Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tidak kisah kahwin muda
KELIBAT Nur Eilunie Natasha Nazri tidak pernah kelihatan dalam drama-drama tempatan atau muncul di layar perak. Dia juga bukan seorang pelakon atau penyanyi. Namun gadis manis yang disapa Leuniey itu kini menjadi antara gadis paling popular di Malaysia, setaraf dengan nama selebriti tempatan. Semua itu terjadi apabila gadis yang usianya baru mencecah 21 tahun itu menjalinkan hubungan cinta dengan selebriti sukan yang cukup popular iaitu Khairul Fahmi Che Mat atau lebih sinonim dengan panggilan Apek. Biarpun pernah menafikan ada menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan penjaga gol Kelantan dan Malaysia itu sebelum ini, akhirnya takdir menentukan yang mereka akan menjadi pasangan suami isteri. Ketika ditemui semasa majlis pelancaran Koleksi Ratu By Ezuwan Ismail di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, Leuniey akui berasa agak berdebar menjelang detik hari bahagianya itu. "Setakat ini segala persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar. Berkenaan dengan tema pula, kami tidak menetapkan sebarang tema tertentu kerana mahukan satu majlis yang ringkas dan menarik. "Mengenai tarikh sebenar kami diijabkabulkan pula, saya tidak boleh menjelaskannya dan boleh bertanya sendiri kepada Apek. Lagipun sebelum ini Apek sudah memberitahu akan membuat satu sidang akhbar untuk mengumumkannya," ujarnya sopan. Ditanya sama ada dia tidak kisah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda, Leuniey menyatakan semua yang berlaku itu merupakan ketentuan Allah. "Kalau jodoh saya sudah sampai, sudah tentu saya perlu menerimanya dengan hati terbuka. Saya tidak kisah bertemu jodoh dan berkahwin pada usia muda kerana saya sendiri memang sudah bersedia bergelar isteri," jelasnya. Bercerita mengenai hubungan yang terjalin antara mereka berdua dengan lebih lanjut, Leuniey secara jujurnya menyatakan dia tidak ingat bila Apek melamarnya sebagai kekasih. Bagaimanapun, hubungan kedua-duanya mula menjadi rapat apabila sama-sama terbabit dengan iklan komersial minyak wangi SimplySiti pada bulan Mac lalu. "Selepas terbabit dengan iklan tersebut, hubungan kami menjadi rapat dan akhirnya kami bercinta. Saya memilihnya sebagai kekasih kerana melihat dia sebagai seorang lelaki yang matang dan menghormati keluarga. "Selain itu dia juga seorang yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat terhadap diri saya. Berdasarkan kepada kriteria-kriteria itu akhirnya saya bersetuju mendirikan rumah tangga dengannya," ujarnya. Pada masa yang sama, Leuniey juga menyatakan dia tidak kisah menjadi isteri kepada seorang jejaka yang cukup terkenal serta sudah bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan terutamanya cerita kurang enak mengenai diri Apek. "Saya akui terdapat beberapa gosip yang pernah melanda diri Apek, termasuk kisah hubungannya dengan seorang aktres sebelum ini. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu ambil serius sangat mengenainya. "Apa yang lebih penting saya tidak akan terlalu terburu-buru mempercayai sekiranya ada gosip yang melanda jika melibatkan diri Apek. Saya berharap tidak ada lagi sebarang cerita kurang enak apabila kami sudah berumah tangga nanti," ujarnya. Tidak minat Dengan mempunyai rupa paras yang jelita, pastinya bukan sukar buat Leuniey untuk berkecimpung dalam dunia lakonan. Apatah lagi dia pernah terbabit dalam iklan komersial sebelum ini. Bagaimanapun, tanpa berselindung dia menyatakan tidak mempunyai minat untuk terjun ke dalam bidang lakonan dan lebih gemar memberi tumpuan kepada kerjaya sekarang sebagai model, menguruskan butik pengantin dan perancang perkahwinan. "Sebenarnya saya memang ada mendapat tawaran berlakon drama daripada Penerbit Global Station Sdn. Bhd. iaitu Datin Zaiton Mohd Jiwa selepas terbabit dengan iklan produk SimplySiti. "Setelah berfikir dan membuat pertimbangan, saya memutuskan untuk menolak tawaran tersebut. Lagipun saya memang tidak minat berlakon dan keluarga juga tidak memberi galakan," jelasnya. Menurut Leuniey, antara sebab dia tidak mahu berkecimpung dalam dunia lakonan kerana tempoh yang lama untuk menjalani penggambaran dan tidak yakin dapat membahagikan masa. Namun begitu, dia tidak kisah untuk menerima sebarang tawaran berlakon iklan. Pertahankan kejuaraan Sementara itu, Apek yang turut hadir pada majlis yang sama mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang mengenai perkahwinan dengan kekasih hatinya itu. Menurut Apek, buat masa ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuannya kepada kejohanan Piala AFF Suzuki 2012 yang akan bermula pada 25 November ini. "Dalam fikiran saya sekarang ini hanyalah bola semata-mata kerana saya perlu memikul tanggungjawab yang besar untuk membantu skuad negara mempertahankan kejuaraan yang diraih Malaysia dua tahun lalu. "Saya sedar akan bergelar seorang suami dalam tempoh terdekat, tetapi saya mahu segala tumpuan diberikan kepada bola sepak terlebih dahulu. Apabila tugas bersama negara selesai, barulah saya fokus pula pada perkahwinan," ujarnya. Berkenaan dengan persiapan perkahwinan pula, Apek menjelaskan segala urusan telah diserahkan kepada pengurusnya memandangkan jadualnya kini yang cukup padat sebelum berhadapan dengan kejohanan bola sepak terbesar di Asia Tenggara itu. Apabila diajukan pertanyaan sama ada dia tidak kisah berkahwin semasa kariernya yang sedang memuncak, jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyatakan keputusan yang dibuat merupakan satu keputusan yang tepat. "Memang ada yang bertanya adakah saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami. Saya beranggapan semuanya itu merupakan jodoh yang telah ditetapkan dan sebab itu saya memang sentiasa bersedia setiap masa," jelas jejaka berusia 23 tahun itu. Bagaimanapun, Apek masih lagi berahsia dan enggan memberitahu tarikh sebenar perkahwinannya itu dan menyatakan dia akan membuat satu sidang akhbar mengenainya selepas tamat tugasnya bersama skuad bola sepak negara nanti. | ||
Posted: Aishwarya gembira jadi ibu
16 November ini, anak sulung pasangan selebriti terkenal Bollywood, Aishwarya Rai dan Abhishek Bachchan yang diberi nama Aaradhya Bachchan akan genap berusia setahun. Selepas hampir setahun, barulah aktres Aishwarya atau Aish sudi untuk berkongsi cerita tentang Aaradhya. Sebelum ini, dia dan suaminya mengelak untuk bercakap tentang puteri kesayangan mereka itu. Dalam satu temu bual bersama One India, Aish memberitahu dia sangat bahagia bergelar seorang ibu. "Abhishek telah memberi saya anugerah (Aaradhya) yang paling indah dalam hidup. Saya cukup teruja menjalani kehidupan sebagai seorang ibu," ujarnya. Aktres tersebut turut memberitahu mereka mengalami kesukaran untuk memilih nama Aaradhya sewaktu dia dilahirkan. Ujarnya: "Selepas empat bulan dia dilahirkan, kami masih belum mendapat nama yang baik buatnya. Namun akhirnya kami sepakat untuk memilih Aaradhya sebagai nama bayi pertama kami. "Aaradhya bermaksud berharga dan nama seperti ini yang memang kami idamkan selama ini." | ||
Anne, Sumali nikah Disember ini Posted: Anne, Sumali nikah Disember iniOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SELEPAS berkawan rapat selama sebulan, Anne akhirnya menerima lamaran Sumali untuk memperisterikannya. Mereka bertunang pada 11 November lalu dan akan berkahwin pada bulan depan. KETIKA kisah berakhirnya hubungan percintaan pelakon Anne Ngasri dan penyanyi kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz sedikit reda, tiba-tiba timbul cerita kurang enak yang mengatakan pelakon itu sudah menjadi isteri kedua kepada seorang VIP. Bagaimanapun, cerita sensasi tersebut berlalu begitu sahaja dan tanpa disangka Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri telah mengikat tali pertunangan denganSetiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis yang berlangsung di rumah keluarganya di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 11 November lalu. Menariknya, pelakon itu bertunang kira-kira dua bulan selepas hubungannya dengan Aliff berakhir. Ia lantas menimbulkan persoalan apabila dengan pantas Anne mendapat pengganti, sedangkan banyak gosip yang tersebar sebelum ini 'mendakwa' Aliff yang curang dan penyanyi Adira menjadi punca perpisahan mereka. Bukan sahaja berita pertunangan tersebut agak mengejutkan, sebaliknya Anne juga mengaku akan menikahi duda anak satu berusia 40 tahun yang dikenalinya sejak setahun lalu itu pada Disember ini. Anne yang ditemui Kosmo! sewaktu majlis kesyukuran yang berlangsung di rumah keluarganya baru-baru ini menyatakan dia mahu membuka lembaran baru dalam kehidupannya dan berharap tiada pihak yang membuat pelbagai spekulasi terhadap pertunangannya itu. Kosmo!: Boleh Anne jelaskan kenapa tiba-tiba ambil keputusan untuk bertunang? ANNE: Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur kerana kini saya telah pun bergelar tunangan orang. Kalau semuanya berjalan dengan lancar, saya akan mendirikan rumah tangga pada bulan hadapan, cuma tarikh yang masih belum ditentukan lagi. Bagi saya ini bukan merupakan satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba kerana selama ini saya memang sudah bersedia untuk berkahwin. Lagipun sejak putus cinta baru-baru ini saya tidak pernah menutup hati saya dengan mana-mana lelaki. Adakah anda sedar dengan keputusan untuk bertunang kebanyakan peminat akan menyangka anda yang sebenarnya menjadi punca ketika putus cinta dengan Aliff? Saya sedar perkara sebegitu pastinya akan timbul, namun saya meminta supaya peminat tidak salah sangka kerana apa yang berlaku itu hanya kami yang tahu. Selama ini saya enggan memberikan sebarang komen kerana tidak mahu membuka aib sesiapa. Siapakah lelaki bertuah yang telah berjaya menambat hati anda? Tunang saya itu merupakan duda berusia 40 tahun dan memiliki seorang anak serta ahli perniagaan yang aktif dalam politik. Selebihnya, biarlah media mengetahui cerita tentang tunang saya selepas kami berkahwin pada bulan hadapan. Sejak bila anda mengenalinya? Sebenarnya kami sudah berkawan selama setahun, namun hubungan kami sekadar kawan biasa kerana dia juga merupakan kawan kepada Darling (kakak). Kira-kira sebulan yang lalu, baru kami rapat dan saya anggap kehadirannya dalam hidup saya tepat pada masanya. Selain itu saya melihat ada keserasian yang terjalin sepanjang kami berkawan rapat. Bagaimana pula penerimaan keluarga terhadap pilihan anda dan keputusan untuk berkahwin buat kali kedua? Saya berasa sangat beruntung dan bertuah kerana ahli keluarga sangat merestui hubungan kami. Dia ikhlas menerima diri saya seadanya dan hubungannya dengan ketiga-tiga anak saya juga agak rapat. Adakah dia tahu tentang peristiwa yang melanda diri anda sebelum ini? Sudah tentu dia tahu dan seperti yang saya katakan tadi dia memang ikhlas untuk memperisterikan saya serta tidak kisah dengan apa yang telah berlaku. Dia juga banyak memberikan sokongan kepada saya. Apakah perancangan anda selepas mendirikan rumah tangga nanti? Setakat ini saya belum memikirkan sebarang perancangan lagi kerana mahu memberi tumpuan terlebih dahulu kepada persiapan perkahwinan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |