Adsense

Jumaat, 26 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kebangkitan semula Benjy

Posted:

Kebangkitan semula Benjy

SELEPAS dibebaskan dari penjara, Benjy kini lebih berkeyakinan berhadapan dengan khalayak.


PERTEMUAN Kosmo! bersama aktor Benjy untuk sesi fotografi Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berjalan dengan cukup lancar.

Pertama kali menatap wajah lelaki yang pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara memberi pandangan yang berbeza.

Wajah dan tubuh Benjy semakin susut sejak dibebaskan tanpa syarat pada Januari tahun ini. Penampilannya nampak meyakinkan, kemas dan segak berbaju kemeja serta berseluar jean.

Dia juga cukup ramah menegur orang di sekelilingnya bagai tiada sejarah hitam yang pernah berlaku kepadanya. Senyuman juga sentiasa tersimpul di bibir tanda bersedia menghadapi khalayak.

"Saya okey, Alhamdulillah sihat. Tengoklah gambar saya dulu dan sekarang, sangat berbeza. Berat ketika dipenjara sebanyak 89 kilogram, sekarang turun 74 kilogram dan saya masih dalam usaha untuk mengurangkan berat badan sebanyak mungkin," katanya sambil menunjukkan gambar pada kad pengenalan lama dan terbaharu dirinya.

Selain saiz badan yang berubah jelas, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim selepas dibebaskan dari penjara masih sama seperti dahulu, bahkan keyakinan dirinya cukup tinggi meskipun terpaksa berdepan dengan gelaran bekas banduan.

"Keyakinan diri saya seperti biasa, saya tidak disabitkan kesalahan dan dibebaskan tanpa syarat. Maknanya, saya tidak bersalah. Mungkin disebabkan saya pernah tinggal di penjara buat sementara waktu, orang tetap akan label saya sebagai bekas banduan.

"Berjaya mengharungi segala kesusahan ketika di penjara bermakna saya boleh harungi segala kesukaran hidup di luar penjara.

"Saya tidak boleh elak persepsi masyarakat. Bukannya saya boleh tutup mulut orang. Itu hak masing-masing dan bagi saya persepsi negatif itu bukan satu masalah yang besar," balasnya.

Menurut Benjy, terlalu banyak hikmah daripada apa yang berlaku terhadap dirinya. Selepas dirinya ditahan pihak berkuasa dan hidupnya hanya bertemankan jeriji besi serta tembok batu, dia mengaku bagai baru tersedar daripada lamunan hidup glamor.

"Selepas saya ditahan, saya dapat kenal pasti mana kawan yang benar-benar ikhlas dan mana kawan yang hanya temankan saya untuk berseronok sahaja. Saya akui, sebelum ini saya tersalah pilih kawan.

"Sekarang saya amat berhati-hati dalam berkawan. Syukur, kawan-kawan yang ikhlas masih setia di belakang saya sehingga hari ini. Kini saya juga tahu apa yang saya mahukan dalam hidup dan tidak akan sia-siakan orang yang selalu menyokong saya terutamanya keluarga," ucapnya.

Apabila ditebak soalan apakah yang berada dalam fikirannya apabila berada dalam penjara, dia terdiam dan berfikir sejenak. Air matanya tiba-tiba jatuh tanpa kawalan mengenang pengalaman di penjara.

Kata Benjy, anak lelaki tunggalnya, Fridauz Juan Benjamin yang kini berusia enam tahun tidak terlepas daripada fikirannya walaupun sesaat.

"Selama tiga tahun anak saya sudah biasa tidur di atas dada saya setiap malam, jadi apabila saya berada dalam penjara saya sering tertanya-tanya, bagaimana keadaan dirinya, rindukah dia pada saya dan apabila saya keluar nanti, masih ingatkah dia pada papanya ini.

"Alhamdulillah, selepas saya dibebaskan, anak saya masih mengenali saya dan sekarang masa saya hanya untuk mencari rezeki selebihnya diperuntukkan untuk anak serta keluarga terutamanya ibu (Azean Irdawaty) yang sedang bertarung dengan penyakit kanser," ujarnya.

Hak penjagaan anak

Bercakap tentang status dirinya, Benjy tanpa berselindung memberitahu dia sudah bercerai dengan Safiya Stephanie yang merupakan seorang mualaf, tetapi ia masih dalam proses mencari jalan penyelesaian di mahkamah syariah.

Soal penjagaan anak pula jelas Benjy, dia dan bekas isterinya itu bersetuju untuk hak penjagaan bersama.

"Hubungan saya dan bekas isteri masih baik, kami tidak berdendam. Bagi saya, bekas isteri sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cukup baik, anak juga dijaga bersama. Lima hari seminggu anak dijaga oleh dia, manakala saya pada hujung minggu.

"Saya amat berharap apa yang berlaku antara kami tidak menjejaskan emosi Fridauz, sebab itu saya banyak menghabiskan masa bersamanya seperti keluar beriadah atau membawanya berjalan-jalan," katanya.

Diaju persoalan tidak tertekankah dengan segala dugaan yang datang kepadanya dan terpaksa menghadapinya seorang diri tanpa seorang isteri di sisi, Benjy lalu menyusun jawapannya.

BENJY mengaku dia kini telah menjadi bapa tunggal kepada anaknya yang kini berusia enam tahun, Fridauz Juan Benjamin, selepas bercerai dengan isterinya, Safiya Stephanie.


Kata Benjy: "Rasanya kehidupan saya hari ini sudah cukup bahagia dengan kerja, keluarga dan anak. Mungkin pada peringkat awal saya berasa sedikit tertekan dan sedih. Tipulah kalau saya tidak sedih dengan semua perkara yang berlaku.

"Namun, sebagai anak sulung dalam keluarga saya harus kuat. Melihat ibu saya kuat dan sentiasa berfikiran positif melawan penyakit kanser, automatik menjadikan saya lebih kuat dan tabah. Dugaan Allah saya harus terima, apa yang boleh saya lakukan ialah berusaha dan berdoa," bicaranya serius.

Jika sudah bergelar bapa tunggal tidak terfikirkah Benjy untuk mencari pengganti suri hatinya?

Bagai ada yang dirahsiakan, Benjy hanya tertawa lantas berkata dirinya masih belum bersedia dan hanya ingin memberi fokus kepada anaknya.

Luah Benjy, jika sebelum ini keadaan dirinya tidak stabil disebabkan tiada sumber pendapatan, tetapi kini selepas memegang jawatan Pengarah Jualan dan Pemasaran Destini Ringgit Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang membekalkan mesin ais ke beberapa buah negara, selain kembali berlakon, masa depannya kelihatan lebih meyakinkan.

"Kalau sebelum ini saya tidak boleh menjaga anak sebab diri sendiri belum stabil, sekarang saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan menebus masa yang terlepas bersama anak," tuturnya.

Pengawal penjara

Benjy yang cukup terkenal dengan watak Jibek menerusi drama Kerana Cintaku Saerah kini sedang mempersiapkan diri untuk kembali aktif di pentas lakonan.

Lakonan pertamanya selepas di bebaskan dari penjara adalah teater Tatto Gestapo yang akan dipentaskan di Black Box Kaki Seni, SS2 Mall Petaling Jaya, Selangor pada 22 hingga 25 November ini.

Menariknya dalam teater tersebut, Benjy bakal memainkan watak Lokman, seorang pengawal penjara yang ditugaskan melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah.

"Tugas Lokman menghukum orang mati tetapi selepas itu, dia pula yang berada di kedudukan tali gantung atas satu kesalahan. Bagi saya, teater ini amat berat dan bermain dengan emosi dalaman.

"Apa yang ingin diketengahkan dalam teater ini adalah pentingnya untuk seseorang mengakui kesalahan, minta maaf dan berdoa memohon keampunan," ujarnya yang berbesar hati ditawarkan watak tersebut.

Melakonkan situasi di penjara, rasanya tidak ada pelakon lain yang lebih sesuai daripada dirinya meskipun pada peringkat awal watak Lokman tersebut diciptakan buat aktor Zahiril Adzim.

"Saya sungguh seronok dapat tawaran teater ini kerana isi kandungannya agak berat. Pengalaman di penjara saya gunakan sepenuhnya dalam teater ini kerana orang yang sudah masuk ke penjara sahaja yang benar-benar memahami situasi sebenar.

"Pengarah dan penulis skrip juga ada meminta pendapat saya untuk menjadikan teater ini lebih hidup. Saya ada menambah beberapa perkara terutamanya dari segi bahasa, jadi jangan lupa datang beramai-ramai," katanya mengenai teater yang mengenakan bayaran RM20 bagi seorang penonton itu.

Selain Benjy, aktor lain yang turut terlibat dalam karya Hariry Jalil itu ialah Pekin Ibrahim yang memegang watak Mustapa, Shariffuddin Md. Jais (Dan), Azman Hassan (Algojo) serta aktor Namron pula bertindak selaku pengarah artistik.

Pengaruh muzik Soulfly

Posted:

Pengaruh muzik Soulfly

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

TIGA daripada empat anggota Soulfly yang hadir pada sidang akhbar bersama media tempatan di Kuala Lumpur baru-baru ini, (dari kiri), Marc Rizzo, Max Cavalera dan Tony Campos.


PEMINAT tegar muzik heavy metal pasti mengenali kumpulan dari Amerika Syarikat, Soulfly yang memulakan perjalanan karier kumpulan mereka sejak 1997 lagi.

Mengimbas sejarah Soulfly, ia ditubuhkan dan diterajui oleh bekas vokalis kumpulan Sepultura, Max Cavalera selepas dia meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1996.

Sejak 15 tahun lalu, sudah banyak negara Eropah yang dijelajahi kumpulan heavy metal ini.

Bukan sahaja peminat mereka yang teruja menyaksikan persembahan mereka pada konsert Rockaway Festival 2012 Sabtu lepas, namun ahli kumpulan ini sendiri meluahkan keterujaan mereka berada di Malaysia.

"Ini pertama kali kami sampai ke Malaysia, dan sejujurnya, kami sangat teruja dan gembira dapat berada di sini. Kami baru pulang dari siri jelajah Eropah selama dua bulan, dan kami akan berikan yang terbaik kepada peminat di Malaysia.

"Kami juga tidak sabar untuk menggegarkan pentas Rockaway Festival esok ( Sabtu, 20 Oktober)," tutur Max ketika sesi temu ramah bersama kumpulan Soulfly yang bertempat di Hotel Double Tree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sehari sebelum konsert berlangsung.

Sepanjang bergelar sebuah kumpulan selama 15 tahun, Soulfly telah pun menghasilkan sebanyak lapan album studio termasuk album baharu yang kini sedang giat dipromosi yang berjudul Enslaved.

Album tersebut telah dilancarkan pada bulan Mac lepas.

Apa yang menarik, anggota kumpulan Soulfly tidak pernah kekal dan sering bersilih ganti.

Buat masa ini, anggota kumpulan Soulfly terdiri daripada Marc Rizzo, Tony Campos, David Kinkad dan Max Cavalera sendiri.

"Bukannya setiap kali melancarkan album baharu, Soulfly akan bertukar anggota. Sebenarnya, itulah keunikan Soulfly.

"Mereka semuanya bagus dan ia dianggap sebagai kelebihan kerana setiap kali Soulfly punya anggota kumpulan baharu, kami akan dapat kumpulkan idea segar dan berbeza.

"Kami nampak bagaimana progres penghasilan album dan ia sangat mengujakan kami.

"Bagi saya, ia pengalaman membuat rakaman yang paling menyeronokkan sepanjang bersama Soulfly, kerana studio penuh dengan tenaga," jelas Max ketika ditebak persoalan tentang kesukaran menyesuaikan diri bersama anggota kumpulan baharu Soulfly.

Berbicara mengenai kandungan serta konsep album Soulfly kali ini, apa yang dilihat, kumpulan ini sekali lagi menggunakan konsep penghambaan seperti mana album terdahulu mereka.

Tutur Max, sepanjang menghasilkan album, dia antara tunjang yang banyak mengeluarkan idea mengenai konsep dan kandungan album.

"Saya sering mengeluarkan idea, dan kali ini saya seperti telah kekeringan idea setelah menghasilkan tujuh album Soulfly.

"Namun, saat itu juga timbul idea untuk saya menggunakan semula idea album pada tahun 1998 iaitu album pertama Soulfly yang juga mempunyai judul yang serupa.

"Saya memang berminat dengan sejarah dan dengan itu saya menulis tentang gladiator dan roman. Ia juga merupakan sebuah heavy metal dan konsep keseluruhan ialah mengenai penghambaan," akhiri Max.

Walaupun Soulfly merupakan sebuah kumpulan heavy metal namun, muzik yang mereka hasilkan pernah dipengaruhi elemen muzik negara Brazil dan Afrika, selain irama beat dan juga metal.

A. Aida cerai ada sebab

Posted:

A. Aida cerai ada sebab

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA

MENGAKUI emosi dirinya terganggu dengan isu perceraiannya kali ini, A. Aida kini hanya mahu menfokus terhadap anak dan bisnesnya.


KEHIDUPAN peribadi pelakon yang kini begitu sukses sebagai pengarah dan penerbit, A. Aida nampaknya tidak selancar pencapaiannya dalam bidang seni.

Tiga kali mencari bahagia dalam sebuah institusi perkahwinan, ia bagaimanapun berakhir dengan episod yang tidak membahagiakan.

Kali pertama berkahwin, Aida bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng, 43, atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail pada 1994. Mereka bagaimanapun bercerai talak satu pada 17 Disember 2003.

Bersama Ameng, pasangan tersebut dikurniakan dua anak iaitu Wan Aleesa, 16, dan Wan Natassha, 11.

Selepas gagal dalam perkahwinan tersebut, Aida tidak serik untuk membina rumah tangga semula. Untuk perkahwinan kali keduanya, Aida memilih seorang anggota polis yang berusia 26 tahun - sepuluh tahun lebih muda daripada dirinya.

Perkahwinan itu tidak dikurniakan anak sebelum mereka akhirnya bercerai.

Tidak berapa lama selepas itu, penerbit drama Halimah Jongang ini sekali lagi mendirikan rumah tangga, juga dengan seorang anggota polis.

Kali ini dia bertemu jodoh dengan Asisten Superitendan Suffian Sulaiman dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.

Malangnya, kebahagiaan rumah tangga mereka hanya bertahan selama lima tahun sehingga Aida memfailkan perceraian secara baik pada 27 September lalu disebabkan tiada persefahaman antara mereka berdua.

Ikuti temu bual Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang bersama Kosmo! ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri pertamanya untuk TV3, Putera Rayyan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Bagaimanakah Aida berdepan dengan isu cerai pada kali ini memandangkan ia perceraian kali ketiga buat anda?

AIDA: Saya tahu banyak orang bercakap-cakap kenapalah saya selalu bercerai, tetapi percayalah, tindakan yang saya ambil dan segala yang berlaku itu bersebab. Ia bukan satu tindakan dan keputusan yang diambil secara suka-suka.

Bagaimana perkembangan proses perceraian anda sekarang?

Saya kini mengambil jalan menuntut cerai secara fasakh selepas permohonan untuk bercerai sebelum ini tidak mendapat persetujuan (Suffian Sulaiman).

Anda terganggu dengan masalah ini?

Sudah tentu. Terus terang saya katakan, perceraian ini telah mengganggu fokus saya terhadap kerja, terutamanya bidang penulisan skrip. Jika sebelum ini saya ambil masa tulis skrip untuk telemovie hanya dalam masa sehari, sekarang dua bulan pun saya tidak dapat menyiapkan satu skrip.

Perancangan anda selepas bercerai?

Selepas selesai perceraian ini, saya hanya mahu beri tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan sahaja. Walaupun saya kini berada dalam masalah rumah tangga, namun Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus. Perniagaan saya kini semakin berkembang.

Selepas tiga kali bercerai, adakah anda serik untuk berkahwin lagi?

Buat masa ini, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi. Saya sudah sampai satu tahap tidak mahu fikir soal lelaki atau benda lain. Dalam otak saya, hanya ada anak-anak dan perniagaan sahaja. Saya sudah serik dengan lelaki.