Adsense

Jumaat, 9 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Antara karier dan kontroversi

Posted:

Antara karier dan kontroversi

Antara karier dan kontroversi

NABILA menegaskan kontroversi yang dialami selama ini tidak pernah mengganggu karier seninya.


MENCURI sedetik waktu pemilik nama Nabila Huda Suhaimi atau mesra disapa Abil sewaktu raptai Anugerah Skrin 2012 (ASK) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang Khamis lalu tidak sedikit pun menggugat semangatnya untuk beraksi sebagai Bawang Merah di pentas majlis tersebut.

Nabila antara artis yang bakal tampil mendukung karakter dongeng Melayu itu di samping watak Bawang Putih dijelmakan nanti oleh Scha Al-Yahya.

"Selebihnya perlu tunggu pada malam anugerah itu (malam ini). Begitu juga busana yang akan saya gayakan kelak hasil rekaan Alia Bastamam," ungkap Abil, 28, mengenai peranan yang akan dibawakannya di pentas ASK 2012 nanti.

Lagak yang ceria bersulam tawa tanpa henti, Abil membuka cerita dan harapannya apabila pertama kali tercalon dalam salah satu kategori yang dipertandingkan dalam ASK tahun ini.

Selain teruja dan dalam masa yang sama gembira, kata Nabila, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang anugerah untuk tahun ini memandangkan persaingannya bukan calang-calang.

"Sepanjang karier saya sejak berusia 16 tahun, inilah pertama kali nama saya tercalon untuk ASK. Teruja dan saya sangat berharap daripada dulu lagi sehinggalah tahun ini ada pihak yang melihat bakat saya.

"Alhamdulillah, syukur saya diberikan peluang untuk bekerja di bawah produksi Maharku Untukmu yang saya yakin mempunyai jalan cerita, skrip dan mesej yang kuat buat penonton.

"Saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk merangkul sebarang anugerah kali ini, sebaik-baiknya dahulukan yang senior," hurainya lanjut.

Abil juga tidak menolak faktor namanya tidak tercalon pada tahun-tahun sebelum ini disebabkan kurangnya nilai komersial dalam sesebuah naskhah sama ada drama atau telefilem lakonannya. Dia nyata berpegang kepada prinsip bahawa dunia lakonannya tidak diukur dengan kemenangan menggondol pelbagai anugerah.

"Berlakon adalah keghairahan saya. Saya berlakon dari dalam hati dan melakukannya dengan jujur biar orang yakin dengan bakat yang saya ada.

"Sejujurnya, saya suka berlakon cerita dan karakter berat dan cuba mengelak sekiranya diberikan watak komedi. Bukan memilih tapi saya rasa puas apabila dapat melakonkan sesuatu karakter yang sarat emosi.

"Contohnya drama rantaian Julia, saya bersyukur kerana mendapat maklum balas positif daripada penonton. Bukan mudah untuk menangis siang dan malam untuk menjiwai watak dalam drama tersebut," katanya.

Abil menegaskan dirinya tidak selektif terutama soal bayaran, kerana baginya berlakon adalah punca rezeki dan dia juga tidak pernah meletakkan skala harga atau bayaran tertentu terhadap dirinya.

"Orang tahu nilai saya, jadi setiap kali mendapat tawaran saya berpuas hati dari segi bayaran," ulas bintang filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam itu.

Kisah peribadi

Pencapaian cemerlang dalam kerjaya sebagai seorang pelakon tidak dapat lari daripada belenggu kisah-kisah kontroversi atau gosip liar yang mencerminkan sisi negatif diri Abil.

Bagaimanapun, kisah yang dicanang dan diperbesar-besarkan itu tidak sedikit pun mengganggu konsentrasi kerjaya atau kehidupan personalnya.

"Manusia tidak sempurna dan dalam setiap kehidupan mesti ada keseimbangan. Maksud saya, pasti ada perkara yang kita tidak boleh elakkan daripada berlaku.

"Saya mengambil perkara-perkara negatif yang berlaku sebelum ini sebagai satu pengajaran dan pengalaman. Kita tidak boleh meneroka sesetengah perkara tetapi kehidupan peribadi saya adalah hak saya!

"Saya menjalankan kerja sepenuh hati dan peribadi saya tidak campuradukkan dengan karier. Orang mahu menilai bakat atau personal terpulang kepada diri masing-masing," tegasnya.

Tambah Abil, dia hanya menjadi diri sendiri dan sudah terlalu penat melayan kerenah orang sekeliling yang suka menilai dirinya.

"Saya penat bekerja dan telah berkorban banyak masa, apabila ada masa perlu berhibur maka ketika itulah kita perlu lepaskan segala tekanan.

"Hanya itu masa yang ada untuk diluangkan bersama keluarga dan diri sendiri," getus ibu kepada seorang cahaya mata, Keisha Laila, 2 tahun.

Tegasnya lagi, dia seorang individu yang mementingkan karier lebih daripada segalanya. Dia sedar betapa sukar untuk mencapai tahapnya kini.

"Kontroversi tidak pernah mengganggu karier saya. Saya telah meletakkan satu salutan dalam kerjaya saya yang saya jaga sebaik mungkin. Apa yang saya dapat, itu yang saya jaga," kata Abil.

Halloween

Selepas 'panas' dengan kontroversi pakaian seksinya pada acara karpet merah majlis Anugerah Blokbuster 2011 awal bulan Oktober lalu, Nabila sekali lagi mencuri tumpuan umum apabila kali ini dia dituduh menghadiri parti liar menyambut Halloween pada hujung bulan yang sama.

Jawabnya, parti itu merupakan sambutan hari jadi temannya dan juga sebuah parti kostum. Jadi, tidak perlu timbul isu dia menghadiri parti Halloween seperti yang digembar-gemburkan.

"Setiap orang ada buat salah, itu antara saya dan Tuhan. Apabila orang suka membuat cerita, maka timbul kisah-kisah sebegini.

"Majlis hari jadi itu diadakan pada 28 Oktober dan sambutan Halloween adalah pada 31 Oktober. Kenapa saya perlu menyambut Halloween?

"Sedangkan pada tarikh 31 Oktober itu saya ada penggambaran. Pada majlis itu juga saya yang memilih untuk memakai pakaian puntianak, adakah perbuatan itu salah?

"Jika diperhatikan, ramai lagi orang Melayu yang menyambut Halloween pada tarikh 31 Oktober itu tapi tidak pula menjadi isu. Saya yang tidak menyambutnya pula dituduh bukan-bukan.

"Sekiranya saya bersalah, saya minta maaf. Perkara yang tidak patut dilayan sebelum ini saya tidak akan layan. Susah nak percaya sesiapa di dunia ini," jelas Abil.

Lisda jaga jadual Fauzi

Posted:

Lisda jaga jadual Fauzi

Lisda jaga jadual Fauzi

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

KELIBATNYA sejak akhir-akhir ini jarang muncul baik di layar kaca mahupun layar perak. Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu juga semakin jarang dilihat menghadiri acara atau majlis rasmi hiburan.

Ramai yang menduga Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, sudah merajuk dengan industri hiburan lantas memberikan peluang kepada pelapis baharu untuk menonjolkan bakat.

Tidak kurang ada juga yang mendakwa bahawa Lisdawati kini lebih selektif memilih untuk membintangi sesebuah produksi lakonan hanya mengikut seleranya.

Kosmo! berpeluang menemu bual duta pusat penjagaan kecantikan Slim World sempena pertandingan akhir Miss Kebaya Slim World 2012 di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur itu bagi mengetahui tentang situasi sebenar.

Kosmo!: Lisda semakin kurang dilihat di kaca TV sekarang ini, apakah sebabnya?

LISDAWATI: Alhamdulillah, sebenarnya tawaran berlakon tidak pernah putus dan setiap tahun pasti akan ada drama atau telefilem lakonan saya. Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang dan kepercayaan penerbit. Jujur saya akui bahawa saya kini lebih selektif terutamanya, tawaran drama. Saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana perlu menumpukan lebih perhatian kepada keluarga. Jika tempoh penggambaran di luar kawasan mencecah dua minggu, saya terpaksa tolak kerana komitmen dengan keluarga.

Maksudnya kini Lisda hanya bergantung kepada Fauzi semata-mata?

Saya menjaga jadual kerja Fauzi dan sebab itu juga faktor saya tidak boleh terlalu sibuk. Sudah sebulan saya tinggal di rumah sahaja, tapi tidaklah bergantung sepenuhnya kepada suami. Kalau ada telefilem yang sesuai, saya ambil (berlakon), namun kalau ditanya jadual saya sekarang tidak terlampau sibuk kerana fokus saya cuma untuk keluarga dan anak-anak.

Berbicara mengenai perancangan keluarga, adakah anda dan suami berniat untuk menambah ahli keluarga baharu?

Insya-Allah kalau ada rezeki. Lagipun, Fauzi mahukan anak lelaki. Anak-anak (Farhana, 3 tahun, dan Fazneesya, 2 tahun) pun sudah besar, cuma kami sedang menunggu masa dan keadaan yang sesuai. Alhamdulillah menurut nasihat doktor, faktor badan dan usia saya pun masih dibenarkan mengandung.

Berdasarkan prestasi dalam industri lakonan, bagaimana Lisda mampu mengekalkan survival sebagai seorang pelakon memandangkan setiap hari semakin ramai pelakon baharu muncul?

Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki. Ramai pelakon yang berlakon pelbagai drama atau filem, tetapi tetap susah naik (popular). Saya memegang prinsip setiap kali mahu terbabit dalam sesebuah karya, perkara utama adalah kesesuaian watak dan jalan cerita yang bagus, selebihnya kita berusaha dan berserah kepada penerimaan peminat.

Lisda juga turut tercalon dalam Anugerah Skrin 2012. Apakah harapan anda?

Alhamdulillah, hampir setiap tahun sebenarnya saya dicalonkan dalam Anugerah Skrin dan pastinya mengharapkan mutu lakonan saya diiktiraf. Pada tahun ini, telefilem lakonan saya berjudul Hilangnya Doa Seorang Ibu tercalon dan saya tercalon untuk kategori Pelakon TV Wanita Terbaik. Saya melihat telefilem itu kuat dari segi mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan.

Konsert RM150,000 Hafiz Hamidun

Posted:

Konsert RM150,000 Hafiz Hamidun

Konsert RM150,000 Hafiz Hamidun


HAFIZ HAMIDUN bakal mengalunkan lagu-lagu termasuk daripada album Zikir Terapi Diri dalam konsertnya di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 14 November ini.


NAMA Hafiz Hamidun, 28, sememangnya sudah tidak asing lagi dalam persada muzik tanah air.

Lebih-lebih lagi apabila lagu zikir nyanyiannya, Law Kana Bainana menjadi siulan ramai sejak awal tahun ini.

Lebih memeranjatkan lagi apabila album Zikir Terapi Diri yang mengandungi lagu-lagu zikir termasuk Law Kana Bainana itu berjaya meraih anugerah platinum berkembar empat ekoran pencapaian jualan album yang mencecah angka 60,000 unit.

Ia membuktikan betapa album genre lagu keagamaan masih diminati serta mampu mencuri hati peminat muzik tanah air pada saat ramai penggiat seni yang lain mengeluh dengan pasaran album yang semakin perlahan.

Begitu terharu dengan sambutan tersebut, ia telah menjadi antara pendorong buat Hafiz untuk mengadakan konsert sulungnya yang diberi judul, Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun.

Ia dijadualkan berlangsung pada 14 November ini di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Konsert ini santai tetapi ia disuntik pengisian yang serius dan sebab itu kita pilih tarikh persembahan pada malam sambutan Maal Hijrah.

"Ia bermatlamat supaya penonton tidak pulang dengan tangan kosong. Kita jadikan konsert ini berbentuk keinsafan menerusi penyusunan muzik serta dekorasi dalam dewan itu sendiri nanti," ujar Hafiz tentang konsep dan matlamat konsert tersebut.

Tambahnya, zikir-zikir tersebut nanti akan diiringi persembahan orkestra supaya alunan muziknya bukan sahaja dapat didengar, malah supaya ia mampu meresap ke dalam jiwa audiens.

"Saya masih dalam proses menyiapkan 12 buah lagu untuk disusun mengikut rentak orkestra dan setakat ini empat buah lagu telah siap disusun sepenuhnya," ujarnya.

Konsert yang berdurasi 90 minit itu akan memuatkan dua buah zikir baharu yang akan dimuatkan dalam album zikir terbaharunya nanti.

Selain Hafiz, artis di bawah naungan syarikatnya, Arteffects International, Izad Mahadi turut serta membuat persembahan pembukaan tirai pada malam tersebut.

Konsert yang menelan kos hampir RM150,000 itu dijangka turut menjemput seorang Sheikh yang didatangkan khas dari Yemen, selain seorang penceramah bebas.

Menurut anak kelahiran Perak Darul Ridzuan itu lagi, kekuatan konsert sulungnya itu bukan sahaja bergantung kepada namanya semata-mata tetapi ia lebih kepada matlamat konsert itu untuk memberi mesej yang berguna sempena Maal Hijrah pada tahun ini.

Bagi peminat Hafiz yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berhibur dengan cara dakwah, tiket boleh terus dibeli dengan harga RM125, RM100, RM75, dan RM50 di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada hari konsert iaitu menjelang 14 November ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak penganjur Arteffects International melalui newmedia@arteffects.com.my atau hubungi talian 012-225 1297 atau 03-7727 1297.