Adsense

Selasa, 23 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Perspektif baru untuk industri

Posted: 22 Oct 2012 02:09 PM PDT

TAWARAN memang datang tidak henti, ada saja pihak yang meletak kepercayaan untuk menghidupkan sesebuah watak. Namun ia sekadar bersandar pada populariti yang melekat pada seseorang pelakon itu dan kemudiannya menterjemah skrip yang disediakan.

Tiada apa yang mustahil jika pelakon itu ada kalanya gagal menjiwai watak dan lebih kronik dan memalukan apabila pemain watak itu sendiri tidak mengerti perwatakan dan karektor yang dilakonkan sendiri.

Meskipun kedengaran kasar, namun itulah realiti kebanyakan naskhah layar lebar hari ini yang mana semuanya tidak lagi menjadikan soal kualiti dan penelitian dalam menerbitkan sesebuah karya sebagai elemen penting. Asalkan wajah pelakon boleh 'jual' dan genre yang mudah memancing selera penonton, terus dihantar ke wajib tayang untuk dipersembahkan.

Ideologi dan persepsi yang sama turut dipersetujui oleh dua bintang berbakat besar ini.


Meskipun kelihatan sedikit janggal dalam menggandingkan keduanya kerana julung kalinya bertembung untuk sebuah projek filem, namun lama-kelamaan terserlah keserasian yang ada.


Baik Lisa Surihani mahupun Beto Kusyairi, filem Istanbul Aku Datang yang pertemukan mereka berdua ini adalah naskhah yang bukan sembarangan sebaliknya ia adalah satu usaha yang begitu teliti dan penuh fokus.

Usik Beto, sepanjang lebih sebulan menjalani penggambarannya di Malaysia dan Istanbul, filem ini memberikan pengalaman yang berbeza dengan perspektif yang jauh tersasar berbanding sebelumnya.

"Saya akui pihak Red Films begitu teliti dan cerewet dalam soal penerbitan bagi menghasilkan sebuah karya yang sempurna dan kemas. Bayangkan, sesuatu yang saya pelajari, menerima skrip dan bersetuju untuk melakonkan watak saja belum satu pengesahan atau jaminan sebaliknya pengarahnya, Bernard Chauly masih menyediakan kelas latihan lakonan dan mendalami watak buat semua barisan pelakon sebelum memulakan penggambaran.

"Tolak ke tepi soal pengiktirafan, pengalaman dan poplariti, saya dan barisan pelakon lain termasuk Lisa, Tomok dan Aizat diwajibkan untuk menghadiri kelas latihan ini. Realitinya, inilah pertama kali saya diberi pengalaman begini yang mana pengarah masih ingin melihat setiap pelakonnya faham dan sedar akan kronologi setiap watak yang diberikan.

"Kiranya, sepanjang dua minggu dalam tempoh latihan ini, saya bersama pelakon lain berpeluang untuk membina keserasian dan mencari titik persefahaman untuk memastikan setiap watak yang dilakonkan terjalin dengan kemas mengikut imaginasi pengarah sendiri," katanya.

Beto yang melakonkan watak Harris dalam filem romantik komedi ini turut menyifatkan peluang dan ruang yang diberikan kepadanya oleh pihak penerbitan sesuatu yang begitu berkesan dalam menghasilkan lakonan yang lebih realistik dan penuh 'jiwa'.

"Jujurnya lakonan itu adalah seni yang sepenuhnya bersandar pada bakat serta kemampuan. Kredibiliti dan kesungguhan datangnya kemudian untuk menjadikan seseorang pelakon itu lebih matang dan baik. Justeru dengan adanya kelas latihan untuk mendalami watak dan pembangunan karektor seperti ini, ia ibarat jalan pintas kepada pelakon untuk lebih menagih ilmu lakonan dengan alternatif yang betul.

"Umpamanya watak Harris yang saya lakonkan, Bernard menekan saya untuk mengetahui siapa Harris itu secara keseluruhannya. Asalnya, hobi dan identiti dirinya walaupun ia langsung tidak diceritakan dalam filem. Penonton tidak akan dipaparkan mana-mana babak itu namun Bernard percaya jika seseorang pelakon itu
lebih faham akan siapa sebenarnya watak yang dilakonkan itu, ia akan meninggalkan kesan berbeza.

"Lantas cara Harris marah, kecewa atau senyum juga akan berbeza jika seseorang pelakon itu benar-benar mendalami watak itu," katanya yang mengharapkan mekanisme sebegini akan terus diterap menjadi budaya pembikinan filem.

Menyokong sepenuhnya perjuangan dan ideologi Beto untuk terus diberikan kelas latihan dan bengkel pembangunan watak sebegini oleh produksi lain, Lisa yang juga pelakon terkenal yang pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia yang ke-23 menyifatkan idea Red Films dan Bernard adalah baik untuk pembangunan industri sendiri.

