Adsense

Ahad, 19 Ogos 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Aidilfitri putihkan jiwa

Posted:

Aidilfitri putihkan jiwa

JIKA Ramadan itu diibaratkan sebagai madrasah atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa, Aidilfitri yang datang hari ini membawa kita semua kembali ke jalan fitrah, suci dan bebas daripada dosa.

Disebut juga Minalaidinwalfaizin yang bermaksud, semoga termasuk dalam golongan orang yang kembali kepada fitrah dan beroleh kejayaan, 1 Syawal juga simbolik kepada hari kemenangan.

Tersiratnya, menjelang hari yang disyariatkan agar disambut oleh setiap umat Islam ini, setiap daripada kita semua punya pemahaman secara peribadi. Panggilan 1 Syawal yang menemukan Sensasi Bintang bersama wajah-wajah gemilang ini juga punya jawapan kepada pengertian kemenangan Aidilfitri itu sendiri.

Dirakam dalam gemalai suasana desa dan persalinan tradisi daripada Salikin Sidek ternyata menambah pesona, kehadiran pelumba basikal negara Azizulhasni Awang, 24, yang kini menduduki ranking enam terbaik dunia dalam Sukan Olimpik London turut melengkapkan suasana.

Bukan sahaja puasa yang menguji lapar dan dahaga, edisi yang kepingin sebuah himpunan penuh variasi ini juga berdepan banyak rintangan. Mujurlah pada saat-saat akhir, kata putus yang diterima membuahkan kelegaan. Ini juga kemenangan yang mahu kami kongsikan, sebuah penyatuan jiwa antara selebriti sukan, muzik, lakonan dan penulisan yang berjaya disatukan.

Hari bahagia

Dalam bahasa yang mudah, Amy menyimpulkan hari raya sebagai hari yang cukup indah. Ia juga hari untuk bertemu rakan-taulan serta sanak-saudara yang jika selama ini jarang bersua atau bertanya khabar.

"Bagi saya senang, hari raya ialah hari untuk kita bermaaf-maafan, melupakan segala kesilapan seikhlas hati, zahir dan batin.

"Konsep minta maaf zahir dan batin itu jangan hanya dimulut tapi biar dari perasaan yang halus, hapuskan segala salah dan silap, betul-betul kosong-kosong," ujar Amy sebelum mengarahkan penjelasan nya terhadap pengertian raya yang lebih mendalam.

Katanya: "Dalam masa sebulan Tuhan sudah buka seluas-luasnya pintu rahmat, jadi bila raya tiba untuk disambut, kita boleh rasa puas. Dalam kegembiraan Syawal, saya juga akan terkenangkan arwah ayah. Dahulu kami beraya juga dalam apa jua kekurangan atau kelebihan dan sekarang saya amat bersyukur kerana hari raya saya semakin meriah dan bermakna. Dahulu saya 'membujang', sekarang saya beraya berkeluarga, ibu dan kakak, isteri, anak-anak serta cucu yang membuatkan raya saya bertambah meriah dan bawa bahagia.

Kembalikan gembira



Lain pula bagi Shaheizy Sam yang belum mengalami banyak fasa kehidupan. Seingat dirinya, zaman kanak-kanak merupakan fasa yang paling banyak mendatangkan kegembiraan.

"Masa kecil, raya cuma untuk bergembira, sekarang, suasana itu agak berlainan. Ia lebih kepada tempoh untuk memberi semula dan berkongsi kegembiraan yang pernah dirasai dulu kepada kanak-kanak hari ini. Walaupun kita boleh minta maaf sepanjang masa tapi hari raya ialah hari rasmi kepada acara minta maaf," sambung Sam sambil mengiakan tanggapan umum bahawa raya anak bandar agak membosankan berbanding raya anak-anak di kampung.

Meleraikan konsep kemenangan sebuah Aidilfitri yang disambut setiap tahun, aktor yang sedang muncul dengan filem terbaharu, S.A.M bersama Lisa Surihani itu juga mengungkap raya sebagai satu proses penyatuan dan pemutihan.

"Ia bukan sahaja antara manusia dengan manusia tetapi pemutihan dalam diri sendiri. Contohnya, masa bulan puasa saya boleh turunkan berat badan sebanyak 6 kilogram (kg) daripada 72 kg, kenapa saya tak boleh kawal pula sepanjang Syawal ini.

"Raya tahun ini tak akan jadi detik kemenangan yang sebenar-benarnya kerana S.A.M sedang berjuang di pawagam. Hari ini, S.A.M mula ditayangkan. Saya jarang mengesyorkan peminat untuk tengok filem lakonan saya, bahkan saya sendiri jarang boleh tengok filem lakonan sendiri semasa majlis pratonton. Kali ini lain, saya boleh tengok S.A.M sampai ke penamat dan saya gembira dengan hasil kerja Syafiq Yusof," kata Sam yang baru pertama kali merasa debar filem raya.

Refleks raya Jee Latiff

Tidak banyak yang mahu diperkatakan oleh wanita yang lebih mesra dibahasakan dengan panggilan Jee itu. Kesyukuran menjadi asas sambutan sebaik membuka mata melihat sebuah lagi hari yang baru bakal ditempuhi.

"Hari raya ialah hari kesyukuran. Kesyukuran itu pula pantulan kepada setiap warna kehidupan kita. Seperti kita mengucap syukur Alhamdulillah kerana masih diberi masa untuk bernafas. Kita bersyukur atas kekurangan dan kelebihan dalam hidup lepas dan akan datang. Rasanya, pada hari raya begini, impak kesyukuran itu lebih kuat," desis pelantun lagu Teratak Layu Di Tasik Madu itu seraya tersenyum.

Berpeluang menyambut raya bersama dua anak-anaknya pada tahun ini, ada ketikanya Jee merasa kehilangan kerana sambutan raya kini tidak lagi seperti dahulu.

"Dalam keluarga saya sendiri, selepas nenek meninggal dunia, banyak rutin raya berubah. Tak ada lagi acara kacau dodol ramai-ramai. Generasi akan datang akan kehilangan warisan itu sebab mereka tidak pengalaman sambut raya dalam budaya warisan nenek-moyang," akhiri Jee yang bangga kerana sahabatnya Ahadiat memilih untuk menghidupkan suasana kampung dalam bisnes restoran yang diceburi.

Raya sebagai isteri

MENYAMBUT raya dalam versi kehidupan berbeza, namun Azizul, Ella, Amy, Fauziah, Sam dan Ahadiat sepakat bahawa raya itu hari paling berkat untuk menyucikan dosa sesama manusia.


Ella hanya mampu tertawa manja apabila diusik tentang status isteri pada Aidilfitri tahun ini. Jujurnya, dia memberitahu bahawa dia tidak tahu apa akan berlaku atau mahu dijangka.

"Saya berdoa kepada Allah semoga semuanya berjalan dengan lancar dan bahagia. Tidak tahu apa yang mahu dijangkakan," ketawanya manja beberapa hari sebelum lebaran menerjah umat muslimin dan muslimat.

Menyambut secara sederhana, persiapan raya sudah disiapkan separuh sewaktu Ramadan dan keterujaan beraya lebih kepada berkumpul bersama keluarga.

"Bagi saya kemenangan raya terjadi apabila dapat berkumpul bersama famili. Merapatkan silaturahim keluarga dan paling penting bersama ibu. Bila berkumpul dapat pula bermaaf-maafan, itulah makna raya sebenar," ujar penyanyi yang kini isteri kepada Azhar Ghazali.

Ujar Norzila Aminuddin, suaminya bakal bekerja pada hari raya kedua dan dia menurut sahaja. Beraya di rumah keluarganya di Klang, perancangan selepas itu merpati dua sejoli ini akan beraya di rumah Azhar di Muar, Johor selepas Azhar mendapat cuti kerja.

Masuk kepada nostalgia beraya, Ella ketawa besar mengingatkan telatahnya sewaktu kanak-kanak dahulu, dia menyambung cerita usai tawanya yang manja.

"Masa Ella darjah tiga, ada kenangan yang tidak boleh dilupakan. Pagi raya, Ella pakai baju kurung. Masuk tengah hari, Ella pakai ceongsam kemudian tukar kepada skirt pada waktu petang dan pada malam hari, Ella pakai stail India. Itu mungkin terjadi kerana saya begitu cintakan fesyen," ketawanya lagi.

Apa yang pasti untuk tahun ini, lebaran seorang Ella bertambah seri. Ceria dan kasih sayang seorang suami hadir dala hidupnya dan bermulalah episod rayanya sebagai isteri.

Cerita lebaran Ahadiat, Azizulhasni

Posted:

Cerita lebaran Ahadiat, Azizulhasni


KETERUJAAN terukir di wajah The Pocketrocketman ini untuk kembali beraya di tanah air. Dia juga bakal menimang cahaya mata kelak.


DIA seorang pelumba yang berdepan debaran dan kepantasan di trek lumba basikal. Seorang lagi 'berlumba' dengan imaginasi dan kata-kata di litar penulisan novel. Double A ini dipertemukan dalam satu sesi fotografi raya bersama selebriti kelas A. Keserasian kimia mereka terjalin sambil berkongsi cerita walaupun berada di lapangan berbeza.

Dilihat sebagai selebriti tanah air di lapangan masing-masing, Ahadiat yang sudah berkecimpung dengan dunia penulisan novel sejak tahun 1985 berkongsi kemenangan lebarannya. Begitu juga Azizulhasni yang mencapai kemenangan tersendiri dalam portfolio lumba basikalnya.

Beraya di Malaysia

Senyum lebar, keterujaan kembali beraya di tanah air sendiri terlukis di wajah pelumba basikal yang mencipta nama di temasya Olimpik 2012 baru-baru ini.

"Selepas tiga tahun beraya di Melbourne, Australia saya kembali beraya di Malaysia bersama isteri, Athiah Ilyana Abd. Samat dan keluarga. Insya-Allah isteri saya kini hamil tujuh bulan," ujarnya yang sudah sibuk mencuci rumah dan berkemas untuk menyambut lebaran.

Bakal menyambut lebaran di kampung halaman sang isteri di Ipoh, Perak dan kemudian mudik ke kampungnya di Dungun, Terengganu, Azizulhasni mengaku begitu rindukan suasana raya dan bertandang di kampung.

Menyentuh tentang raya sebagai sebuah kemenangan, topik signifikan itu ditafsirkan dengan cara Azizulhasni yang tersendiri.

"Kemenangan itu adalah selepas kita berpuasa selama sebulan melawan hawa nafsu, lapar dan dahaga. Aidilfitri juga bagi saya adalah penyatuan semua umat Islam sambil bermaaf-maafan," senyum si lelaki yang digelar The Pocketrocketman ini.

Daripada segi kerohanian, Azizulhasni bersyukur apabila bakal dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin pada 2010.

"Semasa menunaikan umrah bersama isteri dan keluarga pada tahun lalu, saya memang berdoa untuk dikurniakan anak selepas saya ke Olimpik. Doa saya makbul dan saya bersyukur. Sekarang semua persediaan raya saya lebihkan untuk isteri dan anak," ucapnya yang sempat memberi barang-barang Olimpik sewaktu di London, Britain baru-baru ini.

Menyuntik semangat trek dalam dirinya, Azizulhasni mengaku menganggap basikal adalah separuh daripada dirinya.

"Dahulu saya lihat sukan berbasikal ini belum cemerlang. Tetapi sekarang sudah sampai ke peringkat dunia dan saya harap ia akan meningkat. Orang Malaysia juga semakin aktif berbasikal dan ini bagus untuk kesihatan," ujarnya yang memang bercita-cita besar daripada kecil dalam sukan basikal.

Kenal kampung

Sudah kembali dalam mood melakar karya semula, novelis terkenal Ahadiat Aksyah sudah siap dengan novel bertajuk Valentine Datang Lagi dan Pergi. Selain itu, Ahadiat sibuk menulis novel bertajuk Joni Togo (Rangkaian Momok 1) untuk khalayak yang mengikut setia portfolionya.

Kisah Ahadiat dalam menyambut lebaran pula bermula hanya di sekitar Kuala Lumpur. Cuma sejak 13 tahun lepas, dia diperkenalkan dengan suasana desa oleh isterinya, Yati yang berasal dari Padang Rengas, Perak.

"Perasaan bila beraya di kampung adalah mengujakan. Rumah mertua saya dalam suasana kampung, bila balik ramai-ramai kami ada tradisi cop tempat tidur dengan beg. Kalau lambat, dapatlah tempat kurang best," ketawa ayah kepada empat orang anak ini.

"Emak saya siap suruh saya balik rumah mertua untuk rasa suasana kampung. Tiap-tiap tahun saya pulang beraya di kampung kecuali tahun lepas kami terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur, kerana trafik terlalu sesak," katanya.

Masuk ke dalam topik kemenangan lebaran, untuk Ahadiat rasa menang itu muncul apabila dia dapat memenuhi permintaan anak-anaknya.

"Bila tak dapat beli barang yang mereka minta, saya rasa kalah. Rasa seronok tengok gelagat mereka nak sambut raya. Inilah gelagat yang dilihat oleh ibu bapa kita sewaktu kita kecil dahulu," senyumnya yang kemudian mengimbas nostalgia raya dahulu,

"Dahulu sanggup naik bas beraya dari rumah ke rumah. Kalau dapat 50 sen atau 20 sen sudah kira banyak. Siap ada grup untuk bertandang, kalau tidak diajak masuk grup tersebut, akan kecil hati. Lepas dapat duit raya, akan tabur duit syiling dan kira. Raya ketiga sudah sibuk beli tikam dengan kawan-kawan," kenang Ahadiat. - SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

Tinta enam peneroka kata

Posted:

Tinta enam peneroka kata


Buddhi, Ad Samad, S. Amin, Aizat dan Siso (tengah) masih memilih lagu-lagu raya yang dinyanyikan orang lama kerana lirik dan melodinya sangat akrab dengan tradisi raya itu sendiri.


ENAM pelakar kata penuh santun bahasa ini digabungkan atas kata kunci lirik. Nama-nama mereka ini sudah, sedang dan ada yang akan mekar dalam membaitkan lirik atau takrifan puisi yang melukiskan perasaan.

Karangan kata yang ditulis dengan menggunakan ciri-ciri puisi, memasukkan irama yang teratur, majas, rima, asonansi dan imajan mereka punya tanda tangan tersendiri. Menghanyutkan rasa dan membuai perasaan tidak kiralah genre atau pun aliran jiwa.

Atas nama nostalgia dan silaturahim raya, S. Amin Shahab, Habsah Hassan, Siso, Buddhi Hekayat, Ad Samad dan Aizat Amdan disatukan rasa. Malah mereka berkongsi tentang apa yang 'hilang' dalam suasana lirik raya kini serta gemerlapan lagu raya dahulu. Bicara mereka bersambut, menghambat nostalgia dan berkongsi rasa tentang raya.

Antara lirik lagu raya yang kalian tulis?

SISO (S): Tahun lepas sahaja saya menghasilkan 10 buah lirik raya. Antara lirik yang saya tulis ialah Nazam Lebaran dan Air Mata Syawal nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Terbaharu ialah lirik lagu nyanyian Dafi bertajuk Nikmat Lebaran.

HABSAH HASSAN (HH): Abang Pulang (Datuk Malek Ridzuan, Suasana Di Hari Raya (Anuar dan Elina)

S. AMIN SHAHAB (SAS): Esok Hari Raya (Dr. Sam) dan Halaman Asmara (Ziana Zain dan Awie)

AIZAT (A): Tahun lalu saya hasilkan lagu raya bertajuk Hore Raya.

BUDDHI HEKAYAT (BH): Belum ada rezeki lagi.

AD SAMAD (AD): Belum ada buat masa sekarang.

Lagu raya paling digemari?

S: Selamat Hari Raya (Fazidah Joned), Dendang Perantau (P. Ramlee).

AD: Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Anuar dan Elina)

BH: Lagu P. Ramlee. Saya jenis tak suka lagu sedih.

A: Dendang Perantau (P. Ramlee), Satu Hari Di hari Raya (M. Nasir) dan Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone)

SAS: Lagu yang terlekat di hati sampai mati ialah lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma. Lagu yang saya suka pula ialah Esok Hari Raya oleh Dr. Sam. Sebuah lagu nostalgia semasa kecil.

Boleh ulas tentang lagu dan penulisan lirik sekarang? Juga budaya raya dalam lirik lagu, apa yang boleh dan mahu dikupas?

S: Penulis lirik sekarang bahasanya lebih remaja. Latar belakang bahasa agak kurang dan banyak terjemahan terus. Pendedahan terhadap sastera Melayu kurang menonjol, jadi bahasanya kurang puitis. Dahulu kita banyak cakap pasal keceriaan raya. Lagu Satu Hari Di hari Raya pula membawa transisi dengan mengubah tema raya, bercerita tentang kemenangan.

SAS: Orang lebih gemarkan lagu lama. Contohnya, beberapa lagu memang ditunggu dan diputarkan untuk perjalanan pulang ke kampung. Itu yang mahu digambarkan.

AD: Budaya lirik raya masih kekal dengan konsep pelita dan balik kampung. Kalau mahu buat lirik lagu raya baharu, perlu ada lagu raya urban dengan konsep yang berlainan. Kalau dahulu, konsep desa setara dengan budayanya. Sekarang, lagu baharu perlu berdepan dengan cabaran masa. Lagu pula hanya ada tiga minggu untuk ke udara dan orang masih memilih lagu-lagu lama. Lagu raya yang malar segar memang sudah jelas juara!

HH: Dahulu, ada adat budaya yang jelas. Sekarang kita sudah tidak tahu apa yang tinggal. Seperti Ad kata, perlu ada lagu raya urban. Raya ini mengundang nostalgia dengan takbir dan rasa sayu. Sekarang kesan nostalgia sepertinya sudah berkurangan. Dahulu banyak momen dan sentuhan rasa bila menjelang hari raya.

BH: Saya rasa lirik perlu menjadi lebih universal. Contohnya, ada lagu tentang mualaf yang baru masuk Islam dan merayakannya. Kita boleh raikan dalam lagu.

A: Bagi saya, lagu raya adalah tentang melodi yang pop. Lagu-lagu raya macam boleh jadi intro kepada filem-filem Jepun, keceriaan dan nilai festival itu ada. Tambahan dengan bunyi yang dijentik nostalgia. Mengenai lirik pula, perlu keluar dengan keaslian dan kena dengan budaya semasa. Zaman P. Ramlee budaya rayanya sebegitu, jadi keluar lagu yang begitu.

Maksudnya ada transisi dalam lirik raya itu sendiri?

S: Budaya sudah tidak ada. Dahulu kita nak bangun pagi-pagi untuk beraya tetapi budak sekarang tidak. Jadi apa yang mahu kita tulis dalam lirik itu? Mereka sudah tidak tahu apa untuk ditulis.

A: Ya, berlaku transisi dan ditulis dalam lirik seperti perkataan SMS (khidmat pesanan ringkas), e-mel dan beberapa lagi yang bersifat teknologi tetapi belum jadi lagi.

H: Kena tulis daripada hati, kesannya akan jadi lama. Mungkin kerana orang sekarang tidak dalam suasana jadi mereka tidak berada dalam keadaan raya sebenar. Jadi tidak semula jadi dan interpretasi kerinduan itu tidak dapat. Contohnya, lagu Dendang Perantau, ia seperti sebuah lagu pengesahan untuk raya.

SAS: Lagu-lagu lama sudah cukup nostalgik. Itu sebab dia dimainkan daripada dahulu.

BH: Mungkin juga sentuh pasal kemanusiaan dan tidak perlu tertumpu pada satu bangsa. Sesiapa pun boleh sambut hari raya tidak kira bangsa. Itu mungkin cabaran untuk penulisan lirik raya kelak.

A: Macam yang saya katakan, kena seiring dengan masa dan zaman. Perlu juga ada keaslian.

Bagaimana pula dengan lagu saduran raya?

HH: Tidak sampai. Mereka buat tetapi tersekat, tak sampai.

SAS: Perubahan berlaku akibat protes, jadi elemen rasa itu sudah tidak ada. Ia tak melekat dalam kalbu.

S: Mereka cuba ubah rasa dan gaya. Ada yang ubah bentuk muzik dan pemikiran.

A: Tak salah untuk buat lagu saduran. Ia berbalik kepada soalan berani atau tidak dan mahu atau tidak. Kalau ya, jalankan sahaja.

Tradisi raya apakah yang sudah dilupakan?

SAS: Keterujaan menunggu pengumuman raya.

BH: Malam tujuh likur dan baju raya buatan sendiri. Malah kuih buatan sendiri pun sudah jarang

S: Dahulu ada beduk atau tabuh yang dipalu untuk menandakan sahur dan berbuka. Kita tunggu paluan tersebut.

AD: Mercun, pelita dan bunga api.

HH: Tunggu pengumuman raya memang mendebarkan. Kalau tahun 1960-an , kita tunggu lama untuk pengumuman. Takbir rumah ke rumah juga sudah berkurangan sekarang. Tradisi kuih kepala meja juga sudah tidak ada.

A: Mungkin usia saya masih setahun jagung, jadi saya tidak tahu apa tradisi yang sudah dilupakan. Tetapi berdasarkan cerita emak, ayah dan nenek, memang ada yang dilupakan. Cuma saya rasa perlu mengikut dan beradaptasi dengan perubahan tersebut.