahkan kecantikan, urutan dan belaian tubuh dan wajah ini mampu menghilangkan tekanan dan seterusnya memberikan kesegaran kepada diri.

Urutan aromaterapi

Menariknya, pakej urutan badan menggunakan minyak aroma ini adalah mengikut kemahuan dan kehendak pelanggan sama ada untuk ketenangan, kesegaran mahupun menangkis tekanan serta sensual.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang mempunyai masalah sukar tidur, sakit belakang serta migrain juga boleh menghilangkan kesakitan itu melalui urutan dan belaian yang diberikan oleh pakar yang disediakan.

Dapat memberikan kerehatan dan menenangkan fikiran, urutan dan belaian menggunakan minyak aroma juga mampu memperbaiki perjalanan darah yang memberikan impak kesegaran.

Ia juga memperbaiki kulit serta sistem limfa dan turut menyah toksin yang menjadi punca kepada kelesuan selain meningkatkan mood dan melegakan otot serta sistem urat saraf.

Untuk memberikan impak berkesan dan membuang angin yang terkandung dalam badan, selepas prosedur urutan, pelanggan akan diberikan minuman teh halia yang menyegarkan.

Merawat kedutan dengan La Colline R3

Sementara itu bagi mengekalkan keremajaan kulit wajah, rawatan anti-penuaan La Colline R3 mujarab bagi mengawal garis dan kedutan akibat kulit yang menipis berikutan proses penuaan.

Rawatan selama sejam setengah itu sangat sesuai bagi kulit matang, kering serta tona tidak sekata kerana La Colline dihasilkan daripada kajian saintifik terkini bagi memperbaiki dan merawat tisu.

Enaknya dibelai, wajah bukan sahaja diurut menggunakan produk La Colline malah tangan juga disapu losen dan direndam dalam lilin parafin untuk memberikan kelegaan.

Rangkaian R3 merupakan produk penjagaan anti-kedutan pertama yang memperbaiki dan bertindak pada kadar tambahan.

Pada ketika kulit meningkat usia, molekul yang terhasil akan mengurangkan kualiti dan kuantitinya menyebabkan pembinaan dalamannya lemah dan menyebabkan kulit semakin menipis sehingga menimbulkan garis kedutan tidak diingini.

Formulasi kompleks dalam produk La Colline memenuhi tiga tindakan - menegang, memulih dan dan memuluskan kulit.

Selain mengurangkan garis dan kedutan, meminima pori-pori serta memperbaiki peredaran darah, ia juga memberikan penghidratan kepada kulit, merangsang pengeluaran kolegan dan elastin serta memperbaiki sel kulit membuatkan tona lebih sekata, lembut dan lebih cerah.

Chermaine jadi wanita mualaf

Posted: 26 Jun 2010 06:54 PM PDT


Charmaine


BERKELULUSAN bidang akauntan, Chermaine Poo sentiasa menjaga penampilan walaupun sibuk dengan kerjaya. Mahir bermain piano dan gemar melancong, dia tetap tampil jelita walaupun bergaya kasual. Sukakan cabaran baru, Chermaine gembira kerana berjaya menampilkan kelainan menerusi watak wanita mualaf dalam drama Tudung Express terbitan Astro.

Dapat memegang watak wanita mualaf, dia mempelajari sesuatu yang baru. Dia dapat belajar cara bertudung dan serba sedikit tentang Islam.

Selain itu, wanita bijak ini jugai aktif sebagai hos dan bakat komersial.

Walaupun bertubuh kecil, dia memastikan dirinya sentiasa cerdas.

Jika dahulu Chermaine banyak menghabiskan masa lapang dengan bersenam di gim dan memanjat batu. Namun, terikat dengan lakonan dan kerja produksi miliknya membuatkan dia tidak mempunyai masa bersukan.

Bagi memastikan badan bertenaga dan mempunyai stamina yang kuat, dia mengamalkan petua minum banyak air.

"Tidur juga aspek yang penting untuk kelihatan cantik dan sihat. Walaupun masa tidur saya sangat terhad, saya akan memberisihkan wajah sebelum tidur," katanya yang teruja pertama kali mendengar nama One Drop Perfumes.

Gemarkan masakan emak, dia juga fasih bertutur dalam bahasa Jepun dan Thailand. Dalam pada itu, Chermaine berazam memberi sumbangan kepada orang yang dikenalinya dari segi kesejahteraan ekonomi, emosi dan spiritual.

Sesiapa yang ingin mengenali lebih dekat tentang diri Chermaine, boleh layari laman web miliknya, www.chermainepoo.com.

Baju kuasa elektrik

Posted: 26 Jun 2010 06:53 PM PDT




INOVASI terbaru untuk menjana kuasa elektrik yang diperkenalkan baru-baru ini ialah rekaan baju yang boleh menghasilkan kuasa elektrik hasil pergerakan si pemakainya.

Projek yang kelihatan agak pelik tetapi mempunyai masa depan ini dikenali sebagai 'Kapten Elektrik dan Budak Bateri' yang dibangunkan oleh XS Labs dari Kanada.

Syarikat itu telah membangunkan tiga jenis prototaip pakaian yang mampu menjana kuasa elektrik iaitu Sticky, Stiff dan Itchy selepas menjalankan projek tersebut sejak 2007.

Bagaimanapun, ketiga-tiga baju ini mempunyai fungsi yang berlainan yang mana Sticky merupakan jaket kulit berhud yang direka untuk memanfaatkan pergerakan tangan si pemakai yang akan menarik kabel boleh sentut (retractable).

