Adsense

Khamis, 23 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ketawa penawar duka Didie, Jihan

Posted: 22 Aug 2012 08:18 AM PDT

TATKALA kebaya rekaan klasik membaluti tubuh mereka, lengkap bersanggul dengan sekuntum bunga, lekas pesona wajah Didie Alias dan Nuur Jihan Musa terus menyerlah.

Mungkin sudah selalu sangat kita melihat Didie muncul dengan fesyen moden yang pelik-pelik persis Lady Gaga manakala Jihan pula suka bergaya kasual, lantaran solekan khas sempena Syawal kali ini menampakkan lagi sudut feminin mereka.

Jihan Musa yang juga naib juara program Raja Lawak 3 kelihatan begitu mesra dengan Didie yang dianggap sebagai kakak dan senior dalam bidang lawak jenaka. Mereka kerap usik-mengusik ketika jurugambar merakamkan aksi mereka kerana ada-ada saja ayat-ayat lucu terbit daripada mulut mereka.

Namun apabila diwawancara, nada suara Didie menjadi semakin serius.


"Dalam hidup ini, saya bukannya ketawa 24 jam. Walaupun orang nampak saya 'happy go lucky' dan selalu ceria di luar set atau di rumah, saya macam wanita lain juga. Malah sebagai wanita dan ibu, hati saya juga mudah tersentuh - sama seperti orang lain juga. Kelakar menjadi sebahagian daripada imej untuk periuk nasi saya membesarkan anak-anak. Ada masa kita kelakar dan ada masa saya juga sangat serius.


"Kadang-kadang orang tengok kita ketawa tapi orang tidak tahu di dalam hati, kita juga ada masalah, menangis dan berendam air mata.

"Alhamdulillah sekarang rezeki saya murah Tuhan beri. Banyak pihak menaruh kepercayaan kepada bakat saya dan sebagai balasan saya kena bagi yang terbaik kepada penonton.

"Mungkin semua itu berkat kerja keras dan kesabaran yang saya lalui selama ini. Tidak ramai yang tahu saya pernah melarat dan merangkak sebelum ini. Untuk sampai ke tahap sekarang memang susah perjalanan kerjaya saya.

"Namun saya sentiasa berusaha dan tidak pernah menyerah kalah. Saya perbaiki mutu persembahan saya terutamanya lakonan dan bidang pengacaraan untuk sampai ke tahap ini. Syukur kepada Tuhan," ujar Didie sambil membetulkan kerongsang di kebaya.

Mula dikenali melalui filem Kanta Serigala, Ghazal Untuk Rabiah dan Boss, Didie pernah tenggelam seketika kerana meletak fokus kepada keluarga dan membesarkan anak-anaknya iaitu Dhaniyah yang sudah berusia 19 tahun, Dhanial, 18, (menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak), Dinie, 16, Danie, 14, serta Diyana 13.

Didie yang kini berkahwin dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail nyata mendapat semangat baru untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Dia bukan saja semakin hebat menjadi pengacara bagi acara anugerah berprestij, malah pernah dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, April lalu.

Akhir-akhir ini Didie banyak berlakon cerita komedi seram seperti Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Pelesit.

Menyentuh cerita rayanya, wanita yang tidak lekang berjenaka sambil mengusik suaminya yang kini bertindak selaku pengurus itu, lebih banyak memberikan tumpuan kepada anak-anak kalau dia tidak berlakon atau terbabit dengan acara pentas.

"Bezanya kali ini, dua anak saya sudah tidak tinggal bersama lagi kerana masing-masing belajar di asrama. Jadi suasana riuh-rendah di rumah kami agak kurang sedikit dan membuatkan saya rasa sayu dan sedih kerana selalu rindukan mereka.

"Namun jujurnya saya bersyukur kerana berjaya membesarkan mereka dengan pendidikan yang secukupnya demi masa depan. Kita belajar tidak pandai, jadi biarlah anak-anak yang lebih berjaya dalam pengajian.

"Untuk raya kali ini, saya tidak membuat persediaan besar, cukuplah baju raya sekadar yang perlu, kuih-muih dan keperluan anak-anak. Kami sekeluarga pulang beraya di Johol, Negeri Sembilan dan kemudiannya di keluarga saya di Melaka," katanya.

Bagi Jihan pula, satu-satunya pelakon komedi wanita angkatan muda paling menyerlah masa kini, cerita karier lakonannya cukup berbeza.

Anak kedua daripada empat beradik yang kini berusia 29 tahun ini akui karektor kelakar dengan personaliti bersahaja sudah sinonim dengannya.

Meskipun awalnya jenaka hanya dijadikan batu loncatan semata-mata, hari ini anak kelahiran Selangor ini terus menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa sehingga dia sudah dilabel pelakon komedi.

"Saya asalnya adalah penggiat teater kecil. Banyak pengalaman yang saya timba dalam pementasan tapi semuanya mula berubah sebaik saya diterima masuk ke dalam Raja Lawak. Sejak itu juga, saya sudah tidak ada masa lagi untuk kembali mengikuti gerakan teater seperti dulu kerana jadual lakonan yang bertambah banyak. Saya amat bersyukur dengan peluang dan ruang yang diberikan oleh produser tempatan.

"Namun tidak dinafikan, ada kalanya rasa rindu sangat berlakon teater itu kembali kerana kepuasannya cukup berbeza. Saya hanya berlawak sekarang kerana itu saja peluang yang diberikan sedangkan saya mampu melakonkan apa saja peranan.

"Bagaimanapun saya yakin dan percaya, satu hari nanti saya akan merealisasikan juga impian untuk menghidupkan pelbagai karektor dan bukan lagi terikat dengan genre komedi semata-mata," katanya yang pernah membintangi drama Pelakon Extra dan Patah Seribu.

Melihat dari sisi berbeza, status pelakon komedi yang ada pada Jihan kadangkala dipermainkan orang.

"Nak menangis pun tak boleh tapi itulah hakikat. Mentang-mentang kita pelakon komedi, ada juga orang yang datang dekat saya dan terus meminta untuk saya buat lawak tanpa sebab. Saya hanya berlawak di pentas lawak dan kalau di luar. Saya juga macam Kak Didie, kami orang biasa. Kalau kita terhegeh-hegeh tidak tentu pasal, orang belum tentu suka atau naik meluat," katanya yang akan pulang beraya bersama ibu dan tiga lagi saudara di Langat, Selangor.

Sepanjang musim raya, wajah kedua bintang ini mewarnai ruang rumah bagi menghiburkan seisi keluarga dengan pelbagai program TV.

Jihan umpamanya muncul drama Order Saja tayangan Astro, Tutty Polkadot dan Konangan di RTM, sitkom Seri Pantun serta menjadi pengacara kepada program Tiada Lama Tiada Baharu juga menerusi RTM.

Didie pula muncul dalam pelbagai program termasuk mengacarakan Sampaikan Aidilfitri dan drama Untung Atas Angin di RTM, Daging Batang Pinang dan Stalista Aidilfitri di Astro dan juga program muzikal Randy Oh Randy.

Bintang komedi dua generasi ini sekali lagi akan dipertemukan dalam sebuah mencuit hati iaitu Pontianak Beraya Di Kampung Batu 2 Setengah yang akan menemui penonton pada 28 Ogos ini, jam 9 malam di Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012


Astro raikan Kempen Negaraku

Posted: 22 Aug 2012 07:56 AM PDT

DALAM kemeriahan umat Islam menyambut 1 Syawal saluran satelit definisi tinggi, Astro tidak lupa meraikan Best of 1Malaysia dengan tayangan lebih 160 program yang akan disiarkan menerusi pelbagai salurannya bagi meraikan Hari Kemerdekaan Ke-55.

Kempen Negaraku yang akan bermula daripada 15 Ogos lalu sehingga 17 September depan akan memperkenalkan satu saluran baru iaitu, My Hometown (Saluran 318) yang meraikan kampung halaman rakyat Malaysia melalui video-video yang dihantar menerusi pertandingan My Hometown.

My Hometown sebelum ini menjemput rakyat Malaysia untuk meraikan perpaduan dalam kepelbagaian dengan menghantar video masing-masing yang mengetengahkan keunikan kampung halaman mereka menerusi saluran My Hometown (Saluran 318).

Astro juga memperkenalkan My Hometown Short Films iaitu projek yang menawarkan 14 filem pendek meliputi 14 negeri di Malaysia arahan 14 pengarah filem muda.


Naib Presiden Berita bagi Kumpulan Kandungan Astro, Vincent De Paul, berkata pada sambutan kemerdekaan kali ini, Astro membawakan yang terbaik menerusi kepelbagaian kandungan TV dan secara talian untuk menepati selera penontonnya.


"Sama ada tua ataupun muda, di bandar atau di desa, rakyat Malaysia dapat memilih program kegemaran mereka yang ditawarkan menerusi gandingan hebat rangkaian media global bersama saluran tempatan," katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Mulai 15 Ogos lalu sehingga 17 September ini, rakyat Malaysia berpeluang untuk menonton tayangan perdana program seperti Era Kegemilangan Sukan Negara (Era 50-an hingga 90-an) menerusi Astro Arena (Saluran 801), Agenda Awani - Banyak Etnik, Banyak Budaya & Satu Bangsa di Astro Awani (Saluran 501), Behind the Dialect Groups di Astro AEC (Saluran 301) dan The evolution of Music in Malaysian Tamil Films menerusi Astro Vellithirai (Saluran 211).

Tambah Vincent, kekayaan budaya dan variasi negara ini juga akan ditonjolkan menerusi saluran antarabangsa Astro.

Antara program yang disediakan, Inside: Istana Negara di National Geographic Channel (Saluran 553), Revealed: Malaysia's Majesty - Twice a King dan Eye on Malaysia 2: Royal Carver dalam Discovery Channel (Saluran 551), Passage to Malaysia: Feast in the East dan Art and About di TLC (Saluran 707), Siti Nurhaliza menerusi BIO (Saluran 731), Special Forces: Malaysia GGK dan Last Journey To Sarawak di History (Saluran 555).

Untuk maklumat lanjut mengenai program khas sempena Merdeka nanti, orang ramai boleh layari www.astro.com.my/Negaraku bermula 15 Ogos - 17 September ini. Bagi maklumat lanjut tentang My Hometown, sila layari www.astro.com.my/myhometown.

Artikel ini disiarkan pada : 23/08/2012