Gosip Artis Malaysia |
- Kool Muncul Semula Gara-Gara K-Pop
- Populariti Sederhana Tidak Ganggu Amy Mastura
- Zed Zaidi Bukan Angkuh Berjaya Naikkan Seniman
- Hanya Kutip RM400,000 Norman Akur Kegagalan '29 Februari'
Kool Muncul Semula Gara-Gara K-Pop Posted: 17 Sep 2012 07:11 PM PDT KUALA LUMPUR: Kumpulan Kool yang pernah popular sekitar tahun 1990-an menganggap kemunculan semula mereka masih lagi relevan bagi mewarnai dunia muzik tanah air. Salah seorang ahlinya, Jay berkata, kumpulan itu juga sudah bersedia untuk bersaing dengan artis-artis baru yang masing-masing mempunyai kepelbagaian muzik tersendiri. "Kami percaya, walaupun sudah agak berumur, Kool mampu menghiburkan peminat-peminat lama serta menarik perhatian golongan peminat yang baru. "Malah kami masih lagi relevan memandangkan lagu-lagu kami pada masa dahulu sama seperti muzik K-Pop yang menjadi kegilaan anak muda sekarang ini," katanya yang ditemui pada Majlis Mega Raya MySeniman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin. Selain Jay, Kool turut disertai oleh Hairie, Pat, Riot dan Zack. Tambah Jay lagi, kegilaan remaja terhadap muzik K-Pop juga membuatkan Kool mengambil kesempatan itu untuk muncul semula dengan membawakan lagu-lagu lama yang pernah popular dahulu seperti Bebas serta beberapa lagu baru menerusi album terbaru berjudul GX4 yang akan dipasarkan dalam masa terdekat ini. Album GX4 turut menggabungkan kumpulan Shades, Nico dan AtoZ. Dalam pada itu, Riot pula berkata, kemunculan mereka bukan sekadar suka-suka atau melepaskan rindu untuk beraksi di atas pentas, sebaliknya, mereka benar-benar serius dengan membuat persediaan selama dua tahun sebelum muncul dengan album berkenaan. "Sebenarnya sejak tahun 2010 lagi kami sudah membuat persediaan dengan mengasah semula vokal serta berlatih menari bagi mengembalikan tenaga kelincahan kami seperti dahulu. "Jangan terkejut, walaupun sudah berusia, kami masih lagi muda di atas pentas," selorohnya. Bagaimanapun, imej Kool yang akan ditampilkan masih lagi seperti dahulu tetapi berkonsepkan lebih matang. Selain itu, Kool juga sedang sibuk dengan pembikinan menyiapkan album Kool sendiri. - --- |
Populariti Sederhana Tidak Ganggu Amy Mastura Posted: 17 Sep 2012 07:10 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Amy Mastura mengakui popularitinya sebagai artis masih berada pada tahap sederhana walaupun sudah 19 tahun berkecimpung dalam industri hiburan. Amy, 41, berkata, dia tiada masalah dengan situasi itu kerana baginya apa yang lebih penting dia mampu mengekalkan prestasi kerjanya sehingga pada tahap berkenaan. "Dari dulu lagi saya tidak pernah mengharapkan populariti kerana apa yang penting saya melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan. "Tambahan pula saya tidak pernah menyangka akan berada di tahap ini kerana dulu saya sasar untuk buat sebuah album sahaja," katanya selepas ditemui pada pelancaran produk Infinity Kose Prestigious di sini pada Isnin. Tambah Amy, dia juga sudah tidak perlu bersaing dengan sesiapa untuk mengejar populariti kerana ia bukan lagi menjadi keutamaannya. Dalam pada itu, Amy berkata dia bersyukur kerana sentiasa mendapat kepercayaan daripada pelbagai jenama antarabangsa yang sudi mengambilnya menjadi juru cakap produk masing-masing. Amy berkata, kepercayaan yang diberikan itu digunakan dengan sebaik-baiknya agar jenama yang diwakilinya itu mendapat perhatian. "Saya selesa menjadi duta produk dan sentiasa terbuka dengan tawaran yang datang kerana itu bukti kepercayaan orang terhadap kita. "Bagaimanapun pada usia begini saya perlu memilih tawaran yang datang supaya sesuai dengan status saya sebagai isteri dan ibu," ujarnya. Mengulas pembaharuan kontraknya bersama Kose, Amy memberitahu kerjasama itu berterusan atas persefahaman mereka yang baik selama ini. "Produk ini juga sangat serasi dengan saya dan saya tiada masalah untuk meneruskan usaha sama bersama mereka. Dalam perkembangan lain, Amy berkata dia bakal muncul dengan single terbaru iaitu Itu Dulu ciptaan Panji. - --- |
Zed Zaidi Bukan Angkuh Berjaya Naikkan Seniman Posted: 17 Sep 2012 07:09 PM PDT KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tidak berasa malu untuk mengaku kebangkitan persatuan itu yang membantu hak artis-artis tempatan lebih jelas dilihat sejak dia memegang jawatan sebagai presiden. Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata, walaupun ia kedengaran sedikit angkuh, dia tetap berbangga kerana dapat membantu golongan artis yang tidak pernah mendapat pembelaan sebelum ini. "Sejak saya menerajui Seniman, Alhamdulillah dana yang berjaya dikumpulkan oleh persatuan dengan bantuan sumbangan daripada beberapa pihak tertentu sudah pun mencecah hampir RM1 juta. "Keadaan ini lebih memudahkan pihak kami melakukan apa-apa saja perkara termasuklah memberikan sumbangan kepada golongan artis yang memerlukan menggunakan dana tersebut. "Mungkin ada segelintir pihak melihat saya terlampau agresif, tetapi itulah tujuan sebenar persatuan, membantu artis-artis tempatan dalam segala hal yang berkaitan dengan industri," katanya. Zed ditemui pada Majlis Mega Raya Seniman dan pelancaran MySeniman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Isnin. Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tambah Zed, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendekatkan persatuan dengan badan-badan kerajaan bagi memudahkan lagi urusan hal berkaitan dengan hak royalti. Sementara itu, mengenai MySeniman, ia merupakan sebuah program di antara Seniman dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Muslim Malaysia (DPPMM) yang bertujuan membantu para artis yang ingin memulakan perniagaan. "MySeniman merupakan sebuah program yang ingin membantu para artis untuk berniaga di mana mereka akan disediakan modal sekiranya perlu untuk memulakan sesuatu perniagaan. "Kemudian setiap 15 peratus keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaan itu akan dimasukkan ke dana Seniman. "Menarik lagi, bagi yang kurang ilmu tentang hal perniagaan, MySeniman juga akan menyediakan beberapa kursus atau seminar mengenai pengurusan perniagaan," katanya. Dalam pada itu, orang ramai juga boleh turut serta dengan mendaftar di bawah program ini dan sekali gus akan menjadi ahli bersekutu persatuan itu di bawah Biro Kelab Penyokong Seniman. Selain itu, MySeniman juga akan mengadakan siri jelajah secara besar-besaran bermula di negeri Pahang sebagai tanda promosi program dan produk-produk jualan artis yang terbabit. Sementara itu dalam perkembangan lain persatuan tersebut mewakili kumpulan artis di negara ini mengutuk penghasilan filem 'Innocence of Islam' yang disifatkan sebagai tidak sensitif dengan agama Islam. Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata, pembikin filem berkenaan tidak seharusnya mempersendakan agama Islam sesuka hati yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. "Saya sebagai wakil Seniman mewakili semua artis dan pekerja filem di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyebaran klip filem berkenaan yang jelas bertujuan untuk menghina umat Islam di seluruh dunia. "Pihak YouTube juga perlu mengambil langkah segera dengan membuang klip berkenaan daripada laman itu kerana ia telah mendapat bantahan keras daripada seluruh dunia," ujarnya. Dalam pada itu, Zed berkata, penerbit dan pengarah filem di negara ini perlu mengambil kejadian itu sebagai iktibar dalam menghasilkan sesuatu karya yang tidak mengganggu sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum. - --- |
Hanya Kutip RM400,000 Norman Akur Kegagalan '29 Februari' Posted: 17 Sep 2012 06:55 PM PDT CYBERJAYA: Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menyifatkan kegagalan filem 3 dimensi (3D) pertama terbitan syarikat tersebut iaitu 29 Februari disebabkan faktor ekonomi apabila ia hanya berjaya mendapat kutipan sebanyak RM400,000 sahaja. Norman berkata, penonton di negara ini mungkin masih belum bersedia untuk membayar lebih tiket untuk menonton filem berkenaan yang agak mahal bagi format 3D hingga menyebabkan ia gagal mencapai kutipan tinggi di pawagam. "Secara dasarnya banyak faktor boleh dikaitkan mengapa filem ini gagal mendapat perhatian penonton namun satu perkara jelas iaitu penonton mungkin belum bersedia untuk membayar tiket sedikit mahal daripada biasa bagi menonton filem ini dalam format 3D. "Bagaimanapun saya melihat kegagalan ini sebagai satu pengalaman berguna untuk pihak kami mengkaji corak dan kehendak penonton," ujarnya. Tambah Norman faktor kekeliruan penonton yang menyangka filem ini sebuah karya patriotik juga turut menyumbang kepada kegagalan meraih sambutan. Dalam pada itu, Norman memberitahu mereka tidak akan berhenti daripada menghasilkan filem berformat 3D sebaliknya akan meneruskan usaha berkenaan dalam filem terbaru iaituVikingdom dan Cicakman. Kata Norman, sebagai seorang usahawan dia perlu mengambil risiko dan pada masa sama memberi sesuatu yang baru kepada penonton bagi memastikan industri perfileman negara terus berkembang dan tidak berada di takuk lama. "Perasaan kecewa itu tidak boleh dielakkan tetapi sebagai usahawan, perkara ini adalah satu cabaran dan risiko yang perlu diambil. Namun pihak kami juga akan memastikan lebih peka terhadap selera penonton bagi memastikan sesuatu filem berkenaan mendapat sambutan," ujarnya. Sementara itu, Norman berkata, atas dasar itu juga pihaknya menubuhkan anak syarikat Showbiz Production yang mempunyai objektif dan fungsi berbeza daripada filem-filem terbitan KRU Studios yang lain. "Showbiz akan memberi fokus kepada filem komersial dan ringan mengikut selera penonton dan dengan cara itu kita dapat mengasingkan pecahan penonton mengikut selera mereka. "Filem pertama Showbiz iaitu Hantu Kapcai diharap akan mendapat perhatian penonton dan memenuhi selera mereka," katanya. Hantu Kapcai yang dibintangi oleh Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Neelofa, Izzue Islam, Hairulazreen dan Riza Amin itu akan ditayangkan bermula 27 September ini. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |