Adsense

Isnin, 29 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Keinsafan dari tirai besi

Posted: 28 Oct 2012 02:16 PM PDT

Tiada siapa dapat menduga perasaan penyanyi lagu Sampai Hati dan Bougenvila tatkala irama menusuk kalbu itu didendangkan dengan penuh perasaan di hadapan khalayak sambil memegang erat tangan anaknya.

Jika satu masa dulu, irama popular kumpulan Spring itu didendangkan Ameng di pentas konsert mahupun rakaman rancangan hiburan, ia kini menjadi lagu wajib buat pemilik nama Wan Aminuddin Wan Ismail, 44, apabila beraksi di pentas penjara pula.

Dengan disaksikan teman banduan, keluarga mereka dan kakitangan penjara, nyanyian Ameng masih tetap berbisa.

Apa yang lebih menyentuh hati, ketika Ameng menyanyikan dua lagu berkenaan, anaknya, Wan Amar Haikal, 5, setia menemani bapanya di pentas sehingga tamat.

Itulah rutin hidup penyanyi dari Terengganu itu sejak setahun lima bulan lalu selepas menjadi penghuni tetap Penjara Kluang, apabila dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah, tahun lalu.

Bagi Ameng, kehidupan di penjara menyedarkannya betapa pengorbanan keluarga terutama isteri, Sabariah Zakaria, 42, amat tidak ternilai dan besar maknanya.

"Saya sentiasa rindukan mereka di sini. Dulu saya tidak pernah terfikir, tetapi sejak dipenjarakan baru saya sedar. Isteri dan anak sudah buktikan kasih sayang dan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi dalam menempuh susah senang hidup bersama dan ini amat menginsafkan.
"Hidup dan mati saya selepas ini hanya untuk keluarga. Saya akan membahagiakan mereka selepas dibebaskan nanti bagi membalas pengorbanan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung disebabkan saya," katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih Aidiladha Penjara Kluang, di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, rakan artis yang juga teman Ameng termasuk Zamani, Ibnor Riza dan gitaris Iklim, Umarul.

Zamani dan Ibnor Riza juga sempat menghiburkan tetamu program berkenaan dengan lagu popular masing-masing, iaitu Gerimis Mengundang dan Mimpi Yang Tak Sudah.

Tonton Skyfall secara percuma

Posted: 28 Oct 2012 02:10 PM PDT

Menurut beberapa ulasan awal, Skyfall muncul antara filem James Bond terbaik, sejak ia mula menjengah pawagam kira-kira 50 tahun lalu.

Diarahkan Sam Mendes, filem yang sekali lagi menampilkan aktor, Daniel Craig, memegang watak perisik hebat berkenaan dikatakan mempunyai segala resipi untuk menjadikannya filem Bond terhebat.

Bukan sekadar kemunculan beberapa pelakon wanita yang jelita lagi berbakat, Skyfall juga memikat apabila ia sarat dengan babak lasak serta pertarungan, di samping penggambarannya yang dilakukan di beberapa lokasi eksotik seperti Istanbul, Macau, Shanghai dan Scotland.

Namun, kali ini, peminat siri filem berkenaan pastinya akan tergamam dengan elemen kejutan yang wujud di dalamnya.

Begitu juga dengan watak antagonis lakonan Javier Bardem, yang tampil berambut perang. Watak terbabit begitu mengesankan hingga dilihat sebaris dengan karakter jahat terkemuka lain seperti Hannibal Lecter, Joker (lakonan Heath Ledger) dan Anton Chigurh daripada filem No Country for Old Men.

Pada setengah jam terakhir episod kali ini, kata ulasannya, ia dipenuhi dengan kejutan dan pembongkaran, yang pada asasnya mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan cerita Bond buat beberapa dekad akan datang.

Skyfall, pada hakikatnya, dilihat sebagai filem Bond paling penting sejak kegilaan terhadap filem perisik ini bermula pada 1962 dengan kisah Dr No.
Selain Craig dan Barden, ia turut dibintangi Judi Dench, Ralph Fiennes, Naomie Harris, Berenice Marlohe, Albert Finney, Ben Whishaw dan ramai lagi.

Buat penggemar filem aksi risikan ini, saluran ntv7 berbesar hati memberikan peluang buat mereka untuk menontonnya lebih awal daripada penonton lain. Sempena tayangan filem terbaru, stesen televisyen terbabit akan mengagihkan tiket percuma buat peminat, untuk menonton Skyfall pada acara malam galanya, 30 Oktober ini (Selasa), di Cathay Cineplex, e@Curve, Mutiara Damansara.

Orang ramai boleh mendapatkan pas percuma ini pada 29 Oktober (hari ini) dari jam 8 malam hingga 9 malam, di pintu utama e@Curve.

Sempena meraikan 50 tahun penerbitannya, ntv7 juga turut menayangkan filem James Bond bermula 7 Oktober lalu hingga 4 November depan. Selama lima minggu, penonton boleh berhibur bersama aksi lasak ejen ternama itu di saluran berkenaan.

Pada minggu terakhir, filem Casino Royal akan menemui penonton saluran terbabit. Ia filem ke-21 dalam siri James Bond, dengan Craig tampil sebagai pelakon utamanya.

Dalam filem ini, Bond perlu menghalang Le Chiffre, seorang pegawai bank kepada pertubuhan pengganas dunia, daripada memenangi permainan poker di Casino Royale, di Mentonegro. Ia juga filem Bond paling tinggi pungutan tiketnya setakat ini.

Filem Bond lain yang ditayangkan sepanjang tempoh itu ialah Golden Eye, Tomorrow Never Dies, The World Is Not Enough dan Die Another Day.