BERWAJAH cantik dan berperwatakan menarik memberi laluan mudah kepada dua artis muda ini mengukir nama dalam dunia hiburan tanah air. Walaupun masih muda, apabila berbicara ternyata Miera Leyana Kasmi atau Miera, 18, dan Nur Fathia Abd Latiff atau Fathiya, agak matang serta tahu mengawal keadaan.
Buktinya, sewaktu dipilih menggayakan barang kemas tajaan Rafflesia Pearl Centre bakal dimenangi pembaca bertuah akhbar Berita Harian dan calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) baru-baru ini, Fathiya serta Miera tenang berdepan dengan wakil media meskipun diajukan soalan panas dan 'tajam'.
Sudah tentu pada hari itu paling menjadi perhatian wartawan yang hadir membuat liputan adalah pelakon utama filem Apokalips, Miera yang kini hangat dengan isu gambar seksinya yang menampakkan sebahagian payu dara. Perkara itu berlaku sewaktu Miera menghadiri satu majlis meraikan pelakon popular dan muda dan gambar terbabit turut disebarkan di beberapa laman portal hiburan.
Menjelaskan perkara itu, Miera berkata, ia berlaku tidak disengajakan. Dia juga tidak menyalahkan Wan Huzairil, pereka fesyen yang mereka pakaian digayakan malam itu.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada pihak yang berasa kurang sedang dengan gambar yang tersebar. Percayalah bukan sengaja saya mahu berpakaian atau beraksi sedemikian rupa. Ia berlaku tanpa saya sedari. Segalanya bermula apabila tema majlis ditukar daripada merah kepada warna emas.
"Wan Huzairil terpaksa menghasilkan sehelai baju baru tanpa mengacu di tubuh saya memandangkan waktu itu dia berada di luar negara. Pada hari majlis berlangsung, penerbangannya sampai lewat dan sebaik tiba kami bersiap. Saya pula dijelaskan penganjur tidak perlu membawa apa-apa kerana segalanya sudah disiapkan.
"Sebagai orang baru, saya cuba bersikap profesional dengan tidak menimbulkan masalah kepada pihak lain terutama penganjur majlis. Memang apabila menyarungkan baju itu, ia kelihatan terdedah sedikit.
"Bagaimanapun, dengan kreativiti yang ada, Wan Huzairil cuba menutup sebahagian baju dengan pin di bahagian hadapan agar ia sedikit ketat dan tidak terlurut dari tubuh," katanya.
Begitupun, kerana asas baju terbabit daripada kain lembut ia tidak dapat menggenggam kejap pin yang dipasang menyebabkan ia sedikit melurut dari tubuh.
Sewaktu bergambar, kata Miera dia tidak menyedari potongan sisi baju digayakan mendedahkan sebahagian daripada payu daranya sehinggalah ditegur rakan artis lain. Insiden itu memberi ruang kepada jurugambar untuk merakamkannya. Apabila ditegur tiada apa dapat dilakukan selain cuba menutup sisi payu dara yang kelihatan dengan lengannya kerana waktu itu dia sedang menjayakan sesi fotografi.
"Saya artis baru, kurang mahir dengan situasi berlaku. Bagaimanapun banyak perkara yang saya belajar daripada apa yang sudah terjadi. Pertamanya, walaupun penganjur mengatakan 'bawa' badan saja, tetapi sebagai artis, barang asas perlu dibawa sama seperti baju dalam atau 'tube', seluar ketat (tide) dan kasut," katanya.
Dalam berhadapan dengan situasi itu, jelas Miera sudah tentu dia berasa malu apatah lagi sebagai wanita. Katanya, kalau berdepan dengan gosip cinta dia masih boleh menerimanya, tetapi tidak untuk gambar yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan kerana ia membabitkan tubuhnya serta cukup peribadi.
"Dalam berhadapan situasi ini, keluarga banyak menenangkan saya. Mujur mereka faham dan tidak melatah. Namun, saya secara peribadi berasa sangat malu. Ibarat dibogelkan di hadapan khalayak. Sekali lagi saya memohon maaf kepada pihak di luar yang kurang senang dengan kejadian itu," katanya.
Berbeza dengan Fathiya, gadis yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), bijak mengelak apabila ditanya mengenai soal teman lelaki mahupun cinta.
Malah apabila dikaitkan dengan Remy Ishak, dalam nada bergurau dia sempat menyatakan bimbang akan dimarahi teman wanita aktor sedang meningkat naik itu. Apatah lagi mereka sama-sama membintangi drama Mek Klate yang baru saja selesai menjalani penggambaran di Kelantan.
"Teman lelaki yang mana satu? Saya ada ramai teman lelaki," katanya sambil ketawa. Ternyata gadis kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang ini pandai mematahkan pertanyaan dan mengalih topik. Ketokohannya sebagai peguam terserlah.
Jelas Fathiya, pembabitannya dalam dunia lakonan berlaku secara tidak sengaja apabila dilamar Kabir Bhatia untuk membintangi drama Nur Kasih. Ceritanya, pihak TV3 meminta produksi pengarah filem Cinta dan Sepi itu melamarnya selepas melihat iklan Sunsilk yang dibintanginya.
"Saya bukanlah pelakon yang bagus. Tidak dinafikan perjalanan saya dalam bidang ini masih jauh. Banyak perkara yang perlu dipelajari. Waktu sama, saya juga sibuk dengan pengajian. Maaflah, kesibukan juga menyebabkan saya tiba lewat pada majlis ini kerana baru saja selesai menjalani ujian di UiTM Shah Alam," katanya.
Jelas Fathiya, dia tidak menaruh harapan tinggi apabila bergelar anak seni, kerana tahu dia punya pilihan. Bidang perundangan juga turut menarik minatnya dan jika boleh dia mahu melakukannya sebagai kerjaya tetap. Apatah lagi kebanyakan saudara-maranya turut mempunyai firma sendiri.
"Macam mana susah pun saya akan cuba melakukan kedua-dua perkara ini sebaik mungkin. Tapi saya tahu dugaan dunia lakonan besar dan pada waktu sama banyak muka baru muncul.
"Saya sendiri masih baru, tetapi yang di bawah saya ada lagi orang baru muncul. Sekiranya satu hari saya tidak lagi diterima dalam bidang ini saya tidak bimbang kerana kerjaya dalam bidang guaman menunggu. Sebab itulah susah macam mana pun saya akan tetap menghabiskan pengajian dan memastikan menggenggam segulung ijazah," katanya.
>PROFIL
Nama Penuh : Miera Leyana Binti Kasmi
Panggilan komersial: Miera Leyana
Tarikh lahir: 28 Ogos 1993
Umur: 18 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Karier: Pelakon dan model
Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik
Hobi: Membeli-belah, berenang dan menari
Drama: Luna Fantasiku, Ceria-Ceria Cikgu Rubina, Bio-Nik, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Kecuali Cintamu, Kekasih Yang Suci dan Nana Naruto.
Filem: Apokalips
>PROFIL
Nama sebenar: Nur Fathia Abd Latiff
Panggilan komersial: Fathiya
Tarikh lahir: 1 September 1987
Umur: 23 Tahun
Asal: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
Kerjaya: Pelakon, model dan pelajar
Cita-cita: Seniwati yang dihormati dan peguam
Drama: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani dan Mek Kelate.
Iklan: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.