Berita Harian: Hip |
Posted: 18 Aug 2012 10:55 AM PDT Seolah-olah terbit perasaan malu pada wajah bintang baru ciptaan MIG Productions, Wawa Zainal, 20, apabila digandingkan dengan Primadona Filem Melayu alaf baru, Lisa Surihani, 26. Mereka pertama kali digandingkan dalam sesi fotografi khas sebagai penghias muka depan B*POP, edisi Syawal 1433H. Sebelum ini, Wawa digembar-gemburkan sebagai pengganti Lisa apabila saham Lisa dikatakan mulai menurun selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim pada Februari lalu. Bagaimanapun, itu hanya andaian. Bintang Lisa masih berkerlipan dengan deretan filem yang bakal menemui penonton di pawagam tahun ini. Malah, Lisa menduduki tempat pertama hingga mampu mengumpul 2,116,928 pengikut menerusi paparan muka surat peminat dalam Facebook.Wawa, bintang filem baru yang dianggap cukup bertuah. Gadis berdarah kacukan Melayu Brunei Filipina itu sudah membintangi sembilan filem sejak setahun bernaung di bawah syarikat pengurusan, MIG Talent. Dan kebanyakannya, watak utama. Lisa dan Wawa dipilih sebagai penghias muka depan B*POP apabila mereka menjadi penyeri pawagam untuk musim Aidilfitri kali ini, apabila filem lakonan masing-masing menemui penonton di seluruh negara bermula 1 Syawal. Lisa muncul dalam filem Saya Amat Mencintaimu atau S.A.M, manakala Wawa pula menerusi filem Seram Sejuk. Sambil merenung jauh, Wawa atau nama sebenarnya, Nurhawa Zainal Abidin mengakui: Mungkin orang tak percaya, tapi inilah kali pertama saya digandingkan dengan Lisa. Sebelum ini, kami pernah bertemu, tapi inilah kali pertama dapat berbual mesra. Saya segan. Kami umpama bumi dengan langit. Tapi, Lisa mudah mesra dan membuatkan saya selesa bergandingan dengannya. Itulah kelebihan Lisa, tidak sombong, kelakar dan merendah diri. Saya bersyukur. Saya sudah membintangi sembilan filem dalam tempoh setahun bersama MIG Productions, tapi bukanlah semuanya watak utama, ada juga watak pembantu. Mungkin saya dilihat sebagai anak emas selepas David dan team MIG Productions begitu mengambil berat mengenai saya. Sebatang kara Saya sebatang kara di Kuala Lumpur, ibu bapa dan adik beradik di Sabah. Salah seorang kakak saya berpindah ke sini bersama keluarganya, baru-baru ini. Saya terkontang-kanting hidup dalam bandaraya serba moden ini. Hanya kepada David dan team MIG Productions saya berkongsi susah senang. Saya terharu, mereka terlalu mengambil berat. David menjaga saya seperti anak sendiri. Saya tidak merasakan diri dilayan seperti anak emas. Saya lihat pelakon lain juga diberi ruang sama untuk menempatkan diri dalam dunia lakonan, katanya anak kelapan daripada 11 adik beradik itu. Tanpa berselindung, Wawa berkata dia hanya mampu membeli kereta, hanya dua bulan lalu selepas setahun bergelar anak seni. Saya baru beli kereta, inipun kerap sesat apabila memandu, tapi saya redah juga kerana tidak mahu terlalu menyusahkan orang lain. Insya-Allah, saya mahu menyimpan duit membeli rumah, lebih mudah keluarga datang bertandang. Maklumlah adik beradik dan anak saudara saya ramai. Sekarang saya menyewa bersama teman-teman. Saya juga terfikir mahu membawa mereka berpindah di Kuala Lumpur jika ada rezeki, tidaklah hidup saya sunyi dan kerinduan, katanya yang akan pulang berhari raya pada 1 Syawal kerana terlewat membuat tempahan tiket kapal terbang. Menyentuh Aidilfitri, Wawa berkata dia tidak sabar pulang ke kampung halaman menyambut Syawal bersama keluarga. Sudah hampir lapan bulan tidak bertemu keluarga, jauh sekali dapat berbuka puasa dengan mereka. Bawa watak Rose Malah, malam raya pun sendirian di Kuala Lumpur. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam hidup saya. Hati ini terlalu rindu menatap wajah ibu bapa dan adik beradik. Saya rindu nak berebut makanan dengan adik-adik ketika berbuka puasa. Tapi apakan daya, saya sibuk di lokasi penggambaran ketika Ramadan. Akibat terlalu sibuk, saya terlupa mahu membuat tempahan tiket dan hanya dapat pulang ke Lahad Datu pada 1 Syawal. Sedih mendengar takbir raya, tapi saya bersendirian. Saya tetap sederhana dalam menyiapkan kelengkapan, baju raya pun dua tiga pasang saja, tetapi saya menyediakan duit raya lebih untuk keluarga. Saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya keempat untuk keluarga dan peminat, katanya yang memegang watak Rose dalam filem Seram Sejuk arahan Azhari Zain. Filem berkenaan terbitan I-Insan Multimedia dengan kerjasama dan edaran MIG Productions. Wawa berkata, Seram Sejuk adalah filem pertama lakonannya, tapi beberapa filem lain seperti Sumpahan Kum Kum dan Hantu Dalam Botol Kicap terlebih dulu menemui penonton di pawagam. Saya dapat rasakan saya boleh buat lebih baik apabila menonton semula lakonan dalam filem ini. Ketika itu, pengalaman saya `zero, itulah cabaran besar buat saya. Arah kamera pun saya tidak tahu. Tapi saya bertuah kerana pelakon lain seperti Angah dan Zul Suphian banyak membantu. Saya juga tidak tahan gelak apabila bersama Angah. Kalau ada babak tergelak, itulah gelagat spontan, bukan dibuat-buat, katanya. Lisa teruja sambut raya sebagai isteri Lisa pula teruja menyambut Aidilfitri bersama suami tercinta. Ketika Ramadan, Lisa sibuk dengan penggambaran drama Mana Hilangnya Juwita hingga jarang dapat meluangkan masa bersama suami. Saya harap Aidilfitri ini dapat menebus masa saya yang banyak di luar berbanding dengan suami. Boleh dikira dengan jari saya dapat berbuka puasa dengan suami. Hati saya, hanya Tuhan yang tahu. Berbuka puasa pun tidak begitu selera kerana teringatkan Yusry makan apa! Tahun ini pula tahun pertama kami berpuasa sebagai suami isteri, tapi nikmatnya tidak dirasai sepenuhnya. Solat terawih pun tak dapat bersama. Mujurlah suami faham. Saya dan Yusry gemar bekerja pada Ramadan sejak dulu. Tapi, saya berharap dapat mengimbangi antara kerja dan keluarga tahun depan. Mungkin bekerja pada siang hari saja. Saya tidak mahu membiarkan Yusry berbuka puasa tanpa saya. Lebih membuatkan saya terkilan, Yusry terpaksa bersendirian menguruskan rumah baru kami. Sampaikan masa nak membeli kelengkapan rumah, kami terpaksa hantar gambar melalui WhatsApp. Yusry mahukan kesempurnaan. Kadang kala saya tengok Yusry sudah macam kontraktor (ketawa). Walaupun sibuk dengan pos produksi filem Vikingdom dan Ular, Yusry sanggup bergegas ke rumah baru untuk melihat pengubahsuaian yang dilakukan, katanya yang menyambut 1 Syawal di rumah baru. Baju raya warna biru cair Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kepujian, University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom itu berkata, dia mengajak ibu dan adik beradiknya meraikan Syawal di rumah barunya tahun ini. Syawal tahun ini cukup berbeza. Kalau dulu, saya menyiapkan kelengkapan buat Mummy dan adik beradik, tapi tahun ini, keutamaan saya pada suami tanpa mengetepikan keluarga dan ibu bapa mentua. Yusry suka kain sampin yang siap dan berkocek. Kalau cari yang siap, memang tiada, kain sampin Yusry lain sikit, kena tempah. Yusry rimas bila memakai kain sampin yang sedia ada, kena pakai dan susah nak angkat jika nak letak dompet dan telefon bimbit. Kain samping yang ditempah ini pasang siap dan berkocek. Tema kami tahun ini, warna perak muda dan biru cair. Saya dan Yusry memang satu cita rasa, kami suka pada warna lembut dan lusuh. Memandangkan rumah baru kami berdekatan dengan rumah keluarga Yusry, jadi kami tiada masalah nak berulang alik. Sehari sebelum raya, saya dan Mummy akan menyiapkan nasi beriani ala Arab yang menjadi hidangan tradisi kami. Juadah pagi raya, saya minta ibu mentua masakkan saya pulit kuning dan rendang ayam. Itu makanan kesukaan saya pada pagi raya. Terharu sangat apabila ibu mentua sanggup memenuhi permintaan saya, katanya yang menghadiahkan baju raya untuk ibu bapa mentua. Akui sukar berlakon dalam S.A.M Mengulas filem S.A.M arahan Syafiq Yusof, Lisa berkata, filem berkenaan mencatat kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana penggambarannya dijalankan pada Ramadan. Kadang kala penggambaran terpaksa dihabiskan selepas bersahur. Itulah kenangan Ramadan tahun lalu. Tapi, berkat kesabaran dan mahu melihat yang baik, hasil filem ini membanggakan. Saya kagum dengan Syafiq apabila melihat hasil filem S.A.M ketika pra-tonton baru-baru ini. Syafiq, remaja berusia 18 tahun dan ketika itu, masih belum habis penggajian, tapi mampu menghasilkan filem sebaik ini. Saya melihat Syafiq dapat menghidupkan watak-watak dalam filem ini. Dan karakter saya sebagai Lisa, bukannya mudah. Walaupun ada babak yang pernah saya lakukan dalam filem sebelum ini, tapi ada beberapa babak menjadi cabaran buat saya. Terutama babak saya diterbalikkan kepala ke bawah, kaki ke atas dan disiksa, katanya. Filem S.A.M bergenre psiko- thriller terbitan Skop Productions Sdn Bhd dengan kerjasama E-Mas bakal ditayangkan di 80 pawagam bermula Khamis, 16 Ogos untuk tayangan tengah malam. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |