Adsense

Rabu, 28 November 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ujian Tasha

Posted: 27 Nov 2012 02:52 PM PST

Cerita panas, ujian getir jadikan pelakon Gemilang wanita kental

Sepanjang dua tahun lebih bergelar pelakon, perjalanan kerjaya seni Tasha Shilla boleh dikatakan agak berombak. Pelbagai kisah panas dan kontroversi melanda diri artis wanita berusia 25 tahun ini.

Sejak kemenangan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 dalam kategori Artis Baru Wanita Popular, muncul bermacam-macam cerita berbaur negatif membabit dirinya. Daripada kisah kononnya diri ditaja seseorang bergelar Datuk J, memiliki kereta mewah, mengundi diri sendiri pada acara anugerah dan beberapa lagi cerita lain, semuanya terpalit pada diri artis yang mula dikenali menerusi filem Ratu The Movie ini.
Pernah juga Tasha berasa seperti hendak berputus asa apabila terlalu kerap diuji begini. Ketika itu, Tasha perlu memotivasikan diri supaya tidak mudah menyerah kalah" Tasha Shilla, Pelakon

Begitupun, Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd Razak tampak tabah dan kental berdepan segala kontroversi terbabit. Mana-mana isu yang boleh dijawab, dia dengan senang hati memberikan penjelasan. Berdepan wartawan pula bukan agenda menakutkan buat dirinya. Atas alasan itu juga dia senang didekati wakil media.

Bertemu dengannya ketika menyertai rombongan melancong bersama pemenang ABPBH 2011 dan Gemilang Bersama Bintang (GBB) serta peminat ke Ho Chi Minh City anjuran POTO Travel & Tours pada 23 hingga 26 November lalu, sekali lagi memberikan ruang buat HIP mendekati wanita cantik ini. Pada pertemuan terbabit, Tasha meluahkan rasa hati.

"Mungkin pengalaman hidup menjadikan Tasha wanita yang kental, seperti yang dilihat peminat. Setiap pencapaian Tasha ada pahit dan manisnya. Namun, apa saja yang Tasha ada hari ini, Tasha amat hargai. Itulah yang membuatkan diri Tasha 'kuat', walaupun pelbagai cerita kurang enak melanda diri.

"Pernah juga Tasha berasa seperti hendak berputus asa apabila terlalu kerap diuji begini. Ketika itu, Tasha perlu memotivasikan diri supaya tidak mudah menyerah kalah. Ketika yang sama Tasha amat bersyukur kerana mama (Rosnah Suratman) banyak membantu memberikan kata perangsang. Dia tahu, inilah bidang yang Tasha suka sejak dulu lagi. Jadi, kenapa perlu Tasha sia-siakan segala usaha yang dikerah selama ini hanya kerana cerita sebegitu?" katanya.
Episod tarian tiang

Ditanya mengenai pengalaman paling teruk berdepan gosip, Tasha mengaku, cerita kononnya dia menari tiang di sebuah kelab ialah ujian paling dahsyat dialaminya setakat ini. Gosip itu benar-benar menguji ketahanan dirinya, walaupun pada luaran wanita ini kelihatan kebal berdepan segala macam khabar angin.

"Tasha tidak mahu jadi orang yang hipokrit. Tasha mengaku turut ke kelab, tetapi Tasha takkan buat semua benda itu (menari tiang). Kalau boleh, memang Tasha tak nak ambil pusing semua gosip itu, namun orang luar yang membacanya tentu ingat Tasha betul-betul berkelakuan seperti itu.

"Takkan hendak menipu yang Tasha tidak ke kelab? Nanti apabila orang nampak Tasha di sana, apa pula kata mereka? Cuma pada malam itu, cerita Tasha pula yang keluar, sedangkan ada lagi beberapa rakan artis turut berada di situ.

"Bagaimanapun Tasha bertuah sebab mempunyai peminat yang tidak mengungkit perkara seperti itu. Mereka menerima Tasha seadanya. Tasha amat berhutang budi pada Tasha Shilla Team, terutama Eja Ehsan, yang sentiasa menyokong kerjaya Tasha. Bukan sekadar menyokong, malah mereka akan sentiasa bertemu bagi mengeratkan silaturahim, walaupun tanpa Tasha hadir ketika itu," ujar pelakon filem Klip 3GP ini.

Kata Tasha, sejak drama Gemilang ditayangkan, dia mula mendapat perhatian peminat sehingga tertubuhnya kelab itu. Sehingga kini, Facebook Tasha Shilla sudah mempunyai 120,000 orang pengikut, manakala di Twitter pula 60,000 peminat.

Rakam lagu

Selepas bergelar pelakon, Tasha memberitahu, pada malam sebelum bertolak ke Vietnam, dia berada di studio rakaman sehingga jam 6 pagi kerana merakamkan single berjudul Sayang Pulanglah Sayang bersama Tiga Swagger yang terdiri daripada Cat Farish, Eddie dan Beeru.

Kerjasama itu bermula apabila mereka bertemu pada acara Anugerah Blokbuster, yang menyaksikan dirinya memenangi Anugerah Heroin Baru Terhebat.

"Kebetulan, Tasha sendiri memang minat menyanyi, jadi tawaran daripada Cat untuk berduet diterima dengan hati terbuka. Menerusi lagu berentak Hip Hop R&B ini, Tasha bukan sekadar menyanyi, malah turut rapping sekali.

"Sebelum ini pun, Tasha memang pernah dapat tawaran merakamkan lagu secara solo, namun ketika itu Tasha tidak berani. Kali ini, Tasha tidak berseorangan, sebaliknya bersama kumpulan. Jadi, wujudlah juga keyakinan dalam diri. Lagipun, Tasha sedar di mana kemampuan Tasha. Ia lagu yang tidak memerlukan vokal hebat seperti lagu balada bernada tinggi. Sebab itulah Tasha berani mencuba," jelasnya.

Melancong bersama peminat

Bercerita mengenai percutian ke Ho Chi Minh City, Tasha mengaku cukup seronok kerana inilah kali pertama dia dapat berbuat begitu bersama peminat, sejak bergelar artis. Apatah lagi rombongan kali ini disertai kira-kira 90 orang, termasuk wakil media.

"Sebelum ini, Tasha hanya bekerja saja. Jadi, peluang bercuti bersama peminat ke sini amat dihargai. Peminat yang menyertai acara ini pun nampaknya seronok dapat bersama kami (Tasha, Aaron Aziz dan Fizz Fairuz) melakukan pelbagai aktiviti. Daripada lawatan ke Terowong Chu Chi, melawat Muzium Peringatan Perang hingga ke menyusuri Sungai Mekong, semuanya dilakukan bersama-sama," katanya yang pernah ke Thailand, Indonesia, Brunei, Australia dan Singapura sebelum ini.

Walaupun bertembung dengan ramai pelancong Malaysia lain, namun kata Tasha, dia dapat melihat sendiri budaya hidup orang Vietnam sepanjang empat hari berada di negara terbabit.

Selepas ini, Tasha akan terbang ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula. Bukan untuk bercuti, sebaliknya dia akan berada selama sebulan di ibu negara UAE itu kerana menjalani penggambaran drama terbaru terbitan Zeel Production, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, bersama-sama Fahrin Ahmad.

Tahun depan pula, jika rezeki menyebelahi, dia sekali lagi terbang bersama Fizz serta peminat untuk bercuti. Kali ini ke Belgium dan Amsterdam, menerusi agenda yang disusun dengan kerjasama sebuah syarikat penerbangan.

Lokasi: I.D Cafe, Jalan Thu Khao Huan, Ben Thanh Ward, Ho Chi Minh City

Dunia puji Songlap

Posted: 27 Nov 2012 02:30 PM PST

Filem arahan pasangan suami isteri dapat pengiktirafan festival antarabangsa, ditayang lebih sekali di majlis berprestij

Bukan hanya mengungguli anugerah tempatan seperti trofi terbaru bagi kategori Breakthrough Local Feature di Anugerah Shout!, filem Songlap terus mencuri tumpuan apabila mula diterima di pasaran luar negara.

Kemunculan Songlap di persada festival filem antarabangsa terus diperluas dengan jemputan khas tayangan di Warsaw, Poland dan Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Kami bangga apabila Songlap tersenarai dalam banyak pencalonan. Seperti di festival filem di Poland, Songlap dijadikan filem pembukaan untuk festival berkenaan. Itupun dikira suatu peluang terbesar," Fariza Azlina Isahak, Pengarah Songlap

Sebelum itu, Songlap ditayangkan di Festival Filem Far East ke-14 di Udine, Itali; Festival Filem Asia Pasifik (Los Angeles); Festival Filem Hamburg (Jerman) dan Festival Filem Abu Dhabi (Emiriah Arab Bersatu) sejak April lalu.

Seperti yang dinyatakan pengarah Songlap, Fariza Azlina Isahak kepada HIP, pihaknya tidak menyangka Songlap mendapat sambutan baik bukan saja di Malaysia malah luar negara.

"Mengikut rekod kutipan di Malaysia, kami hanya memungut lebih RM2 juta. Tapi bagi saya, ia sudah cukup baik kerana Songlap adalah filem drama berat, jadi saya tahu ramai yang tak gemar memilih genre ini.

"Saya juga gembira kualiti filem ini mendapat perhatian ramai. Selepas suami saya, Effendee Mazlan berkunjung ke festival filem seperti di Itali, Poland, Abu Dhabi dan Hamburg, kami mahu menghantar Songlap ke festival filem lain di seluruh dunia," katanya.
Fariza dan Effendee sama-sama mengarah Songlap.

Fariza berkata, walaupun Songlap tidak memenangi sebarang anugerah di festival filem antarabangsa, pihaknya tetap berbangga filem itu terpilih menyertainya.

"Kami cukup berbangga apabila Songlap tersenarai dalam banyak pencalonan. Seperti di festival filem di Poland, Songlap dijadikan filem pembukaan untuk festival berkenaan... itupun dikira suatu peluang terbesar.

"Seperti festival filem di Itali yang menjadi acara pertama kami sertai. Ia sebenarnya menjadi antara festival paling penting dalam industri. Justeru, biarpun ramai yang kurang menggemari filem berat seperti ini, saya akan terus menghasilkan filem begini," katanya yang masih memproses idea untuk menghasilkan karya seterusnya.

Sambutan luar jangkaan

Suaminya, Effendee hadir sebagai tetamu khas di festival filem di Poland di mana Songlap ditayangkan sebanyak tiga kali dalam kategori Pertandingan New Asian Cinema.

Ini adalah kali pertama kategori itu dianjurkan sebagai mengisi program utama festival itu. Bagi kategori New Asian Cinema, selain Songlap, 11 filem dipertandingkan antaranya dari Thailand, Korea, Jepun, Hong Kong, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

Di seberang Lautan Atlantik pula, Songlap ditayangkan di Festival Filem Tahunan Antarabangsa Fort Lauderdale (FLIFF) ke-27 yang dianjurkan di Fort Lauderdale, Florida, AS. Festival yang dianjurkan di tiga lokasi serata bandar itu mempamerkan lebih daripada 200 filem dari lebih 35 negara.

Sebagai satu-satunya filem yang mewakili Malaysia, Songlap ditayangkan sebanyak dua kali dalam kategori 'World Cinema–Features', yang merangkumi hasil kerja pembikin filem yang mendapat perhatian dari serata dunia.

Sementara itu, Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin, berkata Songlap mendapat reaksi baik dari penonton antarabangsa.

"Sambutan yang kami terima untuk Songlap di luar negara melebihi jangkaan kami. Tahniah kepada Effendee, Fariza dan kumpulan produksi yang hebat kerana berjaya menghasilkan cerita yang tidak hanya memukau penonton di Malaysia tetapi menarik penonton di seluruh dunia", katanya.

Filem terbitan Grand Brilliance dan Red Films ini berkisar kehidupan dua beradik lakonan oleh Shaheizy Sam dan Syafie Naswip yang terjebak dalam kancah sindiket penyeludupan manusia. Ia berdasarkan cerita asal yang ditulis oleh Fariza.