Kosmo Online - Hiburan |
- Shout! Awards hip dan urban
- Tip kekal rumah tangga Crawford
- Hamil anak lelaki, Irma Hasmie kuat makan
Posted: Shout! Awards hip dan urban
KUASA jeritan yang lebih ganas dan bertenaga, tambah hip dan urban, Shout! Awards kali ketiga dibawakan oleh 8TV dan berlangsung dengan jayanya pada 23 November lalu di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Sesuai dengan lokasi majlis anugerah itu diadakan pada tahun ini, konsep acara yang seakan-akan MTV Awards itu juga sejujurnya berjaya memanaskan malam hujung minggu dalam versi santai tapi bergaya. Acara karpet merah yang bermula seawal pukul 5 petang menyaksikan pelbagai gaya selebriti yang tampil berdasarkan dua tema pilihan iaitu pakaian resort atau steam punk. Bukan hanya hangat daripada segi fesyen, bahkan kepelbagaian persembahan yang disajikan sejak pukul 8.30 malam hingga 11.45 malam berselang-seli dengan penyampaian anugerah kepada pemenang. Permulaan acara yang mengundang rasa teruja penonton untuk menunggu lebih lama biar hujan mula turun mencurah; kemunculan penyanyi yang berpakaian ala-ala Nicki Minaj dan disusuli persembahan bertenaga Goldfish & Blink bersama Luxy Boyz. Variasi Jika dilihat daripada keseluruhan persembahan pada malam tersebut, secara puratanya tidak menghampakan. Ada variasi dan kesegaran ditampilkan. Seolah-olah memberikan ramalan bahawa trofi kemenangan Ultimate Shout! Award yang telah dimenangi tahun ini oleh kumpulan trio tiga beradik KRU apabila penonton disajikan dengan satu slot persembahan Tribute To Malaysian Hits. Dua buah lagu kumpulan KRU iaitu Fanatik dan Mengerti ditampilkan bersama tiga buah lagu lain iaitu Who Be The Player (Poetic Ammo), Inilah Nasibku (Nico) dan Belaian Jiwa (Innuendo) nyanyian bintang kelahiran Mentor, Ila Damia dan Anas. Sedikit mengecewakan apabila slot persembahan tiga orang komposer dan penyanyi iaitu Liyana Fizi yang menyampaikan lagu Jatuh, The Impatient Sisters (Comets & Stars) serta Diandra Arjunaidi (Angkasa) tidak begitu menyengat. BUNKFACE diiktiraf sebagai pemenang Rockstar Award dalam anugerah tersebut. Sisi pengantarabangsaan Shout! Awards diterjemahkan melalui persembahan bertenaga dan mantap daripada dua kumpulan yang diterbangkan khas dari Korea iaitu Vixx dan Nu'Est. Mereka masing-masing diberikan peluang mempersembahkan dua buah lagu. Bak kata wakil kedua-dua buah kumpulan K-Pop itu ketika sidang akhbar pada pagi Jumaat lalu, mereka khuatir sebenarnya mengenai penerimaan peminat di sini. "Namun, kami teruja untuk memberikan yang terbaik khas buat Shout! Awards tahun ini, biar pertama kali berkunjung ke sini (Malaysia), rata-rata memberikan respons yang positif," kata salah seorang anggota kumpulan Nu'Est, Aron. Anugerah Kemeriahan majlis tidak hanya terletak pada tenaga yang disalurkan menerusi persembahan semata-mata, tapi juga kredibiliti penyampai anugerah serta tiga orang pengacaranya iaitu Henry Golding, Hannah Tan dan Razif Hashim. Pendek kata, jika pengacara bijak mengawal situasi profesionalisme seseorang itu secara automatik terserlah. Bukan menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum permulaan persembahan Kyoto Conspiracy, sebaliknya hos yang bijak harus mampu mengalih perhatian untuk menutup kecacatan sekeliling apatah lagi acara itu disiarkan secara langsung. Beberapa anugerah ada antaranya sudah boleh diramalkan keputusannya dari awal seperti Hot Guy Award, Hot Chick Award dan Best on Screen Chemistry Award terutama apabila diperhatikan pencalonan awalnya. Jelas sekali, ketiga-tiga anugerah yang telah dimenangi oleh Aaron Aziz, Nora Danish serta pasangan Zizan Razak dan Johan menepati ramalan awal! Kata Zizan yang berjaya membawa pulang dua trofi hasil kemenangan melalui kategori Best On-Screen Chemistry Award serta Favourite TV Personality Award, dia bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi dirinya. BARISAN personaliti program 8TV bertanggungjawab menjadi pengendali anugerah dengan baik. Walaupun kini sedang sibuk dengan pertandingan Maharaja Lawak Mega musim kedua, namun Zizan sempat muncul di belakang pentas sejurus selepas majlis anugerah Shout! Awards tamat. "Ini bermakna masyarakat urban dan seluruh masyarakat sudah dapat menerima saya dan duo bersama Johan. "Saya sentiasa menganggap diri saya berada di bawah. Masyarakat urban bagi saya ialah masyarakat yang bijak untuk menilai. Alhamdulillah dengan rezeki yang diterima ini, saya sangat berterima kasih kepada yang mengundi saya sehingga mencapai kemenangan ini," ujarnya. Tambahnya lagi, walaupun memang sudah biasa bergandingan bersama Johan, namun tahun ini merupakan tahun pertama mereka tercalon sebagai Best On-Screen Chemistry Award dalam Shout! Awards. Tidak dinafikan gandingan Jozan (Johan dan Zizan) sememangnya menjadi kegemaran peminat genre komedi. Begitupun, ujar Zizan, walaupun sering bersama, tidak bermakna mereka tidak boleh bergerak solo. "Walaupun kami memang sering bersama, ini tidak bermakna kami tidak boleh bekerja secara solo. Jika solo, kami berdua perlu ada senjata lain untuk menggantikan tempat masing-masing, namun tidak sama seperti bagaimana kami apabila berdua. Apabila kami berdua, memang persembahan menjadi mantap, itu memang tidak dapat dinafikan," akhiri Zizan dalam sesi temu bual yang berlangsung di Lighthouse Beach Bistro, Sunway Lagoon. Sementara itu, bagi Yuna yang juga pemenang Ultimate Shout! Award pada tahun lalu meluahkan rasa bangga apabila berpeluang memberikan menyerahkan anugerah yang sama kepada kumpulan KRU tahun ini. "Memberikan anugerah terbesar itu kepada KRU merupakan penghargaan kepada diri saya sendiri malah, saya melihat Shout! Awards bukan saja memberikan peluang untuk bertemu peminat, bahkan juga platform mempromosi artis-artis baharu," ujarnya. Katanya yang memenangi kategori Popstar Award dua kali berturut-turut selain Wired Celebrity Award pada tahun ini, pengiktirafan itu adalah bukti dia masih relevan di Malaysia. "Tiada istilah peminat tempatan atau luar negara biarpun kerjaya saya kini berpecah dua (Malaysia dan Amerika Syarikat). Anugerah ini merupakan tanda ingatan peminat di sini masih mahukan saya," ungkapnya tersenyum. Pentas yang gah, persembahan yang mengagumkan, anugerah yang adil dan sokongan peminat tanpa henti sebenarnya tanda sesebuah anugerah itu tidak harus dibiarkan terhenti. Selepas tiga tahun penganjuran Shout! Awards, ia menampakkan aliran seni semakin berkembang pesat dan peminat semakin terbuka. Syabas diucapkan! | ||
Tip kekal rumah tangga Crawford Posted: Tip kekal rumah tangga Crawford
MODEL yang berasal daripada Illinois, Amerika Serikat, Cindy Crawford, 46, memberikan tip pernikahan agar kekal bahagia iaitu dengan menganggap pasangan sebagai sahabat. Crawford dan suaminya, Rande Gerber sudah menjalin hubungan selama 20 tahun. Tahun ini, usia perkahwinan mereka memasuki tahun ke-14 dan telah dikurniakan sepasang anak iaitu Presley, 13 dan Kaia, 10. "Kami telah bersama selama 20 tahun dan menjalin hubungan seperti sahabat. Kami sentiasa saling menghargai antara satu sama lain dan melakukan aktiviti-aktiviti kesukaan bersama," ujar Crawford. Crawford memuji suaminya sebagai seseorang yang menarik dan baik. Disebabkan itu, sehingga kini supermodel itu sangat mencintai suaminya. "Hidup ini penuh dengan tekanan, lebih-lebih lagi apabila umur semakin meningkat, tetapi kami selalu meluangkan waktu bersama. Suami saya suka berjenaka dan apa yang diucapkannya sering mengundang tawa," ungkapnya. Cerita Crawford itu diakui oleh Gerber dan menganggap isterinya itu sebagai perempuan paling cantik di dunia. "Saya melihat dia sekarang sama seperti pertama kali berkenalan. Setiap pagi dan ketika mahu tidur, saya akan memandang wajahnya dan berasa sangat beruntung," ungkap Gerber ketika ditemu bual oleh majalah Haute Living. | ||
Hamil anak lelaki, Irma Hasmie kuat makan Posted: Hamil anak lelaki, Irma Hasmie kuat makanOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
KIRA-KIRA empat bulan lagi pelakon berwajah manis, Irma Hasmie bakal melahirkan zuriat sulung hasil perkahwinannya dengan Redza Syah Azmeer Datuk Redzuan. Tidak lagi mengalami alahan yang teruk seperti tiga bulan pertama kandungannya, kini pelakon filem Cinta Fotokopi itu mengakui selera makannya semakin bertambah sehingga menyebabkan berat badannya naik dengan banyak. Atas sebab itu, ungkap Irma, 30, dia terpaksa bersedia untuk menurunkan berat badannya selepas melahirkan anak kelak. "Insya-Allah doktor beritahu jantina bayi saya kemungkinannya adalah lelaki. Saya dan suami tidak kisah jantina apa, yang penting ia terbaik daripada Allah untuk kami sekeluarga. Jangkaan lahir adalah pada bulan Mac tahun depan. "Berat badan saya agak mendadak naik iaitu dari 57 kilogram, sekarang sudah 68 kilogram. Tembam sangat saya sekarang ini, justeru kena kuatkan diri untuk kawal pemakanan," ujarnya yang masih lagi mengacarakan program Assalamualaikum. Belum lagi menyediakan kelengkapan bayi sepenuhnya, ujar Irma, dia dan suami masih membeli-belah barangan keperluan bayi dan berharap apabila kandungan mencecah tujuh bulan, sudah banyak kelengkapan bayi yang sudah tersedia. Menurut Irma lagi, suaminya sangat prihatin dengan keadaan dirinya yang berbadan dua, malah akan sentiasa menemaninya ke majlis-majlis tertentu. "Saya sangat bersyukur kepada Allah yang beri kami banyak kasih sayang. Dia juga sentiasa buat saya rasa dekat pada agama," ujarnya.
Tidak takut Ditebak dengan soalan sama ada dia takut melihat gambar dan visual bayi-bayi rakyat Palestin dibunuh Zionis yang banyak dimuat naik di internet dan kaca TV, Irma tenang memberikan jawapan. "Lebih baik tengok daripada melakukan perkara-perkara yang tidak membawa manfaat apa-apa. "Insya-Allah, daripada sudut positif kesannya, anak kita akan cintakan keamanan dan bencikan kezaliman," jelasnya yang kini berehat daripada sebarang aktiviti lakonan sementara menunggu kelahiran anak sulungnya itu. Dia bagaimanapun tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti pengacaraan, duta dan tugasnya sebagai naib pengerusi Usrah Fitrah iaitu gabungan beberapa penggiat seni tanah air termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik demi mendalami ajaran Islam. Usrah Fitrah yang turut disertai rakan-rakan artis seperti Heliza, Yatt Hamzah dan Diana Amir itu juga sekali gus mengadakan acara-acara amal dan berbentuk kemasyarakatan untuk menjalin ukhuwah dan mendekatkan diri dengan orang ramai serta golongan kurang bernasib baik atas nama ibadah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |