Adsense

Ahad, 23 September 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Siti Saleha Mencari Antagonis

Posted: 23 Sep 2012 05:41 PM PDT

MUDAH sahaja merakam foto aktres muda Siti Saleha Mohd. Baharum atau mesra disapa dengan nama Saleha pada sesi fotografi yang diadakan di restoran Rebung, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakan tidak, sejak berusia 18 tahun, Saleha telah mula berlakon dan terlibat dalam puluhan iklan komersial.
Namun, baru kini bakat gadis berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Inggeris sebelah ibunya itu meraih perhatian khalayak apabila drama bersiri Nora Elena lakonannya bersama aktor tampan Aaron Aziz mencipta fenomena luar biasa pada tahun lalu.
Sejak itu, tawaran lakonan datang mencurah-curah tetapi jauh di sudut hati Saleha jika boleh dia enggan lagi membawakan watak wanita baik, bertudung dan teraniaya berulang kali. Katanya, dia mahu cabar dirinya melakukan sesuatu yang berbeza.
"Kalau diperhatikan saya sering diberikan watak wanita baik, teringin pula berlakon watak antagonis, orang gila atau yang bertentangan dengan apa yang saya sering lakonkan. Saya tidak mahu penonton bosan lihat saya bawa watak yang saya berulang kali, kerana saya sendiri pun bosan.
"Setakat hari ini belum ada lagi watak antagonis yang diberikan atas alasan wajah saya tidak sesuai.
"Saya ingin menjadi seorang pelakon versatil yang boleh berlakon bermacam-macam watak, saya tidak mahu orang ingat saya hanya boleh berlakon watak baik sahaja," katanya penuh serius.
Saleha yang kini lebih bersifat selektif terhadap tawaran yang diberikan menegaskan, kualiti lakonan merupakan kunci untuk lebih bertahan lama dalam dunia lakonan.
"Hayat populariti seseorang pelakon tidak bertahan lama jika tidak memberi lakonan yang berbeza dan berkesan kepada penonton.
"Saya ingin terus hidup dalam industri lakonan dan kekal bertahan selama yang mungkin, jadi untuk mengekalkan periuk nasi saya hanya satu, iaitu cabar diri untuk sesuatu yang berbeza," jawab gadis yang berusia 22 tahun itu.
Selain menjaga mutu lakonan, kata Saleha dia enggan lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dan kisah peribadi selepas mengaku bercinta dengan bekas kekasihnya iaitu penjaga gol pasukan bola sepak Sabah, Syed Adney Syed Hussein yang juga adik kepada aktres Sharifah Sofea pada April lalu.
"Ketika cerita cinta saya itu keluar, drama Nora Elena sedang hangat ditayangkan, saya pun masih baharu dan belajar untuk tangani segala kontroversi.
"Selepas pengalaman tersebut saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan," luahnya yang mengaku kini tidak terikat dalam sebarang hubungan cinta.
Populariti
Adik kepada Sam Bunkface itu juga memberitahu hidupnya berubah 360 darjah sejak drama Nora Elena ditayangkan. Semakin popular bermakna semakin kurang privasi diri dan itulah yang dialami oleh Saleha.
Tidak merungut dengan perhatian yang diberikan khalayak dan media kepadanya kerana sedar itulah harga yang harus dibayar oleh seorang artis sepertinya, namun, selepas mempunyai pengalaman menerusi kontroversi cinta, Saleha kini lebih bijak untuk terus hidup dalam dunia penuh glamor.
"Sebelum drama Nora Elena ditayangkan, saya bebas jalan bersendirian tetapi sekarang harus ditemani rakan, memang terasa perbezaannya.
"Orang ramai juga mula menegur saya dan cerita peribadi mula muncul di media, mulanya saya rasa agak kekok tetapi sekarang kena belajar sesuaikan diri serta terima segala cerita yang ditulis mengenai saya.
"Sejujurnya, sebelum ini saya tidak kisah untuk muat naik bermacam-macam gambar di akaun Facebook tetapi selepas kontroversi cinta itu, saya berfikir banyak kali untuk letak gambar di Facebook dan laman sosial yang lain.
RUTIN seharian Saleha turut diisi dengan aktiviti dirinya yang juga bergelar pelajar kolej.


Ramai rakan di Facebook yang saya tidak kenal, saya buang kerana saya tidak tahu apa yang akan dilakukan mereka pada gambar dan status yang saya tulis.
"Bukan itu sahaja, saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuk harus bijak memilih kawan.
"Dalam dunia glamor, ada jenis kawan yang makan kawan. Bukan tiada rakan artis yang rapat dengan saya, tetapi saya jenis bukan sampai keluar melepak dengan mereka. Saya lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan kolej jika tidak bekerja," ujarnya.
Balas anak ketiga daripada empat beradik itu, disebabkan dia dan abangnya, Sam berkecimpung dalam dunia seni keluarganya sangat memahami asam garam dunia seni, sungguhpun begitu bapanya sering menasihatinya supaya menjaga tingkah laku dan nama baik keluarga.
"Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami kerja saya dan abang. Jika ada cerita tidak enak yang keluar tentang saya dan abang, bapa saya akan tanya terus kepada kami, lebih penting bagi saya keluarga tahu hal sebenar daripada dihebohkan kepada orang lain.
"Segala kisah peribadi atau rahsia, saya tidak pernah cerita pada orang lain selain kawan baik saya sendiri. Saya berjanji dengan bapa untuk menjaga nama baik keluarga dan tidak akan buat sesuatu yang jahat atau gila," ucapnya.
Tawaran lakonan yang lumayan, menjadi duta kepada produk Palmolive dan Enchanteur Paris tidak membuatkan Saleha lalai.
Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, Saleha masih meneruskan kuliahnya di Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang komunikasi.
"Memang saya sibuk belajar dan bekerja, jadi kena pandai membahagikan masa. Saya tidak kisah jika ada kelas pada waktu pagi dan harus berada di lokasi penggambaran pada tengah hari, bukan masalah untuk saya kerana mempunyai pengurus yang akan mengaturkan jadual harian.
"Saya suka jika saya sibuk kerana itu tandanya saya mempunyai masa yang produktif. Pelajaran tetap diutamakan, jika saya sudah tidak berlakon pada masa depan, saya mempunyai kelulusan untuk menceburi bidang yang lain pula," beritahunya.
- ---

Berat Bertambah Bukan Kerana Putus Cinta

Posted: 23 Sep 2012 05:33 PM PDT

Miera Leyana mengakui berat badannya bertambah sebanyak lapan kilogram.
PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana menafikan pertambahan berat badannya sebanyak lapan kilogram mempunyai kaitan dengan kegagalan hubungannya dengan pelakon Sharizal Jazsle.
Miera, 19, sebaliknya berkata berpunca daripada kehilangan mendadak selera makan semenjak bulan Ramadan lalu.
"Peningkatan berat badan saya tiada kaitan langsung dengan Shah kerana itu semua cerita lama. Ia sebab sikap saya sendiri yang memang kuat makan.
"Tambahan pula berat badan saya senang naik jika saya tidak menjaga pemakanan dengan baik," ujarnya kepada mStar Online.
Miera dalam pada itu mendedahkan berat badannya sebelum ini 45 kilogram dan meningkat kepada 53 kilogram.
Dalam pada itu, Miera tekad untuk menyertai pusat kecergasan bagi mendapatkan semula bentuk badan asalnya agar tidak nampak lebih besar di televisyen.
Sementara itu dia juga teruja dan berdebar masih menanti empat buah filem lakonannya iaitu Pencinta, Pecah, Lebuhraya Ke Neraka dan Dendam Orang Mati yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
- ---

Anak Datuk K Temui Rozita Che Wan

Posted: 23 Sep 2012 05:28 PM PDT

Rozita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki berstatus suami orang.
PETALING JAYA: Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
Siti bersama suaminya, Datuk K pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Kuala Lumpur.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya.
- ---