Adsense

Sabtu, 24 November 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Maimon Mutalib kritikal barah tahap tiga

Posted: 24 Nov 2012 07:12 PM PST



LAKONAN Maimon Mutalib tidak pernah mengecewakan sama ada di skrin TV mahupun di latar perak.



KHABAR tentang penderitaan akibat penyakit barah payudara yang sedang dialami pelakon senior, Maimon Mutalib, 54, mula hinggap di telinga ramai. Di sebalik keceriaan, senyuman serta lakonan yang membangkitkan emosi benci atau marah yang tersiar di kaca televisyen, Maimon yang lebih mudah dibahasakan Kak Mon itu rupa-rupanya sudah lebih setahun berjuang untuk melawan penyakit yang sangat digeruni kaum Hawa.
"Saya memang takut jarum, sebut perkataan hospital pun saya sudah seriau. Selama ini saya tidak pernah masuk hospital kecuali sewaktu hendak bersalin dahulu.
"Sudah setahun setengah saya tahu menghidap barah payudara, itu benda yang paling ditakuti. Saya sembunyikan daripada pengetahuan umum sebab gerun dan fikir macam-macam.
"Selama ini saya cuma elak ke hospital tapi berbagai-bagai usaha sudah dilakukan, daripada berubat kampung sehinggalah bertemu pengamal perubatan homeopati, apa yang orang kata bagus, semua saya buat," katanya saat dihubungi Sensasi Bintang untuk bertanyakan khabar yang sedang diperkatakan.
Dalam nada sedikit lemah, Maimon bercerita bahawa dia dimasukkan ke hospital sejak Selasa lalu berpunca daripada kekejangan yang dialami pada paha kiri. Pelik dengan situasi yang tidak pernah dialaminya itu sementelah badannya mulai lemah dan tidak mampu bergerak sendiri, dia dinasihatkan anak-anak dan ahli keluarga yang lain untuk membuat pemeriksaan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Sebenarnya saya terjatuh dari tangga, selepas itu terus rasa kejang. Bila datang hospital, terus saya ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Bengkak di bahagian kiri payudara saya semakin menyakitkan apabila doktor buat macam-macam ujian. Rasa sebak pun ada, sampai mengalir air mata bila badan kita diuji-uji begitu, tapi nak buat macam mana.
"Sekarang ini ibaratnya 'serah diri' sahaja, saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya juga tak tahu sampai bila lagi saya akan duduk dalam wad hospital ini. Selepas ujian imbasan CT nanti kena tunggu keputusan untuk prosedur kemoterapi pula," katanya.
Ditanya tentang tahap kritikal barah yang dihidapi, cerita Maimon: "Ikut kata doktor, barah saya sekarang sudah masuk tahap ketiga. Doktor juga periksa kepala sebab syak barah sudah merebak ke anggota badan yang lain, tapi semuanya okey. Saya cuma berdoa kepada Allah, minta dipermudahkan urusan dan segera sembuh. Kalau diizinkan Allah, saya masih perlu bekerja untuk anak-anak yang masih bersekolah," luah Maimon yang berstatus balu sejak kematian suami, 15 tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, Maimon hanya bergantung hidup kepada lakonan sebagai mata pencarian untuk membesarkan lima orang anak. Sepasang anak kembar, Abdul Rahman Haji dan Abdul Rahman Haj, yang juga anak bongsunya kini masih di Tingkatan Empat.
Anak keduanya, Surayatul Nadia, 32, pula tidak boleh bekerja kerana menghidap sakit buah pinggang. Maimon juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Surayatul Natasha yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan anak sulung, Kamarul Syahid, 34.
"Sudah dua-tiga bulan juga saya terpaksa tolak banyak tawaran sebab tak larat. Saya juga selalu dimarahi kawan-kawan dan anak-anak kerana berdegil tak mahu ke hospital. Saya tak suka, nanti bila masuk hospital akan jadi begini, semua orang tahu dan fikir yang bukan-bukan," katanya.
Baru muncul dengan filem Budak Pailang, Maimon juga pernah berlakon dalam filem Sumpahan Kum-Kum, Semerah Cinta Stilleto, Pensil, Hijab, Hantu Dalam Botol Kicap dan banyak lagi. Di kaca televisyen, mungkin sudah ratusan judul yang menampilkan wajah Maimon dengan variasi watak.
Sepanjang berada di hospital, Maimon turut dilawati rakan-rakan artis serta wakil daripada Persatuan Seniman.
- ---

Sepah 'hidup' dalam Sepah The Movie

Posted: 24 Nov 2012 07:10 PM PST

BERPECAH kumpulan bukan alasan menjadikan Mamat, Shuib serta Jep (tiada dalam gambar) tidak mampu memberikan persembahan kelakar dalam filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan 29 November ini.

RIBUT pergeseran dan perpecahan kumpulan pelawak Sepah yang dianggotai Jep, Mamat dan Shuib sudah lama reda. Sepah meraih populariti apabila muncul sebagai juara pertandingan Raja Lawak musim ketiga sebelum menjulang pula trofi Maharaja Lawak musim pertama.
Seperti terbakar oleh glamor dan perhatian umum, perpecahan Sepah banyak memberikan impak. Selain penubuhan Sepahtu oleh Shuib dan Jep, Mamat yang terpinggir dan membawa haluan sendiri pula terheret dengan pelbagai kontroversi sehingga mendedahkan kepincangan grup komedi yang dikatakan pengganti kepada kumpulan lawak terkenal, Senario.
Konflik Mamat, Jep dan Sepah dikatakan belum berakhir walaupun mereka kembali bersepakat untuk menjayakan filem sulung Sepah The Movie pada hujung tahun lalu. Tanpa perlu berselindung, Shuib mendakwa itulah filem pertama dan terakhir membabitkan mereka bertiga.
Selain Mamat, Jep dan Shuib, filem terbitan PTV Film Productions itu turut dibintangi oleh Jehan Miskin, Yus (Jambu) dan Asrul dari Raja Lawak, Anzalna Nasir dan Ramona Qadri.
Hadir ke sesi fotografi tanpa Jep yang ada komitmen penggambaran sebuah drama di utara tanah air, Mamat dan Shuib menegaskan antara mereka bertiga, ikrar persahabatan Sepah tidak akan mati walaupun mereka sedang menggerakkan haluan secara berasingan.
Bagaimana hubungan kamu bertiga kini?
MAMAT (M): Provokasi dan berita yang digembar-gemburkan sebenarnya lebih besar daripada kisah sebenar perpecahan kami bertiga. Saya cuma bukan Sepahtu dan tidak boleh bergabung dengan Jep dan Shuib sebagai Sepahtu, tapi apabila projek itu dinamakan Sepah, kami masih berbaik. Saya boleh jamin, penonton tidak akan dapat mengesan sebarang kejanggalan kami dalam filem itu nanti.
SHUIB (S): Tapi dalam pada orang lihat kami bergaduh, kami sebenarnya boleh bekerja secara profesional. Kalau mahu tahu kami bergaduh atau tidak, tengoklah filem Sepah The Movie nanti.
Selain bahan komedi, apa tarikan yang dijanjikan oleh kalian terhadap filem itu?
M: Bagi saya filem ini satu keajaiban dunia. Kami menang Raja Lawak dan Maharaja Lawak, buat filem pula selepas berpecah. Filem ini sebuah nostalgia, hadiah untuk peminat yang undi kami selama ini walaupun banyak kontroversi tetapi ia dapat diselesaikan dengan cara terhormat.
S: Aksi-aksi sukan motorcrosss semua kami lakonkan sendiri. Kalau dalam drama Bujang Sepah, kami digambarkan sebagai adik beradik, jadi ada hukum yang tak boleh dilanggar tapi dalam filem ini kami kawan dan kami guna nama sebenar. Sepah lebih 'hidup' dalam versi filem ini.
Secara peribadinya, bagaimana kalian melihat naik-turun kehidupan masing-masing?
M: Banyak cerita buruk tentang saya, lepas satu, kemudian satu lagi. Saya tahu dan itu semua menjejaskan mata pencarian saya. Sudah lama saya tiada tawaran berlakon, maruah saya jatuh dan keluarga di kampung juga terkena tempias. Tapi, saya tetap kena teruskan hidup. Nasib baik saya selalu dapat tawaran dari Singapura. Orang Singapura tidak ambil peduli tentang kontroversi saya.
S: Saya percaya hidup tak semuanya indah. Kami pernah berjanji untuk tidak berpecah, tapi akhirnya berpecah juga. Saya sebenarnya terkilan apabila ramai pihak di luar sana yang tidak puas-puas mahu mencari silap Mamat. Saya tidak tahu kenapa dia ditimpa nasib yang sebegitu, saya mendoakan yang terbaik untuk Mamat. Dalam keadaan tertentu, saya kena menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri, saya ada keluarga dan kena ada sasaran dalam karier.
Perkembangan terbaharu masing-masing?
M: Saya ada mulakan perniagaan kecil-kecilan berhampiran dengan Taman Tema Legoland yang baru dibuka di Johor. Alhamdulillah bisnes saya bagus.
S: Disember nanti saya akan mulakan penggambaran sebuah filem bersama Zul Yahya. Jadual saya sentiasa padat dan terbaharu, saya dilantik sebagai Duta Dobi Aqua Nano. Ia sebuah jenama kedai dobi yang diusahakan secara francais. Itu semua rezeki anak, Siti Sarah (isteri) kini sedang hamil anak kedua.
- ---

Rosyam tak lupa asal usul

Posted: 24 Nov 2012 07:04 PM PST



UMUM mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa.
Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini.
Setelah 26 tahun, Rosyam Nor, 45, kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya.
Dia bukan hanya muncul sebagai seorang aktor Malaysia tetapi jauh daripada itu. Dia tampil sebagai seorang pelakon yang menjadikan namanya satu jenama dalam industri hiburan tanah air.
Lelaki berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu hanya mampu mengangguk tanda setuju bahawa selebriti perlu ada sebuah penjenamaan.
Rayu ruang, peluang
"Jujurnya seawal tahun 1997 saya sudah meletakkan satu visi iaitu diri dan nama sendiri perlu ada penjenamaan. Bagi saya seseorang itu selepas tumbuh sebagai artis, dia perlu dikilatkan dan sinarnya perlu sampai. Kelibatnya perlu dirasai masyarakat penonton," luah Rosyam Nor yang juga merupakan penaung Suhan Movies yang sudah bergerak selama 15 tahun.
Dia membuka cerita bahawa satu waktu dahulu, dia tidak malu untuk merayu serta menghadap sutradara popular untuk dibekalkan ruang dan peluang. Itu juga langkah dan strategi seorang Rosyam.
ROSYAM kini memberi tumpuan kepada Anugerah P. Ramlee yang akan diadakan pada 22 hingga 24 Februari mendatang.


"Saya pernah mohon berlakon kepada Datuk Yusof Haslam. Saya mendekati dan bergaul dengan individu yang dapat memberi impak. Awie, Erra Fazira, Ziana Zain saya mohon sewaktu diberi peluang muncul dalam filem Maria Mariana 2. Saya tumpang populariti mereka dan saya pastikan penonton tidak lupakan Rosyam Nor waktu keluar menonton filem tersebut," sungguh-sungguh Rosyam bercerita strategi penjenamaannya.
"Kemudian saya bertemu Bada dan Rashid Sibir yang memberi peluang kepada saya. Saya muncul dalam drama-drama Rashid Sibir dan filem perdananya, Laila Isabella. Saya tanpa segan memohon mereka untuk peluang itu," jujur Rosyam bersuara.
Tahun ini dia berlakon pula bawah arahan anak Yusof. Pengarah muda Syamsul Yusof memberinya peluang muncul dalam filem KL Gangster 2. Membawakan watak Tailong, Rosyam mengharapkan magis dalam kemunculannya kali ini setelah melihat impak kepada filem terdahulu.
"Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi peluang saya muncul dalam filem yang besar. Saya berikan komitmen sepenuh hati dan harap Syamsul puas hati. Ini peluang saya untuk mengumpulkan para peminat baharu," ungkap Rosyam yang merasakan Tailong ialah gangster yang kemas dan berperwatakan menarik.
"Jujurnya saya mengharapkan magis pada tahun 2013. Saya menanti sebuah fenomena pada diri dan kerjaya saya. Tahun depan saya ada tiga buah filem bakal ditayangkan iaitu KL Gangster 2, Balistik dan Laga," ujarnya.
Tidak lupa juga dia muncul kali kedua membawakan watak Razif dalam drama popular Trilogi Cinta 2. Drama yang kini menemui para peminat semula selepas dua minggu tidak bersiaran.
Selang hari dan tahun bergelar selebriti, pelakon yang benar-benar merangkak mencipta jaya dari bawah ini tidak kalah diusik kontroversi. Terbaharu, kisah dia membezakan dua stesen televisyen sewaktu Anugerah Skrin 2012 berlangsung.
Dangkalnya jiwa yang menerima lalu menjatuhkan hukum kononnya Rosyam cetek ilmu agama. Hanya kerana dia menyebut "Nasib baik kita dekat TV3 boleh cuit-cuit, kalau TV Al-Hijrah cuit pun tak boleh."
Elak watak tua
Rosyam enggan melanjutkan cerita. Cuma katanya dia mengungkapkan hal nyata yang berlaku di dua buah stesen televisyen. Banyak yang menangkap dalam konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan.
Lalu penulis bertanyakan soal latah orang kita dalam sesebuah situasi. Baik latah seorang yang berstatus artis atau pemerhati tegar yang bergelar peminat. Dia menarik nafas sebelum menjawab.
"Kalau masyarakat, itu hak mereka kerana artis adalah hak mereka juga. Suka atau tidak, itu perlu diterima. Cuma saya perlu tekankan bahawa personaliti seseorang itu akan terserlah bila mereka melatah atau bersuara. Tahap mana akademik dan pemikiran mereka dapat dikesan dengan reaksi atau jawapan mereka," senyumnya sinis.
"Berbalik kepada selebriti pula, jujurnya saya lihat media suka apabila artis itu melatah. Baru ada cerita. Ini salah satu cara artis itu buat nama, orang lebih kenal dan impak jadi lebih besar. Ada yang cari kesempatan atas situasi ini," senyumnya lagi.
Dia tidak kesal atas situasi yang berlaku. Apa yang membuat dirinya kesal apabila diberi gelaran hero tua. Konflik di ASK bukan satu hal yang meninggalkan buah hitam dalam hatinya.
"Saya lebih kesal bila digelar hero tua kerana tiada istilah tersebut. Juga apabila orang mencari pengganti saya sedangkan saya masih hidup. Kalau diperhatikan, saya tidak pernah bawakan watak orang tua. Bukan menidakkan usia tetapi saya mengelak. Saya tidak mahu mulakan," luahnya yang melihat fenomena aktor luar negara yang diberikan watak matang pada usia lebih 40-an dan bukan ditadahkan karakter orang tua.



Ingat pesan ibu
Satu hal yang dikongsi oleh aktor terkenal ini, dia tidak pernah merasakan dirinya popular apalagi glamor. Tidak pernah disematkan dalam sanubarinya bahawa dia adalah seorang selebriti dengan nama yang cukup besar dalam ladang seni.
"Saya sentiasa letakkan diri saya di bawah. Saya cari naskhah yang baik dan harap magis berlaku dengan perjalanan rezeki Allah. Saya tidak pernah letak Rosyam Nor itu besar. Ya, orang sekeliling yang mungkin membuatkan nama itu jadi besar. Saya tidak pernah lupa diri kerana nikmat itu adalah milik Allah.
"Mak juga pernah pesan supaya jangan pernah lupa asal usul. Dalam bergelar pelakon, saya belajar mendalami kehidupan manusia. Itu pelajaran buat saya. Dalam menjadi selebriti, saya belajar menjadi kuat dan perlu banyak bersyarat. Tidak semua orang sukakan kita," senyumnya di akhir-akhir perbualan
Sebagai selebriti yang sudah menembus industri, Rosyam sedang menikmati karier. Frekuensi kemunculannya di televisyen dan filem tidak pernah berhenti sejak tahun 1995 hingga kini. Cuma untuk ruang kini, dia mengaku memerlukan istirehat. Penat katanya.
"Selama 26 tahun sibuk berlakon. Ada rasa penat sedikit. Kini masa bersama keluarga. Saya isi semula masa yang ada kini untuk bersama keluarga setelah satu masa lalu ia dicuri kerjaya lakonan. Penat tidak bermaksud berhenti. Cuma saya berehat untuk mengatur hidup. Mungkin orang jadi terlalu muak melihat wajah saya di televisyen atau filem. Biarkanlah mereka bertanya," senyum bapa kepada lima orang anak ini.
Satu pernyataan lagi diberikan sebelum usai perbualan. Satu pernyataan tentang kehidupan Rosyam.
"Saya sudah berusia 45 tahun. Mati sudah semakin dekat," ujarnya dalam tenang.
- ---

Emma Maembong Mahu Teruskan Legasi Bapa

Posted: 24 Nov 2012 06:15 PM PST

Emma telah didedahkan dengan dunia lukisan seawal usia 12 tahun oleh bapanya, Ismail Maembong.
PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong berhasrat untuk meneruskan lagesi bapanya iaitu seorang pelukis terkenal negara, Ismail Maembong dan terlibat secara serius dalam bidang itu.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, berkata, sebelum bergelar artis dia banyak menghabiskan masa dengan melukis dan menggemari lukisan jenis animasi dan potrait.
"Sejak berusia 12 tahun lagi saya sudah didedahkan dengan dunia lukisan oleh ayah dan beliau adalah sumber inspirasi saya dalam bidang tersebut.
"Sebelum ini kami sering menghabiskan masa bersama dengan melukis sehingga pukul tiga atau empat pagi dan beliau banyak memberikan inspirasi kepada saya sebagai seorang pelukis," ujarnya.
Kelibat Emma boleh disaksikan menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku terbitan Orangetree Production yang sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.
Selain Emma, drama bersiri 24 episod itu turut menampilkan Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Ery Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Sherry Merlis dan Liza Abdullah.
Dalam pada itu, Emma berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk mengakui dirinya 'anak ayah' kerana sangat rapat dan manja dengan bapanya itu.
Emma memberitahu hubungan mereka rapat selepas ibu bapa mereka bercerai ketika usianya masih kecil dan dia tinggal bersama bapanya itu.
"Ayah seorang yang sangat tegas namun jarang sekali dia memarahi saya dan adik-beradik lain kalau ada kesilapan kami lakukan. Dia sentiasa menggunakan nasihat untuk menyedarkan kami.
"Hubungan kami sangat rapat kerana saya tinggal bersamanya sejak kecil selepas ibu bapa bercerai dan banyak perkara tentang kehidupan saya belajar daripadanya terutama seni lukisan," ujarnya kepada mStar Online.
Cerita Emma lagi, sejak kecil dia tidak boleh berpisah dengan ayahnya itu dan akan mengikut ke mana sahaja beliau pergi.
"Kerana restu daripada ayah saya menjejakkan kaki sebagai pelakon dan doa beliau membuatkan saya sentiasa tabah dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia hiburan ini walaupun masih baru," katanya.
- ---

Irma Hasmie Hasrat Kembali Berlakon

Posted: 24 Nov 2012 06:14 PM PST

Irma yang sedang mengandung lima bulan berhasrat untuk kembali berlakon selepas bersalin pada tahun hadapan.
PETALING JAYA: Pelakon Irma Hasmie berhasrat untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak pertama bersama suami Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan pada Mac tahun hadapan.
Irma, 30, berkata, buat masa ini dia mahu berehat daripada bidang itu kerana tidak yakin mampu memberikan persembahan terbaik dengan keadaannya yang sedang berbadan dua.
"Sekarang ni nak bercakap pun termengah-mengah apatah lagi nak berlakon. Jadi saya berehat sebentar daripada dunia lakonan dan Insya Allah akan kembali selepas bersalin nanti," katanya.
Bagaimanapun kata Irma, dia hanya akan menerima watak yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sebagai isteri orang.
"Suami pun tidak menghalang dan jika ada rezeki untuk berlakon dengan watak yang sesuai apa salahnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Irma memberitahu kandungannya yang sudah memasuki usia lima bulan tidak mempunyai sebarang masalah dan memberitahu dia berkemungkinan bakal menimang cahaya mata lelaki.
Irma dan suami, Reza berdebar menanti kehadiran orang baru dalam hidup mereka.
"Masa buat imbasan tempoh hari dia macam menyorok lagi tetapi Insya Allah dapat anak lelaki. Bagaimanapun saya tidak kisah dengan jantina kerana yang penting bayi dalam keadaan sihat," jelasnya.
Sementara itu, Irma berkata, dia kini banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan di TV Al-Hijrah iaitu program Assalamualaikum selain aktif menghadiri kelas Usrah Fitrah.
"Buat masa sekarang bidang pengacaraan yang paling sesuai dengan saya dan sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama suami.
"Manakala dengan Usrah Fitrah selain menghadiri kelas agama, kami kini sedang giat mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa keganasan Israel di Semenanjung Gaza dengan mengutip dana dan mengadakan solat hajat untuk saudara Islam di sana," jelasnya.
Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad (No. Akaun: 1202-9010-0478-80) atau Maybank Malaysia Berhad (5622-6301-0787) atas nama 'Aman Palestin Berhad'.
Sumbangan juga boleh dibuat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip PALESTIN 10 (Jika nilai RM10) dan hantar ke 39111.
Sebarang maklumat lanjut boleh melayari www.amanpalestin.net atau www.usrahfitrah.com.
- ---

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cinta Arumi

Posted: 23 Nov 2012 03:52 PM PST

Setahun jalin cinta, pelakon sinetron selesa dampingi jejaka bergelar usahawan

Bertemu di sebuah acara amal, provokasi pengurus yang ingin melihat mereka bercinta menyatukan Arumi Bachsin dan kekasihnya, seorang ahli perniagaan, Emil Dardak.

Setahun menjalin cinta, Arumi, 18, selesa mendampingi jejaka yang bergelar usahawan itu.

Pernah beberapa kali Emil dilihat menemani pelakon sinetron, Dia Bukan Cinderella itu dalam beberapa acara hiburan. Positif hubungan dijalin, Arumi akui, kekasihnya yang juga putera kepada Wakil Menteri Pekerjaan Umum, Hermanto Dardak itu sentiasa menyokong kariernya.

"Dia baik dan setakat ini, tiada masalah besar antara kami berdua. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi kami saling menyokong. Jika kelapangan, Emil akan menemani. Tetapi itu bukan kewajipan kerana dia juga memiliki kerjaya sendiri. Saya sangat berterima kasih jika dia mempunyai kesempatan," katanya.

Jarak usia beza 10 tahun

Pelakon filem, Bestfriend dan Kahwin Muda ini juga tidak pernah mempersoalkan jarak usia mereka yang berbeza 10 tahun. Kedewasaan Emil, kata Arumi, mengetepikan luapan cemburu berlebihan yang sering menjadi dalang kepercayaan kepada pasangan bercinta.

"Dia bukan seorang yang cemburu. Tidak sihat hidup atau menjalani hubungan yang terlalu dikuasai perasaan cemburu, malah memungkinkan retak.
Saling percaya itu sudah memadai buat kami berdua," kata Arumi yang pernah terkait dengan kontroversi apabila lari dari rumah kedua orang tuanya kerana mendakwa mereka cuba mengeksploitasi dirinya.

Keselesaan dalam percintaan, bagaimanapun, belum membuka pintu hati Arumi untuk melanjutkan hubungan mereka ke alam rumah tangga.Perkara itu masih belum difikirkan gadis yang memulakan karier sebagai peragawati pada usia 12 tahun.

"Memang kami saling memahami tetapi saya belum terfikir soal nikah. Masih terlalu awal untuk ke situ kerana hubungan ini baru setahun dijalani. Berikan dulu masa untuk kami menikmati alam percintaan sebelum memikirkan masa depan hubungan ini," kata aktres berdarah campuran Palembang dan Jerman ini.

Belum betul-betul kenal

Dia akui masih belum mengenali sepenuhnya karakter sebenar Emil, justeru enggan tergesa-gesa menyatakan Emil sebagai calon suami kerana bimbang perjalanan indah sedang dilalui itu hanya separuh jalan.

"Banyak perkara yang saya takut. Mencari calon suami, bukan sekadar pintar atau hanya melihat fizikal. Ia lebih daripada itu, jadi mengapa perlu saya terburu-buru," katanya.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Mesti Tonton: Pertarungan terakhir

Posted: 23 Nov 2012 03:45 PM PST

[unable to retrieve full-text content]Filem terakhir dalam siri Twilight akhirnya menemui penonton. Filem yang digarap daripada novel keempat, Breaking Dawn, ini pula pastinya ditunggu-tunggu peminat setia francais terbabit. Masakan tidak, daripada siri pertama iaitu Twilight, New Moon, Eclipse hingga Breaking Dawn, filem nukilan Stephenie Meyer ini tidak pernah gagal menghiburkan penonton.

Blog Sensasi Ohbayu

Blog Sensasi Ohbayu


(Gambar Kemalangan Misteri) Sebuah kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Baru

Posted: 23 Nov 2012 10:54 PM PST

29 September 2012
BUKIT BERUANG (MELAKA)  – Sebuah kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Baru, berhampiran sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, semalam menjadi tanda tanya apabila dikatakan sebelum kejadian bergerak sendiri sejauh kira-kira lima meter dari kedudukan asal.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kereta jenis Toyota Corolla yang didakwa begerak tanpa pemandu dan dipakir di bahu jalan kawasan perumahan itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di hadapannya.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua kereta milik dua pekerja kakitangan pasar raya berhampiran taman perumahan berkenaan terbakar di bahagian hadapan enjin.

Pemilik kereta yang enggan dikenali mendakwa dia telah menarik brek tangan ketika meletakkan keretanya di kawasan itu selepas masuk semula bekerja kira-kira 2.10 petang.

Wanita berusia 48 tahun yang bekerja sebagai jurujual berkata sering meletakkan kenderaan di situ seperti kebanyakan kakitangan lain.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Ayer Keroh, Musa Dora berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat bergegas lokasi kejadian.

"Api yang marak di bahagian hadapan kedua-dua kereta tersebut berjaya dikawal pada jam 2.51 dan padam sepenuhnya lima minit kemudian.

"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian dialami masih dalam siasatan. Bagaimanapun kebakaran tidak membabitkan kemala-ngan jiwa," katanya.

Sumber: Here

Comments

comments

(4 Gambar) X-Ray pelik Di Dunia

Posted: 23 Nov 2012 10:49 PM PST

Kali ni ktaorg nak post gambar x-ray yang pelik sikit, bukan pelik sikit! banyakk. Kadang-kadang rase pelik pon ada, ye la kan…. gambar x-ray ni tak pernah pon terimagine kat dalam kepala. Sometime terfikir BETAPA LUCU DAN NGERI gambar-gambar x-ray ni. Jom kte tengok!! :D

p/s: macam mana benda ni boleh terjadi?

haa.. pelik kan? terfikir jugak, benda yang ade kat dalam x-ray tu bukankah penutup botl WINE?? Allahualam…. apakah benda itu pun, kteorg pon tak tahu…. Macam mana tuan empunya badan mampu melakukan benda sebegitu rupa. Fikir logik jek eaa : D

Ni pulak. =.=" rase pelik pon ade jugak, kalo tengok dari segi luaran, gambar ni menunjukkan dia adalah seekor eh…. salah2, seorang budak. Menjadi tanda tanya sekarang adalah, gambar di atas seumpama menceritakan Si Ibu kepada budak tersebut mencucuk mata anaknya secara cermat dengan kunci tersebut. Iya la kan, sepa yang tak pelik tengok, macam tercacak "rapi" je kunci tu… rase-rase nya, masuk hidung jugak kan? hehehe :p

Alahai, sekali pandang kertas x-ray ni, dah tahu dah yang mangsa ini tengah Makan Tengah Hari, ye la kan, ade garfu kat dalam. Yang ni pulak, x pasti lah kesasihan nya, kadang-kadang, terfikir jugak, xkan la boleh tertelan sebijik-bijik garfu tu? ughh, weird.. tapi masih lucu :) tersengih tengok, HAHAHAHA

Ni pon same! aduh, korang dapat ke fikir apesal la screwdriver besar gedabak mcmtu leh masok dari….."censored" dia. Entah macam mane atau ape kejadian yang sewaktu dengannya yang menyebabkan terjadi nya screwdriver tersebut dalam alat "censored" dia. ish3

Banyak sebenarnya gambar-gamabr yang lucu dan pelik, cuma sekarang korang tengok sedikit. Jadi, korang boleh lah nilai. So, lepas ni, berhati-hati dalam kehidupan seharian. Ape-ape leh jadi tau. Assalamualaikum…. ^_____^ ngee!!!!

Comments

comments

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Pandangan tajam anak seni sejati

Posted:

Pandangan tajam anak seni sejati

Pandangan tajam anak seni sejati

EMAN dan Wan Hanafi sama-sama merupakan pelakon bertaraf seniman dunia perfileman, namun masing-masing mempunyai karakter yang berbeza.


Eman Manan dan Wan Hanafi Su merupakan dua nama yang cukup kuat dalam industri perfileman tempatan. Sudah pasti filem yang menampilkan dua figura bertaraf seniman negara ini cukup untuk memberi pandangan awal bahawa naskhahnya bukan calang-calang.

Pengalaman bertahun lamanya dalam bidang lakonan, membuatkan dua figura ini semakin lali melihat arus seni tanah air yang saban hari bertukar mengikut peredaran zaman.

Sementelah, wajah-wajah baharu yang bersilih ganti mewarnai bidang lakonan tempatan.

Bagaimanapun, jika ingin dibandingkan dengan pelakon dari zaman kegemilangan Eman dan Hanafi Su sendiri, tidak dinafikan kebanyakan mereka memang terkenal dengan bakat yang ada pada diri membuatkan diri dikenali dan diterima sehingga kini.

Mendekati Eman dan Wan Hanafi di set penggambaran filem terbaharu lakonan mereka di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, sememangnya mereka berdua mempunyai karakter yang sangat berbeza.

Wan Hanafi sangat peramah manakala Eman pula agak serius ketika memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan.

Walaupun kini dilihat banyak filem yang semakin rancak ditayangkan di pawagam namun ada yang dilihat kurang berkualiti memandangkan terlalu mengetengahkan nilai komersial bagi menarik penonton hadir ke panggung.

Adakah itu membuatkan industri perfileman kita masih lagi di tahap tidak memuaskan dan belum cukup untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand contohnya yang mana industri mereka telah berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa? Eman dan Wan Hanafi membicarakan tentang perkara itu.

Nilai komersial perlu dalam filem - Wan Hanafi Su

"Nilai komersial itu sangat diperlukan sebenarnya dalam sesebuah filem. Namun ia akan menjadi lebih mantap jika punya lakonan yang kuat, watak yang dipercayai dan kelebihan yang outstanding, maka orang akan ingat juga filem tersebut walaupun ia kurang menonjolkan nilai komersial," jelas Wan Hanafi yang tidak lokek berkongsi maklumat sepanjang sesi temu ramah berlangsung.

Walaupun memiliki bakat yang luar biasa, namun namanya tidak begitu popular setanding dengan bakat yang ditonjolkan lelaki berusia 62 tahun ini.

Menjawab persoalan berkaitan isu tersebut, bukan senang mahu merubah sesuatu apabila masyarakat sudah biasa disajikan dengan nilai komersial.

"Bukan semua filem memerlukan aktor yang kacak atau aktres yang cantik dan seksi. Apakah kita hanya perlukan hero yang kacak sahaja? Ada juga hero yang kurang kacaknya mampu berlakon lebih baik dari yang kacak tadi," jawabnya ringkas.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, memilih adalah keperluan, namun bukanlah terlalu memilih kerana yang paling penting bagi empunya diri ialah penggarap filem itu sendiri kerana kelak ia akan memudahkan perbincangan dua hala.

"Seseorang aktor mahupun aktres itu perlu tahu informasi tentang watak yang ditawarkan kepadanya.

"Pemilihan pengarah juga akan menyenangkan proses perbincangan kelak. Walaupun saya memang minat filem seni, namun, sebagai pelakon, saya masih lagi akan menerima jika ditawarkan berlakon dalam filem komersial," tutur anak kelahiran Terengganu ini.

Bijak menilai

Bagi pelakon senior ini, dia lebih menggemari filem yang berunsur seni dan diambil sebagai contoh yang terbaharu, Bunohan yang kurang diterima oleh masyarakat namun telah berjaya menempah kejayaan di persada antarabangsa.

"Memang filem-filem seperti ini yang kita harus perbanyakkan kerana kita perlu mengajar audiens untuk ke panggung dua tiga kali oleh sebab filem seperti ini memerlukan penghayatan yang lebih.


LIMA tenaga lakonan penting filem Laga (dari kiri), Eman Manan, Tyas Mirasih, Syazwan Zulkifly, Zaidi Omar dan Wan Hanafi.


"Ini boleh dikategorikan sebagai masalah kurang apresiasi yang masih belum dapat diselesaikan di kalangan penonton tempatan kita. Saya akui, masyarakat masih memerlukan masa untuk menerima filem-filem berseni seperti ini.

"Namun saya percaya penonton kini semakin bijak menilai antara kualiti dan nilai komersial semata-mata. Sejak kebelakangan ini, saya dapat rasakan penilaian penonton Malaysia sudah bertukar," bicara Wan Hanafi.

Dia membuat kesimpulan bahawa pokok pangkalnya, semuanya berbalik kepada kru produksi dan bagaimana cara pengarah itu sendiri bekerja.

Pelakon perlu ilmu, bukan bakat semata-mata - Eman Manan

Lain pula pendapat Eman yang telah meraih pelbagai anugerah sepanjang bergelumang dalam industri lakonan.

Bakat lakonannya tidak dapat dinafikan lagi oleh sesiapa yang pernah bekerjasama dengannya.

Menjawab melalui pengalaman yang ditimbanya, tutur pemilik nama sebenar, Abd. Manan Embong ini, pelakon bukan hanya perlu bersandarkan pada rupa dan bakat namun ilmu juga penting bagi seseorang individu yang ingin menggelarkan diri sebagai seorang penggiat seni.

"Saya dari dahulu merasakan bidang lakonan bukan bidang bakat semata-mata tapi perlu punya ilmu serta kini telah wujud banyak institusi yang mengajar ilmu yang betul tentang lakonan. Perkembangan yang sihat berlaku dalam industri lakonan kini.

"Ramai generasi baharu yang muncul yang mana perempuannya cantik dan begitu juga lelaki.

"Memang tidak dinafikan filem memerlukan imej yang menarik untuk memberi kepuasan kepada penonton sendiri," tegasnya serius tentang perkembangan yang berlaku dalam industri lakonan.

Tambahnya: "Walaupun percambahan generasi baharu amat memberansangkan, namun apa yang kurang dalam industri perfileman merupakan penggarap yang mampu menghasilkan karya. Maka oleh sebab itu, ia dianggap sebagai sesuatu yang merugikan pada industri."

Industri paling lembab

Walaupun kini industri perfileman di Malaysia dilihat semakin rancak perkembangannya, namun ujar Eman, ia masih lagi merupakan antara industri yang paling lembap jika ingin dibandingkan dengan industri perfileman di negara lain.

"Oleh sebab itu, ia tidak dapat meyakinkan para pelabur untuk meletakkan pelaburan dalam bidang ini. Bidang ini juga merupakan bidang yang penting untuk kita dikenali dunia. Sampai bila kita hanya ingin melihat karya luar sahaja yang mendominasi negara kita.

"Sebagai contoh, tidak perlu kita bezakan industri kita dengan Hollywood, hanya ambil yang negara jiran seperti Thailand. Karya mereka sememangnya telah sampai dan sering diiktiraf hingga ke tahap antarabangsa," jelasnya aktor yang sentiasa serius terhadap apa yang dituturnya.

Apabila ditanya tentang tawaran yang diterimanya kali ini untuk filem Laga, ujar Eman, selain kariernya sebagai seorang pelakon, dia juga amat menyukai karya arahan Ismail Yaacob ini.

Menerusi filem ini, selain Wan Hanafi, Eman turut bergandingan dengan nama-nama besar yang lain seperti Nasir Bilal Khan, Rosyam Nor serta pelakon yang sedang meningkat naik, Syazwan Zulkifly.

Selain itu, filem ini juga bakal menampilkan aktres Indonesia, Tyas Mirasih yang pertama kali dibawa untuk berlakon di Malaysia.

Farid tergamam Diana cepat hamil

Posted:

Farid tergamam Diana cepat hamil

Farid tergamam Diana cepat hamil

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


FARID dan Diana selamat bergelar suami isteri pada 3 November lalu.


SELEPAS 16 hari menjalani akad nikah, pasangan pelakon terkenal tanah air, Farid Kamil dan Diana Danielle telah mengejutkan peminatnya apabila Diana mengumumkan dalam laman sosial Twitter dan Instagram Isnin lalu bahawa dia sudah hamil.

Namun, tiada pengesahan lanjut mengenai kehamilan pasangan ini dan mereka lebih selesa berdiam diri selain menerima banyak ucapan tahniah peminat mereka berdua di laman sosial berkenaan.

Farid ketika ditemui di majlis tayangan media filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina di GSC Pavillion, Kuala Lumpur semalam, mengatakan bukan niat dirinya untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung hal berkenaan.

Sebaliknya dia dan Diana mengambil pendekatan untuk tidak terlalu gembira disebabkan usia kandungan Diana masih baharu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Farid yang berlakon sebagai Kasyah bergandingan dengan aktres terkenal, Maya Karin sebagai Katerina dalam filem yang bakal ditayangkan 29 November itu nanti menjawab segala pertanyaan media mengenai usia kandungan Diana itu.

Kosmo!: Selepas Diana umumkan dia hamil kenapa Farid berdiam diri dan gagal dihubungi media?

FARID: Saya sebenarnya tidak mengambil pendekatan mendiamkan diri ketika itu (ketika Diana mengumumkan dirinya hamil di instagram). Sebaliknya saya lebih kepada tergamam sebab kehamilan boleh diuji dengan sepantas itu.

Adakah anda terkejut dengan berita itu?

Ketika Diana beritahu saya tentang hal itu, saya berasa pelik dan bangga macam mana boleh tahu (kehamilan) secepat itu. Dia terangkan kepada saya satu persatu dan kata Diana, dia telah menggunakan alat pengesan kehamilan yang canggih dan mahal untuk mendapat keputusan ujian (pengesahan kehamilan) secepat itu.

Adakah anda dan Diana sudah membuat pengesahan di hospital?

Belum lagi, sebab masih terlalu awal, kami kahwin pun baru dekat sebulan.

Anda seperti tidak gembira dan tidak seperti pasangan lain yang teruja apabila isteri mengandung?

Saya rasa masih terlalu awal untuk bergembira. Kawan-kawan saya nasihatkan jangan terlalu teruja bagi elak apa-apa tidak elok berlaku, yang penting sekarang jaga Diana elok-elok dulu.

Adakah sekarang Diana sudah ada tanda mual-mual seperti ibu mengandung lain?

Setakat ini masih belum ada. Saya tidak nampak tanda-tanda seperti muntah tetapi dia lebih sensitif seperti biasa.

Adakah selepas ini Diana akan tangguhkan niat untuk sambung belajar di Australia?

Dia sudah dapat tawaran sambung belajar itu. Saya masih berdiam diri kerana terserah kepada keadaan, kami masih belum bincang apa-apa, tengok macam mana selepas kami balik bulan madu Disember depan.

Apakah perasaan Farid sekarang, tidakkah anda teruja untuk bakal mempunyai anak sendiri?

Benda-benda ini pada mulanya saya tidak sangka akan dapat anak seawal ini. Saya masih dalam perasaan sebagai seorang suami tiba-tiba ada ucapan tahniah untuk bergelar bapa pula. Saya tidak mahu terlalu gembira sebaliknya banyak berdoa untuk keselamatan Diana dan anak.

Adakah anda tidak sangka akan dapat anak seawal ini?

Saya masih agak keliru apabila tahu pengesahan ini. Perasaan itu lebih menjurus kepada terkesima untuk faham keadaan ini.

Maklumat terkini tentang majlis resepsi perkahwinan anda?

Sebelah Diana di Kuala Lumpur akan diadakan pada

1 Disember dan di Kedah pada 12 Disember.

Uut Permatasari pilih Posan

Posted:

Uut Permatasari pilih Posan

Uut Permatasari pilih Posan


POSAN TOBING, UUT Permatasari(gambar kecil)


UUT Permatasari sebelum ini pernah merancang untuk mengahwini pemain drum The Titans, Tom Tom sekitar tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, hubungan mereka tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.

Tidak lama selepas itu, Uut bertemu dengan bekas pemain drum band Kotak, Posan Tobing dan secara tidak langsung mereka dikaitkan bercinta.

Bagaimanapun, hingga kini soal hubungan mereka masih menjadi tanda tanya dan Uut sendiri enggan mengulas lanjut mengenai hubungan mereka.

"Posan hanya teman baik saya, kami memang rapat. Sudah-sudahlah, usah terlalu dibicarakan mengenai cerita ini," katanya kepada portal hiburan Oktavita.com baru-baru ini.

Meskipun mengaku sekadar berkawan rapat, penyanyi dangdut itu kelihatan ceria apabila diusik pertanyaan mengenai Posan yang juga merupakan pemain drum band The Winner.

"Posan itu rocker yang hebat, kalau ada dekat dengan dia saya akan berasa sangat gembira," katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Utami Suryaningsih itu. dia kini sudah bersedia untuk membuka hatinya untuk bercinta selepas berdepan trauma membatalkan pernikahannya sebelum ini.

"Tidak semua pemuzik mempunyai perangai serupa dan kita tidak boleh menghakimi mereka semua begitu, untuk kenal sifat mereka kita perlu kenal lebih dekat," ujarnya.

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Nak bercinta pun tak sempat!

Posted: 23 Nov 2012 06:10 AM PST

WATAK Maya Karin sebagai Izzah dalam filem Ombak Rindu begitu menggetarkan perasaan penonton sehingga filem itu berjaya mencapai kutipan pecah panggung, sekali gus berjaya menutup segala kritikan terhadap lakonannya yang sebelum ini dikatakan kaku.

Dek kerana keberkesanan lakonannya itu, Maya menang trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) serta Anugerah Skrin (ASK), baru-baru ini.

Apakah Maya akan mengulangi kejayaan sama dalam filem lakonan terbarunya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina (LBS2), arahan Sharad Sharan? Filem melankolik itu bakal menemui penonton mulai 29 November ini.

Sekali lagi menerusi syarikat sama yang menerbitkan filem Ombak Rindu, Tarantella Pictures dan Astro Shaw, Maya diberi watak sarat dengan emosi dalam memburu cinta abadi bersama Kasyah, lakonan Farid Kamil. Pada masa sama, dia berusaha melarikan diri daripada 'cinta psiko' Hisyam (Bront Palarae).


Cabaran Maya menerusi LBS2, kali pertama dia bekerja dengan Sharad dan langkah pertama mereka terpaksa melalui proses suai kenal untuk mencari kesefahaman dan keserasian.


"Untuk LBS2, kami berdua mencari keserasian dalam watak kami manakala dalam LBS3 - Kasyah yang akan ditayangkan tahun depan, kami sudah cukup saling memahami.

"Bagaimanapun, agak malang dalam LBS2 kerana saya dapat skrip lagi seminggu penggambaran akan dimulakan kerana penulis skrip sakit dan dimasukkan ke hospital sedangkan jadual produksi sudahpun siap.

"Saya sebenarnya lebih suka dapat skrip awal untuk menghayati jalan cerita dan mengenali watak. Apabila dapat skrip lambat, sukar untuk saya membuat persediaan. Apabila skrip sudah berada di tangan, masih ada babak yang tidak lengkap kerana penulisnya masih tak sihat. Dalam situasi sebegitu, saya masih cuba juga melakukan yang terbaik," katanya.

Maya akui tiada masalah langsung berlakon dengan Farid kerana mereka pernah berlakon bersama dalam filem Anak Halal pada 2007.

"Kami sudah lama berkawan baik, jadi saya memang suka apabila dapat berlakon bersama dalam Anak Halal. Untuk filem Cun! pilihan pertama untuk watak hero adalah Farid tetapi ketika itu dia sedang sibuk dengan projek lain lalu digantikan dengan Remy Ishak. Lama saya tunggu filem yang sesuai untuk kami berlakon bersama semula.

"Bront pula antara kawan saya yang paling rapat dalam industri. Kalau tiada penggambaran pun, kami selalu berjumpa dan apabila Sharad mahu ambil Bront berlakon dalam LBS2, saya suka sangat! Terus saya pujuk Bront supaya terima tawaran itu.

"Sebelum ini kami berdua pernah berlakon dalam filem Anak Halal, Hati Malaya, Ombak Rindu dan paling terbaru, LBS3 - Kasyah serta Jwanita. Saya suka berlakon dengan Bront kerana dia bukan saja kawan baik saya, tetapi dia adalah pelakon yang hebat, katanya.

Sebagai Katerina, Maya berasakan watak itu sangat menarik. Masih berlegar dalam kehidupan wanita moden seperti yang pernah dibawakan dalam filem Pisau Cukur tetapi watak Katerina dan Bella sebenarnya berbeza.

"Watak saya sebagai Bella dalam Pisau Cukur mengada-ngada dan gedik tetapi Katerina watak wanita moden dalam genre drama yang lebih banyak bermain dengan emosi apabila cintanya dengan Kasyah mendapat halangan Hisyam yang begitu obses dengannya dan juga ibu bapa Katerina yang ada muslihat tersendiri.

"Saya menerima tawaran Sharad kerana kelainan yang terdapat pada watak Katerina iaitu wanita moden yang derita. Untuk setiap tawaran, saya akan pastikan ia bukanlah karakter yang sama. Saya sudah berusaha yang terbaik untuk Katerina, namun tidak berani mengharapkan apa-apa. Kita tunggu saja reaksi penonton nanti," katanya.

Dalam sekuel LBS3, jelas Maya, Katerina dan Kasyah berkahwin tetapi Hisyam tetap tidak mahu 'melepaskan' Katerina.

"Ada watak lain yang akan muncul dan LBS3 lebih dramatik. Jangan lupa tengok" pintanya.

Pada Disember ini, Maya akan berlakon dalam filem baru tetapi ia dia belum boleh menceritakannya dengan lebih lanjut.

"Saya sangat sibuk sekarang, banyak tawaran seperti berlakon filem, duta produk, menyanyi dan sebagainya. Kalau filem baru itu tak jadi, mungkin saya akan mengisi masa lapang itu pergi bercuti dengan kawan-kawan ke Finland atau Jepun," katanya.

Menyentuh persoalan cinta, menurut Maya, belum ada cinta baru yang singgah di hatinya. Digosip rapat semula dengan Remy Ishak, jelasnya, usah percaya semua itu kerana ia sekadar gosip.

"Remy itu kawan saya. Saya masih solo sejak berpisah dan tidak tergesa-gesa mencari pasangan hidup. Jadual saya semakin sibuk, nak bercinta pun tak sempat!" katanya yang baru pulang bercuti dengan ayahnya di Nepal, baru-baru ini.

Sinopsis Lagenda Budak Setan2 - Katerina

ENAM bulan berlalu selepas kematian Ayu, Kasyah masih murung kerana kehilangan isterinya itu. Dia mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak mereka, Athirah yang menjadi lambang cinta abadi terhadap Ayu.

Katerina yang kecewa apabila Kasyah berkahwin dengan Ayu semakin pulih kekuatannya untuk berdepan semula dengan Kasyah. Ketabahan dan ketenangan Kasyah yang masih menyerlahkan senyuman di bibir meskipun kehilangan orang tersayang, membuatkan Katerina kagum.

Kemesraan mulai terjalin semula antara mereka. Katerina sentiasa berada di samping Kasyah sehingga membibitkan semula rasa cinta. Katerina memperkenalkan Kasyah kepada orang tuanya dan mereka merancang untuk bertunang, namun ditentang ibu Kate, Sofea kerana dia berasakan Kasyah adalah punca yang menyebabkan Kate kecewa sehingga hampir membunuh diri.

Akhirnya, ayah dan ibu Kate bersetuju mereka berkahwin tetapi mereka sebenarnya ada muslihat. Pada masa sama, Hisyam, bekas kekasih Kate begitu obses terhadap dirinya. Namun Kate sangat kecewa kerana Hisyam juga berselera terhadap kaum sejenisnya.

Untuk merapatkan hubungan Kasyah dengan ibu bapanya, Katerina meminta Kasyah menerima tawaran bekerja di syarikat ayahnya dan Katerina pula terpaksa ke Afrika Selatan untuk menguruskan cawangan syarikat baru.

Ketika inilah ayah Kate memasang strategi sehingga situasi menjadi begitu tegang dengan satu skandal terbaru. Mampukah cinta Kate dan Kasyah bersatu dan benarkan semua orang yang Kasyah sayangi akan mati gara-gara 'sumpahan'?

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Buku kenangan ABPBH diterbitkan

Posted: 23 Nov 2012 05:57 AM PST

ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), buat pertama kalinya memperkenalkan Coffee Table Book yang boleh dimiliki peminat dengan harga RM150.

Mengapa ia harus dimiliki? Antara lain, buku ini memiliki pelbagai keistimewaan kerana merakam, mengenang dan menghayati semula detik permulaan, liku perjalanan dan rentetan pencapaian yang dicapai generasi artis sejak 1987 hingga 2012.

Penaung ABPBH merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid berkata, sebelum anugerah itu diiktiraf sebagai sebuah majlis penghargaan berprestij, proses melaksanakannya melalui pelbagai peringkat serta pengorbanan yang bukan sedikit.

"ABPBH begitu bermakna kepada Berita Harian kerana terpahat pelbagai memori indah, suka duka dan penuh nostalgia dalam merentasi zaman 1980-an hingga sekarang.


"Bermula 1987, penganjuran ABPBH edisi pertama dengan nama Anugerah Penyanyi & Pelakon Popular dan kemudian menjadi Anugerah Bintang-Bintang Popular menempuh zaman menarik dan seterusnya dengan nama Anugerah Bintang Popular, menjadikan ia sebagai ruang yang terbaik untuk menguji pencapaian artis dalam kategori masing-masing.


"Buku ini mampu menjadi rujukan khususnya kepada artis dan masyarakat untuk melihat sendiri sejarah menarik yang dicipta dan tercipta atas nama ABPBH dengan latar zaman berbeza-beza dan kelompok anak seni berbeza-beza mengikut zaman masing-masing," katanya.

Barangkali ramai kurang ingat, tempoh 25 tahun mencerminkan kematangan ABPBH yang menempuh dimensi kejayaan daripada satu majlis kecil-kecilan di sebuah restoran hingga berkembang menjadi majlis tahunan paling berprestij dalam kalendar hiburan di Malaysia.

Kehebatannya menjadi sebutan sehingga diperkatakan sebagai yang terbaik merangkumi semua bidang dunia hiburan daripada muzik, lakonan, perfileman serta penyiaran.

Coffee Table Book yang dilancarkan di Holiday Villa Hotel & Suite, di sini, Rabu lalu, mengandungi 10 bahagian dimulakan dengan Sejarah ABPBH, kemudian ABPBH Era 1987-1991, ABPBH Era 1992-1996/97, ABPBH 1997/98-2001, ABPBH Era 2002-2006, ABPBH Era 2007-2010, Gaya ABPBH, Malam Kemuncak, Khidmat Masyarakat dan ABPBH Jubli Perak.

Pada majlis yang sama, Berita Harian turut mengumumkan lokasi baru penganjuran ABPBH2012. Jika sejak 10 tahun lalu ia diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, pelaksanaan edisi ke-26 ini mencipta kelainan pula apabila bertukar lokasi ke Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2012 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamsul Azree Samshir berkata, perpindahan lokasi itu satu perubahan segar dan dinanti-nantikan peminat setia anugerah berkenaan.

"Perpindahan lokasi ini juga sebagai tanda penganjur begitu menghormati pandangan yang sudah diusulkan ramai pihak sekian lama untuk mengadakan majlis ini di Kuala Lumpur. Kapasiti Stadium Putra yang luas bererti ramai peminat dan selebriti boleh datang memeriahkan malam kemuncak.

"Apa yang pasti, penganjur akan cuba mewujudkan suasana eksklusif dan prestij seperti lokasi sebelumnya. Di sinilah terletaknya cabaran kami untuk mengubah suasana stadium kepada acara pesta," katanya.

Hadir sama pada sidang media pertama ABPBH2012 itu, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH/Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH, Hanizam Abdullah.

Sementara barisan artis yang memeriahkan majlis itu antaranya Aaron Aziz, Zizan Razak, Fizz Fairuz, Fasha Sandha, Hanez Suraya, Yana Shamsudin, Kaka, Emma Maembong, Didie Alias, Wana, Klangit, Hyper Act dan Along Cham.

ABPBH Edisi ke-26 turut memperkenalkan tema 'Ledakan Geometri' yang membawa matlamat menyumbang semula kepada peminat dan pengundi ABPBH.

Majlis berkenaan turut mengumumkan seramai 383 calon membabitkan pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio disenaraikan bagi merebut lima tempat popular dalam 15 kategori dipertandingkan pada pusingan terawal.

Senarai calon berserta borang pencalonan awal kempen undian ABPBH 2012 ini disiarkan menerusi Berita Harian dan BH Ahad bermula hari ini hingga 25 Disember nanti bagi membolehkan peminat serta pembaca memilih lima finalis bagi setiap kategori selain calon Bintang Paling Popular.

Undian juga boleh dilakukan secara online untuk kategori Penyanyi Lelaki, Penyanyi Wanita, Artis Berkumpulan/Duo, Pelakon Filem Lelaki, Pelakon Filem Wanita, Pelakon TV Lelaki, Pelakon TV Wanita, Artis Komedi Lelaki, Artis Komedi Wanita, Pengacara TV Lelaki, Pengacara TV Wanita, Penyampai Radio Lelaki, Penyampai Radio Wanita, Artis Baru Lelaki dan Artis Baru Wanita.

Satu lagi pembaharuan yang dilakukan khusus untuk Edisi ke-26 apabila penganjur mengadakan pertandingan kategori undian online menerusi http://www.facebook.com/abpbh bermula November 2012 untuk enam kategori iaitu Gandingan Serasi Di Layar, Artis Lelaki Stailo, Artis Wanita Stailo, Watak Animasi Tempatan, Artis Berpengaruh di Laman Sosial serta Watak Jahat dalam Drama dan Filem.

Seperkara yang tidak seharusnya dilepaskan, ABPBH kali ini menawarkan ganjaran termahal bagi Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah, masing-masing bernilai RM370,000 serta RM81,000.

Pemenang Bintang Paling Popular berpeluang membawa pulang kereta mewah Nissan 370Z Coupe berserta hadiah iringan manakala pemenang kategori pembaca dijanjikan ganjaran Nissan Almera VL 1.5L tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23