Adsense

Jumaat, 9 November 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak mahu dikenali kerana kontroversi

Posted: 08 Nov 2012 06:18 AM PST

BARU lima bulan berlakon, nama pendatang baru meningkat naik, Emma Maembong terus diperkatakan ramai. Semuanya gara-gara gosip dan kontroversi yang melanda dirinya sejak terbabit dalam bidang hiburan tanah air.

Selepas didakwa sebagai 'kaki propa' kerana dikatakan gagal menghadiri sesi fotografi dengan sebuah akhbar tempatan, penyebaran gambar panasnya dengan teman lelaki semakin memburukkan keadaan.

Pada majlis pelancaran drama bersiri 24 episod, Cinta Itu Milikku yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, sekali lagi kelibat pelakon yang juga pemilik nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail dan berdarah kacukan Melayu-Scotland ini mencuri tumpuan pihak media.

Sekalipun diasak dengan pelbagai soalan panas, Emma yang mewarisi bakat melukis daripada bapanya yang juga pelukis terkenal, Ismail Embong ternyata tidak cepat melatah dan tetap tenang menjawab setiap soalan yang dikemukakan pihak media.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku tetapi dia reda itulah harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.

"Terus terang, saya tidak mahu nama naik dalam bidang hiburan sebab cerita kontroversi. Saya lebih suka bermula dari bawah dan orang kenal saya sebab bakat yang dipertaruhkan dan bukan sebab penyebaran gambar itu.

"Ayah juga tahu saya sudah ada teman lelaki tapi dia tak masuk campur pun perkara itu. Walaupun ibu bapa sudah bercerai tapi hubungan saya dan sepuluh adik beradik lain sangat rapat. Mujur ayah dan anggota keluarga lain boleh menilai apa yang baik dan buruk kerana saya bukannya gadis yang suka bersosial atau liar seperti gosip di internet itu.

"Saya berlakon pun selepas ayah beri 'lampu hijau' kerana saya hanya duduk rumah dan kerja saya hanyalah melukis. Justeru, saya tidak mahu mensia-siakan kepercayaan ayah dan sangat berharap orang berhenti daripada memperkatakan cerita silam kerana perjalanan seni saya masih jauh lagi," katanya.

Emma yang mula diperkenalkan pengarah terkenal, Erma Fatima menerusi drama terbitan produksinya yang juga siri komedi Facebook Ustazah Shamsiah untuk stesen TV AlHijrah mengakui bertuah kerana diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam drama walaupun masih baru.

"Sebenarnya, Mama Erma sudah kenal lama dengan kakak saya sebab itu saya tidak menolak untuk mencuba bakat berlakon dalam drama arahannya.

"Dalam Facebook Ustazah Shamsiah yang diterajui Azizah Mahzan, saya bawa watak budak sekolah dalam cerita yang banyak membabitkan elemen nasihat itu.

"Selepas drama itu, Mama Erma tawarkan saya untuk memegang watak Munirah dalam drama Kau Yang Terindah pula.

Saya juga tidak hadiri uji bakat ketika berlakon dalam drama itu dan bila di lokasi barulah saya tahu cabaran watak Munirah yang kena pukul dan ragut.
Sebagai pelakon baru, saya hanya buat apa yang saya mampu," katanya yang membahasakan Erma dengan panggilan Mama Erma.

Selepas watak Munirah, dia terus diberikan watak utama dalam drama Rindu Rania pula.

"Terbaru, rezeki saya semakin murah apabila ditawarkan beraksi watak utama dalam drama Cinta Itu Milikku arahan Emi Suffian dan bergandingan pula dengan Fazren Rafi dan Ana Dahlia untuk stesen TV3.

"Saya juga mendapat bimbingan daripada Emi dan Fazren sendiri yang tidak lokek berkongsi ilmu di lokasi. Hubungan dengan Ana pun rapat seperti keluarga apabila di lokasi drama ini," katanya.

Namun, Emma mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam meningkatkan prestasi lakonan sedia ada.

"Saya tiada asas dalam bidang lakonan. Sebab itu, saya bersyukur kerana sudah ditawarkan watak utama dalam drama walaupun masih baru. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya memberikan yang terbaik untuk kepuasan penonton," katanya.

Mengulas penampilannya yang terlalu ringkas pada majlis pelancaran drama Cinta Itu Milikku yang diterajuinya itu, Emma mengakui itulah personaliti dirinya yang sebenar.

"Saya memang jarang bersolek dan lebih suka tampil ringkas bila di luar. Saya sibuk melukis dan mana ada masa nak bersolek atau memakai aksesori seperti artis lain. Mungkin saya terikut-ikut dengan cara saya di rumah.

"Saya dibesarkan ayah dan perwatakan saya memang kasar seperti lelaki. Kalau di rumah, saya hanya ikat rambut dan kadang-kadang pakai kain pelikat ayah saja di rumah," katanya.

Menyusul selepas ini, dia ditawarkan berlakon dalam filem terbitan pengarah Ahmad Idham tetapi penggambaran belum dimulakan lagi.

Sesibuk manapun berlakon, Emma tetap tidak sesekali melupakan minatnya melukis yang sudah sebati dalam dirinya.

"Bila tidak berlakon, saya mengisi masa dengan melukis di rumah. Memang rasa janggal bila saya tidak sertai pameran lukisan bersama ayah seperti yang biasa kami lakukan sebelum ini.

"Pada masa sama, saya juga tidak ada pendidikan formal dalam bidang lukisan dan melukis animasi dan potret pun kerana minat dan belajar sendiri di rumah dengan mendapat bimbingan daripada ayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08


Jamal, Jay Jay bergandingan

Posted: 08 Nov 2012 06:09 AM PST

BUAT pertama kalinya, dua penyanyi legenda tanah air, Jamal Abdillah dan Jay Jay akan bergabung dalam satu konsert bagi menghiburkan peminat mereka secara langsung pada 24 Disember nanti.

Konsert yang diiringi hidangan barbeku antarabangsa 'Lanjut Carnivale Fiesta BBQ Around The World' itu bakal diadakan di Lanjut Golden Beach & Golf Resort yang terletak di Kuala Rompin, Pahang.

Ditemui pada sidang media kelmarin, Jamal berkata, konsert kali ini membawa pengunjung melalui perjalanan nostalgia dirinya dan Jay Jay selama 33 tahun bergelar anak seni.

"Sambil pengunjung menikmati hidangan makan malam iaitu barbeku antarabangsa diiringi ombak pantai, kami menghiburkan mereka selama dua jam setengah.


"Apa yang menarik, lagu itu dinyanyikan secara spontan diiringi pemuzik. Tiada jumlah lagu ditetapkan, namun yang pasti ia adalah lagu hit khas untuk peminat yang menyokong karier kami selama ini," katanya.


Sementara itu, menurut Jay Jay, selama menjadi anak seni belum pernah beliau digandingkan berduet dengan Jamal dalam satu konsert.

"Konsert kali ini amat eksklusif buat peminat kami yang menantikan gandingan kami berdua selama ini. Kami juga belum mempunyai lagu duet sendiri bersama.
Mungkin kami boleh berbincang mengenainya selepas ini," katanya.

Bagi peminat dua gergasi hiburan ini, harga yang ditawarkan bagi konsert itu adalah RM399 seorang bagi pakej konsert dan barbeku empat benua, manakala serendah RM499 seorang beserta penginapan.

Antara menu yang menggamit citarasa penonton adalah Tex Mex Orientals, Continentals, Prawn Bisque Cilantro, Pastas, Rompin Prawn dan banyak lagi.

Lanjut Golden Beach & Golf Resort berkeluasan 500 ekar yang diapit dengan pantai persendirian sepanjang 3.5 kilometer selain dikelilingi alam semula jadi yang menjanjikan percutian menarik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/08