Adsense

Rabu, 12 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lupa kontroversi

Posted: 11 Sep 2012 04:33 PM PDT

Dira sibuk pikul tugas sebagai pelajar, isteri dan usahawan

Pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar, 28, enggan lagi menoleh ke belakang, sebaliknya ingin terus fokus pada perkara lebih penting - keluarga, pengajian di universiti, kerjaya seni, serta perniagaan yang kian berkembang.

Kesibukan memikul pelbagai tanggungjawab dalam satu masa sudah cukup mengisi harinya, sekali gus membuatkan dirinya terlupa mengenai kontroversi yang pernah menghambat diri.
Akui isteri pengarah fotografi, Helmi Yusof, 34, hidup perlu diteruskan, manakala setiap ujian yang datang adalah dugaan Tuhan dalam menguji kekuatan insan.

April lalu, Dira dikaitkan terbabit dalam insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di ibu kota. Sehingga kini,kes berkenaan masih belum diketahui keputusannya.

"Sebagai ibu, isteri, pelajar, pelakon dan peniaga, tentu saja saya memerlukan fizikal dan mental yang kuat. Mujur semua insan tersayang memahami, selain memberikan dorongan supaya saya tidak mudah menyerah kalah. Apatah lagi, bukan sesuatu yang mudah untuk menyambung pengajian selepas terikat dengan begitu banyak komitmen," kata Dira.

Impian status sarjana

Sebelum berkahwin dengan Helmi, Dira pernah merancang mengambil sijil kursus jangka pendek pengajian filem di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Jawablah!: Kenapa pertikai kehadiran Randy?

Posted: 11 Sep 2012 04:28 PM PDT

Michael Ang bawa masuk artis popular Indonesia secara sah

Selama ini dia lebih selesa berdiam diri daripada memberikan komen balas terhadap kenyataan Presiden Persatuan Seniman (SENIMAN), Zed Zaidi, yang mempertikaikan status pelakon dari Indonesia, Randy Pangalila, yang ketika ini kian rancak berlakon di bawah produksi miliknya, Cube Film Sdn Bhd.

Namun apabila perkara itu semakin hangat diperkatakan serta menimbulkan pelbagai spekulasi yang sukar untuk ditentukan kebenarannya, Michael Ang terpaksa juga bersuara.

Tegas penerbit yang juga bergelar pengarah ini, kesediaannya untuk membuka mulut bukanlah bagi menegakkan benang basah. Sebaliknya dia mahu menghentikan segala tohmahan dilemparkan Zed terhadap produksinya serta pelakon berkenaan, sekali gus membersihkan nama yang sudah tercalar gara-gara kelantangan pelakon itu dalam memperkatakan isu terbabit.
HIP: Apa komen Michael terhadap kenyataan Zed yang meragui status permit kerja Randy?

Michael:

Sebenarnya saya malas hendak membalas kenyataan berkenaan kerana pada saya perkara itu bukanlah isu besar. Namun saya terpaksa bersuara supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu. Apa yang boleh saya katakan, segala urusan membawa Randy ke negara ini dilakukan secara sah. Dia ada permit daripada pihak FINAS, yang membenarkannya berlakon dalam produksi Malaysia. Saya rasa itu sudah memadai dan mengapa Zed terus mempertikaikan kehadiran Randy berlakon dalam produksi di Malaysia?

HIP: Zed berkata, Randy perlu menyertai SENIMAN sebagai syarat untuk berlakon di Malaysia. Apakah Michael menyedari perkara itu?

Michael: Jika pihak FINAS sudah memberi kebenaran, apa perlunya lagi menyertai SENIMAN? Kalau kita lihat situasi di luar negara, persatuan terbabit tidak pernah memaksa pelakon luar untuk menyertai persatuan mereka. Di sini saya ingin bertanyakan pada Zed, jika Randy menyertai SENIMAN, apakah yang boleh dilakukan mereka untuk artis berkenaan? Adakah persatuan itu boleh memperjuangkan hak mereka di sini? Bagi saya, Zed sepatutnya memperjuangkan isu lain seperti bayaran pelakon yang masih tidak berganjak walaupun zaman sudah berubah. Itu sebenarnya yang lebih penting.
HIP: Randy tahu kehadirannya dipertikaikan Zed?

Michael: Saya rasa dia sedar perkara itu. Tapi kita tak boleh salahkan dirinya. Mengapa kita perlu sampai nak jatuhkan orang lain hanya kerana ada perasaan tidak puas hati? Bagi saya, perkara ini tidak perlu dipanjangkan. Jika benar pelakon luar perlu menyertai SENIMAN sebagai syarat untuk berlakon di sini dan FINAS juga mengeluarkan arahan serupa, saya tiada masalah untuk mematuhinya. Cuma, janganlah menjadikan perkara ini sebagai masalah besar dan silalah jumpa dan tanya saya sendiri, bukannya mempersoalkan perkara itu di laman sosial.

HIP: Kenapa perlunya mengadakan program Hari Raya khas untuk Randy, sedangkan dia tidak menyambut perayaan itu kerana berlainan agama?

Michael: Dalam hal ini saya berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri mengenai konsep 1Malaysia. Walaupun perayaan Hari Raya adalah untuk mereka yang beragama Islam, rasanya tak salah jika kita gunakan konsep 1Malaysia untuk diterapkan dalam program Hari Raya membabitkan Randy. Lagipun program itu turut menampilkan artis lain yang menyambut Aidilfitri.

HIP: Melihat kebanyakan drama dan telefilem arahan Michael, kebanyakannya menggunakan pelakon sama. Apakah wujud kronisme dalam hal ini?

Michael: Sebagai penerbit dan pengarah, saya lebih selesa bekerjasama dengan mereka yang sudah biasa dengan cara saya bekerja. Lagipun, saya sudah tahu kebolehan mereka berdasarkan prestasi sebelum ini. Kalau saya gunakan pelakon sama pun, tetapi perwatakan dan karakter mereka berbeza.