Adsense

Rabu, 12 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Persembahan tiga diva ditunda saat akhir

Posted: 11 Jun 2013 05:21 PM PDT

Persembahan Malam Amal Bersama 3 Diva yang sepatutnya berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, malam ini, ditunda sehingga 3 September depan.

Konsert anjuran Kaizen Asia itu membabitkan penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid.

Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah mengaku terkejut dengan keputusan yang diambil pihak penganjur.
Kak Pah diberitahu, persembahan ini akan ditangguh sehingga selepas hari raya. Kak Pah akan bertemu dengan penganjur untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu. Apa pun, Kak Pah anggap apa yang berlaku ini ada rahmatnya." Sharifah Aini, Penyanyi

Ketika dihubungi HIP semalam, Kak Pah berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai perkara terbabit oleh penganjur malam kelmarin.

"Kak Pah diberitahu, persembahan ini akan ditangguh sehingga selepas hari raya. Kak Pah akan bertemu dengan penganjur hari ini (semalam) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara terbabit. Apapun, Kak Pah anggap apa yang berlaku ini ada rahmatnya," ujar penyanyi Seri Dewi Malam ini.

Ditanya bagaimana dengan mereka yang sudah membeli meja untuk menyaksikan persembahan mereka, Kak Pah berkata, pihak penganjur perlu bertanggungjawab ke atas perkara itu.

"Mungkin mereka perlu memulangkan kembali wang mereka yang sudah pun membeli meja. Tidak semua orang boleh menunggu sehingga selepas Aidilfitri," ujarnya.
Diadakan selepas raya

Sementara itu, menurut pegawai publisiti acara terbabit, Rushuhaimin Abd Rahman, penundaan tarikh konsert itu bukanlah disebabkan masalah kesihatan atau penarikan diri seorang daripada bintangnya. Sebaliknya, penaja utama konsert meminta agar ia diadakan selepas sambutan Hari Raya, iaitu pada 3 September.

Berikutan penundaan, tiket yang sudah dijual masih boleh digunakan untuk persembahan itu nanti.

Walaupun sedikit ralat, pihaknya akur dan menerima keputusan itu demi kebaikan bersama, selain berharap penundaan berkenaan dapat memberi ruang untuk mereka menjual tiket yang masih berbaki 20 peratus.

"Setakat ini, sudah 80 peratus meja terjual. Kita berharap, dengan penundaan ini baki tiket dapat dijual sepenuhnya. Ada hikmahnya ia diadakan selepas Aidilfitri kerana tiga penyanyi ini dapat menyanyikan lagu raya masing-masing pada persembahan nanti.

"Mungkin, dengan penundaan ini juga, ia memberi lebih waktu untuk tiga penyanyi terbabit berlatih dengan lebih lagi, bagi memberikan persembahan terbaik," katanya.