Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Fokus kepada peperiksaanMENJADI pelajar paling popular di sekolah, Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 7, tidak pernah melahirkan rasa benci selalu dikelilingi oleh rakan-rakan di sekolahnya. Malah, barang-barang Mia turut diambil oleh rakan-rakannya kerana terlalu menyukai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem Sekali Lagi itu. "Pernah satu tahap dia dikelilingi ramai rakan sekolahnya ketika waktu rehat, tetapi dia tidak kisah dan boleh makan seperti biasa," ujar bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh ketika ditemui pada majlis sambutan hari ulang tahun Mia yang ketujuh di restoran pizza dan pasta Italiannies, pusat beli-belah Paradigm, Kelana Jaya, Selangor Ahad lepas. Mia yang berada di samping bapanya itu hanya mengangguk dan memberitahu, antara barang-barang yang diambil terdiri daripada pensel dan pemadam miliknya. Ditanya berapakah belanja yang dibekalkan bapanya setiap kali pergi ke sekolah, kata Mia, dia akan memperoleh sebanyak RM10 atau RM20 sehari, tetapi menasihatinya agar menggunakan hanya RM2 sahaja untuk berbelanja. "Walaupun saya pesan belanja hanya RM2, tetapi dia tetap menghabiskan wang yang saya beri. Saya beri dia belanja yang banyak bukan untuk bermewah, tetapi untuk mengajar dia supaya pandai pegang dan uruskan duit sendiri," luah Ridhuan. Bercerita mengenai jadual seni Mia, ungkap Ridhuan, buat masa ini Mia terpaksa berehat daripada berlakon kerana ingin fokus pada peperiksaan penggal akhir yang akan bermula pada 8 Oktober ini. "Mia sudah berehat daripada berlakon sejak bulan Ramadan lalu. Sepanjang tempoh berehat, Mia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon drama, filem atau iklan. Kecuali jika ada sesi fotografi atau majlis yang memerlukan Mia menghadirkan diri, dia akan menyertainya. Mia perlu juga menonjolkan diri pada majlis-majlis media supaya nama dia tidak dilupakan," jelas Ridhuan. Tidak mengabaikan pelajaran anaknya, menurut Ridhuan, dia akan memastikan Mia turut berjaya dalam pelajaran selain berjaya dalam bidang lakonan. "Sekarang ini pelajar-pelajar sangat kompetitif. Saya tidak mahu dia buat sambil lewa, tetapi dalam masa yang sama saya juga tidak mahu paksa dia untuk buat yang terbaik," jelasnya lagi. ANAK kecil berbakat besar ini sangat rapat dengan aktres jelita, Lisa Surihani. Tidak hanya memantau pelajaran anaknya, Ridhuan juga akan mengupah tutor untuk datang ke rumah mengajar Mia bagi mata pelajaran yang lemah. Ditanya apakah mata pelajaran yang paling Mia suka, kata Ridhuan, Mia paling menyukai Matematik. Ridhuan turut ditanya mengenai pembabitan Mia yang kini dilihat kurang muncul dalam iklan komersial. Ulas Ridhuan, dia terpaksa selektif memilih kerana kebanyakan iklan memerlukan Mia pergi melakukan uji bakat. "Bukan saya sombong tidak mahu Mia melakukan uji bakat untuk iklan, tetapi saya kena selektif untuk kebaikan dirinya," ujarnya lagi. Sombong Gembira menyambut hari ulang tahun yang ketujuh, pelakon dan juga model iklan itu mengakui ingin meraikannya dalam keadaan meriah setiap tahun. Sempena sambutan hari ulang tahunnya pada hari itu, Mia juga berkesempatan membuat pizanya sendiri. "Mia suka ramai orang. Kalau boleh Mia mahu sambut hari jadi macam ini tiap-tiap tahun. Kawan-kawan juga ramai yang datang. Mia juga dapat buat piza sendiri. Biasanya, kita makan sahaja tetapi kali ini Mia boleh pilih sendiri bahan-bahan untuk hias di atas piza," ceritanya teruja. Mengakui gembira ramai rakannya hadir pada majlis sambutan hari ulang tahunnya, Mia juga berasa teruja kerana artis kesayangannya iaitu Lisa Surihani dan suaminya, Yusry KRU turut hadir. Malah, pelakon cilik yang memang kerap berganding dengan Lisa dalam banyak filem dan drama itu turut menerima hadiah berupa barangan Zara daripada Lisa. Selain Lisa, Iqram Dinzly, Fouziah Gous, Melissa Saila, Shaheizy Sam dan juga Dina Nazir Nadzir hadir pada sambutan hari lahir Mia. Ditanya apakah hadiah yang paling disukai Mia selain daripada hadiah Lisa, ujarnya, dia sangat menyukai hadiah daripada Iqram dan Fouziah yang memberinya seutas rantai emas putih. Begitu juga hadiah pemberian Dina iaitu iPod.. MIA ceria menyambut hari jadinya yang ke-7 di samping ibu dan bapa tersayang. Ditebak soalan mengenai kelakuan Mia yang kini dikhabarkan semakin sombong dan lebih selektif melayan orang yang ingin menemubualnya, ujar Ridhuan, Mia bukan sombong, cuma sebagai seorang kanak-kanak dia tidak diam setempat dan mungkin tidak selesa jika dipanggil tanpa ahli keluarganya berada bersamanya. "Memang sikap dia macam itu (lari-lari ketika dipanggil). Dia hanya dengar bila saya atau ahli keluarga yang lain panggil," bidas Ridhuan mengenai sikap Mia yang dikatakan sudah berubah. Mengulas mengenai masa depan Mia, tutur Ridhuan, dia tidak terfikir Mia akan berlakon selama-lamanya dan sudah membuat perancangan untuk anaknya itu. Pupon Berkesempatan menemu bual ibu Mia, Rafidah Abd. Hamid, dia memberitahu, memanggil Mia dengan panggilan manja iaitu Pupon kerana sejak lahir lagi wajah Mia seperti anak Jepun. Mempunyai darah campuran Cina pada sebelah bekas suami dan juga dirinya, jelas Rafidah, walaupun Mia kini berada di bawah jagaan bapanya selepas mereka bercerai, tetapi dia akan memastikan untuk menghubungi Mia setiap hari selain bertemu anaknya sebulan sekali. "Saya tinggal di Johor tetapi dalam sebulan, sekali atau dua kali saya akan ke Kuala Lumpur bertemu Mia," ujar Rafidah. Berkongsi rahsia ketika mengandungkan Mia, Rafidah memberitahu, dia sangat suka minum susu dan makan ikan. Selain itu, dia juga selalu berbual dengan Mia dan memberinya mendengar muzik menggunakan fon kepala. Ditanya apakah perubahan terbesar Mia selepas menjadi artis, ungkap Rafidah, Mia tidak menunjukkan perubahan ketara kerana sebelum menjadi artis dia juga sering mendapat perhatian setiap kali keluar daripada rumah. Ditanya adakah anaknya pernah mengadu penat berlakon, cerita Rafidah, pernah juga Mia mengadu kepadanya penat berlakon, tetapi dia juga mengakui sangat seronok menceburi bidang tersebut. Mengulas mengenai pembabitan Mia dalam bidang seni, ujar Rafidah, kalau ikutkan dia tidak berapa suka Mia berlakon kerana kasihan dengan anaknya yang sering kelihatan penat, tetapi dia juga tidak menjangkakan peluang yang anaknya peroleh dalam bidang seni begitu mudah. | ||
Saya kasihan dengan orang itu - Jue Aziz Posted: Saya kasihan dengan orang itu - Jue AzizOleh KHAIRIYAH HANAFI
GOSIP 'panas' yang melanda pelakon seksi, Jue Aziz atau nama sebenarnya, Zuliana Abd. Aziz, 29, yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan suami aktres Rita Rudaini, 36, iaitu pemain bola sepak Aidil Zafuan Abdul Razak, 25, seakan-akan tidak pernah surut. Malah, ia semakin hebat diperkatakan sama ada menerusi media massa mahupun blog-blog tempatan. Walaupun Jue pernah bertindak mendiamkan diri sebelum akhirnya memberikan komen menafikan gosip liar tersebut di sebuah akhbar tempatan sekitar Ogos tahun ini namun apa yang pasti, gosip tersebut tetap kembali. Gosip yang sama muncul semula dengan cerita yang tidak diketahui akan kebenarannya walaupun realitinya ia baru sahaja surut daripada diperkatakan. Gosip melibatkan pelakon drama Nilapura itu sebenarnya sudah mula tersebar kepada umum sejak Ogos senyap seketika apabila Jue dan Aidil bertindak untuk tidak cepat melatah. Malangnya, semalam, gosip tersebut sekali lagi 'dijulang' oleh sebuah akhbar yang mendakwa hubungan Jue dan Aidil kini dikatakan semakin serius dan sedang memasuki fasa panggilan sayang-menyayang. Lebih hebat, apabila gosip tersebut mendakwa Jue mendapat sebuah beg tangan berjenama mewah pemberian Aidil. Menurut gosip tersebut lagi, beg tangan tersebut dibeli Aidil di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dengan harga yang agak mahal untuk memujuk Jue yang kononnya dikatakan merajuk. Apa yang menarik, gosip tersebut langsung tidak menampilkan sebarang kenyataan baik daripada pihak Jue mahupun Aidil. Justeru, bagi mendapat kepastian dan kebenaran hakiki mengenai gosip tersebut, Kosmo!, semalam telah menghubungi Jue Aziz sendiri untuk mendapatkan komen daripadanya mengenai isu tersebut. Kosmo!: Boleh Jue komen sedikit mengenai gosip hubungan Jue dengan Aidil Zafuan? JUE: Saya dah tak nak komen apa-apa sebab tidak ada apa-apa yang perlu dikomen. Last comment mengenai isu saya dan Aidil saya buat menerusi sebuah akhbar tempatan (sekitar Ogos tahun ini) dan saya memang tidak mahu komen apa-apa lagi sekarang ini.
Namun sebuah akhbar semalam ada menyatakan bahawa Jue telah mendapat hadiah mahal daripada Aidil selain mendakwa hubungan Jue dan Aidil kini semakin serius dengan panggilan sayang. Apa komen Jue? Bagi Jue, ini semua mengarut dan tidak betul. Jue sendiri tidak tahu apa-apa dan sebab perkara ini boleh berlaku. Mungkin orang itu gembira dengan membuat cerita-cerita seperti ini. Jadi, biarlah dia nak cakap apa. Bagi Jue, benda (gosip) itu semua tidak betul. Jika semua gosip itu tidak benar, kenapa Jue mendiamkan diri dan tidak mengambil apa-apa tindakan? Mula-mula memang saya ada niat nak bawa kes ini ke mahkamah dan rujuk kepada peguam tetapi bila fikir balik saya kasihan dengan keadaan orang itu. Dengan anak-anak masih kecil dan masalah dengan suami. Jadi, saya tidak jadi nak buat semua itu dan lebih selesa berdiam diri. Lagipun, saya tak sezalim itu untuk kenakan orang. Jadi, Jue tahu siapa yang buat (cipta) semua (gosip) ini? Mestilah saya tahu tapi saya tidak mahu dedahkan siapa dia. Biarlah saya dan dia sahaja yang tahu. Apa Jue akan buat apabila orang asyik mengata sahaja? Sebelum ini Jue dah bagi komen tentang benda (gosip) Jue dan Aidil, namun terpulang kepada orang tersebut. Sebab itu urusan dia dengan Allah. Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya Jue sekarang ini? Sekarang ini, Jue sedang sedang menjalani penggambaran sebuah program TV 26 episod untuk stesen Radio Televisyen Malaysia. Tawaran lain ada tapi buat masa ini Jue mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap program tersebut memandangkan Jue pun baru sahaja habis penggambaran episod yang menjalani penggambaran di Sabah. Bila sudah selesai semuanya, insya-Allah kalau ada tawaran lain, Jue tidak akan tolak. | ||
Posted: Dibanjiri 30,000 pengunjungOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
KONSERT Kemuncak Suria FM 2012 yang diadakan di Dataran Putrajaya pada 29 September lalu mendapat sambutan yang cukup hangat apabila dibanjiri kira-kira 30,000 pengunjung. Menerapkan elemen segar, santai, ceria dan hidangan muzik terbaik, acara yang berlangsung seawal 12 tengah hari itu dipenuhi dengan pelbagai program menarik seperti karnival, pelbagai aneka gerai jualan dan pertandingan karaoke. Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, sebelum ini sudah berlangsung siri jelajah konsert di empat buah lokasi seperti Perak, Pahang, Selangor dan Johor serta acara kemuncaknya yang diadakan di Putrajaya. "Secara keseluruhannya pihak Suria FM memang berpuas hati memandangkan konsert kali ini paling meriah berbanding tiga penganjuran yang lepas dengan kehadiran seramai 30,000 orang. "Mengenai pemilihan lokasi acara yang terus diadakan di Putrajaya buat kali yang keempat, ternyata penganjuran konsert ini terus mendapat perhatian dalam kalangan warga penduduk di sekitar kawasan ini," ujarnya. Menurut Yusry lagi, sebelum berlansungnya acara kemuncak, satu konsert mini telah diadakan bermula jam 5 hingga 7 petang dengan menampilkan barisan penyanyi seperti Drama Band, Arrora Salwa, Amir Jahari, Klangit, Aryan Band dan Nadia. Pada sebelah malam pula kemeriahan acara diteruskan lagi dengan Konsert Kemuncak Suria FM 2012 dan pengunjung dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular, antaranya kumpulan Nico, Mojo, Shila Amzah, Aliff Aziz, 6ixth Sense, Jimmy Palikat, One Nation Emcees, Alyah, Ella dan Faizal Tahir. GELAGAT tiga deejay Suria FM (dari kiri), Kenchana Dewi, Halim Othman dan Nabil Ahmad berjaya memeriahkan suasana konsert. "Mengenai pemilihan artis yang membuat persembahan pula, kami memilih penyanyi-penyanyi yang popular sekitar tahun 90-an sehingga sekarang, sesuai dengan tema saluran Suria FM yang banyak memutarkan lagu-lagu dalam lingkungan era tersebut," jelasnya. Ditanya mengenai aktiviti lain yang akan dianjurkan selepas berakhirnya acara tersebut, Yusry menjelaskan pihaknya sudah merancang untuk mengadakan sebuah lagi konsert yang akan berlangsung di Sabah pada hujung tahun ini. Tambahnya, konsert tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada para pendengar di negeri berkenaan memandangkan stesen radio Suria FM juga sudah beroperasi di sana. Clash Of The Band Selain penganjuran konsert, pihak Suria FM juga tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai aktiviti lain yang menarik, termasuk program Clash of the Band yang terbuka kepada penuntut universiti dan kolej. Menurut Yusry, program yang dianjurkan buat kali kedua itu bertujuan untuk mencari kumpulan muzik yang hebat dan berkebolehan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta. "Program ini sudah mula dianjurkan pada tahun lalu dan ia mendapat sambutan yang cukup hangat. Jadi, ia akan diteruskan lagi dan siri jelajah program ini dijangka akan bermula pada bulan ini," jelasnya. Ujarnya, dengan pelbagai program yang dianjurkan oleh pihaknya setiap tahun, ia merupakan salah satu cara promosi yang terbaik dan pihaknya melihat ia begitu berkesan memandangkan jumlah pendengar Suria FM sekarang sudah mencecah tiga juta orang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |