Adsense

Sabtu, 1 September 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Julia insafi kekurangan diri

Posted: 31 Aug 2012 08:46 AM PDT

ANDAI orang lain mekar berbunga di hati kerana dilamun cinta, tetapi Julia Zieglar pula berbunga bahagia dan memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga apabila dapat menyaksikan sendiri kebesaran Allah S.W.T apabila dia pergi mengerjakan umrah bersama ibu tercinta Jun lalu.

Ketika dia bercerita pengalaman indahnya berada di bumi yang amat diberkati itu, berseri dan bercahaya wajahnya kerana dia tidak sangka akan dapat ke sana pada usianya yang muda dengan kudrat yang masih kuat. Dia memang sudah lama berhasrat untuk ke sana, tetapi dia tidak menduga yang Allah akan memakbulkan keinginannya dengan begitu cepat sekali.

"Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata ketika dapat menjejakkan kaki di bumi Rasulullah s.a.w iaitu Madinah dan rumah Allah di Makkah. Terasa kerdilnya diri ini apabila dapat menyaksikan sendiri segala tinggalan sejarah Rasulullah dan sahabat baginda di sana. Betapa sukarnya mereka berjuang untuk menyebarkan agama Allah berbanding kita sekarang yang semuanya sudah tersedia di depan mata.

"Betapa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu dan sebagai hamba-Nya yang hina, kita mestilah mendekati-Nya selalu hanya kerana Dialah yang maha memberi pertolongan, perlindungan dan kasih sayang. Sebaik saja ternampak kaabah di depan mata, saya terus menangis dan memanjatkan doa agar saya, keluarga, Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia berada di bawah lindungan dan peliharaan-Nya.


"Rasa tak percaya saya sudahpun sampai ke Makkah dan pemergian saya ke sana pula bersama ibu, lagilah membuatkan saya berasa sayu dan terharu. Tenangnya hati saya ketika bersujud kepada-Nya. Saya mohon kepada Allah untuk menjadikan saya manusia yang lebih baik. Insya-Allah saya akan ke sana lagi dan bercadang untuk mengerjakan fardu haji pula.


"Selama 12 hari berada di sana terasa masa begitu cepat berlalu dan tidak puas untuk terus mengembara di bumi Allah itu. Walaupun saya belum bersedia untuk bertudung, namun jauh di lubuk hati ini, saya minta kepada-Nya seandainya saya berubah, biarlah ia perlahan-lahan dan bukanlah secara drastik ataupun atas desakan orang lain.

"Saya pun tak mahu menjadi orang yang terlalu ekstrem kerana bimbang apa yang dilakukan nanti hanya separuh jalan saja. Oleh itu, saya akan lebih banyak mendalami agama sebagai persediaan untuk menghadapi saat perubahan itu datang nanti," katanya.

Julia menambah, sekembalinya dari sana, dia mula mengerti apa itu hidup, mula teringatkan alam kematian yang akan datang pada bila-bila masa dan kewujudan Allah itu sendiri.

"Kalau sebelum ini kita berasa besar diri dan bangga, tetapi apabila berada di Makkah, kita semua adalah sama. Tiada yang kaya dan miskin, yang membezakan kita adalah kekukuhan iman masing-masing. Saya bebas ke sana ke mari kerana tiada yang mempedulikan saya kerana semuanya sibuk memperbanyakkan amal ibadat.

"Sewaktu saya berada di sana juga, negara itu sedang mengalami cuaca panas lebih kurang 53 darjah Celsius tetapi Allah itu Maha Besar sewaktu berjalan dari hotel menuju ke Masjidilharam setiap kali masuknya waktu solat, terasa sejuk alam sekeliling. Tetapi kalau saya keluar membeli barang untuk dijadikan kenangan, terus terasa panas.

"Dalam hidup saya sudah terdapat banyak tanda dan petunjuk daripada Allah seperti kemalangan yang hampir meragut nyawa saya beberapa tahun lalu. Semuanya adalah petunjuk daripada-Nya agar saya berubah untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik. Namun untuk berubah, dugaannya tetap ada.

"Saya akan berusaha untuk menambah kekurangan diri kerana kita tidak tahu bila masa kita akan dipanggil pergi untuk menghadap-Nya," katanya.

Selepas Aidilfitri, Julia menjalani penggambaran iklan komersial untuk Maxis dan sedang berjinak-jinak dalam perniagaan pakaian menerusi online bersama rakan kongsi, Juliana Raja Wahman.

Menurutnya, dia memang ada sedikit asas dalam bidang rekaan kerana pernah mengambil jurusan seni ketika menuntut di Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, saya tidak mampu mengusahakannya sendiri sehinggalah saya berjumpa dengan Juliana. Pakaian yang kami jual lebih bersifat kasual yang dipadankan blaus dengan skirt labuh. Ia kelihatan sangat feminin dan mereka yang bertudung pun boleh menggayakannya.

"Untuk memberi lebih keistimewaan kepada setiap rekaan kami berdua, kami banyak 'bermain' dengan rona terang seperti yang saya gayakan pada sesi fotografi ini, rona kuning dipadankan dengan skirt labuh rona samar 'menjerit'.

"Peminat fesyen sekarang sukakan warna yang kontra untuk lebih memberi kelainan dan gaya kepada si pemakainya. Rekaan saya ini belum ada label kerana sedang mencari nama yang sesuai. Kepada mereka yang ingin melihat koleksi yang ada, layari facebook saya, Julia Zieglar.

"Kalau sambutannya bagus, saya dan Juliana bercadang membuka butik dan memperkenalkan jenama saya sendiri. Perniagaan saya ini baru dijalankan. Saya memang suka berniaga. Dua tahun lalu saya membuka restoran tetapi 'hayat' perniagaan itu tidak panjang pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 01/09/2012


Diddy sibuk kutip ilmu

Posted: 31 Aug 2012 08:35 AM PDT

NAMA dan populariti Syamsul Hirdi Muhid, 26, atau ringkasnya Diddy mungkin tidak segah artis lain, namun lelaki ini dengan bantuan pengurusnya, Bad Hashim, mereka berjaya merencanakan perjalanan kerjaya seninya dengan baik dan Diddy sendiri berusaha mening–katkan ilmu pe–ngetahuan dalam bidang muzik serta komunikasi di universiti tempatan.

Selama enam tahun melayari hidup sebagai anak seni, Diddy senang bekerjasama dengan pengurusnya. Segala perancangan dan strategi masa depannya dibincangkan bersama.

Menurut Diddy, dalam mencapai keputusan pernah juga mereka bertegang urat, tetapi itu semua demi untuk kebaikan bersama.

"Bad bukan setakat bertindak selaku pengurus, tetapi dia juga dengan rela hati 'menurunkan' ilmu pengurusannya kepada saya sebagai persediaan pada masa depan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak, adakah kami akan bekerjasama selamanya ataupun akan membawa haluan sendiri suatu hari nanti.


"Oleh itu, Bad banyak me–ngajar saya agar sekiranya terjadi apa-apa, saya tidak terumbang-ambing dan boleh menguruskan kerjaya sendiri. Kami bekerja secara telus termasuklah dalam urusan wang ringgit. Bad tidak pernah menyembunyikan apa-apa daripada saya dan itu antara sebab saya selesa bekerja dengannya.


"Walaupun pada pandangan orang lain, aktiviti seni saya tidak begitu rancak, tetapi ia teratur dan setiap bulan ada pendapatan untuk menyara keluarga. Saya tidak perlu bimbang perkara itu, malah Bad juga menyediakan tabungan untuk menghadapi saat kecemasan," katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan, Nadra Aryssa Jauza (setahun enam bulan) ini juga melakukan persediaan diri dengan lebih mantap apabila mengikuti Program Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Utara Malaysia dalam jurusan Komunikasi yang akan tamat pada September 2013.

"Walaupun saya mengikuti program PJJ, namun saya tetap kena menghadiri kuliah empat kali dalam satu semester di cawangan universiti itu di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang pada setiap semester. Semua ini saya lakukan atas kemahuan saya sendiri kerana saya mahu menjadi anak seni yang berilmu.

"Saya memilih jurusan Komunikasi kerana saya dapati ia cabang ilmu yang saya perlukan selaras kerjaya yang saya pilih ini. Antara pendorong kejayaan dalam apa jua bidang kerja yang diceburi bukan hanya bersandarkan bakat dan ilmu, tetapi kena ada komunikasi yang baik dengan orang di sekeliling kita," katanya.

Bagi melengkapkan lagi ilmu yang dicari, Diddy juga belajar teori muzik di Royal School of Music di bawah bimbingan Cikgu Shafizawati Sharif atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Shafi yang pernah menjadi tenaga pengajar program realiti Akademi Fantasia.

"Cikgu Shafi banyak memberikan dorongan kepada saya kerana sebagai penyanyi, saya juga perlu ada pengetahuan mengenai muzik. Saya baru habis gred satu dan ada tujuh gred lagi untuk saya lalui.

"Saya juga cukup bertuah kerana Cikgu Shafi amat memahami kerja saya sebagai pe–nyanyi dan pelakon, justeru dia membenarkan saya mengikuti kelasnya berdasarkan kelapa–ngan yang saya ada," katanya.

Dengan kesuraman jualan album, Diddy berhasrat untuk menerbitkan single terbaru. Kali terakhir dia merakamkan lagu bersama adiknya, Kay, berjudul Bertarung Sampai Akhir, kira-kira dua tahun lalu. Bagaimanapun, dia terpaksa mengeluarkan belanja sendiri, jadi buat masa ini rancangan itu ditangguhkan dulu. Dalam pada itu, tawaran berlakon pula yang datang.

"Saya banyak berlakon sekarang. Sebelum Ramadan, saya menjalani penggambaran drama di Langkawi dan Kuala Lumpur," katanya.

Antara drama yang dibinta–nginya, Terkukur Tidak Berbunyi Lagi (13 episod musim kedua) untuk siaran RTM dan Doa Untuk Aku sebanyak 12 episod yang sedang disiarkan di TV AlHijrah.

Selain itu, Diddy juga adalah selebriti produk kecantikan Clinique sejak 2007.

"Saya bukanlah bertindak sebagai duta, tetapi untuk setiap acara anjurannya, saya kena hadir bagi memeriahkan majlis dan setiap bulan pula saya dibekal–kan dengan produk penjagaan wajah dan badan. Alhamdulillah, ada pihak yang menghargai kehadiran saya dalam dunia seni tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 01/09/2012