Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nadia sukar jadi divaTIADA satu pun sensasi yang melekap pada tubuhnya untuk dijadikan topik bicara. Duduk berbual dengan Nadia Aqilah Bajuri lebih tiga jam tetapi semuanya berlegar soal kerja, kerja dan kerja. Licik sungguh si bunga yang mesra disapa Nadia ini menjaga tingkah laku. Biarpun ada nama, namun gadis berumur 27 tahun nekad bebas gosip. Nadia bukan lagi wajah baharu dalam dunia hiburan, malah Nadia Aqilah kini sudah menjadi bualan. Jika dihitung daripada segi masa, dia sudah merasai ranjau seni sejak berusia 14 tahun. Nadia pernah menubuhkan kumpulan Luscious bersama Eenaz dan Ruzana untuk mencuba nasib dalam rancangan realiti televisyen Gangstarz pada 2007. Dalam kerja-kerja lakon pula, gadis berbintang Leo ini sudah lima tahun bergelar anak wayang. Namun bakat yang dipahat itu masih lagi terselindung. Empunya diri ada alasan mengapa dia mahu menyorok daripada mendapat liputan luas. Dia enggan menghulur salam perkenalan dengan peminat secara semberono biarpun sedar publisiti itu penting. Sebaliknya Nadia ada jalan positif untuk dikenali. "Bukannya menyorok daripada media, cuma tiada apa yang mahu diceritakan. Lagipun saya tidak gemar berkongsi cerita pasal peribadi. "Saya masih berpegang kepada kata-kata abang saya sendiri yang pernah berpesan. Katanya, kalau kita bagus, suatu hari nanti orang akan cari kita. Itulah cara yang mahu saya amalkan. "Memang benar suatu ketika dahulu saya pernah berasa tidak senang kerana tidak dikenali. Sebaliknya kini saya sudah boleh menerima keadaan itu, bahkan selesa dengan keadaan sekarang," kata gadis yang tingginya hanya 167 sentimeter itu. Kelibat Nadia begitu eksklusif. Kerja lakonannya tampak mengalir perlahan. Tetapi dalam senyap Nadia sibuk melakukan itu dan ini. Setelah habis dengan suatu persembahan teater, dia beralih pula kepada jadual penggambaran drama. "Kalau tidak berlakon dalam drama, saya akan terlibat dalam produksi teater sama ada komersial mahupun skala kecil. Ada juga tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak kerana tidak mahu jadualnya bertindih. Lampias panggung "Syukur kerana sehingga kini rezeki masih tidak putus. Sesuai dengan jiwa saya yang kuat bekerja ini. Jika tidak berteater atau berlakon saya akan menerima undangan nyanyian. Itu sebabnya saya tidak selalu muncul di kaca televisyen," katanya yang pernah terlibat dalam produksi teater Secret Life of Nora, Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical dan Terima Kasih Cinta. Tahun ini Nadia bakal menutup diari hidupnya dengan senyuman lebih melebar. Sejak Khamis lalu, filem pertama lakonannya, Zaiton Ceritaku sudahpun menjengah panggung. Ada pengkritik filem yang menganggap naskhah itu sekadar sebuah filem lampias panggung, Nadia pula, jauh di sudut hatinya naskhah itu terakam cantik menjadi sejarah baharu buat dirinya. "Mungkin kalau empat, lima tahun lalu saya menerima tawaran ini, saya akan terkejut. Mungkin juga saya akan sedikit menolak atau terkejut kerana mendapat tawaran sebegini. Tetapi untuk masa kini, saya sekadar menerimanya sebagai perkara biasa. "Dari satu sudut lain pula saya bertuah kerana diberi kepercayaan membawa watak Zaiton Sameon yang begitu disanjung ketika zaman kegemilangannya. Filem ini menuntut saya bermain emosi dan diberi peranan utama," katanya yang mengenali lagu-lagu Zaiton terutamanya Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar sejak berusia tiga tahun. Zaiton Ceritaku garapan pengarah dan pelakon Esma Daniel itu mengisahkan kehidupan Zaiton yang pernah berada di puncak populariti pada suatu ketika dahulu. Puas jadi Zaiton Filem biografi Zaiton yang diangkat sebagai diva itu merakam kisah ketika dia berusia sekitar 20-an hingga 50-an. Antara yang dipaparkan termasuklah insiden kemalangan jalan raya yang merubah kehidupan Zaiton secara total. Dalam kemalangan itu Zaiton kehilangan anak lelakinya Azirwan Abu Bakar yang maut di tempat kejadian di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali, Selangor, lebih dua dekad lalu. Jelas Nadia, garapan yang penuh emosi itu turut memberi cabaran besar buat dirinya terutama untuk menggalas watak seorang diva yang pernah terang cahaya popularnya itu. "Naskhah itu benar-benar ditunggu. Bukan sahaja diberi peluang untuk menggalas watak utama, tetapi dapat menyelami kehidupan seorang bintang hebat pada zamannya dan menyelami emosi Zaiton menuntut usaha yang tak sedikit. "Biarpun orang akan menganggap ia sebagai satu kejayaan buat saya kerana menjadi teraju utama dan buat pertama kalinya berlakon dalam filem, saya tetap tidak mahu berasa hebat. Apa yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya ialah mendapat kepuasan dengan filem itu," katanya yang pernah terlibat dalam drama seperti Emel Emelda, Sinderella, Merah Putih, Puteri Rania dan Tari Tirana. Perbualan tentang kerja memang tidak memenatkan mahupun membuatnya bosan. Satu persatu jika mahu diceritakan pastinya masa tidak akan mencukupi untuk meneroka lebih jauh. Tambah Nadia yang tidak letih bercerita soal filem terbaharunya itu, penonton pasti akan pulang dengan kepuasan apatah lagi dapat mengenali kehidupan sebenar Zaiton. "Tontonlah filem ini kerana anda akan tahu kisah hidupnya. Banyak cerita tidak benar yang disampaikan daripada mulut ke mulut. Sebenarnya dia bukannya tidak waras seperti diperkatakan, cuma perasaannya sahaja yang tertekan," kata Nadia bersemangat. Sudah berpunya Lumrah yang harus ditelan buat seorang yang bergelar selebriti termasuklah untuk dikorek perihal isi peribadinya. Tidak kiralah artis itu terkenal atau pun tidak, setiap gerak-geri yang diperhatikan boleh menjadi bahan bualan, sekurang-kurangnya di meja makan kedai tepi jalan. Tidak mahu alah dengan lumrah itu, Nadia seboleh-bolehnya cuba mengunci kisah peribadi. Baginya cukuplah sekadar dia mempertaruhkan bakat dan jiwa luarannya sahaja buat tatapan peminat. Hal yang privasi mahu ditutup erat-erat.
Sengaja diusik sedikit tentang cerita peribadi, dengan kata tersusun, Nadia menolak untuk bercerita. Katanya, dia enggan menjaja kisah hidup sendiri berbanding galak berkongsi kisah kerjaya. "Tiada apa yang perlu saya kongsikan dengan orang lain kerana ia mungkin menyusahkan saya kelak. Contohnya kalau saya jawab persoalan tentang sama ada diri sudah berpunya atau masih solo, pasti akan ada soalan susulan selepas itu. "Lepas menjawab pasal hubungan, nanti orang mahu bertanya pula mengenai siapakah nama lelaki itu, apakah ketinggiannya ataupun dia kerja apa. Perkara ini yang lama kelamaan boleh menjerat diri saya juga. Lebih elok rasanya saya bercerita soal kerjaya sahaja," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Selain cerita lakonannya hangat di panggung, peminat boleh menonton aksi Nadia menerusi drama Dendam Pencinta di TV9. Selain bakal muncul dengan telemovie Atas Cinta Bawah Cinta di TV3 dan siri televisyen berbahasa Inggeris, I Eat KL di saluran televisyen berbayar, Nadia juga sedang sibuk berlatih untuk majlis Royal Art Charity Show pada 12 November ini. Nadia pernah menghasilkan sebuah album solo yang mengandungi tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu berjudul DIVA. Bagaimanapun album itu dianggap gagal setelah dua tahun berada di pasaran. "Album itu tidak berjaya kerana silap percaturan dan perancangan. Tetapi saya menerimanya secara positif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. "Namun buat masa ini masih belum ada hitam putih untuk menghasilkan album seterusnya. Sekadar ada perancangan sahaja. Semoga tercapai jua suatu hari nanti," ujar Nadia. | ||
Posted: Becok punca Ika jadi deejay
TANPA pengalaman, latar belakang pengacaraan ataupun menjadi pengacara majlis perkahwinan, tiba-tiba sahaja nama pelakon serta bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Ika Nabila diumumkan sebagai penyampai radio di Era FM. Perkara itu disahkan Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran. Bukan Ika Nabila seorang, bahkan seorang lagi penyanyi yang juga bekas peserta AF, Aril juga kini secara rasmi bergelar penyampai baharu atau deejay di stesen radio nombor satu negara itu. Nazri berkata, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus sudah pun memulakan tugasnya bersama Era FM sejak 7 Oktober lalu menerusi segmen jam 6 petang hingga 10 malam, namun ia masih dalam peringkat pembelajaran. "Setelah kami mengadakan uji bakat berperingkat, Aril dan Ika Nabila adalah calon yang paling layak dan bakat mereka boleh digilap lagi dalam bidang penyampaian radio," kata Nazri pada majlis kesyukuran Era FM, Khamis lalu. Aril dan Ika bakal bergandingan dalam segmen hujung minggu yang berjudul Muzik ERAthon selama empat jam, kebiasaannya ke udara pada hari Ahad. Sensasi Bintang mendapatkan penjelasan daripada Ika berhubung pelantikan dan tugas baharu yang digalas sebagai penyampai di sebuah stesen besar seperti Era FM. Sensasi Bintang: Bagaimana tugas deejay anda kini memandangkan Ika tidak ada pengalaman dan masih terlalu muda? IKA: Memanglah saya muda lagi, baru berumur 20 tahun tapi tawaran untuk jadi deejay ini bukan diterima secara tiba-tiba. Sebenarnya saya dipanggil untuk uji bakat sejak bulan Februari lagi. Proses uji bakat itu banyak kali dan macam-macam peringkat. Mula-mula kena uji bakat secara solo, lepas itu uji bakat bersama calon penyampai yang lain. Banyak proses yang dilalui. Atas alasan apa Ika dipilih jadi deejay? Ikut apa yang pihak Era maklumkan, saya dipilih jadi deejay kerana banyak cakap. Lagi satu saya juga ada minat terhadap bidang muzik dan industri hiburan. Cukup ke sekadar becok dan minat? Memang tak cukup, tapi saya terima tawaran itu kerana anggap itu peluang keemasan yang tidak patut saya tolak. Cabaran paling besar ialah untuk banyak cakap tapi penuh maklumat serta berupaya menarik perhatian pendengar. Sebenarnya anda sudah bertugas atau belum? Sudah. Saya sudah ke udara sejak tiga minggu lalu tapi tidak pernah digandingkan lagi dengan Aril sebaliknya dengan penyampai senior lain. Pernah ada insiden memalukan atau tersasul? Pernah. Saya terlupa nombor telefon stesen sendiri, tapi nasib baik ia berlaku semasa dalam rakaman. Jadi, tak sempat ke udara. Semacam tradisi Era FM mengambil lepasan AF untuk menjadi deejay sehingga memberi gambaran bahawa kalian produk gagal yang terpaksa dieksport ke konti radio. Rasanya tidak. Saya sendiri kurang dilihat sebagai penyanyi kerana masa masuk AF, awal-awal lagi saya terkeluar. Orang lebih nampak saya sebagai pelakon. Adakah pemilihan itu dibuat lantaran anda dilihat sudah popular sebagai pelakon? Bab itu saya tak berani komen. Saya tak banyak berlakon untuk Astro sebaliknya banyak muncul di stesen Media Prima. Saya cuma nak cuba. Kalau tak menjadi tak rugi apa-apa tapi saya akan buat yang terbaik untuk kembangkan karier. Sekarang saya juga dilantik jadi duta golf untuk kerja amal bersama Kementerian Belia dan Sukan. Majlis pelancaran akan dibuat pada 17 November nanti, itupun rezeki dan peluang buat saya. Perkembangan lain tentang kerja anda ketika ini. Sekarang saya sibuk dengan penggambaran program realiti Panik untuk ntv7, ia semacam program Seekers, Fear Factor atau Amazing Race. Selain itu ada drama berjudul Darjat di TV3. Baru-baru ini ada isu tindik lidah. Khabarnya Ika terkandas pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu? Saya bertindik untuk suka-suka. Kadang-kadang saya juga terleka, mungkin sebab masih muda. Tapi saya tak pakai benda itu sepanjang masa pun. Bab tangguh belajar itu pula terpaksa saya buat, rezeki lebih kepada bidang seni tapi saya masih berminat untuk belajar. Mungkin akan buat pendidikan jarak jauh di Kuala Lumpur sahaja, untuk sambung semula diploma komunikasi di USM itu, mungkin tidak. | ||
Posted: Loka ikut rasaDARI kiri: Moe, Daniel, Adib dan Zubair mahu meneruskan perjuangan grup seperti Flop Poppy dan Spider dalam industri seni tempatan. EMPAT jentera Loka mendakwa nama kumpulan itu bermaksud antara syurga dan dunia. Tambah mereka, muzik ialah sebuah balutan rasa dengan lirik-lirik berkisar kehidupan. "Mungkin lirik kami terlihat biasa. Ada maksud yang tersirat dan terpulang kepada setiap individu untuk memberi tafsiran. Kami letakkan perihal cinta dan kehidupan yang dijalani dalam lirik," lancar Daniel selaku vokalis bersuara. Menariknya tentang sebuah grup yang ditubuhkan pada akhir 2011 itu, mereka mengaku mahu menjadi penyambung generasi dan nafas yang telah diberikan oleh grup seperti Flop Poppy dan Spider. Misi mereka untuk membawa kembali muzik dan suasana seperti itu. "Loka bermula daripada sembang-sembang di kedai mamak antara saya dan Moe. Kemudian kami ajak Adib dan Zubair turut serta. Bermula daripada detik itu kami mulakan latihan dan semuanya berjalan lancar," cerita Daniel tentang asal usul Loka. Lalu keserasian dikesan melalui minat setiap ahli kepada aliran muzik dan jalur grup yang digemari. Keempat-empat jentera baharu ini meletakkan input masing-masing bagi membentuk sebuah keserasian. Ujar Zubair, Loka yang bernaung di bawah Life Records ini meletakkan sasaran untuk memberi pelajaran dan pengalaman buat khalayak. Setelah keserasian terbentuk erat, mereka mula menggali material. Membentuk sepakat, single perdana berjudul Mungkin Kau Terlupa akan dihadapkan kepada khalayak pada Disember ini. Membuat kajian dan pemerhatian terhadap musim dan pergerakan muzik dalam industri tempatan, Loka menjelaskan bahawa mereka kembali kepada asal. "Kami lihat banyak grup kini yang mahu menjadi identiti lain. Di Kuala Lumpur sahaja ada 5,930 grup. Ada yang terikut-ikut akan trend atau grup yang mereka puja. Loka mahu menjadi diri sendiri. Mahu membuka minda kepada magis yang lain. "Ya, kami juga mahu mengusung perjuangan Flop Poppy dan Spider. Meletakkan muzik seperti mereka kerana mungkin khalayak sudah terlupa. Kami mahu meneruskan tradisi," ulas Adib tentang perjuangan Loka. "Penting juga diingatkan bahawa kami hadir dalam industri muzik untuk memberi keindahan kepada pendengar. Bukannya mahu bersaing. Kami tidak berasa takut untuk hadir dalam ribuan grup yang sudah ada dalam pasaran," tambah Daniel tentang Loka yang mahu mengukuhkan lagu-lagu dalam industri muzik. Membawakan genre pop namun diselitkan nuansa rock dalam perjalanan muzik Loka, elemen paling penting yang ditekankan Loka ialah rasa yang dimasukkan dalam lagu-lagu mereka. "Kami menekankan rasa. Mungkin muzik kami nampak santai tetapi elemen rasa itu penting. kami tidak mahu berpura-pura faham atau tunjuk bagus tentang muzik. Apa yang penting adalah untuk menjadi lebih bagus daripada tunjuk bagus," senyum Daniel dalam kata yang tersirat. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |