Adsense

Ahad, 9 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mahu dalami ilmu agama

Posted: 08 Sep 2012 07:20 PM PDT

Selepas bertunang, Diana dan Farid azam tambah pengetahuan jadi suami isteri

Mengenalinya sejak usia 16 tahun lagi, tetapi kini Diana Danielle sudah besar panjang.

Anak dara kesayangan Norsiah Ramli ini sudah bergelar tunangan kepada cinta hatinya yang juga pelakon dan pengarah, Farid Kamil, sejak 2 September lalu.

Usianya bakal menginjak 21 tahun pada 22 November ini serentak dengan tarikh tayangan filem Sembunyi arahan Kabir Bhatia yang juga membabitkan lakonannya.
Perancangan selepas setahun mengikat tali pertunangan, pelakon berdarah campuran itu akan melangkah ke fasa seterusnya bergelar isteri.

Pertemuan dengannya Rabu lalu sejurus majlis pelancaran filem serta rumah terbuka anjuran Grand Brilliance, Diana berkongsi isi hatinya dengan B*POP.

Pada awal bicara, Diana terlebih dulu bersuara dan bijak menyusun bicara mengenai majlis pertunangan yang berlangsung secara tertutup di kediaman keluarganya di Damansara.

Bukan bermaksud mahu berahsia dengan peminat mahupun rakan media, Diana dan Farid, 31, ada alasan sendiri untuk tidak menghebahkannya.

Sedikit privasi

"Lagipun ia hanyalah majlis pertunangan dan bukannya majlis nikah.

Jadi kami rasa lebih afdal untuk mengadakannya dengan sedikit privasi serta membabitkan keluarga dan kenalan terdekat saja," katanya mengharapkan pengertian.

Dapatkan naskhah BH Ahad, sisipan B*POP hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

'Usah pinggir pelakon senior'

Posted: 08 Sep 2012 07:09 PM PDT

Noorkhiriah bidas stesen TV yang lebih utamakan pelakon baru dalam drama

Sudah lama situasi itu diperhatikan cuma pelakon berkarakter, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 36, enggan memperbesarkan isu yang semakin menghimpit pelakon senior sepertinya.

Noorkhiriah yang mesra disapa Noor, bimbang jika luahan hatinya itu disalahertikan seolah-olah dia tidak bersyukur dengan apa yang diperolehnya selepas lebih sedekad mengabdikan diri dalam dunia lakonan.

Namun semakin lama dipendam, luka itu bertambah dalam membuatkan anak kelahiran Raub, Pahang itu tidak mampu lagi memendamnya.
Dua trofi Anugerah Skrin, selain mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama tiga tahun berturut-turut bagaikan bukan jaminan untuk Noorkhiriah menikmati kemanisan sebagai pelakon.

"Bahang itu lebih terasa apabila sentiasa diberikan watak hampir sama dan pernah dibawa, membuatkan saya tertanya-tanya apakah masih ada tempat untuk pelakon senior di kaca televisyen?

"Orang mungkin tidak faham, malah pasti ada yang menuding jari menuduh saya tidak bersyukur. Tetapi sebagai pelakon, saya perlu mencabar diri untuk mencari sesuatu yang baru dan meninggalkan impak.

"Malangnya ruang itu semakin sempit untuk pelakon senior apabila produksi televisyen mengutamakan wajah baru, sedangkan pelbagai genre drama diterbitkan untuk menguji kredibiliti pelakon.
"Maaf jika saya berkasar tetapi saya dapat rasakan, stesen televisyen lebih mengutamakan wajah popular dan komersial tetapi apabila berlakon keras seperti kayu. Situasi itu ada ketika buat saya terasa hati," katanya.

Bukan menidakkan ruang untuk diteroka bakat baru tetapi kata Noorkhiriah, usah kerana terlalu mengejar jumlah tontonan kredibiliti pelakon diletakkan pada tempat kedua.

"Saya tidak tahu apakah ia cubaan secara senyap untuk menafikan hak kami atau memang penonton lebih suka menonton 'kayu' berlakon, berbanding menikmati lakonan sebenar.

"Sesekali apabila menonton televisyen, terbit perasaan kecewa dan terkilan kerana watak yang baik ada ketika diberikan kepada pelakon yang salah.

"Saya bukan memandang rendah kemampuan pelakon baru, malah percaya setiap orang punya rezeki masing-masing.

"Tetapi jangan kerana terlalu agungkan sesuatu yang baru hingga kita sanggup menutup sebelah mata dan menafikan mereka yang lebih berhak. Tanggungjawab membangunkan industri adalah milik bersama," kata Noorkhiriah terkilan.

Bayaran tidak setimpal

Seakan akur realiti industri hiburan di negara ini cenderung menghargai seseorang anak seni selepas mereka tiada, terselit juga persoalan di sudut hatinya apakah dia juga sedang melalui laluan yang sama?
Apabila difikirkan semula realiti itu kata Noorkhiriah, tidak mustahil kerana ramai pelakon hebat hanya sesekali muncul disebabkan industri tidak menghargai kelebihan yang dimiliki.

"Saya cuba bermuhasabah diri, melihat di mana kekurangan. Mungkin saya tidak punya aura diberi watak berbeza biarpun pernah diiktiraf industri. Saya bersuara kerana terlalu sayangkan dunia lakonan. Di sini saya bertapak dan ia sudah menjadi darah daging, malah sebenarnya saya juga bersedia dengan putaran hidup seorang pelakon.

"Bukan tidak bersyukur, sebaliknya saya bernasib baik kerana rezeki tidak putus. Tetapi ada ketika, saya tertanya sendiri di mana tempat saya sebagai seorang pelakon? Apakah kehadiran saya cuma menjadi pelengkap atau barangkali wajah saya hanya sesuai untuk slot tertentu sedangkan lakonan itu pentas yang sangat luas," katanya.

Perasaan ralat juga timbul kerana hingga ini, bayaran yang diterima pelakon senior tidak setimpal pengalaman namun tiada apa yang mampu diubah. Bidang seni akuinya, membentangkan perjuangan yang tidak akan pernah selesai namun terpaksa ditelan kerana cinta yang mendalam.

Memujuk hati, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, barangkali apa yang dilaluinya ketika ini adalah ujian Allah untuk melihat sejauh mana dia bertahan dan mampu berdepan setiap dugaan.

"Mungkin nanti bidang seni akan ditinggalkan dengan perasaan ralat tetapi hidup perlu diteruskan. Saya tidak pernah menyalahkan situasi.

Apatah lagi menghukum diri apabila sesekali datang hasutan perkara itu mungkin terjadi kerana penampilan saya. Ini cubaan Tuhan untuk melihat kekuatan saya.

"Ketika ini saya sedang membuat persiapan untuk mengintai peluang lain. Cuma belum masa untuk saya umumkan. Biar semuanya berjalan baik dan selepas itu, saya mungkin tidak berlakon lagi," katanya.