Apabila tali yang dilekatkan kepada alat penyokong di dada tertarik berulang-ulang ketika si pemakai baju berjalan, ia akan menghasilkan satu tenaga elektrik kecil yang boleh menyalakan lampu LED biru di dalam poket baju.

Alat keras yang dilekatkan di baju itu mempunyai dinamo bergerak yang mana tenaga kinetik manusia akan ditukarkan kepada tenaga elektrik yang boleh digunakan untuk alat elektrik ringkas dan ia dapat dilihat apabila lampu LED di baju menyala.

Nanoteknologi

Penggunaan nanoteknologi dalam tekstil ini akan menjadi sumber tenaga boleh diperbaharui apabila ia menggabungkan teknologi fabrik piezoelektrik (tekstil yang menukar tenaga kinetik kepada elektrik) dan polimer elektro-aktif (plastik yang menukar bentuk apabila tenaga elektrik melaluinya).

Tenaga elektrik yang terhasil daripada pergerakan si pemakai akan disimpan di satu tempat di belakang jaket itu yang mana apabila satu butang ditekan, tenaga elektrik itu akan dilepaskan serta mampu mengaktifkan pemain MP3 yang terdapat di dalam hud baju itu.

Bagi jaket Stiff pula, ia mempunyai pek belakang seperti beg pengembara yang mempunyai tiga dinamo untuk menyimpan kuasa elektrik. Apabila si pemakai menekan-nekan belakangnya ke dinding atau meminta bantuan rakan menekan beg belakangnya itu, kuasa elektrik akan terhasil untuk membolehkan ia membekal tenaga.

Satu lagi pakaian yang bertujuan menghasilkan tenaga elektrik keluaran XS Labs ialah aksesori pakaian dikenali sebagai Itchy. Alat ini berbentuk 'rantai' besar yang diperbuat dalam kain bulu.

Apabila si pemakai menarik-narik 'rantai bulu' itu, ia kemudiannya akan menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk menyalakan lampu LED yang terdapat pada satu lagi 'rantai.'

Memandangkan 'rantai bulu' ini tidak begitu selesa dipakai, ia mendorong pengguna untuk menarik ke hadapan dan belakang dan seterusnya tindakan itu mampu mengecaj bateri dan seterusnya digunakan untuk menghidupkan alat elektronik kecil.

Lampu yang berkelip-kelip di rantai bulu itu kelihatan seperti lampu yang digunakan untuk lampu siren, rumah api atau boya di tengah lautan tetapi masih tiada kegunaan untuk si pemakai baju selain membuktikan bahawa baju itu mempunyai kuasa elektrik.

Terdapat sebuah servermoto diletakkan di bahagian belakang leher baju itu yang menjana bateri dan disimpan untuk kegunaan peralatan elektrik lain.

Sebelum XS memajukan pakaian penjana elektrik daripada tenaga kinetik ini, sepasukan graduan dari Media Lab, Massachusett Institute of Technology (MIT) juga telah memperkenalkan 'Power-dress' iaitu pakaian yang menggunakan bahan piezoelektrik.

Apabila si pemakai bergerak, membongkok, berpusing dan sebagainya, pergerakan itu akan menghasilkan tenaga melalui sirkit bersepadu yang dipasang kepada baju tersebut dan seterusnya mengecaj bateri yang dalam bentuk duit siling yang dijadikan butang.

Kuasa yang dihasilkan oleh Power-dress ini boleh digunakan untuk menghidupkan peralatan kecil dan di masa depan dijangkakan kuasanya akan bertambah untuk membolehkan ia menjana Blackberry, iPhone dan lain-lain gajet.

Kesimpulannya, ciptaan pakaian-pakaian berteknologi ini sememangnya masih baru dan kebanyakannya adalah di peringkat prototaip dan reka bentuknya masih menyebabkan ketidakselesaan kepada si pemakai.

Bagaimanapun, teknologi seumpama ini sememangnya suatu inovasi yang masih boleh diperkembangkan lagi bagi membolehkan ia lebih praktikal, selamat dan tidak menyebabkan si pemakai kehilangan gaya pula.

Enggan akui kelemahan

Posted: 26 Jun 2010 06:52 PM PDT


DR. Ismail menunjukkan empat Siri Celik yang mengetengahkan pelbagai isu kesihatan seksual dan perkahwinan.


TIDAK mahu dikatakan tidak subur atau lemah, lelaki mungkin berdiam jika berhadapan masalah tersebut. Bukan mudah untuk berkongsi cerita dalam sesetengah perkara berbau peribadi sekalipun dengan orang yang dirasakan boleh dipercayai. Lebih-lebih lagi rahsia itu melibatkan kesihatan seks iaitu mati pucuk atau Erectile Disfunction (ED). Langkah berdiam diri mungkin dirasakan pilihan terbaik daripada berterus terang yang dirasakan hanya akan membuka pekung di dada.

Akhirnya, masalah yang membelenggu diri itu terus berlarutan tanpa noktah hanya kerana mahu menjaga ego.

Punca ED

Laporan media baru-baru ini mengenai kaitan lelaki sakit jantung dengan mati pucuk memang menarik perhatian. Benarkah pesakit jantung akan mengalami ED? Bahkan laporan tersebut melaporkan 75.7 peratus daripada 111 pesakit jantung tersebut mengalami ED.

Kefahaman dan maklumat perlu diberi agar golongan lelaki sedar tentang situasi itu. Mereka perlu memahami punca sebenar ED tanpa memberi alasan tertentu.

Itulah yang cuba disampaikan Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd Ismail Mohd Thamby.

Kata beliau, mati pucuk merupakan masalah lelaki dan merupakan istilah yang tidak selesa buat golongan tersebut.

Ramai beranggapan mereka yang mengalami masalah itu tidak berkemampuan dari segi seksual.

"Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai masalah ini disebabkan gaya hidup yang tidak sihat. Misalnya, mereka tidak bersenam, obesiti dan mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

"Berdasarkan kajian tersebut, rupa-rupanya lelaki yang ada masalah kolestrol juga mengalami masalah ini. Kolestrol ini menyebabkan salur darah sempit. Justeru itu, darah tidak dapat mengalir masuk ke dalam zakar. Masalah saluran darah ini juga menyebabkan sakit jantung atau masalah kardiologi," jelasnya.

Dalam konteks ini, orang ramai perlu faham sakit jantung bukan tanda-tanda ED. Antara faktor utama ialah gaya hidup tidak sihat menyebabkan kolestrol, tekanan darah serta gula dalam badan meningkat. Masalah lemah tenaga batin biasanya berlaku akibat gangguan vaskular yang menjejaskan bekalan darah ke zakar. Perjalanan darah boleh terganggu akibat pengerasan arteri (arteriosclerosis), diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol dalam darah yang luar biasa tingginya.

Tambah Dr. Ismail, faktor gaya hidup juga penting. Merokok misalnya boleh menyempitkan aliran darah ke zakar dan memburukkan keadaan vaskular seperti tekanan darah tinggi. Meminum minuman beralkohol secara berlebihan serta penyalahgunaan dadah boleh memburukkan lagi masalah tersebut.

Semakin meningkat

Tambah Dr. Ismail, bilangan lelaki Malaysia yang menghadapi masalah ED semakin meningkat saban tahun dan kini mencecah lebih 3.5 juta orang.

Masalah kelakian itu agak membimbangkan dengan bilangan penghidapnya hanya 1.7 juta pada 1997, meningkat kepada 2.3 juta pada 2003 dan 3.5 juta pada tahun lalu.

"Perkara itu membimbangkan kerana ramai di kalangan lelaki tidak mengetahui mereka menghadapi masalah berkenaan. Pada tahun, 1997, hampir satu juta orang dikatakan mengalami ED peringkat awal. Cuba bayangkan pertambahan jumlah tersebut. Ia akan terus meningkat kerana umur dan bilangan lelaki juga bertambah," ujarnya.

Lebih merumitkan, jika sebelum ini masalah psikologi yang berpunca daripada tekanan itu sering menghantui golongan lelaki berusia 40 tahun ke atas, ia kini turut menjadi igauan 'ngeri' lelaki yang lebih muda.

Misalnya, ramai remaja yang tidak tahu tentang pendidikan seks yang betul. Misalnya, kesan melakukan onani pada usia remaja.

Jelas Dr. Ismail, onani boleh menimbulkan masalah klimaks berlaku dengan cepat.

Kesan negatif ED

Tidak dinafikan, masalah ED mungkin menjejaskan komunikasi antara suami dan isteri.

"Kurangnya komunikasi antara pasangan dan pakar penjagaan kesihatan lambat laun boleh membawa kesan negatif. Masalah lemah tenaga batin boleh menjejaskan perhubungan suami isteri. Jika isteri mengetahui bahawa suaminya menghadapi penyakit tersebut, dia boleh membantu dengan menggalakkan suaminya membicarakan perkara tersebut secara terbuka.

Ketika inilah peranan pasangan penting dalam membantu merawat masalah lemah tenaga batin. Namun, ramai pasangan tidak mahu membincangkan masalah ini kerana malu dan terikat dengan budaya," kata beliau.

Namun, bukan kesan ED yang perlu diketengahkan masyarakat. Apabila seseorang mengalami ED, Dr. Ismail menjelaskan, kemungkinan dia mengalami masalah kesihatan lain seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Rawatan

Ramai yang salah anggapan kerana mencuba rawatan tradisional atau pil viagra untuk memulihkan ED.

Hakikatnya, amalan perubatan asas termasuk sejarah perubatan dan seksual, pemeriksaan fizikal yang ringkas dan mengukur tekanan darah adalah perkara biasa yang perlu dilakukan oleh doktor ke atas pesakit lemah tenaga batin. Namun, dalam konteks urutan zakar untuk memperbaiki ED, ia sebenarnya ibarat mitos.

Menurut Dr. Ismail, setiap orang perlu tahu tidak semua bahagian yang perlu diurut. Misalnya leher dan zakar.

"Justeru itu, sebarang masalah yang melibatkan kesihatan seksual perlu dirujuk pada doktor pakar. Walaupun masyarakat ada kesedaran, perasaan malu masih ada. Ibarat nasi sudah menjadi bubur, jika kes itu menjadi teruk, barulah masing-masing sedar. Perlu diingat, mati pucuk adalah masalah kesihatan. Pengambilan pil viagra pula mestilah melalui pemeriksaan dan nasihat doktor kerana ia mempunyai kesan sampingan. Lebih berbahaya jika pesakit ED mempunyai penyakit kronik lain," katanya.

Sebaik sahaja, seorang lelaki mengadu mengalami ED, mereka akan dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan seterusnya.

Dr. Ismail menambah, kemung-

kinan pesakit turut menghidap penyakit lain.

Justeru itu, lelaki atau wanita yang berumur 40 tahun ke atas perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekali dalam enam bulan.

Dalam pada itu, maklumat mengenai masalah seksual dan kesihatan lelaki perlu tepat. Antara inisiatif yang dilakukan Dr. Ismail ialah menerbitkan empat siri video, Siri Celik yang kini telah pun berada di pasaran.

Atasi penglihatan kabur

Posted: 26 Jun 2010 06:51 PM PDT


Suplemen lutein dan zeaxanthin dapat melindungi mata.


ADAKAH komponen dalam peralatan elektrik seperti televisyen dan skrin komputer, boleh menyebabkan mata letih, sakit kepala dan gangguan tidur? Fakta ini agak menakutkan tetapi ia telah diakui oleh pakar bidang berkaitan. Komponen yang dimaksudkan ialah Diod Pemancar Cahaya (Light Emitting Diodes - LED) yang mengeluarkan cahaya biru pada telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya.

Menurut Bernard Godley, seorang pakar mata dari Yayasan Retina di selatan Dallas, "Dalam spektrum cahaya, cahaya biru bertenaga paling tinggi. Walaupun kurang bertenaga berbanding sinar UV, cahaya biru boleh menembusi tisu badan dan merosakkan sel."

Apabila mata melihat sesuatu objek, tidak kira berapa lama, otot-otot mata perlu bekerja. Lebih lama mata menumpu, lebih berat otot mata bekerja. Ini menyebabkan mata letih jika terlalu lama menonton televisyen secara berterusan.

Andrew Hogan, Presiden Persatuan Optometris Australia cawangan Tasmania memberikan panduan menonton televisyen bagi menjaga kesihatan mata:

* Apabila menonton televisyen, jarakkan sekurang-kurangnya empat atau lima meter daripada skrin - lebih dekat kepada skrin, mata akan lebih penat.

* Jangan menonton dalam gelap - pastikan televisyen bukan sumber cahaya utama. Elakkan silau pada masa yang sama.

* Berehat sebentar - bergerak dan alihkan penglihatan ke arah lain

Punca cahaya biru dan tekanan mata

* Skrin komputer juga memancarkan cahaya biru yang boleh mengganggu penglihatan dan memberi tekanan pada mata.

* Mata yang terdedah terlalu lama kepada sinar UV dan cahaya biru yang berbahaya, di samping peningkatan usia, boleh mengalami kerosakan berlebihan akibat radikal bebas. Ini menyumbang kepada katarak dan kemerosotan fungsi makula (Age-related macular degeneration - AMD).

Lutein dan zeaxanthin

Lutein dan zeaxanthin, merupakan dua pigmen kekuningan semula jadi tergolong dalam kumpulan karotenoid. Fungsi utama 2 karotenoid ini ialah:

i) Melindungi mata daripada sinar UV yang berbahaya - lutein dan zeaxanthin membantu mengurangkan risiko mendapat AMD dan katarak.

ii) Bertindak sebagai anti oksida untuk melindungi kanta, retina dan makula, daripada kerosakan akibat radikal bebas kerana terdedah secara berlebihan kepada sinar matahari, skrin komputer dan lain-lain sinar yang berbahaya.

Kedua-dua lutein dan zeaxanthin menyerap bahagian cahaya yang paling bertenaga dan berbahaya iaitu sinar UV (yang juga menghasilkan radikal bebas yang berbahaya). Kebolehan penyerapan ini penting agar kanta, retina dan makula dapat dilindungi.

Seperti nutrien penting yang lain, lutein dan zeaxanthin tidak dihasilkan oleh badan. Untuk mendapatkannya secara mencukupi ialah dengan memakan makanan yang kaya dengan anti oksida ini atau dengan mengambil suplemen lutein dan zeaxanthin. Usia yang meningkat akan mengurangkan jumlah lutein dan zeaxanthin dalam badan tetapi dengan meningkatkan pengambilannya setiap hari, boleh meningkatkan kandungan keduanya dalam makula.

Lutein dan zeaxanthin melindungi mata daripada dua penyebab utama kehilangan penglihatan iaitu katarak dan AMD. Selain melindungi daripada katarak, jika seseorang sedang mengalami katarak, kedua-dua pigmen ini dapat membantu memperbaiki masalah penglihatan. Apabila pesakit yang mengalami katarak mengambil suplemen lutein dan zeaxanthin, ketajaman penglihatan bertambah baik.

Membeli suplemen

Dua perkara untuk dipertimbangkan apabila hendak membeli suplemen mata ialah:

i) Suplemen itu menggunakan herba Marigold yang telah dipiawaikan untuk mengandungi sekurang-kurangnya 15 peratus ester lutein dan 40 peratus zeaxanthin, bagi memastikan setiap kapsul mengandungi jumlah bahan aktif yang tertentu seperti yang tercatit pada label.

ii) Lutein dan zeaxanthin yang berkonsentrasi tinggi digunakan

Untuk memudahkan, adalah lebih baik mendapatkan formula 2 dalam 1 yang mengandungi kedua-dua lutein dan zeaxanthin dalam jumlah yang tinggi untuk melindungi mata daripada kerosakan akibat di samping menggalakkan penglihatan yang lebih tajam dan sihat.

Merawat gangguan penghadaman

Posted: 26 Jun 2010 06:50 PM PDT

SECARA asasnya, probiotik adalah bakteria hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti yang secukupnya.

Peranan umum probiotik terhadap kesihatan manusia adalah mengekalkan ekosistem di dalam usus - mikroflora usus - untuk keseimbangan melalui pertumbuhan bakteria baik di dalam usus, dengan ini ia boleh mengawal pertumbuhan bakteria yang merbahaya.

Mikroflora di dalam usus yang seimbang memastikan kesihatan sistem penghadaman, yang menjadi asas kepada kesihatan kita. Tugasan bakteria usus yang baik adalah:

"Membantu dalam penghadaman dan penyerapan zat makanan, serta menghasilkan sesetengah vitamin dan asid folik.

"Membantu sel usus tumbuh dan kekal sihat, bakteria sihat membantu sistem imuniti usus dan melindunginya daripada jangkitan organisma yang masuk ke dalam usus.

"Membantu mengurangkan kesan toksin merbahaya dan bahan penyebab kanser yang terhasil di dalam usus.

Pertubuhan Gastroenterologi Sedunia memberi saranan bahawa untuk memperbaiki kesihatan penghadaman, makanlah produk dari hasil tenusu, terutamanya probiotik yang telah terbukti berfaedah terhadap kesihatan penghadaman. – Sumber: WGO

Penggunaan probiotik di hospital

Di hospital, probiotik yang diberikan kepada pesakit adalah dalam bentuk kapsul. Ia diberikan untuk merawat cirit-birit yang berlaku disebabkan oleh banyak faktor. Sehingga hari ini, probiotik telah dibuktikan berkesan dalam dua keadaan: antibiotik- menyebabkan kolitis dan gastroenteritis akut.

Penggunaan probiotik untuk rawatan

* Ulcerative kolitis

Ulcerative kolitis adalah penyakit radang usus (IBD) mengakibatkan tanda gejala seperti sakit pada abdomen, cirit-birit dan pendarahan. Terdapat bukti yang mengesyorkan penggunaan probiotik untuk mengurangkan tanda gejala gangguan penghadaman.

* Pouchitis

Pouchitis ialah keadaan di mana kebengkakan yang berlaku pada pouch di dalam usus pesakit yang telah menjalani pembedahan pembuangan usus besar untuk merawat penyakit ulcerative kolitis. Tanda gejala pouchitis ialah cirit-birit dan sakit pada bahagian abdomen. Keadaan ini selalunya dirawat dengan penggunaan antibiotik. Sesetengah kajian telah membuktikan probiotik membantu dalam merawat tanda gejala pouchitis yang ringan.

* Sindrom usus meragam (IBS)

IBS adalah masalah yang melibatkan usus besar, menyebabkan perubahan tabiat buang air besar dan tanda gejalanya adalah seperti cirit-birit, kekejangan pada abdomen dan kembung perut. Tiada penyembuhan pada penyakit ini dan rawatannya yang sedia ada sekarang tidak memuaskan. Sehingga sekarang kajian perubatan telah membuktikan bahawa probiotik boleh membantu mengurangkan gejala masalah ini.

* Jangkitan helicobacter pylori (H pylori)

H pylori ialah bakteria yang menyebabkan kebengkakan di dalam perut dan lama-kelamaan ulser di dalam perut akan terbentuk. Rawatan yang biasa diberi untuk jangkitan H pylori ialah antibiotik, tetapi sesetengah pesakit mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menghilangkan jangkitan ini dengan terapi antibiotik yang lazim digunakan. Terdapat bukti yang mengesyorkan dengan menambah probiotik dalam rawatan antibiotik mungkin akan membantu menambahkan peluang penyembuhan dari jangkitan H pylori

Adakah probiotik suatu keperluan?

Probiotik bukanlah satu keperluan makanan tambahan kepada individu yang normal. Sekiranya anda sihat, pengambilan harian probiotik - makanan yang kaya dengannya, merupakan makanan dari produk tenusu seperti yougurt dan minuman susu kultur, sudah memadai untuk memenuhi jumlah probiotik yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan system penghadaman dan kesejahteraan hidup anda.

* Dr. Tan Huck Joo ialah presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia. Penulis tidak ada kaitan dan tidak menyokong setiap jenama atau produk. Artikel ini adalah milik Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia dan disokong oleh Program Sehat VITAGEN perut. Untuk kesihatan percuma buku kecil pencernaan atau maklumat lebih lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.

Pesona khasiat delima

Posted: 26 Jun 2010 06:49 PM PDT




UNTUK mendapatkan kulit yang sihat sebenarnya amat dekat dengan diri kita. Bahan-bahan semulajadi yang sering digunakan di ruang dapur misalnya buah-buahan dan sayur-sayuran antara penawar mudah diperoleh selain menjimatkan.

Apa kata minggu ini kita tinjau khasiat buah delima yang selalu di kawasan rumah dan mudah juga dibeli di pasar raya.

Dari sudut kesihatan dan kecantikan, buah delima diakui kaya dengan anti oksida. Kandungan gula di dalamnya mampu bertindak sebagai bahan skrub untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati. Hasilnya kulit akan kelihatan segar dan muda selalu.

Cuba resipi skrub biji delima dan buat sendiri di rumah.

Bahan-bahan

½ cawan biji delima

½ cawan gula putih

2 sudu besar minyak (boleh gunakan minyak zaitun, sayuran, avokado atau bunga matahari).

2 titik pati minyak (pilihan)

Dalam mangkuk kecil, gaul biji delima dan gula. Tekan bahan-bahan tersebut menggunakan bahagian belakang sudu. campurkan minyak dan kacau rata.

Biji-biji delima akan mengeluarkan haruman segar apabila dihancurkan tetapi tidak salah jika anda ingin tambah pati minyak haruman kegemaran.

Urut bahan skrub tadi pada kulit perlahan-lahan. Resipi ini cukup untuk urutan keseluruhan badan. Lebihan skrub boleh disimpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk tempoh sebulan.

Selain untuk kecantikan, delima juga enak dicampurkan dalam teh yang mempunyai khasiat unik untuk kesihatan. Buah delima sememangnya dikenali untuk membantu kardiovaskular dan mendapatkan tekanan darah yang seimbang. Ia juga mengandungi sumber vitamin menakjubkan.

Teh delima boleh dibuat dengan menggabungkan jusnya dan teh segar yang dibuat sendiri di rumah. Terpulang kepada anda untuk memilih teh yang digemari - sama ada teh hijau atau herba.

Cuci bersih biji-biji delima dan tapis sebelum dikisar sehingga hancur. Berhati-hati kerana kesan delima sukar untuk dihilangkan.

Tapis bahan tersebut sehingga mendapatkan jusnya. Untuk mendapatkan rasa segar dan melegakan cuba campur jus delima ke dalam teh chamomile. Anda juga boleh cuba mengabungkan jus tersebut dengan pudina atau ekstrak serai.

Keluarkan uncang teh atau tapis minuman tersebut sebelum diminum. Terpulang kepada anda untuk mencampur sebanyak mana jus delima ke dalam minuman. Ia bergantung juga kepada teh yang anda pilih.

Untuk menikmati kesegaran teh delima, tambah ketulan ais dalam minuman anda. Bagi menambah keenakan, perah sedikit jus lemon, anda pasti terpesona.

Daphne terkenang parut bersalin

Posted: 26 Jun 2010 06:48 PM PDT


Daphne menggunakan losen untuk memastikan kulitnya sihat dan cantik.


SAAT melahirkan anak merupakan perkara yang tidak dapat dilupakan seumur hidup oleh wanita. Walaupun tidak dapat menikmati rasa bersalin secara normal, kaedah pembedahan turut meninggalkan kenangan. Itulah yang dirasai oleh wanita cantik, Daphne Iking, 31. Baginya, parut yang ditinggalkan kerana pembedahan bersalin tidak akan dilupakan seumur hidup. Mungkin bagi setengah wanita, parut pada perut meninggalkan memori sedih. Namun, Daphne merasakan parut itulah yang sering mengingatkan dia sebagai seorang ibu. Walaupun bergelar ibu tunggal, Daphne bahagia kerana dia dapat merasai perasaan menjadi ibu.

"Parut di perut saya selepas pembedahan melahirkan anak adalah kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ia tidak meninggalkan kenangan buruk tetapi ia menjadi satu memori yang sangat indah sebagai ibu. Namun, sebagai seorang wanita, saya juga mahu memiliki kulit yang lembut dan halus," ujarnya ketika majlis pelancaran rangkaian losen kulit terbaru, Vaseline di Villa Manja, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setiap kali Daphne melihat anak perempuannya, dia teringin memiliki kulit licin dan lembut seperti itu.

Daphne berpendapat, dia perlu menjaga kulitnya seperti mana dia memelihara kesihatan diri pada usia 30-an.

Baginya, ia merupakan pakej lengkap bagi seorang wanita berasa yakin walaupun ditimpa pelbagai masalah.

Berkongsi rahsia memiliki kulit sihat dan cantik, sejak dari dulu lagi dia menggunakan produk semula jadi.

Selain memastikan kulit wajah dan badan sihat, ia memastikan Daphne tidak berhadapan dengan keadaan sensitif dan gatal-gatal.

Mungkin tidak ramai tahu, Daphne sering ditemani ubat alergi ke mana sahaja. Baginya, dia sering berhati-hati tentang pemakanan dan penggunaan produk kerana punca alergi pada kulitnya tidak dapat dipastikan doktor.

Ditanya tentang keadaan parut pada perutnya selepas pembedahan, ia beransur hilang dan lembut. Katanya, dengan penggunaan losen yang kerap seperti Vaseline, keadaan parut tersebut semakin pulih.

"Seorang wanita perlu memastikan keadaan kulit sentiasa lembap kerana kita tidak boleh mengembalikan masa dulu. Jika 20 tahun dahulu, kulit saya masih cantik dan baik tetapi sekarang terdapat perubahan warna dan keadaan. Jika daripada awal lagi kita boleh menjaga kulit, ia akan kekal muda sepanjang masa," jelasnya.

Dalam pada itu, Vaseline yang baru sahaja melancarkan losen kekal lama dengan memastikan kulit lembap dan sihat sudah pun berada di pasaran.

Kulit rosak cacat penampilan

Posted: 26 Jun 2010 06:46 PM PDT


Kulit rosak akibat pengelupasan kimia mesti dirawat.


PERTEMUAN pertama dengan Puan Chua berlangsung semasa saya dijemput oleh sekumpulan ahli kelab perniagaan bagi sesi ceramah kesihatan. Apabila memberi ceramah untuk wanita saya mesti menyelitkan teknik terbaru bagi menjaga kecantikan dan meningkatkan keterampilan diri seseorang.

Ketika sesi soal jawab Puan Chua paling kurang bertanya. Saya merapati beliau kerana kulit wanita ini mempunyai kesan tompokan hitam yang agak serius sehingga mencacatkan kecantikan wajahnya. Oleh kerana beliau tidak bertanya apa-apa, maka saya mengandaikan beliau tidak berminat meningkatkan penampilan dirinya.

Tanpa disangka beberapa minggu selepas itu saya bertemu semula dengannya. Beliau datang ke klinik saya sebagai pesakit. Meskipun kurang fasih berbahasa Melayu beliau sedaya upaya cuba berkomunikasi. Kali ini dalam suasana yang berbeza. Beliau tampak resah dan menceritakan kepada saya kisah bagaimana kulitnya boleh menjadi sedemikian.

Sepuluh tahun yang lalu Puan Chun berkunjung ke sebuah pusat kecantikan yang dikendalikan oleh seorang wanita berasal dari China. Wanita dari China itu memasuki Malaysia dengan menggunakan pas pelancong dan membuka pusat kecantikan secara haram. Menurut Puan Chua pada waktu itu kulitnya tidak bermasalah. Wajah nya putih dan bersih. Dia berkunjung ke situ dengan rakan-rakan hanya untuk melihat jenis rawatan yang dibuat di situ. Namun setelah dipujuk beliau bersetuju mencuba rawatan di situ.

Rawatan yang dijalankan adalah sejenis pengelupasan kimia. Ubat yang disapu kewajah Puan Chan menyebabkan kulitnya kering dan sakit seperti terbakar. Wanita tersebut meyakinkannya selepas beberapa hari kulitnya akan menjadi lebih cantik. Dia kemudiannya di berikan ubat sapu, losen dan pil vitamin.

Kejadian itu menjadi tragedi baginya kerana kulit cantik yang diharapkan tidak kesampaian. Sebaliknya kulit beliau menjadi Kehitaman dan hari demi hari keadaan semakin teruk. Beliau cuba memulihkan kulit dengan bertemu pakar-pakar kecantikan namun menurut mereka kulitnya telah rosak sama sekali dan tidak dapat dibaiki lagi.

Lebih menyedihkan suaminya sendiri berasa malu untuk membawa beliau ke majlis-majlis kerana kulitnya terlalu hitam tidak dapat disembunyikan walaupun dengan menggunakan mekap. Puan Chua sendiri berubah menjadi anti sosial dan pendiam.

Saya membuat analisis kulitnya dan mendapati masalah Puan Chua adalah long standing PIH (post inflammamatory hyperpigmentation) akibat kesan samping chemical peeling oleh orang yang tidak bertauliah atau tiada pengalaman.

Post Inflammatory Hyperpigmentation

Kerosakan ini boleh berlaku kerana kesan sampingan radang pada kulit seperti bekas jerawat, luka atau terbakar dan pengunaan bahan kosmetik yang salah. Oleh kerana chemical peeling dilakukan ke seluruh wajah, maka kesan `terbakar' yang di alami oleh Puan Chua adalah pada keseluruhan muka. Sekali pandang saling tak tumpah seperti Dayang Senandung dalam filem Seniman P Ramlee. Bukan sahaja wajahnya jadi gelap dan lebam, tetapi tekstur kulit mukanya kasar dan pori-pori mukanya luas.

Kaedah Rawatan

Saya mencadangkan rawatan menggunakan laser. Rawatan mestilah dibuat antara enam sehingga sepuluh kali untuk mendapat hasil yang memuaskan. Saya juga mencadangkan rawatan PRP (platlet rich plasma). Uniknya dalam rawatan ini kita menggunakan sel-sel dalam darah pesakit itu sendiri. Saya menyarankan agar beliau melakukan rawatan setiap minggu, tetapi beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali . Selepas rawatan pertama Puan Chua berjanji akan datang lagi jika terdapat perubahan pada kulitnya. Nampaknya belum benar benar yakin dengan saya. Pada bulan berikutnya, beliau datang untuk rawatan kedua. Beliau kelihatan sedikit ceria kerana pigmentasi beliau sudah mula pudar dan ada beberapa kawan sudah menegur.

Minggu lepas adalah rawatan beliau yang ketiga. Saya menjangkakan beliau akan datang semula sebulan dari sekarang. Tetapi minggu ini beliau muncul di klinik. Kehadirannya memberikan saya seribu satu pertanyaan yang berlegar di dalam pemikiran. Selepas beberapa minit saya menjemput dia masuk. Keadaan kulit mukanya tampak banyak perubahan walaupun baru tiga kali rawatan.

Beliau juga memberitahu hubungannya dengan suami yang semakin hambar menunjukkan tanda-tanda akan pulih. Malah dua hari beliau memberitahu dikunjungi suami yang mengajaknya keluar bersama. Untuk sesi kali ini saya menjalankan rawatan menghilangkan pigmentasi menggunakan laser sekali lagi.

Sambil merawat Puan Chua beliau bercerita mengenai masalah rumah tangganya yang rumit. Semenjak mengalami masalah pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat tertekan, tidak mahu keluar rumah dan suka menyendiri. Ini juga telah menyebabkan beliau berpisah dengan suaminya. Beliau memilih untuk berpisah kerana merasa rendah diri. Saya terkejut mendengar berita tersebut.

Namun begitu suaminya seorang yang baik dan selalu datang melawat beliau sambil memberi wang nafkah. Sebab itu beliau hanya mampu menjalani rawatan sebulan sekali. Bekas suaminya cuba berbaik semula dan selalu mengajak beliau keluar. Tetapi akibat kesan pigmentasi pada mukanya , beliau berasa sangat malu dan memilih untuk duduk di rumah sahaja. Tetapi kini selepas tiga rawatan, keadaan beliau sudah jauh lebih baik. Tidak lagi terdapat kesan tompok-tompok yang ketara di mukanya, dan hanya kelihatan seperti terkena sedikit selaran matahari.

Beliau faham untuk mendapat kesan yang cantik, beliau perlu menjalani dalam 6 sehingga 10 kali rawatan. Dan semasa dalam rawatan beliau harus menggunakan pelindung matahari yang bagus dan menghindari sinaran matahari. Beliau kini sangat gembira kerana tidak perlu risau orang memandang mukanya apabila keluar ke bandar. Dia menambah lagi selain pigmentasinya yang semakin pudar, bekas suaminya memuji kulit beliau semakin halus dan tegang, malah dia kelihatan lebih muda.

Saya tidak menyangka keprihatinan saya terhadap masalah kulit beliau sebenarnya telah mengubah hidup dan masa depannya. Namun begitu saya mengingatkan beliau berkali-kali untuk menghindari sinaran matahari ketika berada di luar rumah dengan memakai sunblock dan payung.

Volvo V50 Sesuai untuk keluarga

Posted: 26 Jun 2010 06:45 PM PDT




UNTUK mengangkut barang yang banyak, kenderaan jenis stationwagon merupakan pilihan awal dalam dunia automotif, malah dicipta lebih lama sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) dan utiliti sports (SUV).

Kenderaan stationwagon menggunakan badan kereta sedan tetapi ruang but atau penyimpanan menjadikan badannya memanjang. Di Eropah dan Amerika Syarikat, ia jadi pilihan ramai pelanggan yang berkeluarga kerana memudahkan mereka untuk pergi bersiar (membawa beg yang banyak) atau membeli-belah.

Diakui, stationwagon tidak berapa popular di Malaysia. Nissan pernah muncul dengan RD Resort yang menjadi popular dengan ditambah aksesori bodykit sekeliling dan rim tayar aloi besar. Namun, populariti itu tidak menarik syarikat-syarikat kereta lain untuk berbuat demikian.

Di sebalik itu, syarikat kereta Eropah, Volvo yang tergolong dalam segmen kereta mewah, memiliki strategi sendiri. Ia secara konsisten memperkenalkan dan melancarkan model stationwagon ke Malaysia. Sejak 1960-an, sebanyak 122 model telah dibawa oleh Volvo, dengan yang terkini, Volvo V50.

Model V50 terkini telah dipertingkatkan tahun ini dengan pengenalan transmisi Powershift iaitu transmisi gear automatik enam kelajuan dengan rekaan klac berganda. Transmisi ini memiliki dua klac dan secara ringkasnya boleh digambarkan sebagai dua transmisi manual yang digabungkan. Ia berfungsi seperti transmisi manual yang diautomasikan, sama seperti diguna pada Proton Savvy atau smart fortwo. Tetapi transmisi Volvo ini lebih canggih kerana ia menggunakan kawalan elektronik.

Transmiwi Powershift ini menukar gear dengan pantas dan tanpa terasa gegaran semasa memecut. Lebih penting, disebabkan reka bentuknya yang memboleh lebih banyak kuasa disalurkan, penjimatan bahan api adalah lebih baik berbanding transmisi automatik konvensional.

Menurut Volvo, V50 terbaru ini adalah 11 peratus lebih jimat berbanding versi V50 sebelum ini tetapi harus diingat bahawa versi terbaru ini menggunakan enjin 2 liter manakala yang terdahulu ialah 2.4 liter. Terdapat juga Geartronic yang membolehkan pemandu menukar gear secara manual tetapi ketiadaan mod Sports agak mengecewakan.

Ia menyebabkan prestasi enjin 2 liter ini semacam berat. Mungkin ia memadai untuk pemandu yang tidak suka memecut.

Satu ciri yang menarik pada V50 ini ialah Sistem Maklumat Sudut Terlindung (BLIS) yang juga terdapat pada model XC60. Sistem ini menggunakan kamera yang dipasang pada cermin sisi untuk mengesan kenderaan lain pada sudut terlindung di kedua-dua belah kenderaan. Bila terdapat kereta atau motosikal yang memotong, lampu BLIS akan menyala bagi memberi amaran kepada pemandu. Ini satu lagi ketulenan inovasi keselamatan ciptaan jurutera Volvo yang mengukuhkan pendapat ramai mengenai aspek keselamatan yang wujud pada setiap kenderaan buatan Volvo.

Model V50 juga dipasang dengan teknologi Dynamic Stability Traction Control (DSTC), iaitu sistem kawalan penstabilan yang maju dari Volvo.

Akses ke dalam kereta adalah mudah kerana ia menggunakan kaedah tanpa-kunci. Anda hanya perlu pastikan kunci kereta ada dalam beg atau poket seluar. Pengimbas pada kereta

akan membuka pintu secara

automatik dan satu punat halus

untuk menguncinya. Bagi menyalakan enjin, terdapat tombol khas yang hanya perlu dipulas mengikut ketetapan.

Kereta ini juga direka oleh jurutera dengan keluarga sebagai inspirasi. Ia jelas pada kerusi belakang, dimana sofa duduk boleh dinaikkan untuk kanak-kanak setinggi 4 meter duduk dengan selesa.

Sesuai dengan sifatnya sebagai stationwagon, ruang but V50 ini ialah 1,060 liter dan jika kerusi belakang dilipat rata, ia bertambah menjadi 1,772 liter. Kerusinya pula boleh dilipat beberapa cara yang membolehkan anda mengangkut pokok bunga di dalamnya.

Model Volvo V50 ini ditawarkan dengan pakej aksesori yang menarik. Pelanggan boleh memilik rel khas mengangkut basikal, bodykit, sistem navigasi boleh dipasang/cabut pada dek panel pemuka. Kesemuanya boleh dibeli pada harga antara RM1,346 hingga RM6,607 sebuah.

Malah, Volvo juga menawarkan rim aluminium bersaiz 18 inci iaitu Atreus dan Medusa, masing-masingnya pada harga istimewa RM15,193 dan RM14,710.