Harian Metro: Rap |
‘Hidup saya masih kosong’ Posted: 13 Sep 2012 08:46 AM PDT JAUH di sudut hati, dia cemburu melihat semua teman sebayanya sudah berkahwin dan membina keluarga masing-masing. Itulah juga yang didambakan Siti Elizad (Ejad), 27, saat ini. Bukan terdesak untuk berkahwin, tapi naluri keibuannya yang begitu kuat kerana tidak sabar untuk memiliki cahaya mata daripada darah dagingnya sendiri. Setiap kali ditemubual, topik jodoh dan anaklah yang tidak pernah lekang daripada bibir pelakon yang bakatnya digilap menerusi filem Berlari Ke Langit, Gangster, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cinta Nan Satu, Main-Main Cinta dan Rock ini. Bergelar anak perempuan tunggal daripada lima beradik yang semuanya lelaki, pasti hidupnya berasa kosong dan sunyi sejak pemergian insan yang paling rapat dalam hidupnya iaitu arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh, 62, dua tahun lalu. "Maklumlah, adik-beradik saya semuanya lelaki dan semuanya sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Sejak pemergian mama, bapa dan adik-beradik lelaki memang sangat berharap saya segera bertemu jodoh supaya ada orang yang boleh menjaga sakit pening.
Kata pemilik nama sebenar, Siti Elizad Mohd Sharifudin yang pernah digosipkan dengan penyanyi Hattan ini, dia sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga, cuma belum bertemu calon suami yang sesuai lagi. Jika artis muda lain ramai bertemu jodoh tahun ini, Ejad pula nampaknya belum bernasib baik dalam percintaan lagi. "Saya baru saja putus cinta dan sudah kembali solo lagi sekarang. Jika bertemu calon yang sesuai, saya tak akan tunggu lama-lama dan ingin terus kahwin saja. "Insya-Allah, buat masa ini, saya sibuk kumpul duit untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, tahun depan. Selain beribadah, saya juga ingin berdoa di depan Kaabah semoga bertemu jodoh yang baik yang mampu membimbing saya dunia dan akhirat," katanya. Ketika ditemui, Ejad yang buat 'comeback' selepas dua tahun menyepi memberitahu, dia baru selesai penggambaran drama bersiri Opah generasi baru, bulan lalu yang cukup popular di stesen RTM satu ketika dulu. "Saya bawa watak pembantu yang juga isteri pada seorang peguam yang juga cucu Opah generasi yang rata-ratanya menampilkan wajah baru. Watak saya pula suri rumah yang suka bantu orang yang dalam kesusahan. Penggambaran babak saya pun banyak dibuat dalam rumah saja. "Saya juga menjadi artis undangan dalam filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham terbitan Excellent Pictures yang disiarkan di TV3. Selain itu, saya juga berlakon watak pembantu dalam drama bersiri Lelaki Yang Dicintai dengan menjadi adik kepada pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) dalam cerita ini. "Ia juga menampilkan Dira Abu Zahar, Datuk Eizlan Yusuf dan Eja. Tidak ketinggalan, ada dua hingga tiga tawaran berlakon, tapi saya perlu meneliti skripnya terlebih dulu," katanya. Ditanya sama ada pelakon yang digilap dari layar lebar sepertinya tidak kisah berlakon drama, Ejad akui drama dan filem ada cabaran dan pengalaman yang berbeza. "Saya tak kisah watak pembantu atau sekadar artis undangan saja kerana "Ada juga watak pembantu yang memberi kesan mendalam pada penonton atau orang ingat sampai bila-bila. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya melakonkan watak itu sebaik mungkin," katanya. Antara drama lakonannya sebelum ini ialah teraju utama Slot Akasia di TV3, Cinta Antara kita, drama bersiri Adnan Sempit The Series, telefilem komedi Bersalji Di Kuala Lumpur dan telefilem Jamilah I Love You. Ejad impi jadi pereka fesyen terkenal BUKAN saja berbakat dalam bidang lakonan, ada sisi lain Ejad yang pasti ramai orang tidak tahu iaitu dia juga memiliki sentuhan dalam bidang rekaan fesyen. "Jika nak diikutkan, saya memang sudah lama meminati bidang rekaan fesyen kerana suka nampak cantik dan bergaya depan kamera. Pada masa sama, sebagai artis, kita perlu pastikan aspek penampilan sentiasa dititikberatkan. "Cuma baru sekarang minat dalam bidang rekaan fesyen dapat direalisasikan. "Jangan tak percaya, walaupun sudah bergelar selebriti, arwah mama tetap menjahit baju kurung atau baju Melayu kami adik beradik setiap kali tibanya hari raya. Arwah mama memang pandai menjahit bukan saja baju, malah langsir yang selalu ditukar untuk nampak berseri pada hari raya," katanya. Bagi membuktikan dia bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, Ejad juga memberanikan diri mengikuti kelas jahitan dan rekaan fesyen yang beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kursus jangka pendek itu mengambil tempoh selama lima bulan. Menjadikan pereka fesyen terkenal Zery Zamry dan Salikin Sidek sebagai sumber inspirasi, Ejad mengakui dia tidak kisah bermula dari bawah demi mengejar cita-cita dan impian menjadi pereka fesyen pula satu hari nanti. "Setakat ini, saya baru mempelajari asas dan teknik yang betul dalam bidang jahitan yang juga kemahiran diperlukan untuk menjadi pereka fesyen. Ia tidak terhad kepada baju kurung tradisional dan moden sebaliknya jubah, skirt dan sebagainya lagi. Jika semuanya berjalan lancar, saya merancang untuk tampil dengan koleksi baju sendiri nanti," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13 |
Belasungkawa: Perginya sebutir bintang Posted: 13 Sep 2012 07:14 AM PDT KELMARIN, tepat jam 7.05 malam, seniwati veteran, Raja Hamidah Raja Saat, 80, pergi buat selama-lamanya akibat penyakit barah payudara. Allahyarham yang juga isteri kepada pengarah filem legenda, Allahyarham Salleh Ghani menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang Gate, Hulu Klang, Selangor. Anak seni yang berasal dari Johor Bharu, Johor itu mula menceburi bidang lakonan seawal usia 18 tahun iaitu pada 1948 apabila membintangi filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master of New York Ins. Raja Hamidah yang bekerja di Shaw Brothers dengan gaji bulanan RM150, mula menyemai bakat lakonannya dalam filem-filem terbitan Shaw Brothers arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti Musang Berjanggut, Orang Minyak dan Hang Tuah. Dalam filem yang amat popular itu, dia berlakon sebagai anak gadis Udo Omar, salah seorang pembesar negeri yang mahu menjodohkan anak mereka dengan P Ramlee. Imbas kembali kenangan lamanya, pada zaman mudanya Raja Hamidah jarang diundang berlakon oleh Allahyarham suaminya. Hanya selepas lama berkahwin, barulah Salleh Ghani mengambilnya berlakon dalam filem arahannya seperti Jalak Lenteng, Ibu Ayam dan Anak Manja. Selepas mereka sekeluarga menetap di Kuala Lumpur, Salleh mengambilnya pula berlakon sebagai pelakon pembantu dan berwatak antaranya dalam filem Ribut Barat dan Pertentangan. Ketika hayatnya, Raja Hamidah pernah menyuarakan rasa terkilannya apabila filem arahan arwah suaminya bagaikan tidak mendapat tempat di stesen televisyen hari ini. Keistimewaan lain Raja Hamidah, dia yang sememangnya meminati bidang lakonan dan nyanyian sejak kecil boleh memetik gitar dan pernah menyanyi bersama Allahyarham Wak Jasni (suami seniwati Neng Yatimah) serta menganggotai kumpulan Seni Wanita. Selain berlakon, dia adalah penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers. Kini, wanita peramah dan penuh keibuan itu tiada lagi di dunia ini. Ramadan dan Syawal lalu adalah yang terakhir diraikan bersama 12 anak, 24 cucu dan saudara maranya. Meskipun dia tidak berdaya lagi untuk membuat persiapan Syawal kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot namun dia tetap gembira kerana dikelilingi keluarga. Pelakon watak Mak Lenggang dalam drama Tragedi Sri Mersing ini, meninggalkan 12 anak termasuklah Pengarang Rencana Metro Ahad, Adam Salleh, 48. Anak-anaknya yang lain, Normala, 56, Zulkifli, 55, Norasyikin, 54, Lukmarul Hakim, 53, Norshidah, 52, Mohd Nor, 51, Mariam, 45, Mohd Effendi, 44, Ahmad, 42, Abdullah, 40 dan Taib, 39. Dia mendirikan rumah tangga dengan Salleh Ghani pada 1955. Bagaimanapun di kala anak-anak semakin menuju usia dewasa, Salleh terlebih dulu meninggalkan keluarga besar mereka pada 28 Ogos 1986. Jenazah Allahyarham Raja Hamidah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate Hulu Kelang, tengah hari semalam. Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir adalah seniwati Latifah Omar, Aspelela Abdullah, M Daud, Bahyah Mahmood, Fazlina Ahmad Daud, Haleeda, Aznah Hamid, Sheera Iskandar, A Galak dan Raja Azmi. Al-Fatihah. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |