Adsense

Isnin, 29 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Bukan bermain teka-teki

Posted: 28 Oct 2012 06:27 AM PDT

TERLALU banyak hati yang perlu dijaga hingga memaksa dia mengunci mulut. Secara peribadi, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein akui dia belum bersedia untuk tampil ke depan bercerita sejauh mana kebenaran cerita dirinya yang dikatakan sudah putus tunang hingga mendapat liputan meluas di laman blog dan akhbar, ketika ini.

Ternyata, walau diasak macam mana sekali pun, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini cukup berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Minta maaf, saya belum bersedia nak menjawab sama ada diri saya masih memegang status tunang orang ataupun sudah putus. Apabila sampai masanya nanti, barulah saya bersedia untuk buat kenyataan sama ada ia berita baik ataupun buruk.

"Soal jodoh ini, saya ingin serahkan kepada ketentuan Allah SWT. Kalau ada jodoh kami, alhamdulillah kerana saya sentiasa mengharapkan benda yang baik-baik saja dalam hubungan itu. Saya sangat berharap peminat di luar sana, doakanlah yang terbaik buat kami," katanya.


Elly juga menafikan dirinya sengaja bermain teka-teki dengan pihak media dan peminat mengenai status dirinya ketika ini.


"Sebagai wanita, saya cuma ingin lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Lagipun ini soal yang terlalu peribadi. Insya-Allah, saya akan menepati janji. Berita baik atau sebaliknya, saya tetap akan beritahu pihak media kelak.

"Apa yang pasti, dugaan dalam bertunang ini memang hebat, macam manalah apabila kami sudah berkahwin nanti?. Saya melihat dugaan itu dari sudut yang positif kerana ia akan membuatkan kita belajar, menjadi lebih cekal dan dewasa. Allah sayangkan umatnya dan apa yang diuji itu juga penuh dengan hikmah," katanya.

Mengimbas majlis pertunangannya sebelum ini, Elly, 32, dan pengarah drama dan filem Azmi Mohd Hatta, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu.

Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, tanggal 29 Mei tahun lalu. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.

Soal perancangan untuk berkahwin pula, Elly sendiri mengakui dia memang sudah pun bersedia untuk membina keluarga.

"Pada usia yang mencecah 30-an sekarang, saya juga sudah bersedia untuk berumah tangga tapi soal jodoh ini tetap ketentuan Tuhan. Saya dan Azmi bertunang pada Mei tahun lalu dan kami memang sudah ada tarikh untuk berkahwin cuma tidak beritahu pada orang pun ketika itu.

"Memang sudah menjadi cara saya yang tidak suka kongsi cerita peribadi dengan peminat, sejak dulu. Sama seperti ketika saya nak umumkan berita kami nak bertunang dulu.

"Begitu juga ahli keluarga, mereka sentiasa memberi sokongan padu dari belakang. Keluarga tidak pernah mendesak saya kahwin cepat kerana mereka hanya menunggu apa saja keputusan yang saya buat," katanya.

Menyentuh perkembangan karier seninya pula, Elly yang lebih sedekad bergelar anak seni mengakui dia tidak ingin melepaskan peluang beraksi dalam filem Awan Dania The Movie arahan Rashid Sibir dan terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu.
Filem itu diterajui Scha Al Yahya, Jehan Miskin, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

Kali terakhir dia berlakon ialah menerusi filem Tangkai Jering pada 2005. Filem lain lakonannya sebelum ini ialah Gerak Khas The Movie dan Janji Diana.

Elly berkata, dia tertarik beraksi dalam filem itu kerana watak antagonis, Tania yang dilakonkannya ada kelainan dan turut mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

"Saya adalah ahli keluarga baru dalam cerita Dania tapi ia bukan halangan untuk saya mencari keserasian dengan Scha dan Rashid sendiri. Saya pernah bekerjasama dengan Scha dalam drama Bella dan Rashid pula sudah dianggap seperti guru dalam lakonan kerana kami banyak bekerjasama dalam drama terutama dalam cerita seram sebelum ini.

"Saya harap peminat akan dapat menerima kehadiran saya dalam keluarga Dania ini bila menonton filem ini di pawagam nanti," katanya.

Single Sabarlah Hati kisah cinta Elly

ENGGAN mengulas lanjut cerita pertunangannya itu, Elly percaya sampai masanya dia fokus pada 'single' terbarunya sekali gus kemunculannya semula dalam bidang nyanyian selepas tujuh tahun tidak ada album baru.

Kata Elly, single berjudul Sabarlah Hati ciptaan Manusia Putih itu terbitan EM Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai single itu, kata Elly, ia dirakamkan pada Ramadan lalu dan proses 'mastering' juga sudah siap dan ia dibuat di Australia.

Ditanya sama ada 'single' itu ada kaitan dengan kisah cintanya sendiri, Elly enggan mengulas lanjut.

"Ramai yang cakap lagu ini adalah kisah cinta saya. Apa yang saya boleh katakan, lagu balada ini pasti akan menyentuh hati peminat kerana ia menceritakan kisah pasangan bercinta yang terputus di tengah jalan dan dalam proses memujuk hati yang luka. Mungkin ia ada persamaan dengan kisah masyarakat di luar sana tapi ia hanya secara kebetulan saja.

"Secara peribadi, saya sangat teruja dengan kehadiran 'single' terbaru ini yang akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28


Kenapa jatuhkan ‘talak tiga’?

Posted: 28 Oct 2012 06:04 AM PDT

GABUNGAN Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) terkilan serta kesal dengan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang didakwa membelakangkan mereka dalam penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25).

Kebiasaannya FFM dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Gafim, namun kejutan berlaku apabila Finas memilih bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menganjurkan FFM25 yang akan berlangsung pada 30 Disember ini
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Tidak puas hati dengan perkembangan itu, Gafim mengadakan terus sidang media tergempar 'Gafim Bantah FFM25' membabitkan ahli di bawah gabungannya
di sini Rabu lalu.


Mereka yang hadir termasuklah Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak; Presiden Seniman, Zed Zaidi; Setiausaha Agung Gafim, Yusof Kelana; Penasihat Penyiar, Mazlan Hamid dan wakil Papita, Datuk Malek Ridzuan.


Yusof berkata, Gafim kesal dengan Ketua Pengarah Finas, Mohd Naquib Razak kerana membelakangkan mereka dalam perkara ini.

"Pihak kami menghantar laporan rumusan dan post-mortem mengenai FFM24 anjuran Gafim yang berlangsung pada 20 November 2011 yang turut dihantar kepada Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

"Penyerahan penganjuran FFM24 kepada Gafim dibuat pada 1 Disember 2010 yang diwakili oleh Ketua Pengarah Finas ketika itu, Mahyidin Mustakim dengan kos yang diperuntukkan sebanyak RM650,000.

"FFM23 dianjurkan oleh Finas dengan kos RM2.5 juta tetapi kami hanya diberi RM650,000 dan hanya RM350,000 diberikan dalam bentuk tunai. Dengan kos ini tentu sukar untuk kami buat acara peringkat nasional.

"Kos sebenar yang diperlukan adalah RM1.6 juta, bermakna kami kena mencari lagi RM1.3 juta. Namun menerusi usaha mencari pihak penaja, kami akhirnya berjaya melaksanakannya dengan baik," jelasnya.

Menurutnya, atas usaha Gafim juga, mereka juga berjaya mengikat kontrak penyiaran selama tiga tahun dengan Astro sebagai penyiar rasmi FFM.

"Kami mengadakan mesyuarat ahli pada 5 Disember 2011 untuk post-mortem FFM24.
Hasilnya kami buat keputusan serahkan kembali penganjuran FFM kepada Finas.

"Itu hasilnya dan Gafim minta Finas jawab namun tiada sebarang jawapan diterima. Tiba-tiba Mohd Naquib tampil dengan sidang media Finas akan anjur sendiri FFM25. Ketika itulah kami tahu mereka akan bergabung dengan PFM.

"Sepatutnya mereka kena panggil kami untuk berbincang dulu. Di sini kami minta Finas jelaskan Gafim tidak pernah hantar surat tidak mahu anjurkan FFM. Kami hanya menghantar surat rumusan dan pandangan untuk pulangkan kembali FFM kepada mereka," katanya.

M Daud pula menggesa Finas berbincang dengan Gafim kerana FFM sudah menjadi 'trademark' mereka sejak dulu. Dia terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Mohd Naquib itu.

"Ini ialah sikap yang tidak bagus. Apabila tahu kami nak buat sidang media ini, tahu pula dia hubungi kami, sedangkan surat kami langsung tak dipedulikan.
Sebagai pegawai kerajaan, dia banyak terlepas pandang perkara sepatutnya.

"Mungkin dia lupa sejarah atau ghairah mahu anjurkan sendiri FFM. Gafim ingin tahu kenapa kami dipinggirkan? Sepatutnya dia hanya jatuhkan 'talak satu' tetapi dia sudah jatuhkan 'talak tiga'.

"Memang penganjuran FFM24 ada kontroversi, tetapi ia adalah rencah dalam penganjuran dalam setiap festival dan mana-mana anugerah pun. Memang terkilan kerana Gafim dianggotai oleh 11 persatuan hiburan kecuali PFM yang keluar dari gabungan ini.

"Saya harap Finas jawab isu ini dengan positif bagi membolehkan kerjasama kami berjalan semula," katanya yang sudah merancang pelbagai agenda menarik sempena Jubli Perak FFM.

Yusof memberitahu ketika diminta menganjurkan FFM24, pihaknya diberikan surat. Namun apabila mereka 'diceraikan talak tiga' langsung tiada sebarang notis.

"Siapa yang kata Gafim tidak mahu anjurkan FFM25? Kami berpendapat Finas sengaja menolak dan meminggirkan Gafim. Bagaimanapun kami tetap akan bekerjasama sekiranya Finas panggil kami untuk berbincang.

"Walaupun bantah, kami tetap akan terima jalan perbincangan yang dijalankan.
Tambahan pula FFM sebelum ini memang disokong oleh Gafim. Kami bantah FFM25 kerana itu hak kami. Namun kami tiada niat hendak boikot penganjurannya cuma mahukan pertimbangan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28