Berita Harian: Hip |
Posted: 08 Nov 2012 03:12 PM PST Ulam-ulaman dan air zam-zam sudah memadai bagi primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad untuk kekal sihat dan bertenaga. Mungkin sudah diajar dari kecil, pelakon veteran tersohor ini masih bertenaga meskipun usianya mencecah 70 tahun. Malah, Sarimah masih mampu melakukan kerja berat seperti dulu tanpa bantuan sesiapa. Hanya bersarapan dengan madu dan sedikit garam, air zam-zam dan salad sudah cukup memberi tenaga kepada pelakon yang terkenal dengan filem Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dan Ibu Mertuaku ini. "Saya tidak pernah makan ayam dan daging sejak kecil, bukan pantang, tetapi sebab tidak minat. Sayur-sayuran seperti ulam dan buah-buahan menjadi makanan ruji saya setiap hari dan mesti ada. "Saya tidak percaya dengan suntikan Botox kerana bagi saya kesannya hanya sekejap dan menyakitkan. Lagi pula, saya jenis takut dengan jarum. Kita kalau nak kekal cantik dan muda, bermula dari dalam terutama hati," katanya. Bagi Sarimah, penjagaan dalaman amat penting termasuk dari aspek pengambilan makanan dan vitamin C serta multivitamin bagi mengekalkan kesihatan tubuh. "Ketika itu, saya tidak boleh bergerak, hanya mampu terlantar. Bahkan hendak solat pun perlu berbaring. Tetapi itu tidak melemahkan saya kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebalik ujian yang diberi. "Berkat doa dan sokongan anak, saya gagahkan diri menunaikan umrah dalam keadaan sakit. Selepas pulang, kesihatan saya semakin pulih kerana sering mengamalkan minum air zam-zam," katanya. Meskipun sudah mempunyai 32 orang cucu dan empat cicit, ibu tunggal kepada enam anak ini mahu terus sihat untuk melihat cucu, cicit dan piut membesar di depan mata. Tidak pernah menyembunyikan usianya, Sarimah berkongsi tip penjagaan kesihatan dengan wanita lain melalui produk kecantikan dalaman keluaran syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn Bhd. Syarikatnya menghasilkan dua produk kesihatan berasaskan minuman iaitu Sari AgeGard dan Sari StemShape untuk dikongsi bersama peminat. "Sudah sekian lama saya impikan berkongsi petua penjagaan kesihatan dengan peminat. Akhirnya, ia terlaksana. Kita kalau hendak melakukan sesuatu biarlah ikhlas dari hati. Jangan buat hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata. "Memang produk ini masih baru di pasaran. Alhamdulillah saya percaya produk ini akan banyak membantu kesihatan kita," katanya yang masih jelita dan memiliki kulit sihat. Dalam hatinya, Sarimah tidak mahu hanya dikenali sebagai ikon lakonan, sebaliknya mahu menjadi ikon kesihatan dengan rangkaian produknya sendiri. "Saya masih lagi berlakon, tetapi tidak seaktif dulu kerana mahu menumpukan perhatian kepada ibadat. "Jika ada tawaran, saya akan teliti dulu sebelum menerima watak yang diberi," katanya. |
Posted: 08 Nov 2012 03:11 PM PST Empat bulan lalu, penyanyi lagi Kau Yang Terindah, Alyah pernah membuat pengakuan dirinya sedang mengenal hati budi komposer tersohor, Datuk Ramli MS. Namun, tidak sampai beberapa bulan selepas itu, timbul pula cerita kononnya dia dan Ramli sudah tiada apa-apa hubungan.
Tenang ketika menanti wajahnya disolek, Alyah enggan mengiya atau menidakkan khabar angin itu. "Sebelum ini, saya tidak pernah menyatakan kami mempunyai hubungan. Memang saya pernah beritahu, kami sedang mengenali hati budi. Tetapi saya tidak pernah mengaku kami bercinta. "Setiap kali orang bertanya mengenai hubungan kami, saya tidak pernah menjawab ya atau tidak. Jadi samalah juga dengan hal ini (apakah benar mereka sudah tidak menjalin apa-apa hubungan), saya tidak boleh jawab," katanya.
"Saya tak pernah berniat menyembunyikan apa-apa. Cuma saya fikir sebagai wanita, apatah lagi usia pun sudah 31 tahun, kurang manis untuk saya menjawab lebih-lebih. "Saya tidak mahu dilabel wanita yang tidak sabar-sabar hendak berumah tangga atau dalam erti kata lain gatal," katanya. Ujar wanita ini, dia melalui pelbagai episod suka duka dalam hidupnya. Cukuplah dia dan keluarga bersedih atas kejadian yang menimpa adiknya, Mohd Faizal Abu Hassan yang dijatuhi hukuman atas kesalahan jenayah, baru-baru ini. "Orang tidak tahu bagaimana malu dan sedihnya kami kerana kes adik saya. Jadi, saya tidak mahu kisah peribadi membuatkan keluarga bersedih lagi," katanya. Alyah berkata, cukuplah selepas membuat pengakuan dia sedang mengenal hati budi Ramli, ramai yang menyangka mereka akan berkahwin. "Sebagai perempuan, malulah saya. Apa pula kata pihak lelaki, macam saya terhegeh-hegeh sangat hendak berkahwin," katanya. Alyah cuma mengharapkan semua pihak mendoakan yang terbaik untuknya. "Jika benar ada seseorang yang istimewa dalam hati saya, saya tidak akan sembunyikan," katanya yang kini memikul tanggungjawab sebagai juri tetap program Idola Kecil 5. Bersetuju menerima tawaran dari TV9 sebagai juri, bukanlah bererti dia seorang penyanyi hebat. Sebaliknya Alyah tertarik menerima tawaran itu kerana ingin berkongsi serba sedikit ilmu yang dimiliki. Selaku juri, dia tidak mahu terlalu keras melontarkan komen, supaya peserta tidak tertekan. Habis tugas sebagai juri, penyanyi ini mahu berehat sebulan bagi memberi fokus kepada album penuh. Selain menyiapkan album terbaru, kesempatan itu juga bakal dimanfaatkan untuk perniagaan fesyen Gaya Alyah yang diusahakannya. Selepas insiden tiang lampu menghempap belakangnya pada majlis sambutan rumah terbuka Hot FM, September lalu, Alyah pulih sepenuhnya. Namun, kesannya masih dirasai. Akibat kecederaan itu, dia tidak lagi boleh menikmati minuman sejuk, selain perlu menyarung stoking ketika tidur. "Selain tidak boleh menikmati minuman sejuk, pemakanan juga kena jaga. Jika tidak, bahagian yang tercedera akan terasa sakit dan sengal. "Saya juga perlu berstokin dan menukar tilam yang boleh menyokong tulang belakang. Saya juga tidak boleh terlalu penat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |