Adsense

Rabu, 19 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu angin perubahan

Posted: 18 Sep 2012 10:21 PM PDT

RASANYA bukan sekadar pengkritik filem yang banyak mengomel, sebaliknya peminat hari ini pun sudah bijak menilai fakta bahawa aktres jelita kacukan Melayu-Thailand ini hanya muncul mewarnai karya terbitan Metrowealth (MIG) selaku syarikat pengurusannya.

Jauh mana langkahnya dan hebat mana pencapaian yang ada, persepsi skeptikal masih lagi berpaut, kononnya Intan Ladyana tidak punya cabaran dan saingan kerana hanya diterima berlakon di bawah syarikat pengurusan sendiri saja.

Hakikatnya ketika bertemu dengan pelakon yang cukup peramah itu baru-baru ini, MIG hanya institusi yang bertanggung jawab membentuk bakatnya namun kini bakat yang ada pada dirinya sudah pun diteroka produser dan pengarah luar MIG.

Andai ada siapa yang menganggap pemilik senyuman manis ini hanya bersandarkan produksi pengurusan MIG saja untuk terus bernafas, ia satu tanggapan silap kerana Intan tidak pernah berharap kepada satu syarikat saja untuk terus bertahan dan bergerak ke depan.


Bakat Intan jauh melangkaui persepsi mata sekeliling yang menganggapnya tidak berbakat dan hanya memperdagangkan wajah cantik. Kata mereka, jika ada pun tawaran yang datang semuanya sudah diatur dari pihak MIG sendiri.


Sangkaan ramai yang banyak mengatakan dirinya juga pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamad Yahaya hanya tampil mewarnai filem MIG memang salah sama sekali.

"Saya hanya ada dua buah filem saja bersama MIG tahun ini termasuk Adnan Sempit 3 dan Pada Suatu Cinta Dahulu serta drama siri Bini-Bini Ku Perkasa. Selebihnya tiga lagi filem bersama produksi luar. Mana mungkin ada yang berpendapat saya hanya popular kerana bersandar pada satu syarikat saja yang percaya akan bakat saya.

"Alhamdulillah selepas tiga tahun mencari tapak dengan MIG, makin ramai pihak luar yang yakin dengan kemampuan saya. MIG hanya satu permulaan yang membantu saya membentuk diri dan jiwa untuk menjadi seorang pelakon yang baik. Namun ruang dan peluang yang diberi itu tidak berlalu begitu saja kerana saya sentiasa peka untuk meneroka tawaran lain," katanya membuka cerita.

Jelas Intan mengukir senyum, jiwanya bersyukur kerana setiap pandangan dan persepsi orang lain itu adalah rahsianya dalam mengumpul semangat untuk menjadi lebih baik.

"Alhamdulillah akhirnya impian saya terlaksana. Nama dan bakat yang ada makin dikenali ramai dan itulah yang menjadi keutamaan saja sejak awal menjejakkan diri dalam industri ini. Saya ingin sekali orang lain dan pihak produksi luar nampak akan kemampuan dan kredibiliti saya dalam menghidupkan apa saja watak yang diberikan.

"Mana tidaknya, jika dulu ramai yang mengatakan saya hanya diberi peluang berlakon filem di bawah MIG saja namun 2012 memperlihatkan sesuatu yang positif dan lebih baik dalam profil lakonan saya. Rezeki datang tanpa henti dan lebih menariknya, saya diberi kepercayaan oleh produksi luar pula.

"Pihak Excellent Pictures Sdn Bhd umpamanya menawarkan saya watak untuk filem Apacelop, kemudiannya filem Sebelum Subuh terbitan 3 Line Productions dan Dampak pula terbitan Ops Productions. Kesemuanya satu eksperimen buat saya untuk bekerja dengan produksi luar dan masih baru dalam penerbitan namun itulah pengalaman baru yang makin memberikan saya pendedahan berguna.

"Malah filem Halimunan yang kini sedang hangat dipromosikan juga adalah sebuah filem terbitan RPL Empire yang pertama kali meletakkan saya dengan watak Sutera yang berbeza dan cukup menarik," katanya lagi.

Itulah pencapaian buat aktres berusia 30 tahun ini. Melihat kembali kesemua senarai filem lakonannya, Intan punya peningkatan positif dalam persembahan dan bakatnya.

Malah selepas dicalonkan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem tahun lalu menerusi filem Bini-Biniku Gangster, Intan bukan lagi pelakon tempelan yang hanya wujud dalam industri namun fungsinya tiada siapa yang nampak.

Jelasnya yang mula dikenali menerusi drama siri Puteri sebelum ini, itulah rezeki dan hatinya sentiasa percaya dengan kesungguhan dan disiplin yang dipamerkan selama ini akan membuahkan hasilnya.

Lebih menariknya dan rancaknya perbualan petang itu apabila pelakon kurus tinggi ini berhasrat untuk beranikan diri melangkah membina nama sendiri tanpa lagi bersandar pada syarikat pengurusannya itu.

Berbaki lagi dua tahun kontraknya, Intan memasang niat untuk bergerak sendiri untuk melihat percaturannya nanti.

"Saya bertuah kerana David Teo banyak membantu selama ini. Dia sudah bukan seperti majikan lagi sebaliknya lebih kepada seorang abang yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar. Bukan saja soal lakonan malah David acap kali membuka mata saya akan soal masa depan, perancangan seorang pelakon dan bagaimana untuk memasarkan diri ke luar.

"Justeru semua itu saya jadikan sebagai pengajaran yang melengkapkan lagi diri. Kini saya fikirkan sudah tiba masanya untuk berdiri sendiri dan membuka peluang yang sama kepada mereka yang masih baru dan memerlukannya. MIG ada ramai bakat baru dan saya rasa sudah tiba masanya mereka pula diberikan perhatian dan peluang yang lebih.

"Seperti apa yang selalu dipesan ibu kepada saya, jangan terlalu lama berada di takuk selesa kerana bimbang ia akan meleset kalau khayal dan leka. Jadi saya berhasrat untuk bergerak sendiri tanpa MIG selepas tamat kontrak nanti. Harap-harap ia akan memberikan saya lebih kebebasan untuk mencuba produksi lain nanti," katanya yang pernah membintangi banyak filem di bawah MIG termasuk Jangan Pandang Belakang, I'm Not Single, Adnan Sempit, V3 Samseng Jalanan, Kembar Siang dan Flat 3A.

Mengakui hasrat untuk meninggalkan MIG tidak semudah bibir mengucapkannya, Intan bagaimanapun yakin rezeki itu ada di mana-mana dan mengharapkan akan ada pihak lain yang menaruh kepercayaan kepada lakonannya.

Meskipun sudah basi dan acap kali dibentangkan di depannya, persoalan mengenai cintanya dengan aktor terkenal, Kamal Adli bagai sudah menjadi soalan rutin untuk disoal kepadanya.

Sudah lama menjadi tatapan umum dan perhatian media, kisah percintaan mereka yang sudah merentas lebih tiga tahun ini hanya menanti pengumuman kedua pihak bagi mengesahkan langkah seterusnya.

Namun sudah dijangkakan, mengenali Intan lama sudah, menerjah persoalan yang sama, jawapannya tidak sekali berubah.

"Kami berdua masih seperti biasa. Menjalani hubungan kekasih seperti yang lain, ada pasang dan surutnya. Namun alhamdulillah kami berdua sudah cukup kenal antara satu sama lain yang mana keserasian dan persefahaman itu sudah ada.

"Insya-Allah jika ada jodoh pastinya saya akan berkongsi dengan peminat semua. Untuk apa pula kami berahsia jika ia perkara yang baik cuma buat masa kini, masing-masing hanya sibuk menumpukan pada kerjaya agar semakin kukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/18