Adsense

Rabu, 26 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Nora belum temui pengganti

Posted: 25 Sep 2012 05:02 AM PDT

RIUH-RENDAH studio petang itu melihat gelagat aktres jelita ini melayan kerenah putera tunggal kesayangannya yang tidak henti mengusik ibunya yang cuba mencari posisi terbaik tatkala wajah dirakam.

Sesekali tampak Nora berpesan kepada Putra Rayqal Ramli yang kini sudah pun hampir empat tahun usianya agar tidak lupa bersalam dengan sesiapa yang menegur.

Hakikat dan realitinya, itulah Nora Danish Mohd Hanif jika tiada status selebriti padanya. Orangnya bersahaja, ringkas dan gemar mengukir senyum walhal mengenali gerangan si pemilik wajah kacukan Melayu-Myanmar sebagai pejuang seni, tidak sesaat dirinya lengang daripada dihimpit kontroversi.

Apa saja yang dilakukan, ada saja yang datang bercerita.


Usik Nora membuka bicara, itulah harga yang perlu dibayar dan sejak awal lagi pembabitannya dulu, soal gosip adalah rencah hidup yang akhirnya memberikannya lebih semangat untuk berdiri.


"Jika ada yang menegur, peduli dan tidak henti bercerita, maknanya diri kita diberi perhatian. Mungkin mereka sayangkan saya, kerana itu mereka mengambil berat," katanya berseloroh.

Bagai pepatah yang tidak pernah lapuk, jika takut dilambung ombak, usah bermimpi berumah di tepi pantai.

Pegangan yang sama Nora simpan kerana baginya, segala macam yang pernah terpalit pada nama dan reputasinya adalah kunci kepada ketabahan yang terus mematangkan dirinya lagi.

"Memang tidak pernah rasanya nama saya senyap dan sepi daripada kontroversi. Sejak muncul dalam drama siri Puteri lagi, ramai sudah memberi perhatian dan hingga kini, apa saja yang saya lakukan, pasti akan lekas menerima reaksi terutamanya peminat yang sememangnya ingin memastikan segala-galanya sempurna buat saya," katanya lagi.

Kronologi percaturan hidup pelakon jelita yang pernah membintangi filem Gila-Gila Pengantin Popular, Senario: Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti-Cuti Cinta usah lagi diceritakan.

Sebaliknya apa yang lebih diberikan fokus perjalanannya hari ini.

Nora pelakon yang disegani dan makin ramai memuji lakonannya. Lihat saja emosi Dhia dalam Tentang Dhia, wanita kental kelahiran Kuala Terengganu ini kemas menterjemahkan lakonannya. Drama Ariana Mikhail seterusnya membuatkan pelakon berusia 30 tahun ini mengukuhkan lagi empayarnya.

Namun seperkara yang mustahil disangkal, ada saja gosip berterbangan selari dengan pujian yang diterima. Terbaru, keserasian yang ada antaranya dengan pelakon Adi Putra menerusi drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pula dipersoalkan banyak pihak.

Belum sempat menjawab persoalan itu, namanya terus dikaitkan dengan isu berpakaian seksi untuk fotografi sebuah akhbar.

Bukan satu dua yang mencoret kritikan sebaliknya beratus-ratus komen diterima melalui laman sosial twitter, blog dan portal hiburan.

Kata Nora yang menyifatkan semuanya adalah permainan dunia seni yang sudah lali ditepis, itulah keistimewaan dirinya.

"Intim antara saya dan Adi adalah bagi menghidupkan watak sebagaimana yang diminta pengarah dan menterjemahkan skrip. Itu tanggungjawab dan komitmen yang harus saya berikan. Namun hubungan itu hanya sekadar di layar lebar dan depan kamera saja. Tidak sekali terdetik meleretkan keintiman itu hingga ke luar lokasi kerana kami berdua profesional dan berdiri atas landasan pelakon semata-mata.

"Cuma kelakarnya, senario penonton dan gelagat mereka yang menyaksikan kami sudah jauh berubah. Peminat dan mereka yang mengikuti cerita itu sebenarnya ingin apa yang kami lakon menjadi kenyataan. Ketika saya bertudung umpamanya, mereka mengharapkan ia akan terus saya gunakan hingga ke luar dan begitu juga dengan cinta.

"Peminat juga yang ingin melihat dua watak yang kami lakukan, Lisa dan Johan sebagai suami isteri dalam Aku Terima Nikahnya terus dibawa ke dunia realiti. Lihat saja komen yang diberikan kepada saya menerusi twitter dan Instagram, macam-macam yang mereka harapkan dan sudah tentu semuanya itu tidak mampu direalisasikan.

"Begitu juga dengan soal seksi dan berpakaian yang banyak kali saya ditegur. Saya terima dan menghormati setiap teguran itu kerana jujurnya saya melihat ia satu perkembangan yang baik buat diri saya secara peribadi. Setidak-tidaknya mereka sayangkan saya dan kerana itu tidak henti mereka berpesan dan menegur.

"Ia bagai satu doa yang terus memberikan saya inspirasi positif buat diri saya. Mana tahu, jika pesan itu berterusan ia akan mengubah diri saya. Semua itu kerja Tuhan dan saya terima dengan hati terbuka," katanya tersenyum.

Tambah Nora yang turut pernah membintangi banyak drama siri termasuk Arjuna, Putera Katak dan Ana Lu'lu, jiwa dan perasaannya tidak terkesan daripada kritikan itu walaupun ada kalanya bunyinya keras.

"Perjalanan hidup saya sendiri sukar diceritakan dalam selembar kertas kerana apa yang pernah berlaku adalah sesuatu yang cukup mencabar. Mujur jiwa saya kuat dan hati saya kekal optimis menelannya. Lantas segala kritikan yang saya terima hari ini, baik soal gosip dengan mana-mana lelaki, seksi dan apa saja, ia hanya sekadar gosip yang saya biarkan berlalu.

"Insya-Allah saya yakin dengan ketentuan Tuhan dan takdirnya," tambahnya.

Orangnya telus dan tidak berahsia, langsung tidak nampak lenggok berhati-hati dalam menyusun kata kerana sejak dulu, Nora lebih gemar berterus-terang agar tiada lagi rasa ragu atau kesangsian.

Jawapan sama masih diberikan tatkala ditanya mengenai kekasih hatinya.

"Saya tidak mempunyai sesiapa yang istimewa lagi. Sejak berpisah lebih empat tahun lalu, saya masih sendiri memberi tumpuan penuh kepada kerjaya, keluarga dan keutamaannya pada Rayqal yang makin membesar. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan sentiasa mengharapkan kebahagiaan ini berterusan.

"Tidak pula saya memikirkan soal mencari pengganti atau pasangan hidup buat masa sekarang kerana saya bersyukur dengan rezeki dan kepercayaan yang diberi. Alhamdulillah kerjaya lakonan makin rancak diterima dan banyak pihak percaya dengan kemampuan saya. Itu adalah pengalaman paling manis dan pastinya tidak sesekali ruang ini dipersiakan.

"Namun saya ada berkawan dan mengenali beberapa individu. Semuanya hanya kawan dan tidak pernah lebih daripada itu. Jika tertulis saya dipertemukan dengan mana-mana lelaki yang sempurna membimbing, saya akan kongsi dengan peminat nanti. Doakan saja segala yang baik buat saya," katanya.

Menyentuh soal lakonannya, Nora yang kini masih sibuk di lokasi penggambaran filem Legenda Budak Hostel bersama Along dan Angah akan mempersiapkan diri untuk Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam.

Selain itu, pelakon peramah ini akan muncul dalam dua filem lagi iaitu 2 Kalimah bersama Shaheizy Sam dan Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli.

"Alhamdulillah rezeki sentiasa ada dan kini saya akan sibuk pula membelek skrip baru, Anak Jantan yang akan memulakan penggambaran hujung bulan ini. Istimewanya, saya berpeluang berlakon bersama pelakon kegemaran saya, Bront Paralae dan Farid Kamil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Cabaran di belantara

Posted: 25 Sep 2012 04:49 AM PDT

PERNAHKAH terfikir saat diri terperangkap di tengah padang pasir paling panas dan kering di muka bumi atau tersesat di hutan belantara seorang diri, sementara bekalan dibawa kehabisan? Usah panik, tarik nafas dalam-dalam dan senyum kerana ia memberi anda kekuatan tersendiri untuk mencari jalan keluar.

Ini antara tips ikhtiar hidup boleh diteladani menerusi rancangan terbaru Discovery Channel, 'One Car Too Far' yang akan disiarkan di saluran Astro 551 setiap Rabu, jam 9 malam mulai hari ini manakala siaran ulangannya setiap Isnin, jam 4 petang dan Khamis, 12 tengah hari.

Bagi penonton yang menggilai aktiviti sukan lasak serta kenderaan pacuan empat roda, rancangan ini pastinya ditunggu-tunggu siarannya.

Keseluruhannya rancangan realiti padat dengan aksi tanpa skrip ini memaparkan kehebatan dua teraju utamanya, Gary Humphreys dan Bill Wu menggabungkan kemahiran diri dengan penggunaan jentera moden, iaitu sebuah Jeep Wrangler untuk mengatasi setiap rintangan ditempuhi mereka.


Sebanyak lima siri rancangan ini yang bersiaran sejam setiap episod, penonton akan menyaksikan kecekalan Humphreys, bekas anggota Pasukan Khas Tentera dan Marin Diraja British dan pencinta kereta serta pelumba jalanan profesional berdarah kacukan Taiwan-Amerika dari California Selatan, Bill Wu mengatasi cabaran di persekitaran paling mencabar di Chile.


Bermula dengan jip berkenaan diturunkan ke lokasi mencabar di Chile, kedua-dua personaliti ini perlu mengesan kenderaan itu menggunakan gajet dibekalkan dan seterusnya memandu keluar ke kawasan selamat.

Jip itu ibarat 'nyawa' bagi mereka untuk menempuh laluan mencabar di kawasan gunung berapi bersalji, padang pasir Atacama dan hutan rimba, malah penonton turut disajikan pelbagai teknik unik, misalnya menggunakan telur mentah bagi menampal keretakan pada radiator.

Yang pasti setiap episod rancangan ini memaparkan 'cabaran hidup mati' kedua-dua personaliti ini yang perlu berganding bahu untuk kekal bertahan dan keluar dengan selamat.

Mampukah mereka bertahan dan melepasi semua cabaran dalam pelbagai keadaan persekitaran di Chile yang amat mencabar ini? Laksana watak MacGyver lakonan Richard Dean Anderson, Humphreys dan Wu perlu menggunakan apa saja sumber untuk menukar jip biasa itu menjadi kenderaan hebat.

Naib Presiden (Pembangunan Program) Discovery Networks International, Sarah T Davies berkata, rancangan One Car Too Far disiarkan di 210 negara di Eropah, Timur Tengah, Afrika, Asia Pasifik dan Amerika Latin serta Amerika Syarikat.

Katanya, penonton seluruh dunia pasti teruja untuk melihat dua karakter hebat, Humphreys dan Wu menjayakan rancangan realiti itu dengan cara tersendiri.

"One Car Too Far bukan sekadar rancangan realiti biasa malah konsepnya benar-benar unik yang menghiburkan. Kami menemukan dua pengacara sangat menarik, bukan saja lasak dan berwibawa malah lucu yang menjadi tarikan utama rancangan ini," katanya pada sesi temubual selepas taklimat di depan 20 wartawan antarabangsa.

Beliau selaku Penerbit Eksekutif rancangan itu berkata, mereka memilih Chile sebagai lokasi penggambaran kerana kepelbagaian lokasi menarik yang secara relatifnya belum terjejas oleh pembangunan.

"Dalam banyak negara yang dipilih, Chile paling sesuai kerana mempunyai segala-galanya dari segi kawasan yang mempunyai pelbagai bentuk muka bumi unik selain mudah diakses dari satu lokasi ke satu," katanya.

Sarah berkata, Chile bukan saja menjanjikan panorama menarik bahkan 'mengejutkan' dalam aspek misalnya cuaca tidak menentu yang memberi kesan kepada penggambaran.

"Bayangkan ketika kami mahu memulakan penggambaran di Hutan Simpan Huilo-Huilo langit begitu cerah dan cuaca baik, tiba-tiba bertukar hujan selama 12 hari tanpa henti siang dan malam. Ini adalah saat paling sukar dan mencabar termasuk kepada kedua-dua hos rancangan ini," katanya.

Pengarah dan Penerbit Rancangan itu, Nick O'Meally, berkata pemilihan Chile amat bertepatan kerana negara itu mempunyai banyak lokasi menakjubkan untuk difilemkan.

Begitupun, katanya sepanjang penggambaran, krew produksi sentiasa mengutamakan keselamatan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada Humphreys dan Wu.

"Misalnya dalam satu episod, kami meletakkan jip itu di puncak gunung berapi bersalji di selatan Chile yang mana Wu dan Humphreys perlu memandunya menuruni permukaan bongkah ais licin dan laluan yang amat curam. Cabaran kami adalah memastikan mereka turun dengan selamat," katanya yang pernah menjadi anggota Tentera British selama 17 tahun.

Sementara itu, One Car Too Far, akui Humphreys dan Wu menonjolkan nilai positif dari segi semangat setia kawan mahupun tips berguna ketika kecemasan kerana apa disiarkan adalah realiti sebenarnya dilalui mereka sepanjang penggambaran itu.
Menurut mereka biarpun mengetahui penggambaran diadakan di Chile, namun tidak menyangka cabaran yang bakal ditempuhi.

Humphreys misalnya, mengalami patah gigi terpaksa memburu binatang liar kerana kehabisan bekalan makanan serta hampir diserang hipotermia akibat cuaca sejuk melampau ketika penggambaran di kawasan hutan simpan itu.

Bagi Wu, antara cabaran besar adalah memandu di kawasan puncak gunung berapi yang dilitupi salji dan pada bila-bila masa boleh jatuh ke dalam gaung.

"Tanpa disangka ketika menuruni puncak itu, bahagian aci pacu (driveshaft) patah dan tayar belakang kiri terkeluar, saya terpaksa memandu amat perlahan dan berhenti setiap masa untuk membetulkan kedudukan tayar. Bayangkan untuk bergerak beberapa ela saja memerlukan masa berjam-jam," katanya.

Menerusi rancangan ini, penonton juga dapat melihat pelbagai gelagat serius dan lucu personaliti yang mempunyai karakter berbeza ini.

Menurut Humphreys, mereka langsung tidak mengenali satu sama lain, namun semakin serasi apabila terbabit dalam rancangan itu.

Wu pula berkata, karakter mereka berdua amat berbeza sama sekali dan menganggap ia keunikan cuba ditonjolkan oleh Discovery Channel kerana jika saling mengenali, segala apa yang dilakukan jadi lebih mudah dan berkemungkinan rancangan itu menjadi pertunjukan yang membosankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25