"Saya banyak diberikan kepercayaan untuk melakonkan pelbagai watak dan karektor. Namun sebagai seorang pelakon, saya sentiasa terbuka untuk menghadiri mana-mana kelas atau bengkel lakonan untuk mengukuhkan lagi kredibiliti sebagai seorang anak seni. Lantas apabila saya diberitahu untuk menghadiri kelas latihan ini, ia sesuatu yang cukup menyeronokkan.

"Kami awalnya tidak langsung memegang skrip sebaliknya masing-masing hanya meletak sepenuh fokus kepada latar belakang watak yang dilakonkan. Justeru saya lebih luas berfikir dan membayangkan siapa sebenarnya Dian yang saya lakonkan itu," katanya.

Tambah Lisa, selain bengkel pemahaman watak dan pembentukan karektor itu, Istanbul Aku Datang disifatkan naskhah yang lebih mematangkan dirinya baik dari aspek lakonan mahupun komitmen dalam menjiwai watak.

"Watak Dian yang diberikan kepada saya memang seorang wanita yang begitu kuat namun banyak misteri di sebaliknya, punya objektif dalam hidup dan seorang yang begitu fokus pada pendiriannya. Permainan emosi perlu saya tekankan namun dalam masa yang sama, plot cerita dengan perjalanan watak itu tidak tersasar dari apa yang diharapkan pengarah.

"Pertama kali dipertemukan dengan Beto dan pelakon yang lain, ia jelas memberikan sebuah pengalaman baru buat saya terutamanya Aizat dan Tomok. Selain mereka adalah penyanyi popular yang mempunyai profil kerjaya nyanyian yang hebat, malah mereka khususnya Tomok yang beraksi menjadi kekasih saya begitu komited dengan lakonannya.

"Tidak langsung saya terfikir soal mereka masih baru kerana apa yang dipaparkan sepanjang menjalani kelas latihan dan ketika di lokasi penggambaran
di Istanbul sendiri, masing-masing sudah sedia dengan watak dan karektor. Apa yang boleh saya simpulkan, kesemua barisan pelakon juga tenaga produksi, masing-masing mengutamakan kerja dan begitu profesional dalam melunaskan tanggungjawab," katanya.

Rebut peluang menghadiri Malam Gala Istanbul Aku Datang

SINOPSIS filem romantik hebat ini mengisahkan perjalanan seorang gadis yang penuh kesungguhan dan percaya akan takdir cintanya, Dian lakonan Lisa Surihani yang sanggup terbang ke Istanbul untuk berada dekat kepada kekasih hatinya, Farouk lakonan Tomok yang juga pelajar jurusan kedoktoran di universiti di sana.

Dalam diam, niat Dian yang juga seorang penulis blog mengimpikan sebuah kebahagiaan dan keputusan yang akan mengundang seribu senyuman kepadanya, kononnya Farouk akan nampak kesungguhannya dan mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya.

Namun bagai kata pujangga dan pemahaman realistik yang kita tidak mampu mengubah takdir atau meneka apa yang sudah disuratkan kepada kita, segala impian dan objektif Dian itu semuanya tidak mengikut apa yang difikirkan.

Dian bagai merentasi sebuah pengalaman berbeza yang akhirnya menemukannya pula dengan seorang lagi lelaki juga pelukis, Harris lakonan Beto.

Pertemuan mereka yang awalnya memberikan ketegangan dan konflik bagaimanapun akhirnya memberikan satu keserasian. Dian tidak sedar yang kini dirinya berdepan kemelut kekasihnya, Farouk yang cemburu dan Harris yang mula mencerminkan sebuah kebahagiaan.

Dian keliru namun semua yang berlaku hanya mematangkannya dan memberikannya ruang untuk membuat keputusan terbaik untuk dirinya sendiri.

Bagi peminat dan pembaca Harian Metro yang ingin menyaksikan filem romantik komedi hebat terbitan Grand Brilliance dan Red Films yang diarahkan Bernard Chauly ini, anda bolehlah mengumpulkan lima keratan kepala akhbar Harian Metro dan membawanya ke Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar bermula jam 11 pagi ini.

Bukan sekadar menyaksikan filem hebat lakonan Lisa, Beto dan Tomok ini, malah 50 pembaca Harian Metro yang bertuah akan menerima dua keping jemputan untuk menghadiri Majlis Malam Gala Tayangan Perdana Istanbul Aku Datang pada 24 Oktober, Rabu ini jam 7 malam di GSC, Pavilion.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk merebut peluang menyaksikan filem ini dengan hadir sendiri ke Balai Berita. Hanya 50 pembaca pertama saja akan membawa pulang dua keping jemputan eksklusif ini.

Istanbul Aku Datang akan mula ditayangkan seluruh Malaysia pada 8 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Lagu beri jiwa

Posted: 22 Oct 2012 10:47 AM PDT

ATAS permintaan menggalakkan diterima daripada peminat sejak kejayaan pertamanya dua tahun lalu, filem Lagenda Budak Setan 2 Katerina kembali menemui penonton.

Sekuel filem diangkat ke layar perak berdasar novel remaja bertajuk Lagenda Budak Setan itu akan ditayangkan di pawagam pada 29 November ini.

Barisan pelakon Lagenda Budak Setan 2 Katerina ini diterajui Farid Kamil, Maya Karin dan Bront Palarae. Apa yang menariknya kali ini? Menerusi tayangan beberapa babak dipertontonkan kepada wakil media, filem ini memaparkan mesej kehidupan dan konflik kasih yang bertaut semula.

Pengarahan filem Lagenda Budak Setan 2 Katerina itu hadir daripada penerbit filem Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu, Sharad Sharan.


Sewaktu menyaksikan tayangan trailer Lagenda Budak Setan 2 Katerina

di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Sharad beritahu filem yang bakal menyusul kali ini memuatkan tiga lagu menarik yang menepati plot cerita mahu ditonjolkan.

Selain Farid dan Maya, tayangan trailer itu turut dihadiri oleh salah seorang daripada tiga penyanyi lagu runut bunyi, Ning Baizura serta penulis novel, Ahadiat Akashah dan eksekutif produser, Renu Sharan.

Kata Sharad, semua aspek pengarahan adalah idea asli dan semula jadi tanpa menceduk sana sini.

"Ramai sudah tahu kesan emosi dicetuskan oleh Ombak Rindu kepada penonton, tetapi Lagenda Budan Setan 2 Katerina ada beberapa lagu yang sedap.
Memandangkan benua Asia memiliki ramai penggemar muzik dan lagu, filem itu ada lagu menarik yang akan menjadi salah satu 'strong-point' untuk memastikan mereka terhibur.

"Lagenda Budak Setan 2 Katerina menampilkan tiga lagu menarik nyanyian Ning, Adira dan Bijah. Saya sendiri memilih lagu Sejati sebagai salah satu runut bunyi filem ini selepas memilihnya daripada 10 lagu diberi diberikan komposer.
Proses memilih lagu mengambil masa enam bulan.

"Bagi saya, muzik dan lagu 'passionate' memberi jiwa kepada sesebuah filem seperti kita lihat di India dan Indonesia. Apapun, saya tidak meniru atau merujuk kepada mana-mana filem negara terbabit sepanjang pembikinan Lagenda Budak Setan 2 Katerina," katanya.

Kata Farid yang membawa watak Kasyah, Lagenda Budak Setan 2 Katerina memberi peluang mempelajari perkara baru terutamanya realiti hidup.

"Antara perkara baru saya pelajari adalah melalui pengalaman terutamanya ketika menghadapi kematian. Ia seolah-olah perasaan seperti mati yang berulang-ulang sewaktu melalui perjalanan hidup menuju masa depan.

"Malah, saya juga merasai sendiri bagaimana menjaga dan membesarkan seorang anak yang tiada ibu sepanjang penggambaran itu. Jadi ia antara 'feel' yang memberikan perasan hebat sebagai seorang manusia.

"Apapun, watak dalam Lagenda Budak Setan memberi impak dan kini menjadi satu ikon popular. Sekuel ketiga filem ini juga akan menemui penonton pada 2013," katanya.

Maya, yang mencipta kejayaan hebat menerusi lakonan Ombak Rindu, berkata, dia mengambil masa selama dua minggu menjiwai watak Katerina. Lagipun sudah lama tidak bergandingan semula dengan Farid dalam sebuah filem.

"Watak Katerina memberi apa saya harapkan. Dia sentiasa berjuang untuk mendapatkan apa dimahukan. Harapan saya semoga penonton akan terhibur dengan apa cuba diberikan pada tahap terbaik sebagaimana lakonan dalam Ombak Rindu sebelum ini dan paling penting, buat penonton gembira selepas keluar dari panggung," katanya.

Renu Sharan pula berkata, kos membuat filem dianggarkan sekitar RM2 juta.

"Setiap aspek pengarahan dalam proses menyiapkan filem itu dibuat dengan teliti dan sentiasa mencabar kru produksi. "Kami tidak cuba mengikut atau mengambil formula lain pernah digunakan oleh pengarah lain. Kami harap ia akan menjadi satu lagi mencecah kutipan pecah panggung," katanya turut memberitahu proses menyiapkan keseluruhan dan 'mixing' filem dilakukan di Bombay, India.

Filem Lagenda Budak Setan 2 Katerina terbitan Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd mengisahkan kehidupan Kasyah enam bulan selepas kematian Ayu.

Kasyah masih murung atas kehilangan isteri tersayang, Ayu dan mencurahkan segala kasih-sayangnya terhadap anaknya, Athirah.

Katerina yang semakin pulih kekuatannya, berdepan semula dengan Kasyah.
Ketabahan dan ketenangan dipamer Kasyah membuatkan Katerina kagum kepadanya.

Kemesraan mulai terjalin, tetapi ditentang oleh ibu Katerina, Sofea. Sofea tidak berpuas hati kerana Kasyah menjadi punca penyebab Katerina kecewa sehingga hampir membunuh diri selepas Kasyah menikahi Ayu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23