Kosmo Online - Hiburan |
Percaturan bakat, rupa, sensasi Posted: Percaturan bakat, rupa, sensasi"SALAM perkenalan. Nama saya Fatimah," ujar figura cantik ini menimbulkan sedikit kejutan. Kejutan tercetus kerana dia sebelum ini lebih dikenali dengan nama komersial, Emma Maembong. Sementelah apabila melihat dirinya yang berwajah Pan-Asia, seperti tidak percaya nama yang agak kemelayuan itu miliknya sejak lahir. Reaksi yang sama diraih sejak dia mula menceburi bidang seni dengan lebih serius bermula Jun lalu. Katanya, ramai yang tidak menyangka nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail. "Kalau orang yang rapat dengan saya biasanya menyapa saya Timah, yang baru kenal panggil saya Emma. Nama Emma itu singkatan Timah kalau disebut banyak kali dan laju-laju. "Maembong pula gabungan nama ayah saya, Ismail dan datuk saya Embong. Itu nama pena dia sepanjang berkarya sebagai pelukis negara," sesi pengenalan itu diteruskan ketika jurusolek Mimie Romyza mula mengoles wajah mulus gadis kacukan Melayu dan Scotland itu. Bakat luar biasa menggalas peranan gadis dianiaya ibu dan abang kandung sendiri dalam mencari sinar kebahagiaan dalam drama rantaian arahan Erma Fatima, Kau Yang Terindah secara jujurnya mencuri tumpuan ramai pihak. Pelukis Biar bukan melakonkan watak utama, hakikat yang harus diakui, dia antara pucuk muda yang perlu diberi perhatian. Pujian buat pelakon baharu yang tidak pernah menuntut ilmu daripada mana-mana institut khas seni lakon. "Barangkali darah seni itu mengalir sendiri daripada ayah saya yang gemar melukis dan minat luar biasa menonton wayang. "Apabila mula berlakon saya berasa diri saya terpisah dengan kecenderungan saya yang gemar melukis. Saya pernah beritahu ayah saya bahawa saya mahu jadi pelukis," ungkapnya. Membuka lembaran awal kisah hidupnya sebagai anak seni, kata Emma kerjayanya berlangsung dengan pantas. "Saya mahu menjadi pramugari dan meminta pertolongan kakak saya (Yaya Maembong) untuk mencarikan kerja kosong. "Kebetulan ketika itu kakak saya yang bekerja di belakang tabir diberitahu mengenai kekosongan watak untuk drama terbaharu Erma Fatima. Saya pun mencuba nasib. "Seminggu kemudian kak Erma mengajak saya bertemu dan minta saya membaca satu skrip. Selepas tiga hari, dia menawarkan watak Munirah dalam drama Kau Yang Terindah," katanya sebelum memulakan sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini. Peluang diberikan watak yang memerlukan dia sentiasa bersedih itu umpama rezeki yang datang bergolek. Tidak pernah terduga namun dalam masa sama melihat haluan itu sebagai medan menguji kemampuan diri. Kata Emma: "Itu satu cabaran menguji kemampuan diri, sekiranya ada yang memuji Alhamdulillah, kalau ada yang mengeji saya ambil komen itu sebagai panduan." Sebelum drama Kau Yang Terindah, Emma pernah membintangi sebuah drama terbitan Amazon Entertainment Sdn. Bhd. berjudul, Facebook Ustazah Shamsiah. Jadual Emma kembali padat sekembalinya ke set penggambaran drama bersiri 24 episod Rindu Rania bergandingan dengan Zack X-Factor, Elly Mazlein dan Erry Putra. Kali ini Emma diberi kepercayaan menggalas peranan utama iaitu sebagai Rania.
Seksi Bakat sahaja tidak cukup, nyata sekali industri kini meneliti rupa paras sebagai sandaran untuk pergi jauh. Hal itu diakui oleh Emma namun dalam erti kata lain karier sukses harus seimbang bakat dan rupa. "Saya tidak pernah meletakkan rupa atau asal-usul saya sebagai penanda aras malah kalau setakat ada rupa tapi otak kosong pun tak berguna. Rupa itu ekstra, yang perdana itu bakat serta ilmu," tegasnya. Pernah ketika awal pembabitannya ketika dia dicerca dan ditohmah dengan kutukan tentang mutu lakonan hambar, selain isu berpakaian seksi dalam akaun instagram, dia menangis. Namun tangisan itu sebenarnya penghapus segala kepedihan kata caci dan cubaan mereka sensasi. Ujar anak kesembilan daripada sebelas beradik itu, dia kini lebih kental. "Terima saja herdikan dan kritikan orang. Sedih itu ada tapi berilah saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya. "Saya hargai semua pandangan orang sekeliling dan menilainya sebagai satu nasihat untuk jadi lebih bagus. "Pernah saya dicemuh kerana berpakaian seksi dan ramai menyifatkan saya gadis yang sosial. Ya, saya akui saya pernah terkena kejutan budaya ketika usia 16 tahun tapi semua gambar seksi yang dimaksudkan itu adalah gambar-gambar lama. Saya juga tidak pernah ke kelab kerana saya antitempat ramai orang. "Saya minta maaf jika ada pihak yang kurang senang dan tersinggung dan mohon agar tidak dibangkitkan sejarah silam," pinta Emma merendah diri. Emma menjelaskan dia tidak mahu dilabel seorang gadis liar yang gemar berpakaian seksi kerana hakikat sebenar dia anak manja ayahnya. "Selepas ibu dan ayah saya bercerai, saya tinggal dengan ayah dan tidak pernah berjauhan dengan dia. Saya akui saya anak kesayangan dia dan dia segalanya bagi saya. "Sejak tingkatan satu saya diberi homeschool (belajar di rumah) dan tidak akan berenggang daripada ayah sampai sekarang," jelasnya. | ||
Johan rasa berbaloi tak berlakon filem Posted: Johan rasa berbaloi tak berlakon filemOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
SELEPAS Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz menyertai radio Era FM sebagai penyampai tetap tahun lalu, jarang sekali dia kelihatan di layar perak berbanding gandingannya dalam kumpulan Jozan, Zizan Razak. Zizan sebagai rakan seperjuangannya dalam kumpulan Jozan pula kini lebih ligat di layar perak manakala Johan seakan tenggelam selepas program Maharaja Lawak Mega tahun lalu. Selepas terlibat dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pada tahun 2010, Johan hanya kelihatan muncul dalam program lawak jenaka di Astro Warna sahaja. Ketika ditanya persoalan sama ada dia selektif dalam memilih watak menyebabkan kelibatnya jarang muncul, Johan pantas berkata, bahawa jarang berlakon filem disebabkan tidak dapat memberi komitmen kerana sibuk bekerja di konti sebagai penyampai radio. "Saya sibuk sekarang, walaupun orang tengok pukul 10 pagi saya sudah habis waktu kerja di radio, sebenarnya kerja saya masih banyak selepas itu misalnya, buat promosi lain bagi memudahkan kerja esok hari pula," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar pementasan Lawak Ke Der? 2 di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, jika dia menerima banyak tawaran berlakon filem, perkara itu dikhuatiri akan menjejaskan dan mengganggu masa dia sebagai penyampai radio pula. Johan berkata, jadual waktu yang tetap di konti turut menyebabkan dia sukar untuk memberi komitmen lain kerana seawal pukul 4.30 pagi dia sudah berada di situ dan pulang kira-kira pukul 12 tengah hari setiap hari kecuali hujung minggu. Ujarnya lagi, dia menganggap bekerja di konti berbaloi bagi kerjayanya kini memandangkan pendengar radio tersebut sudah mencecah 1.2 juta orang. "Saya anggap melepaskan peluang berlakon filem adalah berbaloi. Saya suka kerja saya sekarang. Kalau ada penggambaran filem saya kena balik awal dan tidur awal dan nanti terkejar-kejar pula," jelasnya. Dia turut memberitahu, sudah hampir dua tahun tidak berpanas di bawah matahari untuk mana-mana penggambaran drama atau filem. Dia sebaliknya hanya terlibat dengan penggambaran di dalam studio sahaja seperti untuk program Karoot Komedia di Astro Warna. "Tengoklah kulit saya lebih cantik dan putih sekarang sebab tidak buat kerja tengah panas," ujarnya berjenaka. Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia tidak laku untuk dijual dalam sesebuah filem atau menolak terus tawaran yang datang. Sebagai bukti, Johan bakal muncul dengan dua filem baharu arahan Afdlin Shauki iaitu Pontianak Vs Orang Minyak hujung tahun ini dan Papadom 2. "Saya tidak memilih untuk berlakon, tetapi kena tengok filem itu macam mana dulu baru boleh beri kata putus. Pada saya, berada di konti seperti berlakon 10 buah filem," jelasnya yang memberitahu menerima tawaran berlakon jika ia berbaloi. Ditanya pula tentang Zizan Razak yang lebih menonjol dan popular di kaca televisyen mahupun layar perak, Johan menjelaskan, sebenarnya dia tidak kisah tentang situasi tersebut. Apa yang lebih penting baginya, dia perlu memikirkan kerjaya yang dipilihnya sebagai penyampai radio. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |