Berita Harian: Hip |
Posted: 06 Dec 2012 06:03 AM PST Pengalaman perit dua kali cinta kecundang di tengah jalan masih berbekas di hati jejaka ini. Walaupun sudah beberapa tahun peristiwa pahit itu berlaku dan bekas kekasih sudah pun mempunyai kehidupan sendiri, namun amat sukar untuk Fahrin Ahmad melupakan apa yang pernah terjadi. Disebabkan terlalu kecewa dengan apa yang berlaku, Fahrin secara jujur mengakui, dia sudah serik untuk memilih teman wanita dalam kalangan penggiat industri seni. Pengakuan itu bukanlah untuk merendahrendahkan gadis kelompok itu, cuma kata aktor berusia 33 tahun ini, pengalaman dua kali bercinta dengan wanita dari lapangan sama, tetapi berakhir dengan perpisahan sudah cukup membuatkan dia serik.
"Walaupun saya percaya jodoh itu ketentuan Ilahi, tapi saya akan cuba menghindarinya," ujar Fahrin ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Amal Tahajjud Cinta di Kuala Lumpur, kelmarin. Biarpun ada yang berpendapat lebih mudah jika beristerikan wanita dari bidang sama kerana lebih memahami, namun tegas Fahrin, perkara itu sudah tidak relevan lagi. "Bagi saya, amat sukar jika kedua-duanya popular dan menjadi perhatian masyarakat. Saya tak nafikan bila berpacaran dengan orang luar dari bidang seni, cabaran lain tetap ada cuma pandai-pandailah kita mengatasinya," katanya. Meskipun ramai yang ternanti-nanti bila Fahrin bakal menamatkan zaman solo termasuk kedua-dua orang tuanya sendiri, kata pelakon yang berasal dari selatan tanah air ini, dia tidak pernah terdesak untuk cepatmendirikan rumah tangga.
Kalau melihat jadual kerja saya yang sentiasa sibuk ini, nampak gayanya sehingga tahun depan saya tidak nampak bayangan yang saya akan naik pelamin. Saya juga tidak ada sasaran usia berapa yang sesuai untuk saya mendirikan rumah tangga. "Cuma apabila usia saya mencecah 35 tahun dan saya masih tidak mempunyai sesiapa untuk dijadikan calon isteri, waktu itu saya sudah tak kisah jika orang tua yang carikan jodoh untuk saya. Saya terbuka untuk apa saja peluang yang datang," katanya. Ditanya apa kesudahan hubungannya dengan penerbit iaitu Adila Ramly seperti yang pernah digembargemburkan sebelum ini, Fahrin berkata, tiada apa yang dapat diceritakan kerana mereka tidak menjalin hubungan istimewa. Beralih kepada cerita kerjayanya, Fahrin berkata, jika tiada aral melintang, dia akan terbang ke Abu Dhabi untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri terbitan Zeel Productions berjudul Rindu Bertamu, Ahad ini. "Saya akan berada di sana selama sebulan untuk menjayakan penggambaran drama untuk slot Akasia. Drama itu turut dibintangi pelakon Tasha Shilla dan Shah Jaszle," katanya. Selain sibuk berlakon, Fahrin juga terbabit dengan memberi ceramah motivasi kepada generasi muda bersama seorang rakan kongsi. |
Posted: 06 Dec 2012 05:59 AM PST Meskipun baru dua tahun diperkenalkan, siri kartun animasi BoBoiBoy mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah tontonan tertinggi di negara ini, dengan purata 2.5 juta penonton seminggu. BoBoiBoy yang dihasilkan Animonsta Studios ini juga diiktiraf sebagai jenama antarabangsa yang muncul sebagai rancangan kedua paling popular di saluran Disney pada tahun ini, berdasarkan undian dibuat membabitkan 16 negara.
Jika sebelum ini, siri kartun animasi BoBoiBoy ditayangkan di 16 negara seperti Singapura dan Indonesia, bagi filem pula, pihak produksi berhasrat untuk memasarkannya di Vietnam dan Filipina. "Mengikut perancangan, filem BoBoiBoy akan keluar paling awal pun pada Disember tahun depan dan paling lambat pada Jun 2014. Ketika ini, kami masih dalam proses praproduksi, dengan skripnya juga sedang ditulis. "Kalau diikutkan jangka masa untuk menghasilkan filem animasi, ia mengambil masa dua hingga tiga tahun, tetapi dengan teknologi yang kita ada, kami akan siapkan dalam 12 hingga 16 bulan. "Mungkin ada pertambahan dari segi watak, manakala elemen pengembaraan semestinya lebih daripada animasi yang ditayangkan di TV," kata Nizam.
"Perbelanjaan untuk menghasilkannya kami anggarkan sebanyak RM4 hingga RM5 juta. Jumlah itu pun belum muktamad kerana kami ingin mengedarkan filem ini ke luar negara, jadi mungkin perbelanjaannya akan terus bertambah," katanya yang akan menerbitkan siri TV BoBoiBoy musim ketiga pada tahun depan. Selain mengeluarkan filem, pihak Animonsta Studios juga baru saja menandatangani kerjasama bersama Kuwait Finance House (KFH) Malaysia, untuk penajaan siri pengumuman khidmat masyarakat yang mengetengahkan karakter Yaya. Nizam berkata, kerjasama itu adalah usaha untuk menghasilkan animasi yang berteraskan nilai positif dan bermoral kepada masyarakat, menerusi pesanan khidmat yang diberi tajuk Apa Kata Yaya? Majlis sidang media mengumumkan kerjasama itu yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota turut dihadiri Pengurus Besar KFH Malaysia, Datuk Jamelah Jamaluddin. Pihak produksi juga akan menganjurkan sebuah karnival yang diberi nama Dunia Futuristik BoBoiBoy pada tahun depan dan kebanyakan aktiviti akan diadakan pada musim cuti sekolah, khusus buat hiburan santai untuk seisi keluarga. Sementara itu, tidak mahu hanya menghasilkan BoBoiBoy, Nizam juga berminat menghasilkan animasi baru untuk siaran TV, yang dijangka menemui penonton pada tahun depan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |