Harian Metro: Rap |
Posted: 11 Sep 2012 07:30 AM PDT HAMPIR sedekad berkecimpung dalam bidang seni sudah cukup mematangkan penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu dan Semuanya Ada Di Sini, Farawahida Razali untuk belajar erti berdikari dalam menguruskan karier seninya. Gadis yang mesra disapa Fara dan mendapat jolokan 'Kajol Malaysia' ini juga percaya, dia sudah cukup ilmu dalam selok-belok dunia hiburan sekali gus menentukan hala tujunya dalam bidang hiburan tanah air. "Bila sudah tiada pengurus artis, semua urusan karier seni termasuk undangan persembahan daripada penganjur, saya lakukan sendiri. Kalau dulu, saya hanya menyanyi saja kerana semuanya diuruskan pengurus artis. Kini, tidak lagi. "Setiap kali menjayakan undangan persembahan di serata tanah air, saya akan ditemani mama. Pada masa sama, pengurus artis berpengalaman, Sariah Idris pula banyak membantu dari segi publisiti dengan pihak media, sejak dulu.
"Single pertama, Jangan Tanya Aku Lagi sudah diputarkan di beberapa stesen radio tempatan selama setahun. Sambutan peminat pada single itu juga positif menerusi komen diberikan di laman sosial YouTube dan sebagainya. "Bila buat persembahan, sekurang-kurangnya peminat tahu itu lagu baru saya. "Namun, saya saya masih mencari material untuk single kedua. Maklumlah, bila kita keluar duit sendiri, pasti saya mencari lagu yang bagus untuk single kedua yang dijangka siap pada penghujung tahun ini," katanya. Secara peribadi, Fara akui jiwanya lebih pada lagu berkonsep balada seperti album terdahulu yang mendapat sambutan daripada peminat. "Kalau dulu saya suka lagu berentak catchy seperti lagu Tanpamu dan lagu Jangan Tanya Aku Lagi pula lagu konsep balada. Bagi single kedua ini, saya ingin tampilkan lagu berentak moderate sekali gus mengikut trend pasaran muzik semasa. Sambutan yang diterima pada single pertama adalah permulaan yang cukup baik untuk saya tampil dengan single kedua pula. "Saya memang suka bekerja dengan Manusia Putih seperti single pertama tapi buat masa ini, dia pula sibuk buat lagu artis lain. "Saya juga tidak ada masalah untuk bekerja dengan komposer baru yang berbakat dan tampil dengan idea yang segar mengikut aliran muzik semasa. Kalau komposer ternama pula, saya juga mengagumi hasil karya Datuk M Nasir," katanya. Walaupun cintanya tetap pada bidang nyanyian, Fara juga sempat mencuba bakat dalam bidang lakonan menerusi filem genre komedi Baik Giler arahan Manchi bergandingan dengan Zizan Raja Lawak sebelum ini. "Ternyata penonton beri komen positif pada lakonan saya sebagai Suraya yang juga kekasih kepada Zizan dalam filem pertama lakonan saya ini. Saya memang menjadi diri sendiri dalam filem itu. Ramai yang beritahu, saya boleh berlakon selepas menonton lakonan saya itu dalam filem berkenaan yang menjengah pawagam tanah air, 27 November lalu. "Bagi saya, bidang nyanyian tetap nombor satu kerana ia sudah sebati dalam diri. Saya juga berlakon bila ada kelapangan kerana ingin mencabar diri sendiri. Selain cerita komedi, saya juga teringin untuk mencuba watak dalam filem hantu pula selepas ini," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11 |
Terjemahan berbeza Adam & Hawa Posted: 11 Sep 2012 07:18 AM PDT MEMANTAU telefilem atau drama rantaian televisyen pun sudah cukup membuatkan rasa pening kepada seseorang penerbit. Bukan saja meninjau keseluruhan perjalanan produksi ketika penggambaran, malah setiap inci proses penerbitannya juga adalah penting dan tidak mudah untuk memastikannya sempurna mengikut kriteria asal. Apatah lagi dengan pembikinan drama bersiri 80 episod seakan sinetron yang sudah pasti lebih memberikan cabaran dan tekanan. Adam & Hawa yang kini mula ditayangkan di saluran 134, Astro Mustika HD terbitan Global Station Sdn Bhd adalah contoh terbaik yang mencerminkan perjalanan sebuah produksi dalam memastikan keseluruhan 80 episodnya kemas dan menarik. Jika difikirkan secara logik, tidak mudah untuk mengembangkan plot ceritanya, apatah lagi menuntut komitmen dari barisan pelakon dan tenaga produksi. Itu belum lagi dengan proses penerbitan dan tanggungjawab pihak penerbitnya pula.
Mengendalikan jadual dan segala persediaan, memantau perjalanan produksi dan setiap lakonan bagi mencapai piawaian stesen televisyen, Adila melihat drama Adam & Hawa mengukuhkan lagi profil kerjaya selain menguji kredibilitinya dalam pelbagai aspek. Berbual dengannya yang kini berasa begitu bebas dan syukur selepas penggambaran drama siri 80 episod ini akhirnya berjaya dihabiskan selepas lebih lima bulan mengadap skrip yang sama, Adila berkongsi pengalaman barunya ini. Katanya kepada wartawan RAP, MURSHID EUNOS (murshid@hmetro.com.my), Adam & Hawa mampu mengukur kekuatan fizikal, ketahanan mental dan emosinya dalam mengendalikan sesebuah akaun drama siri yang dikatakan menarik dan tersendiri. RAP: Ceritakan bagaimana idea untuk menerbitkan drama siri 80 episod ini boleh muncul dan apakah keyakinan Global Station untuk mengambil risiko? ADILA: Kami punya panel penilai. Global Station adalah gabungan tenaga kreatif kami sekeluarga dan pastinya sebagai salah sebuah syarikat pengeluar drama televisyen yang sudah kukuh dalam lapangan seni, kami perlu meletak tanda aras dalam kerja lebih tinggi dari sebelumnya. Lantas kejayaan beberapa drama siri sebelum ini terutamanya Spa Q dan Suria Di Cordoba, banyak memberikan kami lebih semangat dan rasa yakin untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik kepada penonton dan juga pihak stesen televisyen. Justeru apabila penulis skrip, Rozie Rashid tampil dengan berani untuk mengolah dan menterjemah kembali naskhah terbaik tulisan novelis Aisya Sofea, mengapa pula perlu ada rasa takut. Saya sendiri membaca, meneliti dan menghayati plot cerita novel ini sendiri bagi mengenal pasti keseluruhan jalan ceritanya. Apa yang mampu saya katakan, Adam & Hawa punya kekuatan dan keistimewaan tersendiri hingga membuatkan saya khayal dan terbuai dengan apa yang diceritakan. Jalan cerita dan pembangunan setiap wataknya terutamanya Adam dan Hawa begitu kuat hingga membuatkan saya yakin untuk mengembangkannya menjadi 80 episod buat penonton memahami apa yang ingin disampaikan. RAP: Melihat kredibiliti anda, apakah pula cabaran menerbit drama 80 episod seperti ini? ADILA: Jujurnya, ia memang memberi tekanan dan pelbagai cabaran kepada saya kerana menerbitkan sebuah drama yang mengangkat tema serius, emosi dan konflik bukanlah satu tugas yang mudah. 80 episod dengan penggambaran yang mengambil masa lebih lima bulan adalah satu cabaran yang besar untuk seorang penerbit memastikan keseluruhannya berjaya lancar dan mengikut jadual. Paling penting adalah untuk memastikan semua tenaga produksi dan pelakon kekal memberikan komitmen kepada penggambaran. Soal cuaca dan pelbagai kecemasan lain juga perlu diambil kira kerana jadual penggambarannya yang panjang. Lebih mencabar apabila plot ceritanya menuntut untuk penggambaran dilakukan di luar negara iaitu di Makkah dan Perth yang juga memerlukan saya meneliti setiap inci keperluan dan kelengkapan agar ia tidak mengganggu perbelanjaan. Adat berniaga dan menjalankan sebuah syarikat produksi, soal perbelanjaan adalah satu aspek penting yang perlu diambil kira. Bagaimanapun saya tidak pula melihat sebarang kesukaran yang kronik hingga membuatkan saya tertekan atau patah semangat. Apa yang berlaku, masalah yang timbul semuanya masih di bawah kawalan dan pemantauan. Alhamdulillah saya mampu menyelesaikannya dengan baik dan kerjasama dari semua pihak terutamanya tenaga produksi, barisan pelakon dan pihak stesen televisyen juga banyak membantu melancarkan lagi proses penerbitannya. RAP: Apakah strategi dalam memastikan penggambaran panjang seperti ini berjalan lancar? ADILA: Apa yang penting saya amalkan dan terap kepada produksi adalah komitmen dan rasa tanggungjawab. Itu paling penting untuk memastikan perjalanannya penggambaran lancar dan mengikut jadual. Maklumlah, penggambaran mengambil masa yang panjang dan segala urusan dengan mesin atau komputer sebaliknya semuanya dengan manusia. Lantas komunikasi dan interaksi itu penting agar tidak berlaku sebarang masalah. Kerana itu juga, sejak awal lagi saya mahupun mama sendiri akan memilih dengan tenaga produksi yang sudah biasa dengan kami. Terus-terang saya memang sedikit memilih kerana inginkan persefahaman dan keserasian. Justeru apabila mereka sudah biasa kerja dengan kami, mereka sudah tahu apa yang boleh dan apa pula yang dilarang. Lantas perjalanan penggambaran menjadi lebih mudah kerana mereka (tenaga produksi) sudah ada rasa dekat dengan produksi yang mereka bekerja dan tanggungjawab terhadap drama yang dijalankan. Itu sangat penting kerana komitmen adalah kunci kepada disiplin untuk menghasilkan sebuah produk yang berkualiti. Selain itu saya bertuah kerana berpeluang bekerja dengan penulis skrip yang profesional seperti Rozie yang begitu bijak mengolah semula plot cerita daripada novel ini untuk kesesuaian drama televisyen. Malah novelis, Aisya sendiri beberapa kali sudi datang ke lokasi penggambaran kerana ingin melihat sendiri Aaron dan Nadiya menghidupkan watak dalam novel tulisannya. RAP: Bagaimana pula dengan hasilnya selepas anda melihat produk akhir ini? ADILA: Selepas menyaksikan kesemua hasil penggambaran, saya cukup berpuas hati dan gembira kerana apa yang saya inginkan menjadi kenyataan. Hasil kerja produksi dalam melakukan penggambaran, lakonan dan plot ceritanya begitu baik. Barisan pelakonnya terutamanya Aaron dan Nadiya jelas membuatkan saya begitu seronok dan berpuas-hati dengan segala pelaburan dan penat sepanjang lima bulan ini. Lakonan mereka begitu hebat dan begitu beremosi hingga mampu membuatkan saya sendiri berkhayal dengan jalan cerita yang ingin disampaikan. Saya bertuah kerana diberi peluang bekerja dengan mereka yang saya sifatkan profesional dan baik. Lebih menggembirakan saya apabila penonton juga memberikan reaksi positif terhadap Adam & Hawa selain pihak Astro sendiri yang suka dengan hasil kerja kami. Itu sudah cukup berbaloi untuk menghilangkan rasa penat. RAP: Apa pula perkembangan lain selepas ini? ADILA: Dalam industri penerbitan drama televisyen, apa yang penting adalah produk yang kita hasilkan bagi memastikan pihak stesen TV terus meletak kepercayaan kepada kita. Alhamdulillah kualiti yang kami jaga sejak dulu membuatkan rezeki dan peluang sentiasa ada. Selepas Adam & Hawa, saya berangkat ke Maghribi untuk penggambaran drama baru pula yang juga diadaptasi daripada novel tulisan Aisya Sofea berjudul Jauh. Kali ini aktor popular Adi Putra, Fouziah Ghous dan Anzalna Nasir pula akan saya eksperimen untuk gabungan pertama kali ini menerusi Jauh. Insya-Allah ia akan sekali lagi memberikan kami ruang untuk terus menonjol ke depan. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |