Adsense

Selasa, 11 Jun 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Yakin dengan karya dihasilkan

Posted: 11 Jun 2013 06:06 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM, RUSHDI SALLEH dan SHIDDIEQIIN ZON

Persaingan tidak pernah wujud dalam karier pasangan suami isteri ini.

ANUGERAH Tribute P. Ramlee yang julung-julung kali diadakan akhirnya telah melabuhkan tirai. Pengarah Badaruddin Azmi (Bade) muncul sebagai 'hero' apabila telefilem yang dihasilkannya, Miang Buluh Keladi Birah diangkat sebagai Telefilem Terbaik. Telefilem itu memenangi empat trofi daripada keseluruhan sembilan trofi yang dipertandingkan.

Tiga lagi trofi yang menyebelahi karya itu pada majlis yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 Jun lalu ialah Pengarah Terbaik; Skrip Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Ternyata, Miang Buluh Keladi Birah berjaya mencuri tumpuan juri-juri profesional sehingga membolehkannya menewaskan saingan sengit sembilan buah telefilem lain yang turut bertanding.

Telefilem tersebut adalah Getaran Jiwa arahan Michael Ang; Hanya Dikau (Amie Maziah); Jodoh Kita (Ismail Yaacob); Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah); Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima); Siapa Tipu Siapa (Aziz M.Osman); Dimanakan Ku Cari Ganti (Osman Ali); Titisan Kasih (Rashid Sibir) dan Tunggu Sekejap (Along Kamaluddin).

Menariknya, persaingan paling sengit untuk kategori utama seperti Pengarah Terbaik dan Telefilem Terbaik menjadi rebutan antara Bade dan isterinya sendiri, Erma Fatima.

Telefilem arahan Erma turut berjaya merangkul dua kategori utama lain iaitu Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik melalui gandingan pelakon berbakat, Beto Kusyairy dan Sharifah Amani.

Ternyata, tuah lebih memihak kepada sang suami apabila Bade bukan sahaja menewaskan isterinya dan pengarah lain, tetapi telah turut memberitahu keyakinan dirinya terhadap naskhah yang dihasilkan itu.

Panel juri memilih Miang Buluh Keladi Birah sebagai pemenang untuk anugerah siri pertama ini setelah melihat kepada keseluruhan mesej yang disampaikan oleh pengarah prolifik itu.

"Bade menyampaikan mesej secara romantis, bukan melalui tragedi, di situ letaknya keindahan dan kelainan. Dalam Miang Buluh Keladi Birah, ia tidak dengan sengaja 'mencederakan' watak dalam naskah ini untuk dikasihani oleh khalayak, tetapi bercakap melalui bahasa romantis yang lebih indah dan tersusun untuk menyampaikan mesej dan kesan," kata Ketua Juri, Profesor Dr. Hassan Hayastani.

Sementara itu, Bade yang ditemui selepas kemenangannya, mengakui, dia sama sekali tidak menyangka akan diangkat sebagai penerima pertama anugerah berkenaan.

Meskipun pernah memberitahu Utusan Malaysia cukup yakin drama tersebut akan menang, menurut Bade ia hanyalah satu gerak hati biasa bagi seorang pengarah sepertinya.

"Benar, beberapa hari sebelum anugerah saya pernah memberitahu bahawa saya yakin naskhah ini akan diangkat menjadi juara. Tetapi sebenarnya saya juga tidak sangka apabila ia benar-benar menjadi kenyataan.

"Mujurlah apa yang saya katakan itu berlaku dan bukan sebaliknya. Jika yang berlaku adalah sebaliknya (kalah), malu juga rasanya nanti," katanya sambil berseloroh.

Jelas Bade, dia amat gembira dengan kemenangan yang berjaya dicapai pada malam anugerah pertama itu, apatah lagi apabila turut bersaing dengan individu-individu yang bukan calang-calang dalam industri ini.

"Kemenangan ini bermakna kerana anugerah ini merupakan pertama kali ia diadakan. Jadi pastinya nama saya akan terus tercatat dalam sejarah sebagai pemenang pertama.

"Walaupun sewaktu diumumkan sebagai pemenang, saya kelihatan 'selamba' seperti tidak terlalu ambil kisah, tetapi sebenarnya dalam hati saya hanya Tuhan yang tahu.

"Ternyata, kemenangan ini amat bermakna buat diri saya dan pastinya saya akan berterusan menghasilkan karya-karya yang lebih hebat lagi di masa hadapan," katanya.

Anugerah lain yang turut dirangkul pada malam itu termasuklah Videografi Terbaik yang dimenangi oleh telefilem Dimanakan Ku Cari Ganti, Anugerah Penampilan Istimewa Terbaik (Datuk Ahmad Tamimi Siregar) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Mislina Mustaffa).

Kami bukan pesaing

Setiap pengarah yang telah berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam karyanya, pasti menyimpan sedikit harapan untuk melihat karya mereka diangkat sebagai juara keseluruhan dalam mana-mana pertandingan sekalipun.

Pastinya itu juga yang dirasakan oleh Erma Fatima apatah lagi setelah dua pelakon utama Selagi Cinta Berzikir iaitu Beto dan Amani telah diangkat menjuarai kategori pelakon lelaki dan wanita.

Namun, kemenangan utama tetap terlepas daripada genggaman, tetapi mujurlah, trofi kemenangan itu tidak 'berlari' terlalu jauh daripada dirinya apabila trofi utama tersebut dimenangi oleh suaminya sendiri.

Menurut Erma, sungguhpun dia dan suaminya melakukan perkara yang sama dan sering bersaing bagi merebut anugerah yang sama, tetapi itu tidak bermakna wujud persaingan antara mereka.

"Hasil karya kami sering bersaing antara satu sama lain bagi merebut anugerah yang dipertandingkan namun itu tidak bermakna persaingan itu wujud di antara kami berdua.

"Walaupun sedikit kecewa, tetapi saya tetap gembira kerana trofi kemenangan itu menjadi milik dia (Bade) dan bukan orang lain.

"Saya cakap begini kerana akhirnya, trofi itu akan dibawa ke rumah kami dan disimpan dalam almari yang sama dengan semua trofi kemenangan yang pernah kami berdua menangi," jelasnya.

Tambah Erma lagi, perkara tewas kepada suami sudah merupakan perkara yang biasa baginya. Ini kerana selama terlibat dalam industri ini, dia tidak pernah menang ke atas suaminya dalam mana-mana anugerah.

"Sebenarnya saya sudah biasa dengan perkara ini. Selama kira-kira 25 tahun kami berkahwin, saya tidak pernah menewaskan dia dalam mana-mana anugerah yang meletakkan kami berdua sebagai calon," jelasnya lagi.

Pahlawan seni lakon

Posted: 11 Jun 2013 06:06 AM PDT

AZIZ dan zaiton (yang mewakili s. shamsuddin) menerima anugerah yang disampaikan oleh seniman datuk mustapha maarof dalam majlis anugerah tribute p. ramlee di istana budaya, jumaat lalu.

DUA bujang lapuk sudah tiada. Kini yang tinggal hanya saya seorang," kata Datuk Aziz Sattar yang sekaligus mengundang keharuan di hati mereka yang mendengarnya.

Aziz dan sahabat bujang lapuknya, Allahyarham S. Shamsuddin menerima anugerah khas sebagai Tokoh Lakon Melayu dalam majlis Tribute P. Ramlee yang berlangsung pada Jumaat lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menyorot kembali perjalanan seni Aziz yang hari ini berusia 88 tahun, kita pastinya teruja untuk mengetahui pelakon ini asalnya bukan dari sebuah keluarga seni.

Dilahirkan di Surabaya, Indonesia, penghijrahan yang dilakukan kedua ibu bapanya ke Singapura pada 1928 membuka laluan untuk Aziz berada didalam industri awal perfileman Melayu.

Memang benar hanya melalui minat yang mendalam seseorang itu mampu berada di dalam industri ini. Sungguhpun pada awalnya bakat Aziz tidak disedari sesiapa, namun kesungguhan untuk menjadi penghibur itu bermula ketika dia dijemput menjadi pelawak dalam majlis-majlis kenduri sekitar kampungnya.

Memandangkan industri perfileman Melayu awal 50-an agak kecil, peluang buat bakat besar seperti Aziz agak sukar dikesan. Namun Studio Jalan Ampas berjaya menjadi saksi penitian Aziz sebagai pelakon dan hari ini bergelar legenda filem Melayu.

Mula meneroka Studio Malay Film Productions dengan kerjaya sebagai juru alihsuara, kepercayaan itu diluaskan kepada watak tambahan dalam filem Putus Harapan. Namun antara filem yang berjaya meletakkan namanya antara nama penting di Studio Jalan Ampas adalah filem Arjuna.

Bagaimanapun penangan hebat Aziz lebih terkesan melalui lakonannya di bawah arahan Allahyarham P. Ramlee iaitu melalui rangkaian filem Bujang Lapok. Sungguhpun dia kini menjadi ahli tunggal yang masih hidup, Aziz percaya kesinambungan acara filem Melayu itu akan sentiasa membawa semangat yang sama seperti sebelum ini.

Jika P. Ramlee meninggal dunia 40 tahun lalu, pada tanggal 4 Jun lalu, S. Shamsuddin pula menemui Illahi.

Sungguhpun jasadnya kini tidak lagi bersama kita, semangat yang dibawa pelakon berjiwa besar ini akan sentiasa menemani khalayak seni, terutamanya generasi muda hari ini. Gelagat dan perilaku mereka tidak dinafikan, masih terus diperlukan bagi mewarnai dunia perfileman Melayu.

Dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura, pengetahuan awal lakonan S. Shamsuddin bukan bermula sebagai pelakon tetapi diberi peluang bekerja di Studio Malay Productions (MFP) di Jalan Ampas sebagai tukang kayu.

Memiliki kelebihan melalui kepetahan berkata-kata serta mimik muka yang menghiburkan, Sudin (demikian dia mesra digelar) sering menjadi pilihan pengarah untuk membawakan watak komedi.

Dan antara fakta penting yang perlu kita tahu mengenai pelakon hebat ini adalah pendedahan dunia lakonannya bermula dengan tunjuk ajar Daeng Haris.

Sungguhpun Tambak Johor menjadi benteng pemisahan Singapura dan Malaysia, lakonan S. Shamsuddin terus hidup didalam sanubari setiap peminat filem Melayu.

Justeru, penghargaan yang diberikan pihak Tribute P. Ramlee sejajar dengan sumbangan mereka kepada industri perfileman, meskipun kita hanya menyaksikan seorang sahaja daripada trio bujang lapuk yang menaiki pentas menerima Tokoh Lakon Melayu.

Walaupun pada pandangan kasar penghormatan ini lebih kepada keupayaan dua pelakon ini mengemudi dunia perfileman Melayu dari awal kewujudannya, namun apa yang kita perlu tahu semangat yang dibawa dua tokoh ini merupakan amanat penting buat penggiat seni kita kini.

Anugerah yang disampaikan Datuk Mustapha Maarof itu dilihat menepati kesungguhan majlis untuk menyaksikan penghargaan seni ini diberikan oleh karyawan seni kepada karyawan seni yang lain.

Mewakili Allahyarham S. Shamsuddin untuk menerima anugerah tersebut adalah pasangan layarnya Zaiton Abdullah.

Sebagai penerima anugerah berkenaan, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi penghargaan daripada penganjur.