Adsense

Khamis, 30 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Dalami bidang agama

Posted: 29 Aug 2012 10:44 AM PDT

SEKALIPUN bergiat aktif sebagai anak seni, namun tuntutan agama tidak dilupakan. Memilih tampil dengan imej bertudung, nyata bukan satu halangan untuk dua gadis manis ini terus mendapat perhatian. Itulah nikmat rezeki diperoleh Diana Amir dan bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Heliza Helmi.

Yakin dengan ketentuan Yang Maha Esa, Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, mengakui dia kini lebih bersikap memilih skrip yang diterima.

Ujar pelakon filem 7 Petala Cinta itu, bukan dia 'demand' tetapi sekadar memastikan watak ditawarkan padanya bersesuaian dengan imej yang kini berhijab.

Diana berkata, apabila sudah berhijab, menjadi kemestian untuk dia bersikap selektif.


Jelasnya, dia tidak mahu main ambil saja watak termasuk antagonis bertudung.

Menurut gadis kelahiran Birmingham, England itu, menjadi tanggungjawabnya menjaga imej sebagai aktres yang kini mengenakan tudung.

"Saya percaya dengan rezeki Allah. Justeru, sekarang saya hanya akan terima tawaran yang difikirkan

sesuai saja. Saya juga takkan menerima watak antagonis bertudung. Bagi saya, apa yang dicari kini adalah keredaan Allah dan atas sebab itu jugalah,
saya membuat keputusan untuk berhijrah dengan memakai hijab.

"Malah, saya juga selesa melakonkan watak yang terhad. Oleh itu, setiap skrip diterima lebih dulu akan diteliti dan jika tidak sesuai, ia bukan rezeki saya. Biarpun lakonan bidang diminati, tetapi tuntutan agama lebih penting. Jadi, karakter yang dilakonkan mestilah sesuai dengan imej saya ketika ini," katanya.

Masih mempunyai kontrak setahun lagi sebagai residen artis Metrowealth Movies Production Sdn Bhd, Diana menjelaskan, dia masih belum lagi memikirkan sama ada mahu menyambung kontrak baru atau tidak. Bagaimanapun, katanya, dia selesa sepanjang berada di bawah pengurusan artis syarikat itu walaupun kini bertudung.

Bakal muncul dengan filem Salam Cinta di pawagam pada 6 September ini, Diana yang bergandingan dengan Kamal Adli memaklumkan filem itu adalah penampilan pertamanya bertudung.

Dilakonkannya tahun lalu, anak keempat daripada tujuh beradik ini mengharapkan filem yang dilakonkan mendapat sambutan.

Berbicara soal cinta, tanpa berselindung Diana memberitahu dia kini masih sendiri dan menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.

Katanya, memang dia berkawan dengan ramai orang tetapi perkara berkaitan jodoh ini sukar diramal.

Ujar Diana, dulu dia pernah terfikir tidak berkahwin pun tidak mengapa.

"Namun, tatkala memikirkan mengenai akhirat dan ingin masuk ke syurga, saya ingin menjadi seorang isteri. Apatah lagi, janji Tuhan mudah bagi seseorang wanita itu masuk ke syurga dengan hanya menjadi isteri yang taat kepada suami. Justeru, saya berdoa supaya jodoh akan sampai suatu hari nanti," katanya.

Tiada saingan bagi Heliza

BAGI Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi pula, dia amat bersyukur tatkala melihat semakin ramai artis muda wanita tanah air kini sudah bertudung.

Katanya, perubahan imej berlaku itu tidak pernah dianggap sebagai satu saingan kepada artis yang sudah bertudung seperti dirinya.

Ia hidayah Allah.

"Saya suka melihat semakin ramai artis wanita tanah air sudah bertudung. Bagi saya, ia perkara yang bagus memandangkan Malaysia sebuah negara Islam. Oleh itu, tak pernah pula saya fikirkan soal persaingan kerana sedar semuanya perancangan Allah. Hanya Dia (Allah) mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

"Lagi pun, kini setiap hujung minggu kami akan berkumpul mengikuti kelas agama dianjurkan. Justeru, secara tidak langsung ia mengeratkan hubungan silaturahim antara kami. Malah, kelas agama yang terbuka kepada rakan artis dan media ini membuka peluang untuk sama-sama belajar mendalami ilmu agama.

"Pembelajaran agama diajar meliputi aspek pembacaan al-Quran, akidah serta motivasi diri. Kini, seramai 40 rakan artis termasuk saya dan Diana mengikuti kelas agama ini. Malah, kami dibimbing tenaga pengajar bertauliah. Justeru, kepada rakan artis sama ada bertudung atau tidak, boleh turut serta dalam kelas ini," katanya.

Menurut Heliza, majlis ilmu apatah lagi berkaitan agama memang seronok disertai jika membabitkan ramai orang.

Menurut pengacara program Rasa Halal Antarabangsa itu, walaupun sibuk dengan urusan dunia, persediaan akhirat juga harus diambil kira.

Katanya, mempelajari ilmu agama penting untuk kerohanian manusia.

Menyentuh soal nyanyian dan perniagaan, Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP) diakui masih diusahakannya. Anak jati Terengganu berusia 26 tahun ini menjelaskan kedua-dua cabang karier itu tetap menjadi pilihan. Ujar Heliza, dia masih aktif dalam nyanyian dan tawaran persembahan akan diterima jika ada kelapangan waktu.

"Soal perniagaan saya, syarikat masih lagi beroperasi. Selain HHP, saya juga menguruskan perniagaan perkapalan. Jadi, soal perniagaan itu rasanya tak perlulah ditonjolkan sangat," katanya yang kini menjadi duta produk minuman Cool Blog serta pernah menjadi pengacara program Man Jadda Wajada musim pertama di TV AlHijrah (TVAH).

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012


Alyah hibur Permaisuri Thailand

Posted: 29 Aug 2012 10:25 AM PDT

BAGAIKAN rahmat sesudah selamat mengerjakan umrah pada Ramadan lalu, nampaknya rezeki penyanyi Kisah Hati, Noor Hasliah Hassan atau Alyah, 31, terus mencurah.

Selain diundang menjayakan pelbagai acara menarik seperti rakaman program hari raya bersama RTM dan Jomheboh TV3, Alyah kini 'terbang' pula ke kota Bangkok bagi menjayakan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa iaitu Asean Music for the Queen.

Acara berkenaan akan berlangsung di Central World, Bangkok, esok (31 Ogos) sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit, yang jatuh pada 12 Ogos lalu.

Istimewanya, Alyah bersama setiap wakil penyanyi dari negara sekitar Asia Tenggara akan menyanyi di hadapan permaisuri serta berpeluang untuk membuat lawatan di kediaman diraja Thailand.


Dihubungi mengenai berita gembira itu, Alyah jelas tidak dapat menggambarkan betapa bersyukur dirinya diberikan peluang keemasan sedemikian.


"Saya sangat terharu kerana pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menaruh kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil negara pada tahun ini.

"Namun, dalam kegembiraan itu, ada terselit rasa sedih kerana acara itu jatuh pula pada tarikh bersejarah kita, Hari Kemerdekaan. Nampaknya buat pertama kali, saya akan berada di luar negara pada 31 Ogos, padahal setiap tahun saya akan menyambutnya di sini.

"Apa-apapun, bukan senang mendapat peluang sebegini dan agak gementar juga kerana penyanyi yang akan buat persembahan nanti bukan calang-calang.

"Mengenai persediaan pula, kali ini saya lebihkan kepada persediaan dari segi visual itu sendiri terutama busana yang akan dipakai nanti. Saya memilih untuk menggunakan rekaan Syahwadi pada malam itu nanti.

"Yang pasti, matlamat utama saya semestinya untuk memberikan persembahan terbaik dan mahu meninggalkan satu persembahan yang akan diingati Ratu Sirikit serta rakyatnya sampai bila-bila," katanya yang akan menyanyikan lagu terbaru, Lena Sahara menerusi persembahan solonya nanti.

Asean Music for the Queen adalah anjuran Kementerian Kebudayaan Thailand dengan mengundang barisan penyanyi wanita popular dari negara anggota Asean iaitu Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar, Laos, Singapura dan Brunei selain tuan rumah, Thailand.

Acara berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan baik sesama anggota Asean yang sedia terjalin. Selain nyanyian lagu popular dari negara masing-masing, artis terbabit juga akan menyanyikan lagu-lagu kegemaran Ratu Sirikit atas permintaan baginda sendiri.

Menyifatkan itu antara pencapaian terbesarnya selama berkecimpung dalam industri hiburan hampir kira-kira 12 tahun, Alyah juga berharap dia mampu memartabatkan nama Malaysia pada acara itu kelak.

Dalam pada itu, Alyah juga dijangka terbang ke Jakarta bulan depan untuk menjayakan penggambaran muzik video terbarunya, Lena Sahara. Ada juga ura-ura mengatakan, komposer tersohor Indonesia, Ahmad Dhani begitu berminat untuk menerbitkan album Alyah selepas tertarik dengan kualiti vokalnya.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012