Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Elfira mahu terbang tinggiMERAIH populariti dan mempunyai pendapatan sendiri dalam usia yang masih mudah bukanlah tiket untuk tiga pelakon remaja yang juga adik-beradik Elfira, 18, Ezlisa, 16, dan Ezzrin Loy, 15, hidup berbeza daripada remaja seusia mereka. Sebaliknya anak-anak kepada Filzah Yusoff, 47, yang telah 14 tahun bergelar ibu tunggal itu masih menjalani kehidupan remaja normal cuma jadual waktu mereka sangat ketat dan harus disusun sebaik mungkin supaya tidak bertembung dengan jadual persekolahan. "Kami pergi sekolah, kelas tuisyen, kena buat kerja sekolah dan keluar dengan kawan-kawan macam orang lain juga tidak ada bezanya. "Kami juga kena marah kalau buat salah, tidak ada yang istimewa hanya kerana bergelar pelakon pada usia yang muda. Malah, ibu hanya beri belanja sekolah RM3 sehari walaupun kami ada pendapatan sendiri," balas Elfira yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik. Elfira yang sedang menuntut di peringkat diploma di Kolej Damansara Utama dalam pengkhususan kesenian hiburan memberitahu pelajaran tetap diutamakan meskipun kerjayanya semakin stabil. "Saya bukanlah jenis orang yang suka merancang sebaliknya hanya ikut rentak keadaan. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk sambung belajar tetapi niat itu muncul seiring dengan peluang yang datang secara kebetulan. "Jadual saya semakin padat bila sambung belajar tetapi saya bukanlah jenis ulat buku dan akan ambil cuti daripada lakonan untuk ulang kaji pelajaran menjelang minggu peperiksaan sahaja," tutur Elfira dalam tawa yang juga duta produk Maybeline. Tegas pelakon telefilem popular Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu, meskipun jadual hariannya dipantau ibunya yang merangkap pengurus peribadinya, segala keputusan berhubung kerjaya ibunya tidak pernah masuk campur. "Ibu tidak pernah menghalang atau mengawal saya dalam bidang lakonan. Segala keputusan berhubung pemilihan watak diserahkan bulat-bulat kepada saya.
"Ibu cuma pesan jaga perangai dan jangan abaikan pelajaran walaupun sibuk berlakon, harus pandai bahagikan masa. Setakat hari ini Alhamdulillah, nama saya masih bersih. "Rasanya tidak ada apa cerita panas tentang saya yang boleh ditulis sebab saya bukannya jenis keluar malam. Rutin harian saya, bangun pagi pergi kuliah, pergi ke set penggambaran dan balik rumah, semuanya ditemani ibu sebab saya tidak boleh memandu," kata Elfira sambil dipersetujui oleh ibunya. Ezlisa mahu buka restoran Elfira dan dua adiknya mengaku selain minat, mereka terlibat dalam bidang lakonan kerana pulangan yang cukup lumayan. Bagaimanapun, ibunya langsung tidak memaksa mereka bertiga untuk bekerja sebaliknya keinginan untuk berlakon terbit daripada hati mereka sendiri. "Berlakon memang dapat kumpul duit, terpulang kepada seseorang pelakon itu menguruskan kewangan mereka. Macam saya mempunyai simpanan sendiri dan wang kegunaan harian dipantau ibu supaya saya tidak terlebih belanja. "Namun, jika ada barang berjenama mewah yang saya diingini, saya akan beli tetapi tidak banyak. Bagi saya barang jenama mewah perlu untuk tingkatkan nilai komersial seseorang terutamanya kerjaya saya sebagai aktres. "Bukan untuk bermegah-megah tetapi memiliki barangan mewah meletakkan saya pada suatu standard yang tersendiri, apa salahnya memuaskan hati sedikit daripada hasil titik peluh sendiri, cuma beli barang yang perlu sahaja," kata Elfira bersungguh-sungguh. Adik Elfira, Ezlisa pula berkata, dia lebih suka pergi ke sekolah dan kelas tuisyen daripada berada di set penggambaran kerana minatnya lebih terarah kepada bidang masakan daripada lakonan.
"Cita-cita saya untuk menjadi seorang tukang masak dan membuka restoran sendiri suatu hari nanti, malah, selepas tamat sekolah saya merancang untuk memasuki sekolah kulinari. "Lakonan tempat untuk saya mencari duit, sebenarnya antara kami bertiga saya yang paling tidak aktif berlakon. Saya hanya berlakon jika saya mahu membeli sesuatu seperti telefon bimbit atau pakaian," kata Ezlisa yang mengambil jurusan sains tulen di sekolah. Ezzrin berdikari Anak bongsu keluarga seni, Ezzrin Loy mula berlakon sejak berusia sembilan tahun dalam teater Ali Baba bersama kakaknya Elfira. Sungguhpun semakin popular, namun Ezzrin yang cukup manja dengan ibunya berkata perjalanan kehidupannya masih panjang, oleh itu dia sendiri tidak tahu tentang masa depannya sendiri. "Saya belum memutuskan untuk terus terlibat dalam lakonan atau terlibat dalam bidang lain apabila dewasa kelak. "Buat masa ini saya hanya mengikut perjalanan yang telah diaturkan. Saya suka berlakon kerana boleh beli barangan yang saya ingin tanpa minta duit ibu atau kakak, tetapi selalunya kakak akan marah jika saya beli barang yang bukan-bukan," ujar Ezzrin yang sehingga kini sudah membeli empat buah motosikal. Tutur ibu mereka, dalam tiga orang anak itu, anak bongsunya paling berdikari. Ibunya juga jarang-jarang menemani Ezzrin di lokasi penggambaran berbanding dua anak perempuannya itu. "Adik (panggilan untuk Ezzrin) campak di mana pun dia boleh hidup sebab itu saya tidak risau sangat. Cuma sebagai ibu saya tetap kawal jadual hariannya," kata ibunya. | ||
Rabecca tak sabar beli baju bayi Posted: Rabecca tak sabar beli baju bayiOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
PERKARA yang paling menggembirakan buat setiap wanita yang bergelar isteri sudah tentu apabila disahkan mengandung anak sulung. Nyata, perasaan itu kini dialami pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad apabila disahkan mengandung buat kali ketiga selepas dua kandungan terdahulunya gugur. Melayari bahtera rumah tangga bersama ahli perniagaan, Nor Azam Sulaiman sejak mengikat tali pernikahan pada 14 Januari tahun lepas, kini dia sedang mengandung bayi pertamanya dari darah dagingnya sendiri dan dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada awal November ini. Pelakon filem Keramat yang lebih mesra dengan panggilan Becca itu kini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membeli kelengkapan bayinya itu, namun dia akur dengan pantang larang orang-orang tua supaya membeli kelengkapan ketika kandungan berusia lapan bulan ke atas. Disebabkan dia sudah ada pengalaman duka bayi terdahulu yang dikandungnya gugur ketika berusia beberapa minggu, Becca kini agak fobia dan mengamalkan pantang larang orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Ketika ditemui di rumahnya di Sering Ukay Perdana, luah Becca: "Saya kena tunggu kandungan berusia lapan bulan dahulu. Orang tua-tua cakap tak elok beli barangan bayi pada awal kandungan, saya ikut pesanan itu sebagai langkah berjaga-jaga." Beritahunya yang kini mempunyai seorang anak berusia empat tahun iaitu Nor Adam Daniel, perasaan tidak sabar untuk membeli barang seperti katil, kereta sorong dan baju bayi itu amat luar biasa sekali dirasakannya. Rahsiakan nama anak Sungguhpun sudah mempunyai dua anak tiri, Nor Arif Qayyum, 16, dan Nor Khaiyrin Sofiya Nor Azam, 10, selain Adam, Becca bagaimanapun berjanji untuk memberikan kasih sayang yang sama rata tanpa mengira sama ada mereka anak kandungnya atau tidak. "Adam sendiri sekarang bukan main lagi apabila perut saya sudah kelihatan, dia selalu cium perut saya dan sangat cemburu dan marah apabila papanya (Nor Azam) buat perkara yang sama kerana bagi Adam dia seorang yang boleh cium baby," katanya. Begitu juga dengan Nor Arif dan Nor Khaiyrin, kata Becca, mereka juga teruja untuk mendapat adik baharu dan sering mengajaknya untuk membeli barangan bayi. Tambah Becca, sepanjang mengandung, dia tidak mempunyai sebarang kesukaran yang ketara kecuali mual ketika kandungan berusia dua dan tiga bulan. POTRET keluarga. Becca dan suami ceria bersama tiga permata hati mereka (dari kiri) Nor Khairyn Sofiya, Nor Arif Qayyum dan Nor Adam Daniel. "Sekarang sudah okey, cuma sepanjang bulan puasa, saya tidak tahan lapar kerana bayi mesti menendang-nendang jika lapar," jelasnya yang ingin merahsiakan nama yang dipilih kepada bayinya itu. Dia memberitahu lagi, perubahan dirinya ketika mengandung tidak ada yang sangat ketara melainkan kulitnya yang kelihatan lebih gelap dari kebiasaan. "Syukur saya tidak alami masalah macam sesetengah ibu mengandung lain, cuma kulit saya macam gelap sikit, orang tua cakap kalau mengandung bayi perempuan dia akan ambil seri ibunya," kata yang pernah berlaku drama bersiri Dejavu Di Kinabalu. Becca turut memberitahu, anaknya Adam turut menunjukkan sikap yang agak lasak dari kebiasaan ketika dirinya disahkan mengandung. "Dia jadi kanak-kanak yang hiperaktif. Mungkin dia mahu perhatian saya dengan selalu melakukan perkara yang di luar jangkaan. Saya pernah dengar cerita kalau budak mahu dapat adik selalunya begitu, jadi saya akur dan tidak terlalu tegas dengan perangainya itu," jelasnya. Beraya di Johor Selain mengandung anak sulung, Becca turut teruja untuk menyambut Aidilfitri, apabila tahun ini adalah giliran mereka sekeluarga beraya di kampung halaman Becca di Johor Bahru, Johor. Jika tahun lepas Becca sekeluarga telah pulang ke kampung keluarga suaminya di Sarawak, kali ini giliran beraya di Johor pula. "Kami sekeluarga pulang dua hari sebelum Aidilfitri selama seminggu," ujarnya yang menggemari semua jenis masakan yang berasal dari kampung halamannya. Dia memberitahu, keseronokan dapat pulang ke Johor apabila dapat bertemu adik-beradiknya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana dia mempunyai saudara yang rama di sana. "Saya ada lapan adik-beradik, itu tidak termasuk 15 orang anak buah lagi, memang meriah dan seronok sangat," jelasnya yang sudah tentu menikmati lontong Johor sebagai juadah wajib hari raya. | ||
Saya tak dicemuh - Norish Karman Posted: Saya tak dicemuh - Norish KarmanOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
SELEPAS berdiam diri selama lebih kurang setahun, Norish Karman kini telah berani berkongsi kegembiraannya dengan media berkaitan anak keempatnya, Muhammad Haq Lutfie Alexander yang dilahirkan tanggal 24 September 2011 biarpun pada hakikatnya dia masih mengunci rapi persoalan siapa bapa kepada anak kecilnya itu. Sebelum ini, Norish menjadi mangsa gosip liar pihak yang mendakwa dia mempunyai anak luar nikah sedangkan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang hal tersebut. Bagi pelakon berusia 38 tahun itu, hidupnya kini bahagia bersama Muhammad Haq serta tiga lagi anaknya hasil perkahwinannya terdahulu iaitu, Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd. Hardy Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8. Walaupun baru-baru ini dia telah memperkenalkan Muhammad Haq buat tatapan umum, Norish melahirkan kesyukuran dan mengakui dirinya berasa bertuah kerana tidak terus dicemuh malah dihargai oleh peminatnya. Ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri program Wanita Hari Ini di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor semalam, Norish berkongsi kebahagiaan bersama anak-anaknya itu. Kosmo!: Setelah membuat pengakuan bahawa Muhammad Haq merupakan anak keempat Norish baru-baru ini, apakah impaknya terhadap kehidupan anda? NK: Tiada apa-apa normal sahaja, selepas umum mengetahui Muhammad Haq anak saya, sokongan peminat kepada saya masih kuat. Kalau tidak percaya tengok Facebook saya, peminat beri sokongan dan kata-kata perangsang. Apabila saya keluar (rumah) semua orang sayang dan peluk saya, setakat ini tidak ada kata-kata cemuhan semua macam biasa sahaja. Kenapa Norish tutup mulut sebelum ini tentang Muhammad Haq? Ini bukan soal tutup mulut atau buka mulut, sebenarnya saya bercadang akan menjemput semua orang dan memperkenalkan Muhammad Haq ketika sambutan hari jadinya yang pertama tetapi sebelum itu sudah ada pelbagai cerita yang mendahului rancangan saya. Adakah Norish tabah menghadapi segala kontroversi ini? Saya tiada masalah dan tidak kesal perkara ini didedahkan sebelum rancangan saya untuk memperkenalkan anak saya ketika sambutan hari jadinya bulan depan. SERIUS. Norish Norish Karman dikerumuni wartawan ketika membuat kemunculan pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor semalam. Adakah Norish kesal perancangan untuk memperkenalkan Muhammad Haq pada bulan depan tidak menjadi tetapi sebaliknya muncul gosip liar di laman blog? Alhamdulillah saya gembira kerana Tuhan telah membuat jalan ini untuk saya, saya terima. Kalau pelan A tidak berjaya saya teruskan sahaja pelan B kerana kita tidak boleh berpatah balik kepada pelan A. Adakah Norish bercadang untuk menyaman pihak yang membuat gosip liar termasuk yang menceritakan perkara tidak elok mengenai kehadiran anak baharu ini? Tidak mahu saman, buat apa nak saman orang yang tiada duit, baik saman orang kaya. Bagi saya apa yang berlaku itu adalah dugaan, dia tidak tahu apa yang saya rasa dan hidup dalam dunia ini pun bukannya lama. Saya tidak takut kepada manusia. Bagaimana dengan kehadiran Muhammad Haq dalam hidup Norish sekeluarga? Dia anak yang mengagumkan dan terbaik dalam dunia, tidak pernah menyusahkan hidup saya, sebaliknya menggembirakan keluarga termasuk ibu bapa saya. Semua orang sayangkan dia termasuk ramai yang hendak menjadikan dia anak angkat sehingga nak 'angkat' dengan harga berjuta pun ada tetapi saya tidak terima, dia anak saya dunia akhirat. Bagaimana dengan karier seni Norish sekarang ini? Saya masih berlakon dan menyanyi. Mungkin saya akan sibuk mempromosikan album nanti, di samping itu saya juga sibuk menjadi pakar motivasi di universiti dan syarikat korporat termasuk menyambung pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |