Adsense

Sabtu, 26 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sentuhan Lord's Tailor

Posted: 25 Mar 2011 06:07 PM PDT

Hip

Penampilan sempurna jejaka jadi penanda aras melaram ke ABPBH 2010

EKSKLUSIF buat pembaca sisipan XY - Ikon Lelaki, jenama fesyen tuksedo dan sut terkenal, Lord's Tailor membawa dimensi penggayaan untuk jejaka bagi menghadiri acara berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 di Genting Highlands, menjelang 3 April ini.

Digayakan oleh calon Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2010, Sharnaaz Ahmad, lima ilham gaya dengan tema 'Moden & Klasik' ini boleh diibaratkan sebagai penanda aras untuk penampilan sempurna jejaka pada malam kemuncak anugerah berprestij itu. Pegawai Publisiti Lord's Tailor, Bill Bora, berkata setiap gaya yang cuba ditonjolkan memperlihatkan sisi personaliti pemakai serta karektor yang mampu menonjolkan lagi tema 'Moden & Klasik'.

Bill berkata, rona hitam, putih dan coklat antara warna hangat yang dapat mencetuskan suasana dramatik serta sentimen gaya moden dan klasik.

"Selain banyak bermain dari segi rekaan dan potongan bertemakan klasik, elemen moden pula boleh difokuskan pada aksesori untuk mengimbangi elemen tema bagi ABPBH 2010 kali ini.

"Lord's Tailor menganggap tema 'Moden & Klasik' menambah kemeriahan acara berprestij terutama kepada penggiat industri hiburan tanah air untuk tampil penuh bergaya," katanya yang menyatakan rasa gembira kerana Lord's Tailor diberi kepercayaan menyerikan ABPBH selama lima tahun berturut-turut.
Menyentuh mengenai lima penampilan berkonsepkan 'Moden & Klasik', Bill berkata, penggayaan sut serba putih dengan bow tie menyerlahkan karisma pemakai. Menguatkan lagi penampilan, topi serta kasut hitam putih boleh menambah lagi kesan klasik.

Diperhatikan, gabungan warna hitam dan putih cukup versatil bagi jejaka berusia 30-an seperti yang ditonjolkan Sharnaaz. Sisi penampilan segak jelas tergambar menerusi gaya yang cukup memikat tetapi tidak berlebih.

"Menerusi gaya sut putih dan berseluar hitam ini, ia boleh diibarat gaya gentleman berusia 30-an yang tidak mahu terlalu menonjol.

"Apabila aksesori bertukar pula dengan pemakaian tali leher hitam berpotongan halus, karektor pemakai serta merta berubah dan sedikit nakal," kata Bill menyentuh mengenai gaya sut putih dengan tali leher, topi dan seluar hitam yang digayakan.

Beralih pada gaya sut dan seluar hitam, penampilan jejaka sedikit serius tetapi masih mengekalkan karektor tersendiri. Penampilan ini yang cukup serasi bagi pemuzik menjadikan pemakai tampak serasi dalam membentuk personaliti gaya.

Bagi yang ingin berfantasi dan mencari karektor tambahan, penggayaan vest dan suspender mungkin boleh dijadikan antara item pilihan seperti gaya yang ditampilkan Sharnaaz. Selain itu, topi serta bingkai kaca berpotongan klasik memberi tarikan tersendiri.

Bagi ABPBH 2010 Lord's Tailor tampil dalam persalinan eksklusif 'Moden & Klasik' membabitkan 13 selebriti lelaki merangkumi Aaron Aziz; Fahrin Ahmad; Faizal Tahir; Shaheizy Sam; Kamal Adli; Shah Jazsle; Iqram Dinzly; Gambit Saifullah dan Zizan Raja Lawak.

Tidak ketinggalan, Shamsul Yusof, Ariel Zafrel, Fizo Omar dan Sharnaaz Ahmad.

Apa kata Sharnaaz

"KALI PERTAMA tampil di pentas ABPBH 2010, ia satu penghargaan besar kepada saya yang baru bertapak dalam industri hiburan tanah air. Namun, ini bukanlah kali pertama saya bekerjasama dengan Lord's Tailor dan tentunya saya menunggu saat acara kemuncak ABPBH kali ini.

"Menyentuh mengenai pakaian, saya masih belum mendapat gambaran idea yang bakal digayakan dan menaruh kepercayaan tinggi kepada pemilik Lord's Tailor, Robert Loh untuk mengilhamkan gaya sesuai dengan jiwa saya. Bagi saya, idea tema 'Moden & Klasik' mampu mengimbau nostalgia fesyen lalu yang diberi nafas baru.

"Secara peribadi, saya memang kagum dengan cita rasa fesyen lalu yang mencerminkan gaya segar dalam berfesyen. Sesuai peredaran masa, pengaruh fesyen juga bertukar walaupun saya lihat trend lama kembali hangat sekarang."

INFO: Sharnaaz
Nama penuh : Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad
Tarikh lahir : 30 Ogos 1985
Tempat lahir : Pulau Pinang
Drama dan telefilem : Tari Tirana, Dari Mata Ke Hati, Mata Di Hati, Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata dan Pontianak Kampung Batu, Prebet Jamilah, Pasukan Gerak Marin
Filem : Seru
Perkembangan baru: Bakal muncul dalam drama bersiri 13 episod baru, genre seram Kumkum yang akan ditayangkan di Astro Ria.
Calon ABPBH 2010 : Artis Baru Lelaki Popular
Stailing : Suka bergaya sederhana - kemeja, seluar denim Levi's dan kasut but.

Lokasi : Ambassador Penthouse, Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur
(Terima kasih Bahagian Perhubungan Awam dan Pemasaran Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur)
Tel: 03-2142 9611 (www.berjayahotel.com)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belum berakhir

Posted: 25 Mar 2011 06:02 PM PDT

Hip

Karier muzik Britney terus cemerlang biarpun pernah hanyut dengan krisis peribadi

PUTERI Pop yang satu ini pernah mencetuskan fenomena di seluruh dunia dengan muzik dan gaya persembahannya. Penangan Britney Spears, 29, suatu ketika dulu memang sukar dinafikan. Kira-kira sedekad yang lalu, namanya memang berada pada carta teratas idola remaja.

Permulaan kerjayanya cukup hebat. Album sulung, Baby One More Time, yang dipasarkan sekitar 1999 meledakkan namanya di persada muzik antarabangsa. Populariti yang diraih cukup pantas, sekali gus menempatkan dirinya di kalangan penyanyi tersohor seantero dunia. Namun, sinar kegemilangan bagai tercalar apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kisah peribadinya pula yang mengambil tempat di dada majalah dan akhbar. Bukan cerita positif, namun sebahagian besarnya agak memualkan peminat. Kegemilangan yang dikecapi sejak usia muda, nyata membawa musibah kepada bintang berkenaan.

Britney pernah mengejutkan dunia dengan kisah cinta dan perkahwinannya yang kecundang di tengah jalan. Beberapa episod percintaannya, termasuk dengan penyanyi pop, Justin Timberlake; jurugambar, Adnan Ghalib; dan penerbit muzik, J R Rotem (sekadar menyebut beberapa nama) menemui kegagalan. Malahan, Britney turut mengejutkan dunia dengan perkahwinan singkat selama 55 jam bersama teman sekolah, Jason Allen Alexander.

Britney turut menimbulkan kontroversi dengan mengahwini penari pengiring, Kevin Federline. Bagaimanapun perkahwinan keduanya itu juga tidak bertahan lama. Britney dikatakan berdepan dengan penderitaan yang cukup azab, hingga hampir memusnahkan kerjaya seninya.

Dua tahun hidupnya diliputi gelita. Paling menjadi mimpi ngeri, kedukaan serta emosi yang dialaminya membuatkan jiwa dan dirinya tertekan hingga dimasukkan ke pusat rawatan. Pihak hospital meletakkan Britney dalam kategori `kecacatan serius', merujuk kepada pesakit yang gagal menguruskan diri sendiri disebabkan sakit mental.
Bangkit daripada kisah silam, Britney pernah tampil dengan album studio kelima dan keenam, masing-masing diberi judul Blackout (2007) dan Circus (2008). Album Blackout disifatkan album kepulangan semula dirinya ke dunia muzik, yang dikira berjaya, biarpun masih dibayangi 'drama' yang berlaku dalam kehidupannya.

"Sejak saya membuat comeback, saya sentiasa mendapat motivasi dan sokongan daripada teman artis dan peminat. Kylie Minogue contohnya memberi sokongan, dengan menyatakan kesediaannya untuk menikmati album terbaru saya, Femme Fatale. Ia cukup bermakna buat saya," katanya yang dipetik di laman Twitter.

Kini, dia bergantung harap kepada album studio ketujuhnya berjudul Femme Fatale yang dijangka berada di pasaran 29 Mac ini. Selepas muncul dengan single pertama, Hold It Against Me, kini penyanyi itu cuba pula menarik perhatian peminat dengan single kedua berjudul Till The World Ends, sejak 4 Mac lalu.

"Saya menyukai album ini. Ia boleh dianggap sebagai hasil terbaik setakat ini. Saya rasa judul albumnya sudah cukup jelas menggambarkan apa yang saya cuba sampaikan. Album ini bernada rancak dan sungguh menyeronokkan.

"Saya mahu menghasilkan rekod dalam penghasilan album rancak yang berani. Hampir setiap lagu yang dimuatkan pasti akan membuatkan anda menggoyangkan badan. Saya juga mendapat maklum balas positif daripada peminat selepas mengumumkan untuk tampil dengan single kedua di laman Twitter," katanya yang mempromosikan Hold It Against Me sejak awal tahun ini.

Sekalipun tidak sabar untuk melancarkan album terbarunya itu, Britney sekali lagi berdepan cerita yang kurang enak apabila single pertamanya dikatakan hasil ciplak daripada lagu balada rock berjudul If I Said You Had A Beautiful Body Would You Hold It Against Me dendangan Bellamy Brothers.

Difahamkan, gara-gara perkara itu, Spears kini berdepan dengan saman berjumlah berjuta-juta dolar. Penyanyi kumpulan terbabit dikatakan sudah pun berunding dengan peguam mengenai hal itu. Bellamy Brothers dalam kenyataannya sebelum ini berasakan mereka seperti ditipu.

"Jika ini sudah menjadi masalah undang-undang, saya tidak dapat berkata apa-apa sehingga peguam kami dimaklumkan," kata jurucakap Britney ketika memberi maklum balas isu terbabit kepada akhbar Daily Star.

Bahagia bersama bekas pengurus

SEMENTARA itu, menyelak sisi peribadinya, Britney dikatakan masih bahagia menjalinkan cinta dengan bekas pengurusnya, Jason Trawick. Hubungan itu sesekali dilambung ombak hingga masing-masing pernah memilih untuk berpisah buat sementara waktu, sebelum kembali bersama.

Rentetan daripada itu, Britney dikatakan kesunyian. Bintang itu difahamkan mahu Jason memberi masa kepadanya untuk berfikir dan menenangkan diri. Laporan pernah menyebut, Britney mahu berdikari sebelum membuat keputusan mengenai hubungan mereka. Mujur, lelaki itu memahaminya.

Ada pihak yang mengandaikan apa yang cuba dilakukan Britney sebagai situasi biasa bagi wanita sepertinya yang memerlukan perhatian seorang lelaki. Terkini, pasangan ini dikatakan kembali meneruskan hubungan. Mereka mula keluar bersama sejak awal 2009.

Baru-baru ini kedua-duanya datang memberi sokongan kepada anak sulung Britney, Sean Preston, yang terbabit dalam perlawanan besbol. Menariknya, bekas suaminya, Kevin, yang ditemani kekasihnya, Victoria Prince turut hadir memberi sokongan.

Federline juga bertindak sebagai jurulatih pasukan West Hill Yankees yang disertai Sean Preston. Gambar yang berjaya dirakamkan di padang besbol itu dikatakan yang pertama pada tahun ini selepas Britney dan lelaki itu berpisah pada 2006.

Namun, Britney dan Kevin dikatakan menjarakkan kedudukan mereka dan langsung tidak bertegur sapa. Mujur Britney ditemani Jason, jadi ibu kepada Jayden James itu ada teman berbicara. Mengenai hubungannya dengan Jason, susah untuk diramal kesudahannya.

Info menarik Britney Spears

  • Album terbaru Britney, Femme Fatale, dijadualkan menemui peminat pada 29 Mac ini.
  • Pernah berdepan dengan situasi getir untuk kembali ke berat badan ideal beberapa tahun lalu.
  • Selain lagu Hold It Against Me dan Till The World Ends, album Femme Fatale turut memuatkan lagu Inside Out, I Wanna Go, How I Roll, Drop Dead (Beautiful), Seal It With A Kiss, Big Fat Bass, Trouble For Me, Trip To Your Heart, Gasoline dan Criminal.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.