Berita Harian: Hip |
Posted: 06 Oct 2012 04:13 PM PDT Gabungan Ahmad Nawab, Jamal, Khaty hangatkan Konsert Gemilang di Kuantan Mempesonakan dan bertenaga. Walaupun usia mereka sudah mencecah setengah abad, kekuatan vokal Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim serta alunan saksofon Datuk Ahmad Nawab berjaya menambat lebih 500 penonton yang memenuhi Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang, ketika berlangsungnya Konsert Gemilang. Kehebatan mereka bukan saja mampu menyampaikan lagu malar segar dengan mantap seperti usia muda mereka, bahkan keligat Ahmad Nawab yang mampu beraksi meniup saksofon meskipun dalam usia 70-an membuktikan, orang lama tetap hebat jika masih diberikan peluang dan ruang, apatah lagi terus mendapat sokongan padu peminat.Konsert julung kalinya menampilkan tiga penyanyi dan pemuzik legenda negara diserikan lagi dengan keberangkatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom serta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Tirai konsert dimulakan dengan persembahan gemersik peniup saksofon tersohor yang mendendangkan sembilan lagu termasuk Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu yang pernah dipopularkan Ramlah Ram dan Bila Rindu Ku Sebut Namamu dendangan Siti Fairuz. Cukup mesra Khadijah atau lebih mesra dengan panggilan Khaty membuat persembahan seterusnya dengan mendendangkan 11 lagu popularnya yang jelas berjaya membuatkan penonton mengimbau kembali zaman kegemilangannya pada era 1980-an. Khaty juga berinteraksi dengan penonton dengan suasana cukup mesra, sekali gus mengubati kerinduan peminat untuk melihat aksinya secara live. Perjalanan seni Ketiga-tiga penghibur itu mempersembahkan keseluruhan 30 lagu secara medley yang mana kebanyakannya adalah lagu hasil ciptaan Ahmad Nawab. Menariknya, konsert berkenaan turut diselang-selikan dengan cerita dan pengalaman serta perjalanan seni ketiga-tiga artis berkenaan sehingga menyebabkan penonton terus melekat di tempat duduk masing-masing. Dalam pertemuan dengan media selepas konsert berkenaan, Khaty berkata, konsert itu adalah kolaborasi pertama yang menggabungkan mereka dan beliau bangga melihat kemunculan mereka mendapat sambutan baik daripada peminat di Pahang. "Saya difahamkan jualan tiket untuk malam ini (kelmarin) habis dan ia sedikit sebanyak membuatkan kami bersemangat untuk memberi persembahan terbaik untuk penonton. Kami juga berbesar hati menerima keberangkatan baginda Sultan Pahang yang sudi menyaksikan persembahan kami," katanya. Khaty juga berkata, penganjur memilih negeri berkenaan sebagai lokasi pertama konsert berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada Sultan Pahang yang sentiasa memberi sokongan jitu kepada artis tempatan. Sementara itu, Jamal pula berkata, walaupun kebanyakan lagu dipersembahkan menjadi hits dan siulan ramai sekitar tahun 1990-an, beliau melihat ramai generasi muda turut datang menyaksikan konsert berkenaan. Ia sekali gus membuktikan bahawa lagu ciptaan Ahmad Nawab yang malar segar mampu bersaing dengan lagu baru yang berada di pasaran kini. "Penonton pula cukup sporting, malah ada yang turut menyanyi bersama kami. Keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan kelancaran konsert ini dan berbesar hati dapat menghiburkan penonton terutama Tuanku Sultan," katanya. Ahmad Nawab ketika ditanya mengenai perkembangan kariernya berkata, beliau merancang untuk menghasilkan album duet antara Jamal dan Khaty, yang mana projek berkenaan akan dimulakan sekitar tahun depan dan beliau kini sedang menyiapkan beberapa lagu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |