Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sasar genggam sebuah trofiTAHUN 2012 sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buat pelakon muda, Nur Anzalna Md. Nasir atau Anzalna, seorang pelakon baharu yang semakin mendapat perhatian ramai. Di sebalik populariti dan namanya yang sedang meningkat naik, ternyata populariti yang diraihnya itu berjalan seiring dengan kontroversi yang pernah melanda dirinya dengan seorang rakan pelakon sebelum ini. Tidak mahu lagi mengungkit sebarang kisah hitam yang pernah dilaluinya, pelakon yang sudah mencecah usia 24 tahun itu kini mahu lebih serius dalam kerjaya lakonannya sekarang. "Ternyata tahun ini telah memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat diri saya sebagai pelakon. Tidak dinafikan ia merupakan sebahagian asam garam yang terpaksa saya lalui apabila menceburi bidang ini. "Sekarang ini apa yang mampu saya lakukan adalah menjadikan semua peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran paling berguna supaya tidak berlaku lagi kesilapan yang sama pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Kahwin 5 baru-baru ini. Tegas Anzalna, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi popular disebabkan kontroversi, sebaliknya dia ingin dikenali ramai sebagai seorang pelakon yang berkaliber. Menurutnya, pada tahun hadapan dia berharap kerjayanya akan semakin berkembang, malah sudah bercita-cita untuk merangkul sekurang-kurangnya sebuah trofi. "Mungkin cita-cita saya ini nampak terlalu tinggi untuk dicapai, tetapi sekiranya saya terus berusaha dan memberikan sepenuh komitmen, tidak mustahil apa yang saya impikan akan tercapai. "Setelah melalui banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar pelakon, apabila berjaya meraih sebuah trofi yang mengiktiraf bakat lakonan saya sudah tentu ia dapat memberikan kepuasan," ujarnya. Ditanya tentang perkembangan kariernya sekarang ini, Anzalna memberitahu dia kini sedang sibuk menyertai promosi filem Sepah The Movie yang akan ditayangkan pada 29 November ini. Selain itu, dia juga bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bertajuk Maskara sebanyak 13 episod arahan Nizam Zakaria yang akan bermula pada 7 Disember ini. "Saya mengaku memang agak gementar kerana bakal bergandingan dengan beberapa pelakon hebat lain seperti Lisa Surihani dan Nasha Aziz, namun saya anggap ia merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna apabila berlakon bersama mereka," ujarnya tentang drama tersebut. Tolak watak antagonis Mempunyai seraut wajah yang cantik serta tubuh yang menggoda, tidak hairanlah Anzalna sudah acap kali diberikan watak sebagai seorang gadis penggoda atau antagonis. Menariknya, watak yang dibawakan oleh pelakon tersebut sebagai Dee dalam drama bersiri Adam Dan Hawa turut memberi impak yang tersendiri sehingga dia dikecam oleh segelintir peminat. "Sejujurnya saya tidak kisah kalau orang mahu mengecam saya kerana watak yang dibawakan dalam sesebuah drama atau filem. Ia membuktikan saya berjaya menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan. "Cuma, saya agak terkilan apabila ada yang menyamakan diri saya seperti watak yang saya lakonkan. Sedangkan karakter saya dalam lakonan dan di luar memang jauh berbeza," tegasnya. Biarpun mengakui dirinya berasa sangat seronok membawakan watak-watak sebegitu, Anzalna tanpa berselindung menyatakan dia kini sudah mula menolak tawaran yang memerlukan dia membawakan watak yang sama. Bukan berniat untuk mula selektif terhadap tawaran yang diterima, pelakon itu menjelaskan dia mahu membawakan pelbagai watak yang berlainan supaya tahap lakonannya dapat dipertingkatkan lagi.
"Sebagai pelakon yang masih lagi baharu, sudah tentu saya tidak mahu terikat dengan satu-satu karakter sahaja. Saya tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak, asalkan bukan watak yang sudah selalu saya pegang sebelum ini," jelasnya. Bukan merisik Menyingkap mengenai perkara peribadi pelakon berkenaan, baru-baru ini sudah tersebar cerita Anzalna bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki dalam tempoh terdekat ini. Cerita berkenaan tersebar apabila dikatakan keluarganya dan keluarga kekasihnya itu telah bertemu untuk membincangkan dengan lebih serius berkenaan hal perkahwinan mereka berdua. "Sebenarnya tiada pun pertemuan yang membabitkan kedua-dua belah keluarga kami, sebaliknya cuma saya yang bertemu dengan keluarga Hanif dan tidak dinafikan soal perkahwinan turut dibincangkan. "Pada mulanya saya agak gementar juga terutama melihatkan ibu Hanif yang kelihatan serius, namun saya sudah menerangkan buat masa terdekat ini saya belum bersedia berumah tangga," jelasnya ketika menceritakan tentang pertemuannya dengan keluarga kekasihnya itu. Ditanya kenapa masih lagi belum bersedia untuk berkahwin sedangkan mereka sudah lebih setahun bercinta, Anzalna menyatakan dia ingin lebih fokus kepada kerjaya sekarang. Ujarnya, kekasihnya itu juga baru sahaja mendapat pekerjaan tetap, manakala dia sendiri mahu terus bergiat aktif dalam lakonan memandangkan namanya yang sedang meningkat naik sekarang. "Saya bernasib baik kerana Hanif dan keluarganya dapat memahami kerjaya saya ini. Apa pun saya tetap sasar untuk berkahwin sebelum usia saya mencecah 26 tahun, namun ia juga bergantung kepada jodoh kami," ujarnya mengakhiri bicara. | ||
Pertempuran sebenar AJL 27 bermula Posted: Pertempuran sebenar AJL 27 bermulaOleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI
DEBARAN untuk mengetahui finalis Muzik Muzik yang layak ke peringkat final telah berakhir malam Ahad lalu. Sebanyak 12 buah lagu telah terpilih bersaing pada peringkat final. Lagu- lagu tersebut ialah Idola (Azlan & the Typewriter), Pelangi Senja (Stacy), Terukir Di Bintang (Yuna), Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcee), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir Jahari), Patah Seribu (Shila Amzah), dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo). Turut tercalon di pentas final ialah lagu Teman Pengganti (Black dan RJ), Lagu (Bedroom Santuary), Ku Akui (Hafiz), dan Simetri (Hazama & Amy Search). Bagaimanapun, sedikit pertikaian mula wujud tentang pemarkahan dan pemilihan yang diberi oleh para juri apabila beberapa lagu yang dianggap punya kualiti lebih baik tidak tersenarai, sebaliknya terdapat beberapa lagu yang hanya mendapat putaran tinggi di radio telah tersenarai. Namun, komposer dan pemuzik terkenal, Azmeer menolak dakwaan itu sebaliknya berkata pemilihan yang dilakukan berdasarkan kreativiti dan bakat pemuzik itu sendiri. "Daya kreativiti pemuzik merupakan salah satu kriteria utama layaknya sesuatu lagu untuk dipertandingkan di peringkat final. "70 peratus penilaian sesebuah lagu adalah berdasarkan melodi, lirik, susunan muzik, kreativiti, penerimaan juri dan masyarakat terhadap lagu tersebut, manakala 30 peratus lagi adalah menerusi persembahan penyanyi itu sendiri," jelasnya. Azmeer turut mengakui bahawa industri hiburan tanah air telah berkembang secara sihat dan terdapat peningkatan apabila banyak kemunculan penyanyi baharu yang kreatif dan berbakat berbanding dengan tahun 80-an. "Seperti lagu Teman Pengganti ciptaan Mallique, ia memiliki melodi yang asli. Namun, masih mempunyai elemen lagu-lagu lama, dan ia tidak mempengaruhi melodi baharu," katanya yang juga bertindak sebagai ketua juri pada malam tersebut. Azmeer juga menegaskan, walaupun terdapat lagu yang layak ke final mempunyai elemen Barat, tetapi pada masa sama ia masih mengekalkan unsur keMelayuan seperti penggunaan bahasa yang betul. Selain Azmeer, finalis turut diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Edrie Hashim, Helen Yap, Cat Farish, Kamarulzaman Taib dan Damien Mikail Seet. Dalam pada itu, pertandingan yang telah memasuki musim ke-27 pada tahun ini terus menyaksikan dominasi daripada penyanyi baharu apabila berjaya layak ke final anugerah yang penuh berprestij itu. Jika pada musim lalu, Hafiz telah merangkul trofi Juara Lagu dan juga dinobatkan sebagai pemilik Vokal Terbaik, kali ini dia sekali lagi menunjukkan kewibawaannya apabila ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut. Apa yang lebih manis, lagu duet bersama Adira, Ombak Rindu turut tersenarai di dalam 12 finalis untuk tahun ini. Menurut Hafiz, walaupun dia merupakan juara AJL 26 lalu, dia menganggap ia bukanlah tekanan baginya untuk terus berentap di pentas final pada tahun ini. "Bagi saya, tekanan sudah tiada, yang tinggal sekarang hanyalah cabaran untuk melakukan yang terbaik di final. "Insya-Allah, di pentas final nanti saya akan lakukan satu kejutan, tetapi buat waktu ini saya belum terfikir lagi bentuk kejutan yang bagaimana akan saya tampilkan," katanya. Sementara itu, Shila Hamzah yang baru sahaja merangkul trofi Anugerah Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) dan trofi Power Vocal Award dalam anugerah Shout! Awards 2012 terus menunjukkan keunggulannya apabila turut menempatkan diri ke pentas final. Apabila ditanya soalan adakah disebabkan tempiasnya mendapat anugerah-anugerah yang diperoleh sebelumnya membuat dia sekali lagi tercalon, Shila menolak dakwaan itu. Ujar Shila, dia bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ini merupakan rezeki kurniaan daripada Tuhan. "Saya tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya jika ada rezeki, insya-Allah, Allah akan bagi," katanya. Manakala penyanyi rock veteran, Amy Search yang kali terakhir ke pentas final menerusi lagu Seroja, mengakui teruja tercalon salah seorang finalis dan berdepan dengan pemuzik baharu. Katanya: "Saya rasa gembira dapat lakukan ini untuk Hazama, dan apabila bercampur dengan pemuzik baharu, saya perlu menghormati mereka. "Malah, masuk ke final ini pun sudah cukup baik untuk saya, selebihnya adalah untuk bergembira." Final Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) dijadualkan pada 6 Januari tahun depan. | ||
Posted: Kekesalan Lohan
AKHIRNYA, Lindsay Lohan membuka rahsia kisah asmaranya dengan kekasih sesama jenisnya, Samantha Ronson. Tanpa berselindung, Lohan mengatakan hubungan mereka putus kerana dia berasa Samantha umpama racun baginya. Lohan dan Samantha berpisah tiga tahun lalu. Meski pun penyanyi dan pelakon sensasi tersebut mengatakan saat ini mereka masih berkawan, namun Lohan memberitahu pada hakikatnya, dia dan Samantha memang tidak secocok. "Saya harus mencintai diri saya sendiri terlebih dahulu sebelum saya mencintai orang lain. "Saya telah melakukan ia (bercinta) terlalu jauh sewaktu bersamanya. Dua orang beracun tidak boleh bersama-sama dan ia harus berakhir. Kami hanya berteman sekarang," luah Lohan kepada Dailymail. Dia bagaimanapun mengaku, hatinya hancur saat berpisah dengan Samantha. Dalam masa yang sama, hubungan sesama jenis yang dijalin olehnya itu telah membuat dia dikritik banyak pihak. Ramai yang tidak bersetuju dengan hubungan songsang tersebut. Mengulas tentang perkara tersebut, ujar Lohan: "Saya hanya bersikap berani dengan mengatakan bahawa saya mencintai seorang gadis pada waktu itu, dan ramai yang mencemuh. Saya rasa itu tidak adil kerana sekurang-kurangnya, saya berani." Namun, semuanya telah berlalu dan Lohan tidak lagi menjalin hubungan sesama jenis. Katanya, dia kini hidup bahagia bersama keluarga dan teman-teman yang sentiasa mengambil berat terhadap dirinya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |