Harian Metro: Rap |
Posted: 14 Sep 2012 08:24 AM PDT LEBIH sedekad dia membekukan perasaan cintanya demi kecintaan terhadap muzik. Ada yang hadir untuk mengisi sedikit ruang kekosongan hati, namun semua cubaan itu dipatahkan. Hanya kini barulah dia bersedia membuka pintunya lantaran perjalanan selama 13 tahun sebagai anak seni menemukannya dengan pelbagai kepuasan. Dayang Nurfaizah Awang Dowty yang meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-31 pada 20 Julai lalu, sudah sedia untuk mencintai dan dicintai. Itulah perakuan jujur wanita berkulit sawo matang terkenal dengan gelaran Beyonce Knowles Malaysia itu saat bertemu di Rumah Terbuka Dayang Nurfaizah Wit Majlis Aids Malaysia, di The Boulevard Shop Office, Sentul, Rabu lalu.
"Sepupu yang jauh lebih muda pun sudah berkahwin sampai kadang-kadang itu Dayang merungut kenapa nak berkahwin muda-muda sangat. Bukannya apa, sebenarnya Dayang cemburu kerana Dayang belum ada teman lelaki," katanya ketawa. Ditanya, apakah dia terlalu memilih sehingga dirinya sukar didekati, bingkas Dayang, sifat itu perlu ada dalam diri seorang wanita lebih-lebih lagi berbicara soal masa depan. "Mahukan masa depan yang baik dan terjamin, wanita kenalah memilih mana boleh main ambil saja kerana apabila berkahwin wanita hak suami. Kalau sudah kahwin baru hendak menyesal sudah tiada guna. "Pun begitu, Dayang bukanlah seorang yang melihat kebendaan cukuplah lelaki stabil, ada visi, sedap mata memandang dan paling penting menerima diri dan kerjaya Dayang seadanya. Jika dia boleh menghormati wanita dan kerjaya mereka pasti rumah tangga dapat dijalani dengan baik. "Terus-terang bukan tidak ada yang datang menggoda sebelum ini. Cuma, Dayang sendiri yang membataskan dan tidak membenarkan diri dirapati kerana Dayang terlalu taksub dengan kerja. Dayang tidak mahu kehilangan cita-cita hanya kerana cinta. "Ada kekasih, bukan dia saja harus faham kita, tetapi kita juga perlu memahami mereka. Jadi, untuk kerjaya penyanyi seperti ini, Dayang perlukan lelaki yang sentiasa menyokong dan mendorong karier seni Dayang " katanya. Tempoh 13 tahun mengabdikan diri pada dunia nyanyian, apakah Dayang merasakan perjuangannya itu berbaloi? Jelas Golden Juara Teen Search 1997 yang melonjak dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu, dalam pada banyak lagi impian yang ingin dicapainya, ada beberapa pengalaman luar biasa dilalui sepanjang bergelar penyanyi. "Setiap manusia tidak akan pernah puas. Ada perkara yang sudah Dayang capai dan ada yang tidak. Namun, Dayang tidak akan berhenti mengejarnya. "Dari segi pembikinan album, Dayang bersyukur kerana berpeluang merakamkan album sebagaimana yang Dayang impikan. Tetapi selama usaha Dayang untuk diangkat dalam kelompok terbaik masih ramai tidak begitu memandangnya. "Mungkin belum masa Dayang. Sekarang ini pula makin ramai yang jadi penyanyi, benar kadang saya goyang, tapi Dayang percaya kemudian hari orang akan melihat pada bakat. "Apapun, selepas melayari dunia seni banyak kenangan indah Dayang lalui salah satu daripada peluang berduet dengan artis dan komposer Barat, David Foster. Di antara ramai penyanyi di negara ini, dia memilih Dayang," katanya. Mengemaskini kerjaya seninya, selepas muncul dengan album solo tahun lalu, Dayang & Cahaya, bakal melancarkan album istimewa iaitu album live yang memuatkan persembahannya bersama Anuar Zain ketika mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sekitar Mei lalu. "Idea ini tercetus selepas kami menjayakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas sekitar Mei lalu. Kami ada bercakap untuk merakamkan semula lagu yang dinyanyikan secara duet mahupun solo. Dayang mungkin menyanyikan lagu Anuar dan begitulah sebaliknya. "Dayang jangkakan ia satu kolaborasi yang cukup menarik dan album ini boleh dianggap baru kerana susunan muzik dilakukan semula termasuklah rakaman suara. "Apa yang menarik, penerbitan album ini nanti membabit nama besar yang sering Dayang gunakan khidmat mereka antaranya Jenny Chin dan Mac Chew," katanya. Sebelum menoktahkan perbualan, baru-baru ini, Dayang menerima Anugerah Kebesaran Sarawak bersempena ulang tahun kelahiran yang ke-91, TYT Yang Dipertua Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin Abang Barieng. Dayang dikurniakan anugerah Darjah Amat Mulia Bintang Sarawak (Ahli Bintang Sarawak-ABS). "Dayang memang tidak menyangka sama sekali menerima darjah ini dan berasa amat terharu kerana memperoleh anugerah itu dari Dipertua Sarawak sendiri yang menghargai bakat seni seperti Dayang," katanya. Selain menyanyi, sejak 2009, Dayang diiktiraf sebagai Selebriti Sokongan Red Ribbon oleh Majlis AIDS Malaysia untuk mencipta kesedaran mengenai transmisi gejala HIV/AIDS dan juga kesedaran mengenai hak orang ramai untuk memartabatkan kehidupan harian mereka, tidak kira siapa. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14 |
Posted: 14 Sep 2012 08:10 AM PDT KINI semua mengenai Korea menjadi perhatian di kalangan peminat. Daripada kecantikan negara itu, fesyen pakaian dan industri seninya, sering menjadi perhatian peminat termasuk di negara kita. Stesen TV9 yang menduduki tangga kedua sebagai stesen percuma negara turut peka dengan perkembangan ini. Tidak hairanlah apabila mereka memperkenalkan satu slot filem Korea diberi nama Saranghae khas buat penonton setianya. Slot itu menemui penonton setiap Ahad, jam 10 malam dan tayangan pertamanya bermula 26 Ogos lalu. Meskipun perlahan pada awalnya, Saranghae perlahan-lahan mendaki puncak populariti dan berjaya menarik lebih daripada setengah juta penonton. Pengurus, Kumpulan Pengurusan Jenama TV9, Mazliffah Ismail berkata, pihaknya sudah lama melihat fenomena demam Korea di Malaysia terutama demam K-Pop. Justeru TV9 tidak teragak-agak menghasilkan satu slot dari Korea di stesen mereka. "Memang kami melihat dalam kumpulan stesen Media Prima, drama Korea ada di 8TV. Jadi, kami juga terfikir mengapa tidak ada satu lagi satu slot Korea di ntv7. "Akhirnya filem pertama Lost & Found ditayangkan pada 26 Ogos disusuli filem My Boyfriend Is Type B dan My Wife Is A Gangster pada minggu berikutnya," katanya pada sesi pranonton filem Arang di Beanieplex, TGV, Sunway Pyramid, Petaling Jaya, baru-baru ini. Arang adalah sebuah filem genre seram akan ditayangkan pada esok, Ahad, jam 10 malam. "Tayangan slot Saranghae bermula pada minggu kedua Aidilfitri dan tidak dinafikan ketika itu sambutannya kurang menggalakkan. Awalnya kami memang bercadang menyiarkannya sebagai tayangan istimewa sempena Aidilfitri. Namun, mungkin kerana terlepas pandang, 'rating' masih rendah dengan 100,000 penonton. "Filem kedua ditonton 300,000 penonton dan seterusnya yang ketiga mencatat 600,000 penonton. Ia satu perkembangan baik. Telemovie Malaysia ditayang pada malam Rabu, filem Inggeris (Sabtu) dan Korea (Ahad)," tambahnya. Filem lain akan menemui penonton selepas ini ialah My Girl And I (23 September), The Relation of Face, Mind And Love (30 September), Unstoppable Marriage (7 Oktober), Sad Movie (14 Oktober) dan 19Nineteen (21 Oktober). "Filem yang ditayangkan lebih 80 peratus mempunyai unsur komedi romantik atau berunsur cinta sepenuhnya. Filem Arang pula dipilih kerana kami nak cuba pasaran sama ada filem seram diminati penonton," katanya. Sementara itu, TV9 dengan kerjasama syarikat pengedar filem Korea turut menganjurkan peraduan menarik buat penonton. Mereka yang bertuah akan menerima 2 tiket VIP ke konsert Big Bang Alive Tour di Indonesia dan sebuah kamera digital. Mereka hanya perlu menonton slot Saranghae sepanjang September (16, 23 & 30 September). Di sini 'bug' Saranghae akan muncul dengan kata laluan. Setiap kata laluan ini perlu dikumpul dan dihantar secara e-mel kepada: Untuk Oktober pula, mereka perlu mencari logo Saranghae dalam filem dan perlu mengambil gambar serta menghantar e-mel kepada contests@tv9.com.my. Peserta kesembilan juga yang memberikan ketiga-tiga kata laluan yang betul dipilih sebagai pemenang. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |