Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Anuar suka Nora"NORA DANISH memiliki ciri-ciri seorang wanita yang saya idamkan." Kata-kata yang terlontar daripada mulut Anuar Zain membuatkan seluruh ruang di White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur terdiam seketika. Harus diakui bahawa pengumuman yang berbaur soal jodoh dan pilihan hati si jejaka kacak yang tidak dimamah usia itu merupakan penantian yang membuahkan hasil yang selama ini dinanti-nantikan banyak pihak. Bicara Anuar, 42, semasa sidang akhbar bersempena tayangan khas klip video dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku itu pantas mengaitkan dirinya dengan aktres comel, Nora Danish. "Selain memiliki skil lakonan yang bagus, Nora juga berjaya memberikan perasaan luar biasa sehingga menusuk jauh ke dalam lubuk jiwanya," luah pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini. Tambahnya: "Nora amat tepat untuk dipilih sebagai seorang isteri. Saya suka melihat dia sejak daripada siri Puteri lagi dan dia nampak manja serta mempunyai raut wajah yang murni. "Jika wajahnya sudah kelihatan seperti seorang bidadari, pastinya dia memiliki sekeping hati yang suci." Tidak menolak sekiranya takdirnya bertemu seorang wanita yang pernah menjadi suri di hati orang lain sebelumnya, kata Anuar lagi status seseorang bukan penghalang untuk lebih mengenali.
"Saya mahu mencari seorang wanita yang lebih kurang seperti Nora Danish. Saya terima jika jodoh saya dengan wanita yang berstatus sepertinya. Tapi, buat masa sekarang saya belum terfikir akan soal hati. "Kami bersama atas dasar kerja saja, peribadi atau personal belum terlintas. Saya juga tidak rasa ada cetusan perasaan sama antara kami berdua," hurainya lanjut. Hal yang harus diakui sebenarnya, Anuar telah memilih Nora untuk membintangi klip video untuk dua single terbaharunya, Ajari Aku dan Sempurnakan Aku. Hubungan profesional antara dirinya dan Nora di set penggambaran kedua-dua video klip itu tegas Anuar, tidak melarat sehingga ke peringkat yang lebih mendalam. Tegas Anuar: "Setakat ini saya masih solo." Pemilihan Nora hasil perbincangan dengan pengarah klip video tersebut, Ghaz Abu Bakar, kata Anuar dirasakan amat tepat. Ini memandangkan Nora merupakan aktes yang berupaya menjiwai watak sebagai suri hatinya dalam klip video itu dengan berkesan. "Naik bulu roma saya apabila bersama dengan Nora dalam set penggambaran yang sama. Dia seorang pelakon yang hebat dan boleh memberikan perasaan kepada kita. "Nora merupakan jenama yang ada kredibiliti. Kalau bekerja, dia tidak akan mencampuradukkan dengan hal peribadi. Biasanya kami akan meluangkan masa bersembang seketika sementara menantikan penggambaran bermula," ulas Anuar lagi. Dua single Selain Nora Danish, Anuar turut memilih Datuk Rahim Razali yang mendukung peranan sebagai bapanya dalam kedua-dua klip video tersebut. "Banyak yang saya dapat belajar daripada mereka dan saya harapkan magis kali ini menjadi. Mereka adalah bintang dalam klip video ini," luncur harapan Anuar.
Single Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dipilih Anuar selepas beberapa single terdahulu daripada album Anuar Zain 2011 iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta dan Cinta Tak Harus Memiliki dilancarkan dua tahun lalu. Anuar bagaimanapun turut meluahkan rasa kesal mengenai hasil kedua-dua single sebelum ini yang kurang memberikan impak kepadanya. "Single Ku Berjanji Kerna Cinta kurang mendapat sambutan. Sedih memang sedih tetapi saya tidak berputus asa. Lagu seterusnya (Cinta Tak Harus Memiliki) juga mempunyai banyak jiwa, tapi mungkin kurang pendedahan untuk lebih diterima ramai. "Peminat mendengar dan menilai sesebuah lagu yang dimainkan di radio, mereka juga ada hak untuk memilih. Saya tidak akan mengubah muzik dan nyanyian saya selama ini kerana saya fikir kita perlu memberikan kepelbagaian dengan cara sendiri," getus pelantun lagu Sedetik Lebih itu. Konsert Pengumuman penting sebenarnya berhubung konsertnya pada 16 Februari tahun depan merupakan klimaks kepada pertemuan dengan penyanyi berbakat besar itu. Konsert mega Anuar Zain - Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu kata Anuar akan menterjemahkan dirinya di kaca mata peminat sepanjang 30 tahun berkarya. Bakal diiringi oleh pengarah muzik tersohor, Mac Chew, kembara konsert itu akan dipersembahkan dengan iringan 26 orang pemuzik berserta lagu-lagu hit sepanjang zaman. "Lagu-lagu akan dipetik daripada album saya sejak tahun 1998 dan ditukar sedikit susunan muziknya. Selain itu, akan dipaparkan gambar-gambar saya dari kecil hingga sekarang. "Pertama kali menjayakan konsert sendiri pastinya perasaan gemuruh itu ada, tapi tetap teruja memberikan yang terbaik kepada peminat yang menyokong saya selama ini," katanya yang sebelum ini berdepan dengan masalah kewangan sehingga terpaksa menunggu hingga tiba detik ini. Konsert tersebut akan berlangsung pada 16 Februari 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur. | ||||
Posted: Hebe mahu bekukan ovum
SALAH seorang anggota kumpulan S.H.E, Hebe Tian yang bakal mencecah usia 30 tahun pada Mac tahun depan mengakui dia sudah mulai risau tentang dirinya yang masih belum berkahwin. Hebe yang baru membuat kemunculan semula bersama S.H.E menerusi album terbaharu, The Flowers Are Blossoming Again dikatakan risau kerana dia seorang sahaja dalam kalangan anggota kumpulan itu yang belum berkahwin. Bagaimanapun, dia telah mengejutkan dua lagi anggota S.H.E, Selina dan Ella dengan pengakuannya yang bercadang untuk membekukan ovum (telur) dirinya bagi kegunaan kehamilan pada masa depan. "Saya mungkin mahu mencuba untuk menjalani teknologi pembekuan ovum (telur) bagi kehamilan (tanpa berkahwin) di masa depan. Bagaimanapun buat masa ini, saya belum berani melakukannya kerana prosedurnya sangat menyakitkan," ujarnya kepada media Taiwan baru-baru ini. Tambahnya: "Bagaimanapun, saya juga berharap dan berasa lebih elok andainya saya menemui cinta sejati dan berkahwin suatu hari nanti." | ||||
Saya tidak gagal - Usop Wilcha Posted: Saya tidak gagal - Usop WilchaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
POPULARITI pelakon komedi Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail atau lebih sinonim dengan gelaran Usop Wilcha meningkat naik menerusi filem lakonannya, Hantu Kak Limah Balik Rumah. Gara-gara populariti dengan gelaran tersebut menerusi karakter yang dibawakan dalam filem berkenaan, Usop kemudian menerima lamaran menjadi penyampai radio di stesen radio Hot FM. Dia mula bertugas di Hot FM pada Jun 2011 dengan mengikat kontrak selama dua tahun sehingga Jun 2013. Namun begitu, jodoh Usop, 47, bersama stesen radio tersebut tidak panjang apabila dia mengambil keputusan menamatkan kontraknya itu setelah lebih setahun mengendalikan segmen Hot FM AM Krew bersama Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG. Usop yang ditemui sewaktu majlis pelancaran filem Kahwin 5 di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dia mengambil keputusan sedemikian. Kosmo!: Kenapakah Usop secara tiba-tiba mahu meninggalkan Hot FM sedangkan kontrak belum tamat? USOP: Sebenarnya ini bukanlah keputusan yang dibuat secara tiba-tiba kerana saya sudah berhasrat untuk berhenti dua bulan lalu, namun saya baru sahaja menghantar surat penamatan kontrak awal bulan ini. Kalau ikut kontrak, tugas saya akan berakhir pada Jun 2013. Kalau diikutkan memang agak berat saya buat keputusan ini, tetapi antara sebab utama saya tidak mahu lagi menjadi penyampai radio kerana faktor usia dan masa yang tidak mengizinkan. Bolehkah Usop jelaskan dengan lebih lanjut tentang sebab-sebab yang dinyatakan itu? Tahun ini usia saya sudah mencecah 47 tahun dan tidak mampu lagi untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa. Sebagai contohnya, saya terpaksa tidur awal sebelum pukul 11 malam dan bangun seawal pukul 4 pagi. Kemudian pada masa yang sama saya juga menerima tawaran berlakon sehinggakan jadual harian saya sangat padat. Disebabkan itu, saya pernah mengalami demam selama seminggu selepas selesai menjalani penggambaran filem Kahwin 5. Selain itu, saya juga mahu meluangkan masa lebih banyak dengan keluarga memandangkan saya sentiasa sibuk. Adakalanya selepas selesai tugas di konti saya akan bergegas ke lokasi penggambaran atau menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh Hot FM. Apakah komen Usop apabila ada persepsi segelintir pihak yang akan menganggap penyertaan anda gagal memberi impak kepada Hot FM? Saya tiada hak untuk menghalang sebarang persepsi orang terhadap pengunduran ini kerana mereka tidak berada dalam situasi saya sekarang. Lagipun, saya tidak pernah melihat ia merupakan satu kegagalan kerana saya ada sebab tersendiri yang membuatkan saya tidak dapat lagi meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio. Adakah Usop menyesal menerima tawaran menjadi penyampai radio sebelum ini? Sudah tentu saya tidak menyesal kerana sekurang-kurangnya saya sudah memperoleh serba sedikit pengalaman terbabit dengan dunia penyiaran radio. Jadi, apakah perancangan Usop pada masa akan datang? Selepas ini saya akan memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang lakonan memandangkan peminat terlebih dulu mengenali saya sebagai pelakon. Apatah lagi nama Usop Wilcha ini juga adalah hasil daripada karakter saya dalam filem dan menerusi nama itu yang membuatkan diri saya popular dan dikenali ramai. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |