Kosmo Online - Hiburan |
- Ziana, Anuar balik Merlimau
- Mariani, Mat Sentol, Zaiton beri pendapat
- Saya bagi tempoh seminggu cari bukti - Jue Aziz
Posted: Ziana, Anuar balik Merlimau
SUDAH berpuluh-puluh tahun tidak meraikan 1 Syawal di kampung halaman yang terletak di Merlimau, Melaka, itulah pengakuan daripada mulut penyanyi terkenal, Ziana dan adiknya, Anuar Zain. Mereka berdua yang ditemui pada sesi fotografi khas sempena Aidilfitri di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada pertengahan bulan Ramadan lalu, mengatakan kali terakhir mereka sekeluarga meraikan 1 Syawal di kampung adalah sekitar tahun 1980-an. "Saya sendiri sudah tidak ingat tahun terakhir kami dapat pulang beraya di kampung. Sebenarnya bukan kami tidak mahu balik kampung, hari-hari biasa kami kerap juga balik, cuma pengalaman beraya di kampung pada 1 Syawal itu sudah lama tertinggal. "Tradisi balik raya terhenti sejak kami berdua menjadi penyanyi. Jadual kami sentiasa sibuk terutamanya pada bulan Ramadan dan juga bulan Syawal. "Rumah keluarga kami di Shah Alam, Selangor pula sentiasa penuh dengan tetamu, mahu tidak mahu kami harus melayan tetamu yang hadir. Jadi, saudara-mara tidak ada pilihan yang lain, mereka yang akan turun ke Shah Alam beraya dengan kami," kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain panjang lebar. Celah Anuar, 42, yang segak dalam persalinan busana Salikin Sidek mengakui situasi tersebut. Ujarnya, rumah mereka akan dihadiri tetamu dan juga peminat sehingga larut malam. "Macam mana nak balik kampung, waktu itu ibu bapa kami masih sihat dan rajin layan tetamu yang hadir tidak kira waktu. Selalunya sampai pukul 1 pagi pun masih ada yang memberi salam untuk beraya di rumah kami. "Sebagai tuan rumah, kami akan melayan sebaik mungkin. Cuma tahun ini, ibu bapa kami sudah tidak sihat seperti dahulu, kakak saya juga sudah ada anak-anak yang perlu diberi perhatian, oleh itu tahun ini kami semua sepakat untuk raya di kampung selama tiga hari," cerita Anuar penuh semangat.
Walaupun dapat pulang beraya di kampung, kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu, sudah ramai ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia di kampung, disebabkan itu suasananya tidak sama seperti waktu mereka kecil. "Ahli keluarga kami terutama pak cik-mak cik ramai yang telah meninggal dunia, hanya beberapa orang sahaja yang tinggal. "Apa pun, kami tetap melawat semua saudara-mara yang ada dan raya kami pasti disambut semeriah mungkin. Bukan senang untuk kami dapat cuti dan berkumpul ramai-ramai seperti hari raya," tutur Anuar yang cukup popular dengan lagu Suasana Hari Raya nyanyiannya bersama Elina. Malam raya Ziana, 44, yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik memberitahu setiap kali raya saat paling digemarinya adalah pada malam raya. "Memang saya paling suka pada malam raya. Kesibukan dan keriuhan pada malam raya membuatkan raya kita lebih meriah. "Tambahan kalau sambut raya di kampung, memang sangat seronok apabila semua saudara-mara berkumpul dalam sebuah rumah, memang sangat kecoh, tetapi saya suka," kata Ziana. Jika Ziana sibuk di dapur menyiapkan hidangan untuk pagi raya, Anuar pula kata kakaknya, suka menyibukkan dirinya dalam setiap situasi. "Anuar, dia akan cuba menyibukkan dirinya di dapur atau di mana-mana sahaja (ketawa). Sungguhpun begitu, dia tolong juga mana yang patut, anak-anak saudara memang suka kalau Pak Ngah (panggilan untuk Anuar) mereka balik kampung sebab dapat banyak duit raya," luah Ziana. Sambung Anuar, apabila tibanya raya, mereka adik-beradik sudah tahu tugas masing-masing. Contohnya Anuar bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembelian kuih raya, malah sempat berbincang dengan kakaknya kuih apa yang harus dibeli ketika sesi fotografi ini dijalankan.
"Kami sekeluarga memang tidak ada masa buat kuih, semuanya kuih tunjuk sahaja, tetapi sebelum beli, saya akan pastikan kuih itu benar-benar sedap untuk dimakan bukan setakat cantik sahaja. "Selalunya kuih yang menjadi pilihan adalah kuih tart nenas yang merupakan kuih wajib, selain itu kuih batang buruk, sarang semut, kuih bangkit dan kuih dahlia akan dibeli," ucap Anuar sambil berkira-kira berapa balang kuih yang harus dibeli. Belanja raya Penyanyi lagu Madah Berhelah dan ibu kepada Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 3 tahun, berkata perbelanjaan raya tahun ini agak terlebih disebabkan puteri sulungnya. "Tahun ini kami sekeluarga memakai baju warna biru cair, saya beli kain sepapan dan tempah. Kalau dikira-kira baju yang paling banyak sudah pasti satu-satunya anak perempuan saya. "Setiap kali saya terlihat baju kanak-kanak perempuan yang comel pasti saya akan beli untuk Kaseh, itu belum dikira hadiah baju daripada rakan-rakan dan juga saudara. Setakat ini, baju Kaseh sudah ada sepuluh pasang. "Bukan apa, sebab saya sudah lama menunggu untuk dapat anak perempuan, bila lihat baju kanak-kanak perempuan yang saya tidak boleh beli sebelum ini, saya akan beli untuk Kaseh. Anak-anak lelaki ada juga baju baharu, cuma jumlahnya tidak sebanyak anak perempuan," kata Ziana sambil tersenyum. Pakaian raya Ziana pula sudah ditempah awal-awal lagi, begitu juga dengan Anuar yang menempah baju Melayu. Bagaimanapun, kata Anuar dia tidak berhabis banyak semata-mata untuk meraikan Aidilfitri. "Mungkin kakak saya akan belanja lebih sebab dia ada anak-anak, kalau saya hanya biasa-biasa sahaja, beli apa yang patut. "Selebihnya saya akan simpan duit untuk beri duit raya pada anak buah seramai 12 orang. Selepas cuti lebih kurang seminggu, saya akan bekerja seperti biasa," katanya yang akan muncul dengan album duet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah. | |||||
Mariani, Mat Sentol, Zaiton beri pendapat Posted: Mariani, Mat Sentol, Zaiton beri pendapatOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
MENARIK apabila dapat bertemu dengan tiga artis veteran, Mariani, Mat Sentul dan Zaiton Sameon yang mempunyai personaliti yang berbeza. Mariani yang cukup peramah dan petah berbicara, berbeza sekali dengan Mat Sentol dan Zaiton Sameon yang hanya bercakap apabila ditanya. Bertemu ketika majlis berbuka puasa seniman dan seniwati di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada Ramadan lalu, mereka berkongsi suka duka dan keseronokan beraya. Bagi mereka, hari raya zaman sekarang umpama dibuat-buat dan tidak berlaku secara semula jadi seperti ketika mereka muda dahulu. Mereka juga sepakat berpendapat bahawa cara sambutan hari raya sekarang seperti rekaan dan keadaannya tidak begitu meriah kerana cara orang berbelanja dan berhias setiap hari seperti hari raya. Menurut seniwati Mariani atau nama sebenarnya, Mariani Ismail, pengalaman beraya ketika tinggal di Jalan Ampas, Singapura adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. "Semua pelakon dan kru tinggal sebumbung dan di satu kawasan yang sama, jadi kemeriahan itu memang dapat dirasai apabila kami bertukar-tukar juadah pada pagi hari raya," ujar kakak kepada biduanita Saloma ini. Beliau yang terbabit dengan empat drama sempena Aidilfitri ini iaitu Kasih Andak, Anak Hero, Malang Yang Berbau dan Pontianak Kampung Batu Tiga memberitahu, ketika di Jalan Ampas mereka tidak akan ke mana-mana kecuali beraya di kejiranan itu sahaja. Mariani dan sambal goreng pengantin Mariani menambah, kemeriahan raya zaman sekarang hanya terasa apabila dapat bersama anak-anak dan cucu sahaja, tetapi ketika di Jalan Ampas erti kemeriahan dan hari kemenangan itu dapat dirasai. "Memang cukup berbeza kemeriahannya. Setiap hari raya apabila terkenang cerita lama, hati saya akan sayu kerana ramai rakan-rakan seangkatan saya sudah tiada di dunia ini," ujarnya yang juga ibu kepada Melissa Saila. Mengenai sambutan hari raya pula, Mariani berkata, setiap tahun dia akan pulang ke rumah dua orang anaknya, Normah dan Noraini Darus di Singapura selama tiga hari. "Mereka ada butik di Singapura, jadi saya tidak perlu membawa baju raya sebab mereka sudah sediakan semua," ujarnya yang menggemari makanan Singapura iaitu juadah sambal goreng pengantin pada setiap pagi raya. Serik pegang watak hantu Bercakap tentang dirinya yang masih lagi aktif berlakon pada usia 79 tahun, Mariani bersyukur dengan tawaran yang datang kepadanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu telah serik untuk melakonkan watak hantu kerana terpaksa disolek tebal selama empat jam dan untuk menanggalkan solekan itu juga adalah satu perkara yang menyeksakannya. "Ada dapat tawaran watak hantu juga, tetapi saya terpaksa tolak sebab tak larat sangat ambil masa lama untuk disolek dan menanggalkan solekan. Cukuplah dapat watak nenek atau ibu sahaja," ujarnya yang mesra dengan panggilan mummy. Beliau turut berikrar akan mengabdikan dirinya selagi hayat dikandung badan dan selagi ada pihak yang sanggup menawarkannya watak bagi kelangsungan beliau sebagai anak seni. "Saya tidak akan tolak tawaran berlakon, selagi ada orang nak, saya akan terima, tetapi tidak sekali-kali saya akan tawarkan diri sendiri," ujar bekas ratu cantik pada 1951 ini. Mat Sentol tak rasa raya Saat soalan raya diajukan kepada pelakon lama yang cukup sinonim dengan filem-filem komedi, Mat Sentol menyifatkan sikap masyarakat masa kini yang gemar berbelanja mewah tidak mengira waktu membuat kemeriahan raya itu tidak dirasai. Ujarnya, berbeza pada zaman dahulu, umat Islam ramai yang berbelanja besar hanya setahun sekali iaitu menjelang hari raya. "Keadaan masyarakat sekarang yang setiap hari berbelanja seperti hari raya membuatkan erti hari raya telah hilang dan tiada serinya. Kalau hari-hari sudah belanja besar dan pakai baju cantik-cantik, apabila hari raya perkara sama juga dibuat, erti hari raya sudah hilang," ujarnya ringkas. Tidak minat berlakon Berbeza dengan Mariani, pelawak dan pelakon veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya, Mat Raship Yahya memberitahu beliau yang kini tinggal di Larkin, Johor pula sudah tidak berminat untuk berlakon lagi. Ujarnya yang kini lebih banyak mengarah dan menerbitkan iklan makanan kanak-kanak, beliau sudah selesa dengan kehidupannya kini tanpa terlibat dengan dunia seni. "Dulu ada sebuah stesen televisyen panggil berlakon, tetapi pengarah yang mengarah cerita itu masih muda dan tidak boleh ditegur, saya tidak bersependapat dengan dia," ujarnya seolah-olah sudah putus asa dengan dunia lakonan. Beliau juga berpendapat dunia lakonan dan lawak zaman sekarang juga tidak semula jadi seperti yang dilakukan oleh dirinya dan rakan seangkatan lain. "Kalau saya tonton drama di televisyen, ia agak menyakitkan hati terus saya tutup, tidak tonton pun tidak mengapa kalau buat lakonan dan lawak seumpama itu,," ujarnya yang tidak menyenangi lawak jenaka zaman sekarang.
Namun, Mat Sentol memberitahu, dia akan menerima tawaran berlakon daripada pengarah yang sanggup menerima teguran daripadanya. Zaiton teringat anak Penyanyi 80-an yang cukup terkenal, Zaiton Sameon juga sependapat dengan Mariani dan Mat Sentol, tetapi baginya hari raya lebih bermakna jika bersama arwah anaknya dan keluarga sendiri. Beliau yang kini tinggal bersama adik angkatnya yang berasal dari Kelantan berkata, hari raya akan lebih bermakna baginya jika arwah anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, masih ada. "Saya bersyukur kerana adik angkat, Che Sekah Ismail, sanggup jaga saya dan menemani saya ke mana-mana. Dialah keluarga saya dunia akhirat sekarang," ujarnya yang mengikut Che Sekah beraya ke Kelantan tahun ini. Album selepas Aidilfitri Beralih topik kepada kisah kariernya, pelantun lagu Menaruh Harapan dan pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1987 ini memberitahu beliau akan melancarkan album baharunya berjudul Terimalah dalam masa terdekat. Album berkenaan memuatkan lagu-lagu berentak zapin, pop dan balada yang dicipta khusus untuk peminatnya. Ia diterbitkan oleh Money Entertainment. "Ramai peminat tanya bila nak terbit album, apabila ada pihak yang sanggup terbitkannya, saya terima, ia untuk mengubati rindu peminat kepada nyanyian saya," ujarnya. Beliau menjangkakan lagu yang akan mendapat perhatian peminatnya, Insan Kecil yang mengisahkan mengenai penderaan kanak-kanak. | |||||
Saya bagi tempoh seminggu cari bukti - Jue Aziz Posted: Saya bagi tempoh seminggu cari bukti - Jue AzizOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
NAMA pelakon cantik Zuliana Abd. Aziz, 29, atau lebih popular dengan panggilan Jue Aziz hampir tidak pernah dibicarakan lagi sejak kebelakangan ini. Jue seperti sudah terhakis dengan sebarang kontroversi, terutamanya yang berkaitan soal cinta. Bagaimanapun, nama pelakon berkenaan tiba-tiba kembali hangat diperkatakan ramai apabila sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan tentang hubungan istimewanya dengan pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Abd. Radzak yang juga suami kepada pelakon Rita Rudaini Mokhtar. Hubungan antara Jue dan Aidil dikatakan akrab dan seperti pasangan dilamun cinta, sedangkan pada masa yang sama kes membabitkan Aidil dan Rita masih lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah. Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Jue mengakui dirinya terlalu kecewa dengan kontroversi yang melanda dan menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak tersebut. Kosmo!: Apakah reaksi Jue apabila didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan Aidil? JUE: Sudah tentu saya berasa sedih dan kecewa kerana ketika sambutan 1 Syawal umat Islam merayakan Aidilfitri dan dihidangkan dengan pelbagai juadah, saya pula telah dihidangkan dengan sebuah kisah kontroversi yang boleh mengaibkan diri saya. Apa yang boleh anda katakan apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan suami orang? Pertama sekali, saya ingin menegaskan yang saya memang tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Aidil seperti yang didedahkan. Saya sendiri agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan sehingga boleh menimbulkan impak yang buruk. Bagaimanapun, saya akui memang mengenali Aidil dan sejujurnya ia sekadar kenalan biasa. Tidak lebih daripada itu. Kalau ada yang mengatakan kami dilamun cinta atau pernah keluar berdua-duaan, sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Sejak kebelakangan ini juga jadual saya agak padat dengan aktiviti lakonan dan sering menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur. Jadi, tidak mungkin saya ada masa untuk keluar dengan Aidil, apatah lagi dengan statusnya yang masih lagi suami orang.
Adakah anda tahu individu atau pihak yang telah mengaitkan nama anda dalam kontroversi ini? Sebenarnya saya tahu identiti individu yang bertanggungjawab mereka cerita ini memandangkan nama Ayu Raudhah turut dikaitkan sama. Lagipun saya yakin, pembaca yang membaca cerita berkenaan juga sudah dapat agak siapa individu tersebut. Cuma saya agak hairan apabila nama saya telah dikaitkan pula, sedangkan saya langsung tiada masalah dengan individu itu. Kalau betul dia ada bukti seperti yang diperkatakan, sila bersemuka dengan saya. Setelah kontroversi berkenaan tersebar, adakah ia memberi impak kepada anda? Apa yang saya dapat tahu bukan nama saya seorang sahaja yang telah terjejas, malah ia juga memberi impak yang buruk terhadap Ayu. Walaupun hubungan kami tidaklah terlalu rapat, tetapi saya kasihan dengan Ayu apabila dia pula dituduh menjadi orang tengah. Bagaimana pula dengan tindakan anda selanjutnya untuk berhadapan dengan kontroversi ini? Saya beri tempoh seminggu kepada individu tersebut untuk mengemukakan bukti kalau betul saya ada hubungan dengan Aidil. Sekiranya tidak ada bukti yang dikemukakan, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka malah saya berani tampil dan bersemuka dengannya kerana tahu diri saya memang tidak bersalah. Saya ada hak untuk membersihkan nama kerana kontroversi ini pastinya boleh menjejaskan periuk nasi saya sebagai seorang pelakon. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |