Berita Harian: Hip |
Posted: 29 Aug 2012 05:59 AM PDT Norish anggap tiada faedah ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar gambar Pelakon sensasi, Norish Karman, tidak berhasrat menyaman individu yang menyebarkan gambarnya di sebuah hospital berserta anak yang ketika itu baru saja dilahirkan di internet. Kata bintang Sayang Salmah ini, dia enggan berbuat demikian kerana berasakan tindakan itu tidak membawa sebarang faedah. "Tiada gunanya menyaman orang yang menyebar gambar saya itu kerana mereka bukannya ada duit. Lainlah jika mereka mempunyai banyak duit, sekurang-kurangnya berbaloi juga saya bersusah payah naik-turun mahkamah," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Wanita Hari Ini (WHI), di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.Sebelum itu, kemunculan pelakon drama bersiri Spa Q ini pada majlis terbabit memang ditunggu-tunggu wakil media. Apatah lagi selepas dia melakukan pendedahan berani mengenai kehadiran bayi diberi nama Haq Lutfie Alexander sebagai anak kandungnya, menyebabkan diri wanita ini terus menjadi perhatian. Tampil dalam busana kurung rona hitam dipadan kain corak songket keemasan, pelakon berasal dari Singapura itu juga pada mulanya tidak mempunyai sebarang masalah untuk ditemuramah, sebaik saja acara selesai. Namun sebaik saja WHI yang bersiaran secara langsung berakhir, Norish seakan ingin mengelak dengan alasan mahu segera pulang untuk menjemput anak perempuannya dari sekolah. Sikap pelakon itu yang seakan ingin 'melarikan diri' tidak mematahkan semangat wartawan, apabila kami membuat keputusan menunggunya di hadapan Proton Exora putih, dipercayai dinaiki Norish. Sokongan peminat berterusan Bagaimanapun tatkala diserbu media, wanita ini ternyata bersikap profesional apabila menjawab setiap pertanyaan diajukan. Kala ditanya apakah impak daripada pendedahan dilakukan tempoh hari, wanita ini berkata, dia terkejut dengan sokongan tidak berbelah bagi ditunjukkan peminat terhadap dirinya. Menurutnya, ada yang mendekati sambil memeluk erat seraya mengucup dirinya. Tidak kurang yang menawarkan diri menjadi ibu dan bapa kepada Haq. "Alhamdulillah peminat memberikan banyak kata perangsang kepada saya. Mereka memberitahu, akan terus menyayangi dan setia menyokong kerjaya seni saya. "Saya membuat pendedahan itu pun bukan untuk membuka mahupun menutup sebarang cerita. "Awalnya, selepas kelahiran Haq, saya memang terfikir bagaimana mahu memperkenalkan Haq kepada khalayak. Cara terbaik adalah dengan mengadakan sambutan ulang tahun pertamanya. Tetapi ada pihak yang terlebih dulu mendahului saya apabila menyebarkan gambar kami, kerana gagal mendapat wang ugutan," katanya. Dugaan Tuhan Aktres ini juga mengakui tidak pernah menyesali tindakan memperkenalkan Haq kepada masyarakat. Apa yang berlaku sebaliknya dianggap sebagai dugaan Tuhan. Ujian yang dilalui pula, tegas Norish, menjadikan dirinya lebih kuat. "Biarlah sesetengah masyarakat memandang negatif pada saya. Bagi saya, itu hak individu kerana kita tidak tahu bagaimana untung nasib kita pada masa depan," katanya. Info * Pernah berkahwin dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 11 Januari 1998 di Perlis. * Bagaimanapun mereka sah bercerai pada 15 Julai 2008. * Menerusi perkahwinan itu, Norish dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 12; Muhammad Hady Amieran, 9; dan Nur Hanyz Amanda, 8. * Kehadiran bayi diberi nama Haq Lutfie Alexander yang dilahirkan pada 24 September 2011 menimbulkan tanda tanya kerana selepas bercerai, Norish tidak pernah mengumumkan sebarang majlis pernikahan semula dirinya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |