Adsense

Jumaat, 26 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pengorbanan Shila, Yatt

Posted: 25 Oct 2012 03:58 PM PDT

Enggan menyerahkan tanggungjawab kepada lelaki - baik bapa, suami atau teman lelaki dalam menentu arah hidup secara total, penyanyi Shila Amzah dan pelakon, Yatt Hamzah mengaku berkorban segala-galanya demi masa depan.

Terlalu banyak nikmat hidup ditolak Shila sejak usia belasan tahun demi mengejar impian dunia seni. Situasi sama juga dihadapi Yatt yang sanggup melakukan segala-galanya demi keharmonian rumah tangga dan cahaya mata tercinta.

Malah, keputusan mereka menyarung hijab menjadi pendorong bagi Shila dan Yatt untuk terus meneroka potensi diri. Malah, dua personaliti ini mencetus inspirasi kepada wanita untuk keluar dari kepompong lama.
Sempena Aidiladha hari ini, HIP tampil dengan kisah menarik Shila dan Yatt buat inspirasi peminat. Ikuti kisah mereka...

Jika insan seusia riang menjalani kehidupan dan bebas ke mana saja, situasi berbeza dihadapi Shila yang memberi tumpuan serius dalam bidang nyanyian sejak usia 15 tahun.

Anak sulung kepada penyanyi Amir Amzah Salleh atau ND Lala dan Fauziah Sarman ini mengakui kehidupannya tidak seindah rakan sebaya. Namun, Shila bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang memahami dan menyokongnya.

Kerjaya nyanyian Shila yang mesra disapa Sha sebenarnya bermula ketika dia berusia 10 tahun dengan album pertamanya berjudul Terima Kasih Guru. Ketika itu, dia dikenali dengan nama Shila Tekno.
Saya memandang pengorbanan usia saya ini dari sudut positif. Bukan kerana nama atau untuk diri sendiri, sebaliknya demi keluarga. Jika orang lain menjalani kehidupan dengan wang saku ibu bapa tetapi Sha sudah diajar untuk berdikari sejak kanak-kanak lagi.

Sha tak marah atau salahkan mama dan abah kerana bagi Sha, ada sebab kenapa mereka buat seperti itu. Dengan bakat yang ada, Sha bersyukur kerana mama dan abah banyak mengajar Sha erti kehidupan, katanya.

Melihat rezekinya bertambah sejak berhijab sebagai hikmat, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, melihat segala yang terjadi di sudut positif, namun sebagai insan biasa, dia masih diburu bimbang berdepan dugaan.

Biarpun pengorbanannya kepada keluarga dianggap besar, namun Shila lebih menghargai pengorbanan adik-adiknya yang banyak bersabar dan memberi ruang kepadanya bersama ibu bapa.

Sha amat menghormati dan menghargai pengorbanan mereka. Bagi Sha, pengorbanan mereka lebih besar kerana mereka membenarkan mama dan abah meluangkan lebih masa untuk Sha.

Tetapi mereka tidak pernah merungut atau berkecil hati kerana bagi mereka, apa yang dilakukan oleh mama dan abah adalah untuk diri mereka. Sha bersyukur sangat kerana memiliki keluarga yang faham dan ambil berat mengenai diri dan karier seni Sha, katanya.

Menurut pelantun lagu Patah Seribu ini, setiap ahli keluarga diajar supaya tidak mudah menjatuhkan hukuman sesama adik beradik.

Pernah dikritik tidak mempunyai vokal sebagai penyanyi, ia tidak mematah semangat Shila. Bahkan dia menganggap segala kritikan itu sebagai pembakar semangat.

Siapa sangka gadis yang dulunya dianggap tiada aura dalam nyanyian kini bergelar penyanyi hebat Asia selepas menjuarai pertandingan Asean Wave di Shanghai, China, baru-baru ini.

Dulu ada yang kata pada Sha, tak suka dengar suara Sha. Ada juga yang menganggap Sha bukan penyanyi. Tetapi selepas melihat pencapaian Sha, orang yang pernah mengkritik Sha memuji dan suka dengan nyanyian Sha.

Sha tidak berkecil hati tetapi bagi Sha mungkin ada hikmahnya kata-kata mereka itu. Malah, selepas Sha berhijrah, semakin ramai yang menyokong dan memberi semangat kepada Sha, katanya yang akan muncul dengan single Mandarin pertamanya yang bakal dirakam, Disember ini di Shanghai.

Tidak hanya peminat berbangsa Melayu, Shila berbangga mempunyai peminat dari kalangan kaum Cina di Malaysia dan China. Bahkan mempunyai kelab peminatnya sendiri di China.

Shila yang akan muncul dengan album Mandarin pertamanya yang dihasilkan sepenuhnya di Shanghai, sedang mempersiapkan diri menguasai bahasa kedua di dunia itu.

Dulu orang tak kenal Sha kecuali peminat Melayu. Tetapi kini, kalau Sha berjalan di pusat membeli belah peminat berbangsa Cina akan menegur.

Baru-baru ini Sha ada membuat persembahan di sebuah majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Sha terkejut melihat hampir 90 peratus tetamu berbangsa Cina meminati Sha, katanya yang masih mencari komposer untuk albumnya itu.

Biarpun perit meninggalkan anak tunggal, Suci Hanania Malika, dua tahun, sepanjang pemergian di lokasi penggambaran, Yatt Hamzah membulatkan hati mengharunginya demi mencari rezeki.

Tidak mahu bergantung harap sepenuhnya kepada suami tercinta, Abdul Mutalib Abdul Shukor, Yatt menyifatkan ia suatu cabaran besar bagi wanita bekerjaya.

Dulu memang Yatt tinggalkan anak dan kadang kala sentiasa teringat sampai nak buat kerja pun terganggu. Alhamdulillah, Suci makin membesar dan Yatt masih tinggalkan dia. Tapi orang yang tolong tengokkan dia seperti emak dan saudara-mara, katanya.

Yatt berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk Yatt mengundur diri dari bidang seni walaupun sudah berhijab.

Ini kerana sejak berhijab ini rezeki Yatt kian bertambah dan ini untuk anak Yatt juga, katanya.

Jika ibu lain sibuk melayan kerenah anak-anak di rumah dan berada di sisi mereka, Yatt terpaksa mengorbankan masa bersama anak.

Sejak berhijrah, Yatt banyak mendalami ilmu agama. Namun, ada suara-suara mendakwa kononnya dia terlalu taksub dalam menyebar ilmu hingga dikatakan menunjuk-nunjuk.

Yatt sedar kesilapan lalu dan cuba mengubah diri menjadi lebih baik dan dekat dengan Allah. Mungkin cara Yatt bercakap dan menyampaikan ilmu menyebabkan ada yang mengangap Yatt terlalu taksub atau menunjuk-nunjuk.

Sebenarnya, sejak Yat berhijrah, kehidupan Yatt lebih tenang dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri. Kalau ada yang beranggapan begitu, Yatt cuba bermuhasabah diri cari apa yang orang tidak gemar dengan cara Yatt.

Lebih baik bersederhana daripada dianggap keterlaluan... itu cara Yatt, katanya.

Selepas enam bulan berhijrah daripada kehidupan lalu yang penuh dengan dugaan anak seni, Yatt dilihat lebih gembira dan tenang dalam menghadapi ujianNya.

Jika dulu Yatt menerima apa saja tawaran yang datang tidak mengira watak, tetapi kini dia lebih berhati-hati. Malah dia mencari karektor yang sesuai dengan imej dan penampilannya.

Bukan tidak ada tawaran berlakon cuma Yatt memilih karektor. Walaupun watak itu sopan dan bertutup, Yatt kena tengok karektornya macam mana, adakah sesuai dengan imej Yatt sekarang.

Bukan saja berlakon dan mengacara, Yatt sibuk dengan ceramah di universiti dan masjid bagi menceritakan pengalaman Yatt dari kaca mata seorang artis selepas berhijrah, katanya yang akan muncul dengan drama Penggulungan, Tasbih Yang Terlerai dan Kasih Delaila.

Yakin ada penonton

Posted: 25 Oct 2012 03:58 PM PDT

Walaupun sambutan terhadap filem tempatan agak lembap pada tahun ini, ia sedikit pun tidak membuatkan Rashid Sibir goyah. Bahkan dia yakin filem arahannya, Awan Dania The Movie, mempunyai pengikutnya sendiri serta mampu menarik penonton ke panggung.

Mengetengahkan penceritaan yang ringkas berpaksikan kisah cinta ringan, filem terbabit bagaimanapun berbeza dengan versi siri televisyen, biarpun dua pelakonnya, Scha Alyahya dan Jehan Miskin dikekalkan sebagai teraju utama.

Bagi Rashid, filem yang diangkat daripada drama televisyen lebih mudah untuk menarik peminat ke pawagam berikutan ia sudah pun mempunyai pengikutnya sendiri. Justeru, dia berasakan filem itu tidak mempunyai masalah untuk mengumpan penonton apabila ia diputarkan pada penghujung tahun.
Bagi versi filem, saya kekalkan karakter yang ada dan hanya penceritaannya yang agak berbeza. Menerusi filem ini, saya cuba menyuntik elemen lawak, dengan subteks yang tidak terlalu berat.

Asalnya, ada cadangan untuk mengubah tajuknya bagi versi layar lebar, namun judul asal bagaimana dikekalkan sebab Awan Dania sudah ada nama dan pengikutnya. Karakter Dania juga tetap sama, cuma kami ubah dari segi penceritaan serta menambah dua pelakon baru iaitu Rusdi Ramli sebagai Remy dan Elly Mazlein (Tania), katanya ketika ditemui di Subang, baru-baru ini.

Berhubung kelewatan tayangan filem yang dihasilkan dua tahun lalu itu, Rashid menjelaskan, ia bukan disebabkan masalah dalaman. Sebaliknya tempoh lebih panjang diperlukan untuk melunaskan beberapa kerja pasca produksi, termasuk mendapatkan kebenaran untuk lagu Jatuh Hati nyanyian Sanisah Huri yang dimuatkan dalam filem ini.

Mengakui tidak berdepan kesukaran ketika menghasilkan filem kelimanya itu, cabaran yang dihadapi Rashid cumalah ketika penggambaran dilakukan dalam kabin pesawat yang sempit. Ia menyukarkan pihak produksi memuatkan peralatan penggambaran di dalamnya.
Apa yang kita persembahkan dalam filem ini ialah sesuatu yang baru, malah orang yang tidak mengikuti sirinya di TV masih boleh menonton filem ini kerana jalan ceritanya tiada kaitan dengan apa yang dipersembahkan di layar kecil.

Mengenai pemilihan Rusdi, ia dilakukan bagi menampilkan kelainan berikutan lakonannya sebelum ini lebih kepada drama berat. Penonton sekarang sudah pandai. Kalau letak pelakon hebat sekalipun, tetapi jalan cerita tak menarik, ia tidak mendapat sambutan juga, kata Rashid yang menyatakan rasa kurang setuju pada sistem tayangan dua filem tempatan seminggu.

Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd ini mengisahkan Dania (Scha) yang berusaha untuk memecahkan rekod Tania, yang memegang takhta Kru Kabin Terbaik selama tiga kali berturut-turut sehingga mencetuskan perbalahan antara mereka.

Karektor Tania yang gedik dan suka bergaya membuatkan dirinya mudah mendapat perhatian. Tania juga rapat dengan seorang juruterbang, Remy, yang juga bekas kekasih Dania.

Bagi membongkar niat sebenar Tania yang suka mengambil kesempatan ke atas Remy, Dania menyamar sebagai penumpang dan mengekori setiap gerak geri wanita terbabit.

Walaupun jalan ceritanya ringkas dan santai, Rashid berasakan elemen komedi di dalamnya akan membuat penonton tidak kering gusi. Gelagat Tania dan Dania, tegasnya, pasti memikat hati peminat.

Selain itu, Rashid kini sedang menumpukan pada penghasilan filem keenamnya berjudul Andai Itu Takdirnya, yang akan menjalani penggambaran selepas Hari Raya tahun depan.

Masih mencari pelakon utama lelaki dan wanita untuk filem drama berat yang diadaptasi daripada novel karya Siti Rosmizah itu, Rashid bagaimanapun membayangkan Nur Fazura sebagai teraju, di samping muka baru.