Adsense

Sabtu, 15 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jupe cacah kontroversi

Posted: 14 Sep 2012 05:00 PM PDT

Jupe diselar ulama apabila bahu kanannya bertatu dengan kalimat azan

Kemunculannya tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Bagaikan selesa membawa predikat itu, artis yang digelar bom seks Indonesia, Julia Perez ghairah mencipta satu demi satu kontroversi. Ia bagaikan resipi utama wanita bernama lengkap, Yuli Rachmawati ini untuk terus meniti di bibir peminat hiburan biarpun tindakannya itu bercanggah dengan norma agama.

Minggu lalu, Julia yang akrab dengan akronim, Jupe kembali mencetuskan kegelisahan masyarakat apabila mencacah bahu kanannya dengan kalimat azan, 'Hayaa 'alal falah'.

Keberanian pelakon filem Hantu Jamu Gendong, Bukan Cinta Biasa dan Jeritan Kuntilanak itu dikecam tokoh Islam yang menyifatkan perbuatannya itu sebagai keterlaluan dan menghina agama.
Ketua Umum PP Pemuda Muhammadiyah, Dr Saleh Partaonan Daulay menyelar tindakan Jupe yang disifatkannya mendatangkan impak negatif kepada masyarakat jika tidak ditangani pihak berkuasa.

"Jupe sering mencari sensasi yang tidak sesuai norma agama. Tatu itu tidak sesuai dengan adat dan budaya masyarakat di Indonesia yang majoriti beragama Islam.

"Kami berharap pihak berkuasa menyiasat apakah yang dilakukannya itu disengajakan kerana perbuatan Jupe itu menghina agama. Jika perlu dia ditahan," kata Saleh ketika dihubungi wartawan, baru-baru ini."

Sensasi murahan

Menyifatkan tindakan Jupe itu sebagai memperlekehkan agama, Saleh juga menggesa pengusaha hiburan tidak lagi mengundang artis itu dalam persembahan kerana ia langsung tidak membawa kebaikan kepada masyarakat.

"Tidak sepatutnya seorang artis itu memberi contoh tidak baik kepada masyarakat. Siapa Jupe? Di setiap penampilannya, selalu menampilkan sensasi murahan," selar Saleh lagi.

Jupe bagaimanapun, mengunci mulut apabila langsung tidak memberikan sebarang kenyataan selepas kontroversi yang mengundang polemik itu.

Bangga menjadi janda

Gelaran janda yang sudah tiga tahun digalas wanita berdarah Sunda-Betawi itu bukan sesuatu yang menakutkan, meskipun dirinya tidak terlepas daripada didekati lelaki yang cuba mengambil kesempatan.

Jupe berkata, dia bangga menyandang status janda dan gelaran itu tidak memberikan apa-apa perbezaan kerana penyanyi lagu Siti Nurbaya itu menjalani hidup seadanya.

"Sama ada bergelar janda atau sebaliknya, ia berbalik kepada hati. Dulu janda dilabel sebagai perosak kebahagiaan orang, malah saya pernah mengalami pengalaman itu apabila suami didekati wanita lain.

"Tetapi hari ini, imej itu sudah hilang. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya pernah merasai jatuh bangun dalam perkahwinan jadi tiada apa yang menggusarkan saya lagi.

"Saya pernah bernikah, lebih baik janda daripada andartu. Status janda itu tidak selalu buruk, malah lebih bebas apabila sering dilirik orang," katanya.

Sempat bercanda Brad Pitt juga terpesona dengan penampilannya, Jupe berkata, biarpun selesa membawa gelaran janda namun itu bukan bermakna dia ingin selamanya sendirian.

"Saya mahu berkahwin lagi kerana inginkan zuriat," kata Jupe yang pernah keguguran pada 2007 ketika bergelar isteri kepada Damien Perez.