Adsense

Sabtu, 24 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Pandangan tajam anak seni sejati

Posted:

Pandangan tajam anak seni sejati

Pandangan tajam anak seni sejati

EMAN dan Wan Hanafi sama-sama merupakan pelakon bertaraf seniman dunia perfileman, namun masing-masing mempunyai karakter yang berbeza.


Eman Manan dan Wan Hanafi Su merupakan dua nama yang cukup kuat dalam industri perfileman tempatan. Sudah pasti filem yang menampilkan dua figura bertaraf seniman negara ini cukup untuk memberi pandangan awal bahawa naskhahnya bukan calang-calang.

Pengalaman bertahun lamanya dalam bidang lakonan, membuatkan dua figura ini semakin lali melihat arus seni tanah air yang saban hari bertukar mengikut peredaran zaman.

Sementelah, wajah-wajah baharu yang bersilih ganti mewarnai bidang lakonan tempatan.

Bagaimanapun, jika ingin dibandingkan dengan pelakon dari zaman kegemilangan Eman dan Hanafi Su sendiri, tidak dinafikan kebanyakan mereka memang terkenal dengan bakat yang ada pada diri membuatkan diri dikenali dan diterima sehingga kini.

Mendekati Eman dan Wan Hanafi di set penggambaran filem terbaharu lakonan mereka di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, sememangnya mereka berdua mempunyai karakter yang sangat berbeza.

Wan Hanafi sangat peramah manakala Eman pula agak serius ketika memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan.

Walaupun kini dilihat banyak filem yang semakin rancak ditayangkan di pawagam namun ada yang dilihat kurang berkualiti memandangkan terlalu mengetengahkan nilai komersial bagi menarik penonton hadir ke panggung.

Adakah itu membuatkan industri perfileman kita masih lagi di tahap tidak memuaskan dan belum cukup untuk bersaing dengan negara jiran seperti Thailand contohnya yang mana industri mereka telah berjaya memecah masuk pasaran antarabangsa? Eman dan Wan Hanafi membicarakan tentang perkara itu.

Nilai komersial perlu dalam filem - Wan Hanafi Su

"Nilai komersial itu sangat diperlukan sebenarnya dalam sesebuah filem. Namun ia akan menjadi lebih mantap jika punya lakonan yang kuat, watak yang dipercayai dan kelebihan yang outstanding, maka orang akan ingat juga filem tersebut walaupun ia kurang menonjolkan nilai komersial," jelas Wan Hanafi yang tidak lokek berkongsi maklumat sepanjang sesi temu ramah berlangsung.

Walaupun memiliki bakat yang luar biasa, namun namanya tidak begitu popular setanding dengan bakat yang ditonjolkan lelaki berusia 62 tahun ini.

Menjawab persoalan berkaitan isu tersebut, bukan senang mahu merubah sesuatu apabila masyarakat sudah biasa disajikan dengan nilai komersial.

"Bukan semua filem memerlukan aktor yang kacak atau aktres yang cantik dan seksi. Apakah kita hanya perlukan hero yang kacak sahaja? Ada juga hero yang kurang kacaknya mampu berlakon lebih baik dari yang kacak tadi," jawabnya ringkas.

Tambahnya, sebagai seorang pelakon, memilih adalah keperluan, namun bukanlah terlalu memilih kerana yang paling penting bagi empunya diri ialah penggarap filem itu sendiri kerana kelak ia akan memudahkan perbincangan dua hala.

"Seseorang aktor mahupun aktres itu perlu tahu informasi tentang watak yang ditawarkan kepadanya.

"Pemilihan pengarah juga akan menyenangkan proses perbincangan kelak. Walaupun saya memang minat filem seni, namun, sebagai pelakon, saya masih lagi akan menerima jika ditawarkan berlakon dalam filem komersial," tutur anak kelahiran Terengganu ini.

Bijak menilai

Bagi pelakon senior ini, dia lebih menggemari filem yang berunsur seni dan diambil sebagai contoh yang terbaharu, Bunohan yang kurang diterima oleh masyarakat namun telah berjaya menempah kejayaan di persada antarabangsa.

"Memang filem-filem seperti ini yang kita harus perbanyakkan kerana kita perlu mengajar audiens untuk ke panggung dua tiga kali oleh sebab filem seperti ini memerlukan penghayatan yang lebih.


LIMA tenaga lakonan penting filem Laga (dari kiri), Eman Manan, Tyas Mirasih, Syazwan Zulkifly, Zaidi Omar dan Wan Hanafi.


"Ini boleh dikategorikan sebagai masalah kurang apresiasi yang masih belum dapat diselesaikan di kalangan penonton tempatan kita. Saya akui, masyarakat masih memerlukan masa untuk menerima filem-filem berseni seperti ini.

"Namun saya percaya penonton kini semakin bijak menilai antara kualiti dan nilai komersial semata-mata. Sejak kebelakangan ini, saya dapat rasakan penilaian penonton Malaysia sudah bertukar," bicara Wan Hanafi.

Dia membuat kesimpulan bahawa pokok pangkalnya, semuanya berbalik kepada kru produksi dan bagaimana cara pengarah itu sendiri bekerja.

Pelakon perlu ilmu, bukan bakat semata-mata - Eman Manan

Lain pula pendapat Eman yang telah meraih pelbagai anugerah sepanjang bergelumang dalam industri lakonan.

Bakat lakonannya tidak dapat dinafikan lagi oleh sesiapa yang pernah bekerjasama dengannya.

Menjawab melalui pengalaman yang ditimbanya, tutur pemilik nama sebenar, Abd. Manan Embong ini, pelakon bukan hanya perlu bersandarkan pada rupa dan bakat namun ilmu juga penting bagi seseorang individu yang ingin menggelarkan diri sebagai seorang penggiat seni.

"Saya dari dahulu merasakan bidang lakonan bukan bidang bakat semata-mata tapi perlu punya ilmu serta kini telah wujud banyak institusi yang mengajar ilmu yang betul tentang lakonan. Perkembangan yang sihat berlaku dalam industri lakonan kini.

"Ramai generasi baharu yang muncul yang mana perempuannya cantik dan begitu juga lelaki.

"Memang tidak dinafikan filem memerlukan imej yang menarik untuk memberi kepuasan kepada penonton sendiri," tegasnya serius tentang perkembangan yang berlaku dalam industri lakonan.

Tambahnya: "Walaupun percambahan generasi baharu amat memberansangkan, namun apa yang kurang dalam industri perfileman merupakan penggarap yang mampu menghasilkan karya. Maka oleh sebab itu, ia dianggap sebagai sesuatu yang merugikan pada industri."

Industri paling lembab

Walaupun kini industri perfileman di Malaysia dilihat semakin rancak perkembangannya, namun ujar Eman, ia masih lagi merupakan antara industri yang paling lembap jika ingin dibandingkan dengan industri perfileman di negara lain.

"Oleh sebab itu, ia tidak dapat meyakinkan para pelabur untuk meletakkan pelaburan dalam bidang ini. Bidang ini juga merupakan bidang yang penting untuk kita dikenali dunia. Sampai bila kita hanya ingin melihat karya luar sahaja yang mendominasi negara kita.

"Sebagai contoh, tidak perlu kita bezakan industri kita dengan Hollywood, hanya ambil yang negara jiran seperti Thailand. Karya mereka sememangnya telah sampai dan sering diiktiraf hingga ke tahap antarabangsa," jelasnya aktor yang sentiasa serius terhadap apa yang dituturnya.

Apabila ditanya tentang tawaran yang diterimanya kali ini untuk filem Laga, ujar Eman, selain kariernya sebagai seorang pelakon, dia juga amat menyukai karya arahan Ismail Yaacob ini.

Menerusi filem ini, selain Wan Hanafi, Eman turut bergandingan dengan nama-nama besar yang lain seperti Nasir Bilal Khan, Rosyam Nor serta pelakon yang sedang meningkat naik, Syazwan Zulkifly.

Selain itu, filem ini juga bakal menampilkan aktres Indonesia, Tyas Mirasih yang pertama kali dibawa untuk berlakon di Malaysia.

Farid tergamam Diana cepat hamil

Posted:

Farid tergamam Diana cepat hamil

Farid tergamam Diana cepat hamil

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


FARID dan Diana selamat bergelar suami isteri pada 3 November lalu.


SELEPAS 16 hari menjalani akad nikah, pasangan pelakon terkenal tanah air, Farid Kamil dan Diana Danielle telah mengejutkan peminatnya apabila Diana mengumumkan dalam laman sosial Twitter dan Instagram Isnin lalu bahawa dia sudah hamil.

Namun, tiada pengesahan lanjut mengenai kehamilan pasangan ini dan mereka lebih selesa berdiam diri selain menerima banyak ucapan tahniah peminat mereka berdua di laman sosial berkenaan.

Farid ketika ditemui di majlis tayangan media filem terbaharunya, Lagenda Budak Setan 2 - Katerina di GSC Pavillion, Kuala Lumpur semalam, mengatakan bukan niat dirinya untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung hal berkenaan.

Sebaliknya dia dan Diana mengambil pendekatan untuk tidak terlalu gembira disebabkan usia kandungan Diana masih baharu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Farid yang berlakon sebagai Kasyah bergandingan dengan aktres terkenal, Maya Karin sebagai Katerina dalam filem yang bakal ditayangkan 29 November itu nanti menjawab segala pertanyaan media mengenai usia kandungan Diana itu.

Kosmo!: Selepas Diana umumkan dia hamil kenapa Farid berdiam diri dan gagal dihubungi media?

FARID: Saya sebenarnya tidak mengambil pendekatan mendiamkan diri ketika itu (ketika Diana mengumumkan dirinya hamil di instagram). Sebaliknya saya lebih kepada tergamam sebab kehamilan boleh diuji dengan sepantas itu.

Adakah anda terkejut dengan berita itu?

Ketika Diana beritahu saya tentang hal itu, saya berasa pelik dan bangga macam mana boleh tahu (kehamilan) secepat itu. Dia terangkan kepada saya satu persatu dan kata Diana, dia telah menggunakan alat pengesan kehamilan yang canggih dan mahal untuk mendapat keputusan ujian (pengesahan kehamilan) secepat itu.

Adakah anda dan Diana sudah membuat pengesahan di hospital?

Belum lagi, sebab masih terlalu awal, kami kahwin pun baru dekat sebulan.

Anda seperti tidak gembira dan tidak seperti pasangan lain yang teruja apabila isteri mengandung?

Saya rasa masih terlalu awal untuk bergembira. Kawan-kawan saya nasihatkan jangan terlalu teruja bagi elak apa-apa tidak elok berlaku, yang penting sekarang jaga Diana elok-elok dulu.

Adakah sekarang Diana sudah ada tanda mual-mual seperti ibu mengandung lain?

Setakat ini masih belum ada. Saya tidak nampak tanda-tanda seperti muntah tetapi dia lebih sensitif seperti biasa.

Adakah selepas ini Diana akan tangguhkan niat untuk sambung belajar di Australia?

Dia sudah dapat tawaran sambung belajar itu. Saya masih berdiam diri kerana terserah kepada keadaan, kami masih belum bincang apa-apa, tengok macam mana selepas kami balik bulan madu Disember depan.

Apakah perasaan Farid sekarang, tidakkah anda teruja untuk bakal mempunyai anak sendiri?

Benda-benda ini pada mulanya saya tidak sangka akan dapat anak seawal ini. Saya masih dalam perasaan sebagai seorang suami tiba-tiba ada ucapan tahniah untuk bergelar bapa pula. Saya tidak mahu terlalu gembira sebaliknya banyak berdoa untuk keselamatan Diana dan anak.

Adakah anda tidak sangka akan dapat anak seawal ini?

Saya masih agak keliru apabila tahu pengesahan ini. Perasaan itu lebih menjurus kepada terkesima untuk faham keadaan ini.

Maklumat terkini tentang majlis resepsi perkahwinan anda?

Sebelah Diana di Kuala Lumpur akan diadakan pada

1 Disember dan di Kedah pada 12 Disember.

Uut Permatasari pilih Posan

Posted:

Uut Permatasari pilih Posan

Uut Permatasari pilih Posan


POSAN TOBING, UUT Permatasari(gambar kecil)


UUT Permatasari sebelum ini pernah merancang untuk mengahwini pemain drum The Titans, Tom Tom sekitar tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, hubungan mereka tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.

Tidak lama selepas itu, Uut bertemu dengan bekas pemain drum band Kotak, Posan Tobing dan secara tidak langsung mereka dikaitkan bercinta.

Bagaimanapun, hingga kini soal hubungan mereka masih menjadi tanda tanya dan Uut sendiri enggan mengulas lanjut mengenai hubungan mereka.

"Posan hanya teman baik saya, kami memang rapat. Sudah-sudahlah, usah terlalu dibicarakan mengenai cerita ini," katanya kepada portal hiburan Oktavita.com baru-baru ini.

Meskipun mengaku sekadar berkawan rapat, penyanyi dangdut itu kelihatan ceria apabila diusik pertanyaan mengenai Posan yang juga merupakan pemain drum band The Winner.

"Posan itu rocker yang hebat, kalau ada dekat dengan dia saya akan berasa sangat gembira," katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Utami Suryaningsih itu. dia kini sudah bersedia untuk membuka hatinya untuk bercinta selepas berdepan trauma membatalkan pernikahannya sebelum ini.

"Tidak semua pemuzik mempunyai perangai serupa dan kita tidak boleh menghakimi mereka semua begitu, untuk kenal sifat mereka kita perlu kenal lebih dekat," ujarnya.