Adsense

Khamis, 6 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nikah semula

Posted: 05 Dec 2012 07:16 AM PST

Jika tiada aral melintang, usaha Datuk Aziz Sattar, 87, untuk kembali ke pangkuan bekas isterinya, Hashimah Delan, 54, bakal menjadi kenyataan.

Menurut pelakon veteran itu, pada dasarnya Hashimah sudah pun menyatakan kata persetujuannya dan niat suci itu bakal terlaksana dalam masa terdekat ini.

"Insya-Allah, kami akan nikah semula dalam masa seminggu dua ini. Bukan sengaja mahu menangguhkan perkara yang baik, cuma kebetulan saya sibuk menjalani penggambaran dan juga dimasukkan ke hospital kerana kurang sihat.

"Kami bercerai pun secara baik dan dia juga sudah bersetuju untuk kembali semula kepada saya," ujar Aziz kepada HIP.

Aziz menceraikan pasangannya itu pada pada 3 Mac lalu, kira-kira jam 6.30 petang.

Sejak tersebar khabar mengenai perpisahan pasangan itu, media cuba mendapatkan kenyataan pelakon ini.

Malangnya, dia seakan cuba mengelak untuk ditemubual, selain memberikan kenyataan yang seakan menafikan cerita terbabit.
Mengulas lanjut perkara itu, Aziz menjelaskan, bukan niatnya untuk cuba melarikan diri atau cuba menyembunyikan kisah perceraiannya daripada pihak media, seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Cuma katanya, dia tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana mereka berdua masih percaya rumah tangga yang dibina pada Disember 2006 masih ada ruang untuk diselamatkan.

"Saya tak mahu apabila terlalu bercerita soal perceraian, ada orang yang akan mengambil kesempatan. Maksud saya, ada pihak lain nanti yang akan cuba memecah-belahkan lagi hubungan kami dengan cara menghasut.

"Sebelum ini, pernah ada pihak yang cuba mengapi-apikan saya untuk terus bercerai dengan Hashimah. Atas alasan itulah saya lebih selesa mengunci mulut daripada bercerita soal perceraian ini kepada umum," tegasnya.

Kata Aziz lagi, walaupun mereka sudah bercerai hampir sembilan bulan lalu, namun hubungannya dengan bekas isterinya masih baik.

"Terus terang saya akui perceraian ini adalah satu kesilapan. Pada masa itu, fikiran dan perasaan saya tidak tenang kerana berlaku perselisihan faham kecil antara kami. Lagipun pada masa itu saya penat dan baru pulang dari Kuantan, Pahang, pada sebelah tengah hari. Apabila berlaku perselisihan faham, tiba-tiba terkeluar lafaz cerai.

"Pada saya, kedua-dua pihak bersalah dalam hal ini. Saya ada buat silap, dia juga ada buat silap. Semoga perpisahan ini akan menjadi pengajaran buat kami untuk meneruskan hidup berdua pada masa akan datang," ujarnya mengharapkan yang terbaik menerusi peluang kedua yang diberikan itu.

Lebih RM40j royalti dipungut

Posted: 05 Dec 2012 04:00 AM PST

Bayaran royalti yang berjaya dikumpulkan Persatuan Perlindungan Hak cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP), bagi tahun 2011 mencatat angka tertinggi dalam tempoh 17 tahun dengan jumlah melebihi RM40 juta.

Selama ini, bayaran itu dipungut daripada stesen radio, televisyen, tempat awam dan menerusi telefon bimbit. Namun, dengan kepesatan penggunaan laman sesawang, YouTube kini turut menjadi antara penyumbang utama.

Pengurus Besar MACP, Chan Miew Lan, berkata komposer dan penulis lirik akan terus menikmati imbuhan daripada penghasilan karya mereka sekiranya tiada campur tangan pihak lain.

Jika ia berlaku, tidak mustahil satu hari nanti pengkarya tidak akan 'merasa' lagi imbuhan seperti itu.

"Setakat ini MACP satusatunya badan berlesen yang diiktiraf kerajaan. Sekiranya ada banyak badan yang dilantik bagi mengutip royalti, perkara itu akan menjejaskan pengguna muzik hari ini.

"Mereka akan keliru, kepada siapa wang royalti harus diberikan?

Kita tidak mahu disebabkan kekeliruan, pengguna enggan melakukan pembayaran lagi. Akibatnya komposer dan penulis lirik kita tidak lagi akan dapat menikmati habuan setelah bersusah payah berkarya," katanya yang ditemui pada Malam Mesra Anugerah MACP 2012 di Hotel The Royale Bintang Damansara, kelmarin.
Pada malam berkonsepkan Malar Segar itu, komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir, terus unggul apabila menerima Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke13.

Melihat dua lagi calon yang tersenarai dalam kategori itu, jelas sekali lagu lama masih kekal relevan dan terus menjadi pilihan tertinggi.

Malah lagu malar segar turut mengatasi lagu kelompok baru.

Komposer lain yang berjaya disenarai pendek ialah pencipta yang banyak menghasilkan lagu buat kumpulan UK's, Spring, Wings, Damasutra dan banyak lagi, Saari Amri. Dia pernah memenangi kategori ini sebanyak tiga kali.

Sementara seorang lagi komposer yang disenaraikan ialah Edry Abdul Halim.

M Nasir ketika ditemui berkata, dia akan terus menghasilkan lagu.

Cuma, apakah lagu yang dihasilkannya terus diminati terpulang kepada cita rasa mereka yang mendengarnya.

"Keinginan untuk terus menghasilkan lagu tidak akan terhenti setakat ini. Cuma saya tidak pasti apakah lagu yang bakal dihasilkan nanti lebih bagus atau tidak. Penyanyi turut memainkan peranan sama ada dia berjaya menyampaikan lagu itu dengan baik ataupun sebaliknya.

"Saya akan tetap buat silap. Saya juga akan sentiasa mencari penyanyi yang saya rasa mampu membawakan lagu saya. Tetapi, jika tidak diterima, ia bukan bidang kuasa saya. Kadang kala dunia nyanyian ini juga melihat kepada pakej. Ada suara tapi tidak ada rupa pun susah untuk diterima.

Bagi saya, lebih baik ada suara daripada berbekalkan rupa sematamata," katanya yang sudah menghasilkan lebih 1,000 lagu sehingga kini.

Tambah Nasir, tiada formula khas untuk memastikan lagu yang dihasilkan sedap dan seterusnya dapat diterima peminat. Apa yang penting ialah ilham dan ia juga, katanya, lebih kepada unsur kerohanian.

Sementara itu, bagi Anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak, ia menjadi milik Habsah Hassan, yang banyak menghasilkan lirik puitis untuk penyanyi seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Zaiton Sameon, Francissca Peter, Datuk Khadijah Ibrahim dan ramai lagi.

Anugerah Nadi Cipta pula diberikan kepada penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock, Ramli Sarip. Penganugerahan itu diberikan kerana sumbangan artis itu yang sudah sekian lama mewarnai industri muzik.

Bukan saja aktif sebagai penya nyi, bahkan Ramli turut menyumbang karyanya dalam bentuk ciptaan lagu dan lirik.