Berita Harian: Hip |
Posted: 22 Oct 2012 03:41 PM PDT Dua bulan selepas nikah, pelakon jelita ke Australia ikuti kursus penerbitan PENGORBANAN besar terpaksa dilakukan pelakon jelita, Diana Danielle apabila dia harus meninggalkan bakal suaminya, Farid Kamil demi cita-cita. Dua bulan selepas diijab kabul, Dee dijangka berangkat ke Australia bagi mengikuti kursus intensif penerbitan di National Institue of Dramatic Art (NIDA) di Sydney selama setahun.Walau berat hati meninggalkan Farid, keputusan itu dibuat selepas mereka berbincang. Bakal suaminya merestui keputusan Dee, malah Farid dijangka sibuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) pada waktu sama. "Ini juga antara sebab kenapa kami mempercepatkan pernikahan. Apabila sudah sibuk dengan pengajian, tentulah rumit untuk belajar dan pada masa sama, menguruskan majlis pernikahan. "Sekurang-kurangnya, selepas urusan pernikahan selesai, tidak perlulah saya pening memikirkan majlis kahwin atau sebagainya. Lagipun, apabila ada ikatan yang sah, tidaklah ada orang mempersoal kunjungan Farid ke Sydney kelak," katanya. Dee barkata, dia tidak mahu impian melanjutkan pengajian terhalang selepas bergelar isteri. "Saya tidak mahu terlalu bergantung kepada kerjaya lakonan kerana bidang ini ada pasang surut," katanya. Bukan kaki enjoy Dee memberitahu, dia pernah menyatakan kepada Farid mengenai perasaannya yang iri hati melihat rakan-rakan menyambung pengajian di luar negara. "Farid faham kerana tahu usia saya yang masih muda serta keinginan saya untuk belajar. Lagipun jarak Sydney dan Malaysia bukanlah jauh, bila-bila masa dia boleh datang untuk berjumpa saya," katanya yang ditemui HIP pada siri jelajah Anugerah Skrin di e@Curve, kelmarin. Bakal disatukan dalam tempoh 12 hari lagi, pelakon Magika berusia 21 tahun ini tidak menganggap usianya terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Dee menganggap kesesuaian untuk berumah tangga tidak terletak pada umur. Baginya, asalkan sudah bersedia dan bertemu pasangan yang serasi, tiada sebab keinginan itu perlu dihalang. Apatah lagi hubungan dia dan Farid sudah terjalin sejak tiga tahun lalu, justeru mereka tidak mahu menangguhkan lagi hasrat suci itu. Mungkin ada yang menganggap usia Dee terlalu muda dan masih belum puas menikmati kehidupan solo. Namun gadis kacukan Melayu-Inggeris ini mempunyai sudut pandang berbeza. "Saya tidak pernah bimbang akan hidup terkongkong atau tidak boleh 'enjoy' selepas berkahwin. Ini kerana sejak dulu lagi, saya bukanlah seorang yang kaki 'enjoy'. "Saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan selalunya, rakan-rakan akan melepak di rumah. Lagipun apabila sudah suami, saya boleh ajak suami sekali jika ingin berseronok," kata Dee yang akan memperbaiki diri dalam ilmu masakan sebagai persediaan untuk bergelar isteri. Risau majlis kahwin 12 hari lagi Bercerita mengenai persiapan majlis perkahwinannya, kata Dee, semua sudah hampir 50 peratus siap. Katanya, kursus kahwin sudah dihadiri, cuma yang dirisaukan ialah perjalanan acara yang diharap berlangsung sempurna. "Perasaan saya lebih kepada risau dan pening kepala untuk memastikan semua persiapan siap seperti dirancang. Semua persiapan kahwin saya uruskan sendiri. Jadi ia sedikit sebanyak memeningkan kepala," katanya. Farid dan Dee akan bernikah pada 3 November di Hotel Flamingo, Ampang bertemakan perkahwinan tepi tasik. Memilih warna merah jambu dan putih, majlis persandingan akan diadakan pada 30 November depan. |
Habuan juara Maharaja Lawak Mega RM500,000 Posted: 22 Oct 2012 03:30 PM PDT Jozan, Boboi antara tujuh kumpulan wakili Malaysia bersaing dalam musim kedua Ganjaran wang tunai RM500,000 menanti juara program komedi terbesar, Maharaja Lawak Mega musim kedua. Program yang akan mula disiarkan secara langsung melalui Astro Warna dan pakej Mustika serta Mustika HD pada jam 10 malam 16 November ini, mengekalkan format sama. Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, berkata berikutan kejayaan musim pertama Maharaja Lawak Mega, Astro mahu mengangkat program komedi ke tahap paling tinggi."Jadi segala-galanya harus berubah termasuk hadiah wang tunai. "Jika tahun lalu, juara Osbon (Abon dan Os) membawa pulang wang tunai RM350,000, kali ini johan akan memenangi RM500,000," katanya ditemui pada majlis sidang media di Kuala Lumpur, semalam. Sementara itu, kumpulan pelawak popular Jozan sah menyertai program realiti ini, sekali gus menjawab teka-teki kononnya mereka berpecah. Kumpulan Boboi yang disertai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik turut membuat kejutan apabila menambah anggota baru iaitu Nabil Ahmad. Musim kedua juga memperkenalkan satu 'kerusi panas' yang akan mempertandingkan tiga kumpulan iaitu Balas, Kecik dan Mamu. Salah satu daripada mereka akan layak menyertai menyertai program ini. Wakil Malaysia Jozan (Johan dan Zizan) Wakil Indonesia Saywho (Eko, Bocil dan Vicha) Wakil Singapura Dadidu (AR Badul, Johan dan Arif Sudin). |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |