Harian Metro: Rap |
‘Terima kasih keluarga’ Posted: 18 Oct 2012 10:30 AM PDT KEMENANGANNYA di Asian Wave 2012, baru-baru ini, khabarnya membuatkan sang kekasih hati, Sharnaaz Ahmad, 25, berasa resah gelisah membayangkan hidupnya nanti terpaksa berjauhan dalam tempoh yang lama. Dia tidak pernah menghalang bahkan sangat menyokong keinginan Shila Amzah, 22, untuk menggapai cita-cita yang tertanam sejak kecil. Kegusaran yang bersarang di hati pelakon lelaki meningkat naik itu sehinggakan ada sumber memaklumkan, Sharnaaz merancang untuk melamar Shila atau setidak-tidaknya mengikat tali pertunangan terlebih dulu sebagai tanda kesediaannya untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius. Shila Amzah atau Nur Shahila Amzah ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaannya anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) dengan kerjasama Hai-O Enterprise Berhad dan saluran ntv7 serta 8TV di One Utama, Isnin lalu, diminta menjelaskan khabar angin berkenaan.
"Manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Kita berdua tidak mampu meramal apa yang bakal berlaku kelak. Bagaimanapun, saya tidak menafikan kami berdua serius dengan hubungan ini dan mahu ia berakhir dengan berita gembira," katanya. Mengimbas kembali detik gemilang yang dilakar anak sulung kepada pasangan penghiburr, ND Lala dan Fauziah Sarman (ibu), Shila diumumkan juara pertama Asian Wave 2012 pada 21 September lalu. Dia menjadi pilihan semua (10) juri yang mengadili pertandingan itu. Shila berjaya melepasi semua cabaran yang diberikan dalam pertandingan yang bertujuan mencari penyanyi terbaik di peringkat Asia bagi diletakkan menjadi ikon. Julung kalinya dianjurkan, Asian Wave 2012 disenaraikan sebagai program televisyen yang paling ramai mendapat sambutan apabila lebih dua bilion penonton menyaksikan pertandingan itu. Menerima jolokan 'superstar' oleh penyanyi terkenal juga juri, Eric Moo selepas berjaya membuatkan seluruh dewan bersorak untuknya dengan menyampaikan tiga lagu pada malam kemuncak termasuk Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu berbahasa Cina, Zheng Fu yang dipopularkan penyanyi tersohor Na Ying. Tatkala pusingan separuh akhir lagi, Shila menyampaikan lagu popular nyanyian Adele, Set Fire to The Rain dan Forever Love (Wang Lee Hom) yang memikat seluruh penghuni dewan. Kemenangan Shila itu secara tidak langsung memberikan ganjaran RM5 juta, trofi kemenangan, kontrak pengurusan dan rakaman serta beberapa lagi hadiah sampingan. Kejayaan itu sekali gus menandakan selepas ini, gadis tinggi lampai itu jarang berada di Malaysia memandangkan semakin sibuk mengembangkan karier nyanyiannya di China. Berdasarkan ceritanya, Shila sempat ditanya adakah selepas ini setiap undangan persembahan di negara ini perlu mengikut harga yang ditetapkan pihak pengurusan dan syarikat rakaman di sana. Shila berkata, sekiranya mengikut harga ditetapkan pengurusan di sana, dia mungkin tidak berpeluang menyanyi di mana-mana acara persembahan. Mendalami kenyataannya itu, seolah-olah membayangkan bayaran yang ditetapkan pihak pengurusan label rakamannya di China jauh lebih lumayan daripada apa yang diperolehnya sekarang. "Oh saya tak tahu, belum boleh cakap (sambil ketawa kecil dan menekup mulutnya). Serius saya tidak boleh mendedahkan apa-apa buat masa sekarang kerana abah (ND Lala) dan Pengurus Besar Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism), Ong Peng Chu, orang yang bertanggungjawab membawa saya ke sana masih dalam peringkat perbincangan. "Pihak kami sendiri pun masih berunding dengan pihak guaman di sini. Ini kerana cara pengurusan dan syarikat rakaman di sana sangat berbeza dari Malaysia. Mereka menawarkan kontrak yang mengikat artis untuk tempoh yang lama serta mempunyai perancangan jangka panjang. "Justeru, selagi ia belum menemukan kata putus, saya tidak boleh dedahkan apa-apa. Tetapi dakwaan bayaran untuk undangan persembahan akan mengikut harga yang ditetapkan pengurusan sana, saya rasa itu tak mungkin berlaku. "Sila-silap saya tidak berpeluang membuat persembahan. Mungkin ada sedikit perubahan pada harga tetapi ia setimpal dengan keperluan yang diminta penganjur," katanya. Pada malam apresiasi untuknya itu, Shila ketika diminta naik ke pentas memberikan ucapan diselubungi perasaan sebak tatkala bercerita mengenai pengorbanan ibu bapanya juga tiga adiknya. "Saya masih ingat ketika berusia lima tahun dan belum pandai membaca, kebetulan waktu itu ibu saya sedang mengalami alahan mengandung, abah membawa mama ke studio untuk memastikan mama dapat berehat. Sedang asyik abah menyanyi, tiba-tiba saya menangis. "Abah tanya kenapa saya nangis, saya cakap saya hendak menyanyi. Apabila abah tak izinkan, saya menangis lagi. Abah akur dan membenarkan saya masuk ke dalam studio dan selepas dipakaikan headphone, saya halau abah keluar. "Masa jurutera muzik memainkan lagu abah, saya menyanyi dan suara saya dirakamkan. Saya menyanyi sampai habis dan hafal keseluruhan lirik kerana abah sebelum masuk studio selalu berlatih. Suara saya itu diguna pakai dalam lagu itu. "Terima kasih kepada abah kerana membenarkan saya memakai headphone dan bertitik tolak dari peristiwa itulah menjadikan saya seperti sekarang," katanya. Memanjangkan lagi rasa terima kasihnya yang tidak terbatas kepada abah dan mamanya, Shila amat berterima kasih kepada tiga adiknya, Shafiq, 20, Shahir, 17, dan Shada, 14. "Kejayaan saya di Asian Wave 2012 tidak datang dengan mudah. Banyak perjalanan sukar sudah saya tempuhi dan untuk sampai ke tahap ini, ia memerlukan pengorbanan besar daripada orang terdekat di sekeliling saya. "Bukan sekadar ibu bapa tetapi adik-beradik saya juga terpaksa berkorban. Saya anak sulung daripada empat beradik. Disebabkan saya, adik-adik saya kekurangan perhatian yang sepatutnya mereka dapat. "Mama dan abah terpaksa menemani saya ke mana saja saya pergi supaya orang lain tidak mengambil kesempatan pada saya, tambahan pula saya mula menyanyi sejak kecil lagi. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik saya kerana memahami dan sering menyokong saya dari belakang dan berkorban untuk kejayaan saya. "Saya mahu mereka tahu saya sayangkan mereka dan apa yang saya lakukan sekarang ini, saya lakukannya untuk keluarga juga. Meskipun bergelar juara di Asian Wave 2012, ia sebenarnya adalah satu permulaan yang membuka pintu lembaran untuk ke peringkat lebih tinggi," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19 |
Posted: 18 Oct 2012 10:10 AM PDT JIKA melihat pada luaran, keadaan kesihatan pelakon veteran Kuswadinata yang kini menerima rawatan di Hospital Ampang tidak nampak seteruk mana. Walaupun terbaring, dia masih mengenali mereka yang melawatnya. Malah, dia juga mampu bercakap dengan baik dan bergurau ketika menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan ahli jawatankuasanya iaitu Salwa Abdul Rahman, Deen Maidin, Azizul Khamis dan Radhi Khalid. Bagaimanapun, mendengar keterangan doktor sedikit menerbitkan kerisauan buat keluarganya serta semua yang hadir. Apa tidaknya, dia yang dimasukkan sejak 7 Oktober lalu akibat komplikasi pendarahan ulser usus, kanser kelenjar dan masalah buah pinggang kanan rosak dikatakan mempunyai peluang tipis untuk hidup iaitu 50:50. Paling membimbangkan, pelakon bernama Kuswadi Bujang, 74, ini turut mengalami pendarahan dalaman yang serius. Keadaannya lemah dan bila-bila masa jantungnya boleh berhenti.
"Suami juga pernah mengalami ketumbuhan fostat yang serius sebelum ini. Kami reda dengan apa yang ditakdirkan dan Allah Maha Mengetahui segalanya. "Situasi kami juga sudah terkawal berbanding ketika awal-awal suami dimasukkan ke hospital dahulu," katanya yang memberitahu ini kali keempat Kuswadinata dimasukkan ke hospital. Pada 29 Julai lalu, Kuswadinata menerima rawatan selepas buah pinggang bengkak. "Dia ditahan di wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama 21 hari dan kemudian dibenarkan pulang pada Aidilfitri kelima. Ketika itu, dia kelihatan lemah dan selepas itu mengalami pendarahan akibat ulser pada 29 Ogos lalu," kata Kamariah. Bintang filem era Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang kini tinggal di PPR Hiliran Ampang ini mengalami masalah kesihatan kritikal sejak penghujung Julai lalu sehingga perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan. Akibat kanser kelenjar yang dideritai, Kuswadinata mendapatkan rawatan di Hospital Ampang sejak 5 September lalu dan berada di wad sehingga pertengahan September. Selepas itu, dia dibenarkan pulang seketika, namun terpaksa dirujuk ke Hospital Ampang semula selepas mengalami pendarahan. Freddie pula menyifatkan Kuswadinata seorang artis yang memberikan komitmen baik terhadap persatuan. Justeru, mereka tidak teragak-agak membantu "Inilah masanya untuk kami mengucapkan terima kasih terhadap sumbangannya selama ini. Sebagai 'public figure' sejak zaman Tan Sri P Ramlee, wajarlah kita kenang jasanya. "Kami bertuah ada kawan seperti dia yang percaya kepentingan persatuan untuk membantu mengembangkan industri seni tanah air. Walaupun sakit, Kuswadinata masih boleh bergurau dengan kami yang melawatnya. Dia memang suka bergurau. "Saya harap kita sama-sama doakan yang terbaik untuk dia. Tak perlulah kami dedahkan jumlah sumbangan yang diberikan. Yang penting kami cuba membantu kerana inilah tugas dan peranan yang perlu digalas persatuan buat artis yang memerlukan," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |